Alamat Baru Kami

Alamat Baru Kami

Klik di FOTO

Monday, February 26, 2007

Pak Mud mutiara PAS Perlis yang sukar diganti

Terbaik dari Harakah (Petikan dari Harakahdaily)
Oleh Bashir Ishak

(Seperti yang disiarkan dalam Harakah bil 1330)
Ibarat kata pepatah, harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama. Namun bagi bekas Pesuruhjaya PAS Perlis, Haji Mahamood Mohd Noor beliau bukan sekadar meninggalkan nama yang harum malah jasanya kepada perjuangan Islam tidak terkira.

Beliau yang lebih mesra dengan panggilan Pak Mud kembali ke rahmatullah di rumahnya pada jam 11.50 malam 7 Februari lalu pada usia 90 tahun.

Pak Mud adalah seorang ikon, namanya sudah sinonim dan tidak asing lagi bagi PAS Perlis.
Walaupun kelihatan pendiam dan lemah lembut tetapi beliau berperwatakan tegas dan mudah diajak berbual.

Dilahirkan di Batu Sangkar, Sumatera, Indonesia pada 2 Februari 1917, Pak Mud mendapat pendidikan di Maahad Tarbiyatul Islamiyah di Pajakumboh, Sumatera Barat.

Beliau kemudiannya berhijrah ke Tanah Melayu pada tahun 1936 mencari ilmu dan pengalaman dan sampai di negeri Perlis pada tahun 1938.

Berkahwin dengan Hajah Rogayah Mohd Zain pada tahun 1940, pasangan ini dikurniakan lapan cahaya mata. Tiga daripadanya sudah meninggal dunia.

Pak Mud mula terlibat dalam politik melalui Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) di bawah pimpinan Dr Burhanuddin al-Helmy. Namun perjuangannya bersama PKMM tidaklah lama apabila parti itu diharamkan penjajah Inggeris pada 1948.

Namun pengharaman PKMM tidak mematahkan semangat perjuangannya, pak Mud kemudiannya menyertai PAS pada tahun 1958.

Sepanjang penglibatannya di dalam PAS, Pak Mud pernah diamanahkan dengan pelbagai jawatan. Beliau pernah menjadi Setiausaha Perhubungan PAS Perlis dari tahun 1959 hingga 1966.

Dari tahun 1966 hingga 1969 beliau memegang jawatan Ketua Penerangan. Manakala dari tahun 1970 hingga 1971 beliau memangku jawatan Pesuruhjaya PAS Perlis berikutan kematian Pesuruhjaya PAS Perlis ketika itu, Cikgu Taharim Ariffin yang mati dibunuh.

Beliau dilantik sebagai Pesuruhjaya sebanyak dua kali iaitu pada 1981-1983 dan 1985-1987 dan memangku jawatan tersebut sekali lagi dari tahun 1990 hingga 1991 berikutan kematian pesuruhjaya Ustaz Halim Omar.

Selain itu beliau juga pernah beberapa kali bertanding di dalam pilihan raya iaitu pada 1964 dan 1969 di DUN Sena, 1978 dan 1982 di Parlimen Arau, 1982 DUN Utan Aji; dan akhirnya 1986 di Dun Guar Sanji.

Selain itu, pada tahun 1999, Pak Mud meninggalkan satu khazanah yang berharga bila beliau menyusun dan menulis sejarah PAS Perlis yang boleh dijadikan rujukan untuk semua.

Dalam pertemuan dengan Harakah beberapa tahun lalu, beliau masih mampu menceritakan pelbagai sejarah silam PAS Perlis termasuk kisah awal penglibatannya dalam politik bersama PKMM di bawah Dr Burhanuddin Al-Helmi.

Begitu juga dengan sejarah PAS Perlis, sama ada dari segi pimpinan, program-program besar PAS serta pilihan raya yang disertai.

PaK Mud juga sempat mengimbas kembali satu himpunan Hizbul Muslimin di Madrasah al-Ihya as-Syarif, Gunong Semanggol, Perak beberapa ketika dahulu.

"Dulu orang ramai pi sana. Tidur di sana tiga hari tiga malam, sembelih lembu juga," imbasnya apabila diceritakan kepadanya tentang himpunan orang ramai semasa Muktamar PAS di Kedah tahun lalu.

Selain itu, beliau menasihati ahli-ahli PAS agar mengikhlaskan diri dalam perjuangan.

"Jangan melihat adanya kepentingan duniawi atau kewangan. Semua yang dibuat kerana Allah dan inilah yang akan menguatkan kita," nasihatnya.

Reaksi pemimpin PAS negeri dan rakan-rakan seperjuangan

Pesuruhjaya PAS Perlis, Ustaz Hashim Jasin menyifatkan Allahyarham sebagai contoh seorang yang istiqamah dalam perjuangan. PAS Perlis, ujarnya telah kehilangan seorang tokoh yang hebat.

"Dalam apa keadaan sekalipun beliau tetap gigih menghadapi pelbagai liku-liku hidup dengan tabah. Walaupun enam kali bertanding dalam pilihan raya dan tak pernah menang, beliau tidak pernah putus asa. Dari sudut ketabahan, beliau sukar ditandingi," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya PAS Perlis, Hairy Hashim menganggap Pak Mud sebagai mentor. Menurutnya, paling disukai tentang Pak Mud ialah cara beliau menyelesaikan sesuatu masalah dalam parti secara lenbut dan mempunyai sentuhan peribadi.

"Beliau juga adalah seorang yang banyak menyimpan maklumat dan sejarah PAS di negeri ini. Pemergiannya adalah suatu kehilangan besar bagi kita semua," ujarnya.

Setiausaha PAS Padang Besar, Ustaz Yahya Ahmad berkata, Pak Mud ialah contoh seorang yang istiqamah dan tidak pernah berganjak dengan prinsip perjuangan.

"Beliau pernah dilantik sebagai Pegawai Seranta Tabung Haji semasa PAS dalam BN dulu. Tetapi demi kepentingan jamaah, beliau meletakkan jawatan atas arahan PAS Pusat tanpa sempat menerima gajipun. Takziah buat keluarga beliau bagi pihak PAS kawasan Padang Besar," katanya.

Bekas Yang DiPertua PAS Kangar, Haji Rahmat Mohd Noor mengingati Pak Mud sebagai seorang yang warak dan berjuang semata-mata untuk Islam.

Menurutnya, Allahyarham adalah orang yang bertanggungjawab membawanya masuk sebagai Ahli Badan Perhubungan.

"Saya ingat dia datang sini sebelum perang Jepun dulu. Dialah yang mengajar kami di sini dengan ilmu agama. Melalui beliaulah ramai yang dapat mengaji agama di kampung ini dalam keadaan masyarakat yang masih tidak mahu kepada agama," ujarnya.

Bekas Bendahari PAS Perlis, Ustaz Ahmad Ibrahim, 80, mengingati Pak Mud sebagai seorang pemimpin PAS yang gigih, dihormati dan disegani kawan mahupun lawan.

"Dalam percakapan dia tak pernah sentuh hati orang, sampai Umno sendiri pujuk sertai mereka dan diberikan jawatan, tapi dia tak mahu. Di kalangan pemimpin PAS di Perlis susah nak cari yang sebanding macam dia," jelasnya.

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham. Al-Fatihah.

No comments: