Alamat Baru Kami

Alamat Baru Kami

Klik di FOTO

Friday, December 30, 2005

KEPIMPINAN YANG DITELADANI
Oleh : Ibnu Zain
Kategori : Fikrah pimpinan


Seseorang yang ingin menjadi pemimpin atau ketua yang baik perlu menyediakan kelengkapan diri yang sempurna agar dihormati dan dijadikan model dan contoh teladan oleh pengikut atau orang bawahannya. Ini adalah kerana setiap tingkah laku dan tutur katanya akan diberi nilai yang tersendiri oleh pengikutnya.

Seseorang pemimpin, dalam memimpin atau mengetuai sesuatu tugas tertentu, perlulah mempunyai pengalaman, panduan, pendidikan dan tunjuk ajar yang ada hubung kait dengan tugasan mereka. Umpamanya pengarah urusan syarikat yang memimpin syarikat, tuk penghulu yang memimpin sesebuah komuniti kampung, wakil rakyat yang memimpin rakyatnya, bapa yang memimpin sesebuah keluarga, ketua kumpulan yang memimpin kumpulannya dan lain-lain. Oleh itu, tanggungjawab dan amanah yang dipikul oleh pemimpin dan orang yang dipimpinnya adalah berat dan menjadi kewajipannya untuk membawa ahlinya kepada kesatuan yang kukuh, harmoni dan saling kasih mengasihi agar hidup menjadi teratur, tenang dan sempurna.

Demikianlah kepimpinan, mungkin kerana terlalu hampir dengan kehidupan sosial manusia, maka ia tidak pernah luput atau hilang dari perhatian orang biasa atau awam. Menurut ahli Psikologi Sosial, pemimpin adalah seorang yang mempunyai pengaruh peribadi yang paling banyak. Sebagai contohnya, setiap apa yang dilakukannya akan diteladani oleh orang bawahannya. Ini akan membawa kepada dua implikasi yang besar dalam diri pengikut samada mendapat kebaikan atau kerosakan. Jelaslah bahawa kuasa pengaruh yang kuat melalui peribadi, hasil dari penilaian yang tidak seimbang oleh pengikutnya akan mewujudkan imej yang mempunyai ciri-ciri peribadi seperti pemimpin mereka dalam kehidupan sosial yang mereka lalui sepanjang hayat.

Bagi ahli Sains Politik pula, pemimpin adalah sesiapa sahaja yang menduduki sesuatu jawatan atau mengisi sesuatu peranan yang membenarkannya menggunakan kuasa. Sebagaimana pemimpin yang mempunyai pengaruh yang kuat, pemimpin ini juga mempunyai pengaruh yang lebih meluas, tidak hanya dari pengaruh peribadinya, bahkan mempunyai kuasa atau diberi kuasa dalam memberi sesuatu arahan atau keputusan yang mesti dipatuhi oleh setiap orang. Kuasa pemutus ada ditangannya.

Secara umumnya, orang bawahan atau pengikut menganggap bahawa pemimpin itu adalah model bagi mereka. Jika kepimpinan dianggap bersifat situasi, orang-orang bawahan juga mungkin bertindak sebagai model kepada orang yang lebih tinggi kedudukannya daripada mereka pada masa-masa tertentu. Tetapi keadaan ini jarang berlaku. Biasanya pemimpin di ataslah yang dijangka menjadi model bagi pengikut. Namun tidak semua orang boleh menjadi model kepada orang lain.

Menurut satu kajian yang dibuat oleh Pensyarah Psikologi Sosial, Aminuddin Mohd. Yusuf, dalam bukunya 'Kepimpinan', terdapat empat ciri manusia yang mempunyai kemungkinan untuk ditiru oleh orang lain.
Berkelebihan dari segi umur. Golongan ini akan lebih diteladani berbanding dengan golongan yang muda umur, kerana golongan tua mempunyai beberapa hak istimewa, kemahiran dan teknik untuk mencapai matlamat yang dicitakan, berdasarkan kepada banyaknya pengalaman dan pengetahuan yang luas.

Berkelebihan dalam status sosial. Seseorang yang dilantik menjadi pemimpin atau ketua, secara otomatik mendapat status sosial yang lebih tinggi daripada pengikutnya. Ini mempermudahkan pengikutnya meneladani sikap dan tingkah laku pemimpin mereka. Dalam meneladani sikap dan tingkah laku pemimpin, pengikut janganlah keterlaluan sehingga menyusahkan diri sendiri. Mereka hendaklah bersikap sederhana dalam meneladani setiap gerak laku pemimpin yang boleh memberikan manfaat kepada diri mereka sendiri. Bukannya meneladani kehidupan pemimpin yang mewah, boros dan berkemampuan dalam memenuhi apa sahaja yang dihajati.

Ada kelebihan kedudukan dalam ciri-ciri tertentu. Antaranya kecerdasan iaitu mempunyai kebolehan keseluruhan dalam bertindak, berfikir secara rasional dan mengendalikan persekitaran secara berkesan. Pemimpin yang ingin menunjukkan teladan, harus mempunyai kemampuan yang lebih dalam menyelesaikan sesuatu permasalahan berdasarkan kerasionalan tanpa didorongi emosi dalam bertindak, sentiasa bersikap positif dan tenang, mempunyai pengetahuan yang luas dan cekap dalam membuat hubungan dengan masyarakat. Pemimpin juga tidak sekadar hanya tahu bercakap dan mengarah, tetapi ia hendaklah turut memainkan peranan supaya setiap pekerjaan yang dilakukan dapat diselesaikan dengan sempurna, segera dan berhati-hati.

Kemahiran teknik iaitu mahir dalam lapangan yang berlaitan dengan tugasan kelompok pimpinannya dan menjadi model terbaik untuk diteladani oleh ahlinya. Hal ini amat perlu kerana pemimpin adalah orang yang mengendali dan memimpin kelompoknya agar tahu menilai keberkesanan dalam tugas mereka supaya tidak berlaku kekeliruan dan kacau bilau. Pendekatan dalam kemahiran yang diperlukan dan relevan dengan tugas pemimpin dan kelompok, hendaklah dipelajari sebelum menjadi pemimpin dan ia hendaklah bersedia terlebih dahulu agar tidak menjadi pemimpin yang 'tidak tahu apa-apa' atau 'mengupah' orang lain dalam memberi ide-ide untuk memajukan pimpinannya. Kemahiran dan kepakaran amat penting untuk menjadikan pemimpin itu belihatan berwibawa dan disegani.

Oleh itu, untuk menjadi pemimpin yang baik bukanlah mudah. Dalam pemerintahan demokrasi yang dijalankan di dunia hari ini, naiknya seseorang pemimpin ialah melalui belas kasihan rakyat yang mengundi untuknya. Bagi mencapai hajat untuk menjadi wakil rakyat dan sebagainya, ia sanggup melakukan apa sahaja untuk mengambil hati rakyat agar mengundinya biarpun terpaksa mengorbankan wang ringgit, harta dan masa yang banyak dalam berkempen untuk membeli hati rakyat. Inilah yang dikatakan demokrasi. Nasib pemimpin adalah di tangan rakyat. Dengan itu pemimpin tidak boleh melakukan sesuatu yang boleh menimbulkan kemarahan rakyat kerana bimbang kalau-kalau tidak diundi menjadi pemimpin lagi.

Hal seperti ini tidak berlaku dalam pemerintahan dan politik Islam. Sejarah telah membuktikan bahawa konsep kepimpinan yang teratur dalam Islam adalah bermula dari zaman Rasulullah saw.. Fungsi utama kepimpinan dalam Islam ialah melaksanakan syariat Allah swt.. Konsep ini dilakukan melalui hubungan antara individu dengan individu atau individu dengan kelompoknya.

Naiknya pemimpin menurut kaedah Islam ialah kerana taqwanya, ilmunya, akhlaknya, kepimpinannya dan kegigihannya. Ia dipilih atau dilantik bukan kerana ia meminta tetapi kerana kemahuan rakyat. Rakyat memerlukannya. Rakyat tahu kalau pemimpin seperti ini memimpin, mereka akan mendapat pimpinan dan didikan ke arah kebenaran dan kebahagiaan di dunia dan akhirat. Sebab itu mereka memilihnya.

Kebanyakan pemimpin Islam terdahulu yang pernah kita baca biografi mereka, kita dapati mereka mempunyai personaliti yang menarik dan mengkagumkan, sehingga tidak dapat dibezakan antara pemimpin dan pengikut kerana sifat-sifat muslim sejati. Dengan ini konsep kepimpinan dalam Islam dirujuk kepada sesiapa sahaja yang diberikan tanggungjawab menjaga orang lain. Ini bermakna apabila terdapat dua orang atau lebih, maka salah seorang harus muncul sebagai ketua. Hadis yang diriwayatkan oleh Abu Said dan Abu Hurairah ra.: Bahawa Rasulullah saw. telah bersabda:"Apabila tiga orang keluar bermusafir, maka hendaklah mereka melantik seorang daripada mereka sebagai ketua".

Perlantikan seseorang pemimpin menurut pandangan Islam, haruslah mempunyai ciri-ciri tertentu. Antaranya:
Ikhlas kepada Allah. Baginya setiap pekerjaan yang dilakukannya adalah semata-mata untuk mendapat keredhaan Allah.

Bijaksana dan mampu dalam menyelesaikan masalah. Menurut Abu 'Urwah, kebijaksanaan dan kemampuan pemimpin dalam menyelesaikan masalah dan mengambil keputusan yang tegas dalam pelbagai keadaan, akan menimbulkan kepercayaan dan penghargaan pengikutnya. Sebaliknya sikap teragak-agak, kabur dan tidak tegas daripada kepimpinan boleh menimbulkan keresahan, melemahkan kepercayaan pengikut dan menyebabkan hilang pengawalan ke atas mereka.

Berpengetahuan luas, wawasan yang baik dan mempunyai pandangan yang jauh dalam merangka sesuatu perancangan yang boleh membawa kemanfaatan kepada pengikutnya.

Adil. Ia harus berlaku adil dan memuaskan semua pihak dengan keputusan yang dibuat, tidak berat sebelah dan tidak mudah dipengaruhi.

Mempunyai keazaman yang kuat dan berani terhadap sesuatu hal yang dirasakan perlu dilakukan dan tidak lemah semangat.

Memiliki jiwa yang besar dan berhemah tinggi, disegani dan jelas kewibawaannya sehingga dapat mengatasi perkara-perkara yang remeh temeh dan tidak menyusahkan pengikutnya.

Sentiasa menjaga kebajikan pengikutnya, mengambil tahu permasalahan yang dihadapi mereka dan berusaha meringankan beban yang mereka tanggung.

Mudah bergaul dengan pengikutnya agar tidak wujud jurang perbezaan di antara pemimpin dan yang dipimpin.
Menurut al-Farabi, sesiapa yang mempunyai kekuatan fitrah melebihi orang lain dari segi pemikirannya, boleh menjadi pemimpin yang berkeupayaan untuk memimpin, mengajar, mendidik dan membimbing ummah ke jalan kesempurnaan dan kebahagiaan di dunia dan akhirat. (Idris Zakaria, 1986)

Secara keseluruhannya, ciri-ciri kepimpinan yang telah diutarakan oleh Orientalis Barat adalah di ambil dari konsep kepimpinan menurut ajaran Islam. Ini menunjukkan tiadanya perbezaan yang ketara antara dua konsep kepimpinan yang telah disebutkan. Wallahua’lam.

Ibnu Zain ialah seorang pendakwah bebas dan juga AJK Pemuda PAS Negeri Perlis.

Thursday, December 29, 2005

Shahidan Mungkin Undur Diri Terajui GPMS Perlis
Petikan BERNAMA

KANGAR, 29 Dis (Bernama) -- Menteri Besar Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim mungkin mengundur diri daripada terus menerajui Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Perlis sekiranya kemelut dalam badan itu tidak diselesaikan.

Shahidan berkata beliau telah meminta Penasihat Undang-undang Negeri meneliti sama ada beliau wajar melepaskan jawatan yang disandangnya sejak empat tahun lepas.

Bercakap kepada para pemberita selepas merasmikan program "Kembali ke Sekolah" anjuran kerajaan negeri di sini, Shahidan yang ditanya sama ada langkah mengundur diri daripada menerajui GPMS Perlis sebagai langkah terbaik, berkata "saya tak mahu kena naya (aniaya)".

Hari ini media massa melaporkan bahawa Shahidan adalah antara pemimpin yang menghadapi risiko terpaksa melepaskan jawatan dalam parti jika GPMS dibubarkan.Shahidan ialah Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perlis dan Ketua Umno bahagian Arau.

Menurutnya beliau menyertai GPMS setelah diminta berbuat demikian bagi menyelesaikan masalah tertentu dalam badan itu di peringkat negeri.

"Jika badan yang mengundang saya akan menyukarkan saya, sebaiknya saya mengundur diri lebih awal", katanya.Beliau juga menawarkan diri untuk menjadi orang tengah bagi menyelesaikan kemelut itu.

Katanya kedua-dua presiden GPMS iaitu Datuk Suhaimi Ibrahim dan Reezal Merican sepatutnya berbincang secara ikhlas mengenai masa depan badan itu.

"Saya sanggup menjadi pengantara perbincangan itu kerana saya mahu kebaikan", katanya.Ditanya mengenai kumpulan yang disokongnya, Shahidan berkata beliau bersikap terbuka tetapi menurutnya beberapa pemimpin GPMS di negeri ini menyatakan sokongan terhadap Reezal Merican.

"Itu hak mereka. Saya tak diajak ke mesyuarat. Mereka tak mahu saya hadir ketika kemelut itu", katanya.

Shahidan berkata orang yang sering hadir pada mesyuarat GPMS ialah Speaker Dewan Undangan negeri Che Sulaiman Shapie selaku Timbalan Pengerusi GPMS Perlis dan Senator Ismail Kassim yang juga anggota jawatankuasa gabungan itu.

Secara berseloroh Shahidan berkata masalah dalam badan itu mungkin selesai jika beliau menjadi presidennya kelak.
Pendaki Everest, Moorthy@Mohamad selamat dikebumikan
Oleh: SOPI SAMAILE dan RAHMAN DAUD
Petikan Utusan Malaysia

KUALA LUMPUR 28 Dis. - Jenazah pendaki Everest, M. Moorthy atau nama Islamnya, Mohamad Abdullah selamat dikebumikan mengikut hukum syarak di Tanah Perkuburan Taman Ibukota di Gombak dekat sini petang ini.

Ia sekali gus mengakhiri episod tuntutan mayatnya yang disimpan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) sejak 20 Disember lalu.

Pengebumian disempurnakan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) yang menuntut jenazah tersebut di bilik mayat HKL sebaik Mahkamah Tinggi di sini memutuskan bahawa ia tidak mempunyai bidang kuasa menentukan sama ada pendaki itu seorang Islam atau tidak sebelum kematiannya.

Abang kandung Moorthy, Mohd. Hussin, 46, yang memeluk Islam bersyukur isu tuntutan mayat adiknya selesai secara baik.

Beliau meminta keluarga isteri Moorthy supaya tidak membuat tuntutan lagi kerana jenazah adiknya telah selamat dikebumikan.

``Perkara ini sudah selesai. Tidak perlu buat tuntutan lagi kerana jenazah adik saya sudah selamat dikebumikan.

``Saya harap semua pihak akur kerana mahkamah sudah buat keputusan. Jika ada lagi tuntutan, ia sia-sia sahaja,'' kata Mohd. Hussin yang tinggal di Sabah, ketika ditemui selepas pengebumian adiknya di sini.

Mohd. Hussin yang nama sebelum Islam M. Sugumaran adalah satu-satunya keluarga terdekat Moorthy yang hadir dan sama-sama menyempurnakan jenazah berkenaan.

Sejurus perintah Mahkamah Tinggi hari ini, jenazah Moorthy dimandi dan disembahyangkan di HKL kira-kira pukul 2 petang.

Jenazah itu kemudian diiringi ke Taman Ibukota dengan kawalan polis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta selamat dikebumikan pada pukul 2.55 petang.

Urusan pengebumian dilakukan oleh JAWI dengan bantuan Kor Agama Angkatan Tentera (Kagat) manakala majlis talkin dan tahlil diketuai oleh Imam Surau Al-Muhajirin Taman Selasih II, Bakri Abdul Rahman.

Kira-kira 200 penduduk sekitar turut menghadiri pengkebumian itu.

Pada 22 Disember lalu, Mahkamah Tinggi Syariah di sini memerintahkan pihak yang menjaga jenazah Moorthy supaya menyerahkannya kepada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) untuk dikebumikan segera mengikut agama Islam dan hukum syarak.

Isteri Moorthy, Kaliammal pula memfailkan saman pemula yang dibuat secara sebelah pihak (ex-parte) di Mahkamah Tinggi pada 21 Disember lalu untuk mendapatkan deklarasi bahawa suaminya bukan beragama Islam dan perlu dikebumikan mengikut agama Hindu.
Risiko bubar GPMS - MB Perlis, dua Exco kerajaan negeri akan hilang jawatan parti
Oleh: NOR AZIAH JAAFAR dan RAJA ZUHA KAMAL
Petikan Utusan Malaysia


KUALA LUMPUR 28 Dis. - Sekurang-kurangnya seorang Menteri Besar dan dua Exco kerajaan negeri serta seorang setiausaha politik yang kini menerajui kepimpinan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) negeri terpaksa melepaskan jawatan dalam parti di peringkat bahagian dan cawangan jika pertubuhan itu dibubarkan.

Pendaftar Pertubuhan, Datuk Kaswuri Keman berkata, pembubaran GPMS akan menyebabkan pemimpin dari semua peringkat disenarai hitam daripada memegang sebarang jawatan dalam pertubuhan yang berdaftar dengan ROS termasuk parti politik, untuk tempoh lima tahun.
Mereka yang terlibat antaranya Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim yang juga Ketua UMNO Bahagian Arau. Beliau adalah Pengerusi GPMS Perlis.

Exco kerajaan negeri Melaka, Ab. Rahaman Ab. Karim; Exco kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Zakaria Nordin dan Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Reezal Merican Naina Merican yang juga Naib Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kepala Batas.

Beliau menjelaskan, menurut Seksyen 16 Akta Pendaftar Pertubuhan, jika terdapat dua jawatankuasa untuk satu pertubuhan, ROS atau Pendaftar Pertubuhan boleh mengemukakan surat tunjuk sebab mengapa ia tidak boleh dibubarkan.

``Sekiranya kami tidak berpuas hati dengan laporan yang dikemukakan oleh kedua-dua jawatankuasa itu dalam tempoh 30 hari yang diberikan, GPMS akan dibubar,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Kaswuri berkata demikian sebagai mengulas implikasi pembubaran GPMS kalau konflik kepimpinan yang melanda berusia 57 tahun itu gagal diselesaikan.

Krisis kepimpinan GPMS memuncak apabila dua kumpulan bertelagah masing-masing mengadakan Persidangan Agung Khas bagi melantik barisan pemimpin sesi 2005/2008 baru-baru ini.

Keputusan mesyuarat menyaksikan Datuk Suhaimi Ibrahim dan Reezal Merican dinobatkan sebagai presiden GPMS bagi setiap kumpulan.

Mengulas lanjut, Kaswuri berkata, ROS telah menemui kedua-dua kumpulan dan masih menunggu laporan terperinci termasuk minit mesyuarat agung tahunan.

Beliau berkata, pihaknya akan mula campur tangan selepas meneliti laporan tersebut dan jika kedua-dua belah pihak masih enggan mencapai kata sepakat mengenai kepimpinan pertubuhan itu.

Kaswuri berkata, ROS juga akan mengeluarkan notis bagi menentukan barisan kepimpinan yang sah dan berusaha mencari jalan penyelesaian terbaik supaya pertubuhan berusia 57 tahun itu tidak dibatalkan begitu sahaja.

Dalam pada itu, bekas Timbalan Presiden GPMS, Shahril Rejab, ketika ditemui berkata, kedua-dua jawatankuasa yang bertelagah sedar mengenai kemungkinan yang boleh berlaku ke atas mereka jika pertubuhan itu dibatalkan.

Menurutnya, kedua-dua pihak telah diberi penerangan mengenai perkara itu oleh ROS dalam pertemuan secara berasingan sebelum ini.

``Jika GPMS dibatalkan, maka kumpulan yang diterajui oleh Reezal Merican Naina Merican akan menerima kesan yang lebih besar berbanding kumpulan yang diterajui Suhaimi Ibrahim,'' katanya.

Sehubungan itu beliau mencadangkan satu Persidangan Agung Khas perlu diwujudkan dan dikendalikan oleh pihak ketiga iaitu Majlis Belia Malaysia (MBM) dan ROS sendiri.

``ROS dan MBM mesti terlibat kali ini supaya kejadian perwakilan dari negeri-negeri tertentu tidak dibenarkan masuk dalam persidangan tidak akan berlaku lagi,'' katanya.

Bagaimanapun, Kaswuri berkata, pihaknya tidak akan campur tangan dalam urusan MBM yang memantau aktiviti pertubuhan termasuk persidangan baru-baru ini.

``Kami juga tidak akan mengendalikan sebarang persidangan khas bersama MBM untuk membantu menyelesaikan kemelut kepimpinan GPMS kerana peranan ROS dan MBM adalah berbeza,'' katanya

Pendidikan seks mesti seiring dengan agama
Oleh : Mat Teropong
Kategori Berita

Kangar 28hb Dis : Pendidikan seksualiti di sekolah seperti yang telah dicanangkan oleh Menteri Pelajaran Malaysia baru-baru ini mestilah dibuat seiring dengan hukum yang telah dinyatakan oleh Islam.Demikian yang dijelaskan oleh Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Pusat, Ustaz Taib Azamuddin.

Beliau juga menyatakan bahawa memang Islam tidak melarang untuk kita mengajarkan perkara yang dianggap taboo oleh masyarakat melayu itu.Akan tetapi perlulah dipastikan juga hukuman yang telah dijelaskan dalam al-Quran berkenaan salah laku seks itu mestilah juga dijelaskan dengan sejelas-jelasnya.Jika ini tidak dilakukan dibimbangi matlamat untuk menjadikan pelajaran seksualiti satu mata pelajaran yang berguna, hanya tinggal sebutan sahaja.

Beliau yang juga AJK PAS Pusat turut melahirkan kebimbangan dengan umur pelajar yang ingin didedahkan dengan pelajaran tersebut.

“Ianya tidak sesuai pada peringkat sekolah rendah kerana mereka semua terlalu mentah,”jelas beliau.

Beliau kemudiannya mencadangkan agar kerajaan tidak terikut-ikut dengan sukatan yang telah diajar oleh barat.Ini kerana katanya lagi barat telah jelas gagal dalam mendidik rakyatnya yang terkenal dengan budaya seks bebasnya.

“Kalau sekadar nak ciplak yang barat sahaja, ianya tak memberi makna,”tegas beliau.

Bagi beliau, mata pelajaran ini perlulah digandingkan juga dengan perasaan malu dan akhlak yang tinggi kerana menurut Islam ia sebenarnya ialah permulaan kepada penentuan zuriat manusia dan bukannya sekadar untuk memuaskan nafsu semata-mata.

Dan apabila ditanya adakah PAS telah menghukum perkara itu sebelum ianya berjalan, beliau menjawab PAS bukan menghukum sesiapa tetapi menyatakan hukum (Islam) yang telah sedia ada dan untuk memastikan hukum (Islam) itu berjalan.

Wednesday, December 28, 2005

Kes Moorthy: Keputusan Mahkamah Syariah kekal
Kategori : Berita
Petikan Harakah

Oleh WAN NORDIN WAN YAACOBKUALA LUMPUR, 28 Dis (Hrkh)-Mahkamah Tinggi (Rayuan Khas) memutuskan keputusan Mahkamah Tinggi Syariah terhadap kes Mohamad Abdullah (M Moorthy) tidak boleh dipertikaikan dan hendaklah dipatuhi. Sehubungan itu, jenazah pendaki Everest itu akan dikebumikan segera sebagai orang Islam.

Hakim Mahkamah Tinggi, Dato' Mohd Raus Sharif yang membaca keputusan sebentar tadi menyatakan, Mahkamah Tinggi tidak boleh campur tangan dalam keputusan Mahkamah Tinggi Syariah berdasarkan kepada Perkara 121A (Perlembagaan Persekutuan).

"Hanya Mahkamah Tinggi Syariah yang ada kuasa untuk menentukan simati terkeluar dari Islam atau tidak," katanya ketika membuat hujah penghakiman.

Dalam keputusan itu Mohd Raus menyatakan pihak Mahkamah Tinggi hanya meluluskan satu permohonan iaitu dalam perkara pertama permohonan keluarga simati, balu (Kaliammal) adalah sah sebagai seorang isteri kepada simati.

Sementara tuntutan menghalang mana-mana pihak menuntut mayat simati untuk dikebumikan secara Islam ditolak.

Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (Maiwp) diwakil peguam persekutuan, Fakhroul Azman Abu Hassan dan Hassan Abdul Rahman, sementara balu Allahyarham Mohammad, Kaliammal Sinnasamy diwakili peguam, M.Manokaran dan S.Sivanesan.

Begitupun, peguam yang mewakili Kaliammal, M.Manokaran dan S.Sivanesan menyatakan akan membuat satu lagi rayuan kepada Mahkamah Rayuan bagi menyemak semula perintah Mahkamah Tinggi Syariah.

Rayuan itu akan difailkan di Mahkamah Rayuan Putrajaya petang ini, kata Manokaran.

Pengerusi Institut Pengembelengan dan Pembagunan Komuniti (Impak), Haji Mahfuz Omar yang hadir dalam perbicaraan itu berkata pihaknya bersyukur dengan keputusan Mahkamah Tinggi.

Bagaimanapun beliau mempertikaikan ruang yang diberi untuk pihak pemohon membuat rayuan di Mahkamah Rayuan yang akan menjejaskan kredibiliti Mahkamah Tinggi Syariah.

Seharusnya dalam kes ini semua pihak patuh kepada keputusan yang dibuat berdasarkan Poerkara 121A (Perlembagaan Persekutuan).

"Meskipun pihak Maiwp kini boleh mengkebumikan jenazah, tetapi jika rayuan pihak pemohon diterima Mahkamah Rayuan, maknanya kubur akan digali semula.Ini merumitkan keadaan," katanya.

Suasana tegang ketika mahkamah mengumumkan keputusan tersebut.Malah ketika Kaliammal dibawa keluar dari mahkamah, wartawan tidak dibenarkan untuk mendekati beliau.

Bagaimanapun suara berbentuk provokasi atau perkauman sedikitpun tidak kedengaran.

Tuesday, December 27, 2005

Ambil kesempatan ketika banjir
Oleh : Nikon
Kategori : Berita

Kangar 26hb Dis : Ketika orang ramai sibuk dengan banjir baru-baru ini, sebuah bilik operasi buku teks di sebuah sekolah yang dijadikan pusat pemindahan banjir telah diceroboh masuk oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

Dari pencerobohan itu pihak sekolah kehilangan wang tunai sebanyak lebih RM 100. Menurut sumber lagi, bilik itu yang dinamakan BOSS iaitu ringkasan kepada Bilik Operasi Skim Pinjaman Buku Teks telah disalah anggap oleh penceroboh yang mana mungkin mereka menyangka ianya ialah bilik kepada boss.

Apa yang dikesalkan disini ialah ketika mana semua orang sepatutnya bermuhasabah keatas diri masing-masing diatas peristiwa banjir yang berlaku, ada pihak yang mengambil kesempatan untuk melakukan kerja yang dimurkai Allah.Mungkin tidak cukup lagi peringatan yang Allah berikan sehingga ada orang yang bagaikan mencabar kuasa Allah.

Tiadakah secebis keinsafan di dalam hati sehingga lupa dengan amaran Allah yang telah diberikan dihadapan mata masing-masing? Jangan kita menjadi orang yang tidak bersyukur kepada Allah kerana apabila kita bersyukur ianya adalah untuk kita tetapi apabila kufur, ingatlah azab Allah itu amat pedih.

Kisah disebalik penderaan Adik Nor Adilla Syikin
Kategori : Surat Pembaca


Assalamualaikum saudara pengarang.Saya mengharapkan agar saudara dapat menyiarkan cerita ini dalam laman web saudara kerana ianya melibatkan kepentingan agama Islam kita.Saya agak kurang yakin sekiranya saya menghantarkan surat ini kepada akhbar-akhbar perdana, mereka akan menyiarkannya.

Banjir di Perlis baru-baru ini bukan sahaja telah menenggelamkan harta benda dan tanaman tetapi juga cerita tentang penderaan keatas Adik Nor Adilla Syikin Abdul Hamid.Semasa ianya hangat diperkatakan orang, adakah semua sedar kenapa ia berlaku? Benarkah dia didera semata-mata kerana dia gagal menjawab soalan tuisyen yang diberikan oleh “guru”nya? Atau adakah sesuatu yang lebih dahsyat yang tidak terfikir oleh anda semua?

Cerita sebenar ini telah saya ambil daripada ahli keluarga saudara Abdul Hamid sendiri yang menyatakan bahawa terdapat tanda-tanda “guru” itu sebenarnya ingin meng”kristian”kan anaknya.Dengan lakonan wajah yang manis “guru” itu, dia selalu akan membuat tempahan makanan daripada kedai Islam untuk memastikan kononnya dia mengambil berat dengan pemakanan Adik Nor Adilla.

Kadang kala menurut sumber itu lagi, “guru” itu akan membeli bahan mentah dan meminta agar ibu Nor Adilla untuk memasak.Jadi apa perasaan anda jika seseorang menunjukkan keperihatinan yang sebegitu kepada anak anda? Sudahlah dia membantu dalam pelajaran, dijaga pula makan dan minum anak itu supaya tidak termakan makanan yang tidak halal.Pastinya kita semua akan menaruh kepercayaan kepada dia.

Sebenarnya menurut sumber itu lagi “guru” tersebut telah lama mencuba untuk memasukkan jarum kristianisasinya kepada Adik Nor Adilla.Alhamdulillah ianya gagal sehinggalah kepada hari kejadian.Barangkali dia sudah tidak tahan kerana kegagalannya untuk menghasut Adik Nor Adilla maka diapun mengambil tindakan “gila” itu.

Manakala Adik Nor Adilla pula tidak sedar akan perkara itu kerana dia memang tidak mengerti apa-apa.Kalau dia dimarahpun sebelum itu ialah kerana dia menganggap itu adalah kerana kesalahan yang dia lakukan.

Menurut sumber itu lagi “guru” itu telah mengajar dia bahawa tuhan Islam dengan tuhan kristian itu sama sahaja.”Guru” itu juga cuba menyembunyikan kecederaan yang dialami oleh Nor Adilla selepas dia menderanya dengan memberitahu ayahnya bahawa Nor Adilla ingin menumpang tidur di rumahnya buat beberapa hari lagi.

Syukur sekali lagi kepada Allah yang telah membongkarkan kejadian ini dengan memberikan akal kepada Adik Nor Adilla untuk lari menyelamatkan dirinya.

Saudara pengarang, saya tidak mereka mahupun memperbesar-besarkan secara semberono cerita ini kerana menurut sumber itu lagi perkara di atas itu semuanya telah dikhabarkan kepada Menteri Besar Datuk Seri Shahidan Kassim oleh Adik Nor Adilla sendiri secara berhadapan di wad kanak-kanak itu ketika lawatan beliau pada sehari selepas kejadian.Disaksikan oleh ayah dan ibunya.

Saya tidak pandai dengan psikologi kanak-kanak tetapi yang saya tahu kanak-kanak yang berusia sembilan tahun biasanya tidak pandai lagi hendak menipu.Apatah lagi berkenaan perkara agama.Wallahua’lam perbetulkan saya sekiranya silap.

Saya memang sudah menjangkakan yang Shahidan tidak akan mengeluarkan kenyataan tentang konflik agama itu sebaliknya yang hanya disentuhnya ialah berkenaan pusat tuisyen yang sepatutnya berdaftar dengan kementerian pelajaran kerana menurut sumber itu, Shahidan telah berpesan kepada saudara Abdul Halim supaya merahsiakan perkara tersebut.

Tetapi saya sangat berharap agar Datuk Seri Shahidan Kassim akan mengusahakan sesuatu supaya ianya tidak berulang lagi dimasa hadapan apatah lagi Perlis ini terkenal dengan ajaran Sunnahnya yang menjadikan amalan rasulullah sebagai amalan utama tanpa adanya unsur-unsur bidaah.Dan saya sangat yakin bahawa adalah menjadi bidaah yang amat besar sekiranya membiarkan sahaja usaha-usaha untuk memurtadkan ummat Islam tanpa tentangan apatah lagi kita mempunyai kuasa sebagai pemerintah.

Saya tidak rela keturunan saya dimurtadkan begitu sahaja.Relakah anda semua?


Kiriman :
Penduduk Taman Kemajuan

Terima kasih kepada pengirim

Monday, December 26, 2005



Tuan Guru Presiden sampaikan bantuan
Oleh : Mat Teropong
Kategori : Berita

Kangar 25hb Dis : Presiden PAS, Tuan Guru Dato’ Seri Abdul Hadi Awang sanggup datang dari Kuala Lumpur dengan menaiki kenderaan pelbagai gunanya semata-mata untuk menyampaikan bantuan makanan sumbangan PAS Pusat kepada mangsa-mangsa banjir di Kedah dan Perlis semalam.
Beliau yang diiringi oleh AJK PAS Pusat, Haji Mahfuz Omar, pada sebelah siangnya telah menyampaikan bantuan dari PAS Pusat kepada mangsa-mangsa banjir di Kedah dan bergegas pula ke Perlis pada petang itu untuk majlis penyampaian sumbangan kepada mangsa-mangsa banjir di Perlis yang dibuat pada sebelah malamnya.

Pada majlis itu beliau telah menyampaikan tazkirah kepada hadirin supaya melihat bencana banjir ini sebagai betapa kerdilnya manusia jika dibandingkan dengan kekuasaan Allah.Beliau juga mengingatkan hadirin agar sentiasa kembali kepada Allah diatas setiap malapetaka yang menimpa.Beliau kemudiannya menyatakan bahawa sumbangan yang dihulurkan itu adalah hasil dari sumbangan orang ramai yang mempercayai PAS akan menyampaikannya kepada mangsa tanpa rasa ragu-ragu.

“Parti PAS dipercayai untuk menyampaikan bantuan ini kepada mangsa.Kalau orang lain mungkin bantuan tak sampai sepenuhnya.Ada juga kes yang bantuan itu akhirnya dijual oleh pihak yang tidak bertanggungjawab,” jelas beliau secara berseloroh.

Jadual yang ketat memaksa Tuan Guru Dato’ Seri Abdul Hadi Awang selepas majlis penyampaian itu bergegas ke Kuala Lumpur pula untuk menghadiri mesyuarat pada keesokan harinya.

Majlis yang diadakan di Markas DUN Kayang itu dihadiri oleh kira-kira 100 orang mangsa yang disenaraikan oleh PAS di DUN Kayang.Pihak penganjur juga akhirnya terpaksa mengumumkan untuk mengadakan majlis penyampaian kedua kerana masih terdapat mangsa yang tidak tersenarai.




Kisah-kisah menarik ketika banjir di Perlis
Oleh : Mat Teropong
Kategori : Berita
Ini adalah kisah-kisah menarik yang berlaku ketika Perlis dilanda banjir baru-baru ini.Ianya tidak disiarkan oleh mana-mana akhbar di Malaysia.Cerita-cerita pendek ini telah dikumpul oleh penulis dari pelbagai sumber untuk bacaan anda semua.

Kisah 1 :
Datuk Seri Shahidan Kassim ketika pilihanraya kecil Pengkalan Pasir di Kelantan baru-baru ini pernah mengeluarkan kenyataan bahawa Kelantan dilanda banjir kerana tidak mempunyai infrastruktur yang baik disamping kerajaan PAS Kelantan yang tidak pandai memerintah.Beliau kemudiannya membandingkan Kelantan dengan Perlis yang didakwanya mempunyai infrastruktur yang lengkap bagi menghalang banjir.

Dan hasilnya ialah Perlis dilanda banjir kilat yang terhebat sejak 20 tahun yang lalu dan kenyataan yang dikeluarkan oleh Shahidan apabila ditanya tentang kekalutan yang berlaku ketika banjir di Perlis baru-baru ini beliau hanya menjawab kerajaan negeri tidak bersedia kerana tidak pernah terfikir yang banjir akan melanda Perlis.


Kisah 2 :
ADUN Indera Kayangan Ooi Ah Lan tidak kelihatan dikawasannya semenjak hari pertama banjir hingga ke hari keempat.Pada hari keempat dia turun untuk melawat mangsa banjir di kawasannya.

Dia telah berjumpa dengan seorang wanita di kawasan Perumahan Taman Kemajuan dan bertanya khabar.Antara dailog yang sempat dirakam berbunyi lebih kurang begini:

Ooi : Alo apa macam lu punya rumah?
Wanita : Woi ! Lu apa punya wakil rakyat? Empat hari banjir ini hari baru nampak
Lu punya muka ka? Ini air takdak semua orang susah tau?!!
Ooi : Tak pa-tak pa nanti saya panggil itu orang angkat air satu tong.

Begitulah keprihatinan wakil rakyat Indera Kayangan.Orang marah pasal tidak melawat kawasan dia Cuma nak bagi air satu tong sahaja.Dan pastinya begitu jugalah melayu akan layu dengan “bantuan” dan “subsidi”.


Kisah 3 :
Taman Kemajuan adalah antara taman perumahan di sekitar Kangar yang terjejas teruk ketika banjir baru-baru ini.Ketika masa yang kritikal seperti inlah orang akan mencari bantuan segera dari pihak mempunyai kuasa.

JKKK adalah satu badan yang mewakili kerajaan negeri Perlis yang mempunyai kuasa untuk menyampaikan atau mencari bantuan kepada penduduk yang memerlukan. Akan tetapi malang bagi penduduk Taman Kemajuan kerana Pengerusi JKKK di kawasan mereka tidak ada di rumah dan tidak dapat dihubungi ketika banjir baru-baru ini.Tolong orang tolong jugak tapi kalau susah maaflah kena cabut dulu.Satu contoh yang “baik” untuk diteladani.


Kisah 4 :
Ketika orang ramai sibuk mencari tempat perlindungan kerana dilanda banjir dan ada yang kehilangan barang-barang yang berharga,Menteri Besar Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim masih sempat untuk bersuka ria.

Beliau telah dilihat bersama beberapa orang kuatnya sedang menjala ikan di bawah jejantas lebuhraya di Kampung Long Boh Utan Aji.Ketika itu juga beliau mengarahkan supaya diambil gambar beliau ketika sedang menjala.Difahamkan jala tersebut dipinjamnya dari seorang yang sedang menjala di situ.

Gambar itu mungkin untuk kegunaan pilihanraya nanti sebagai simbol “Pemimpin Berjiwa Rakyat”.Atau sebagai kenang-kenangan ketika banjir.Maklumlah banjir 20 tahun sekali.


Kisah 5 :
Satu kejadian yang dilaporkan oleh mangsa banjir berlaku di penempatan banjir Sekolah Rendah Kebangsaan Sena.Ianya terjadi diantara mangsa banjir dan pegawai yang bertugas.Ceritanya bermula apabila kumpulan mangsa yang terawal dari taman perumahan berhampiran sampai ke sekolah tersebut.

Mereka mendapati tiada bekalan letrik,air bersih dan makanan yang disediakan oleh pihak berwajib.Maka mereka semua bertanya bagaimana keadaaan itu semua boleh terjadi.Akan tetapi malang bagi mereka kerana tiada orang yang dapat memberikan jawapan kepada mereka.Mereka dengan inisiatif sendiri telah melakukan kerja-kerja merawat air secara manual.

Apabila pegawai bertugas datang ke pusat penempatan itu maka ramailah mangsa yang mengerumuni pegawai itu bagi mendapatkan penjelasan mengenai masalah yang mereka hadapi itu.

Apabila disoal kenapa tiada bekalan letrik, pegawai itu menjawab ianya kerana keselamatan takut kalau akan ada litar pintas yang mungkin akan membawa kepada keadaan yang lebih buruk lagi.Alasan pertama untuk soalan pertama diterima.

“Mengapa bekalan air juga tiada?,”soal salah seorang mangsa.

“Kita menghadapi masalah dengan pam untuk menyalurkan air bersih,”jawapan kedua juga memuaskan hati semua mangsa.

“Habis tu mana JKR? Takkan tak ada bekalan air bersih guna lori JKR?,” pertanyaan susulan dari mangsa.

“Oh,kami menghadapi masalah dengan bekalan air dari JKR kerana drebar lori JKR bercuti,” jawapan permulaan kepada rasa tidak puas hati mangsa.

“Habis tu, air mineral takkan tak ada?,”soal mangsa yang sudah menjadi agak baran.

“Sabar, kami sedang menunggu bekalan air mineral sampai.Kami order dari Butterworth,” jawab pegawai itu dengan yakin.

“Butterworth? Eh, apasal tak order dari K.L? kan lagi dekat?,” sindir seorang pensyarah yang juga menjadi mangsa banjir.

“Habis tu makanan pun tak ada ke? Roti ke apa ke?,” Tanya mangsa lagi.

“Kita biasanya order bekalan makanan kat Hafifah tapi dah Hafifahpun tenggelam kena banjir, apa nak buat,” jawapan yang paling selamba diantara semua jawapan itu.Macamlah Hafifah itu sebuah sahaja yang menjual makanan di Perlis. (Hafifah Frozen ialah sebuah pasaraya borong dan runcit di Kangar).

Dan apabila ditanya lagi dengan pelbagai soalan pegawai itu akhirnya mengaku yang dia baru sahaja ditukarkan kejawatan itu dan dia meminta maaf dengan kelemahan yang ada.

Mereka akhirnya telah menapis air dari parit dan sungai berdekatan untuk minuman terutamanya kanak-kanak kecil yang kelaparan.Alhamdulillah tuan punya kantin sekolah berkenaan memberikan keizinan untuk para mangsa menggunakan peralatan dapurnya.Sekalung tahniah kepada tuan kantin yang prihatin.Air tersebut dimasak beberapa kali untuk memastikan tiada kuman dan selamat untuk diminum.


Kisah 6 :
Apabila Pak Lah datang melawat Perlis untuk melihat sendiri keadaan banjir, ramailah mangsa yang berharap dapat bertemu dan beramah mesra dengan Perdana Menteri Malaysia itu.

Pak Lah sempat melawat beberapa tempat penempatan sementara mangsa banjir.Apabila beliau turun dari helikopternya beliau terus bersalaman dengan mangsa-mangsa banjir yang sedang menunggu beliau.Selepas bersalaman dia terus naik semula helikopternya untuk melawat kawasan lain tanpa sempat bersembang dengan mangsa.

Maka tertanya-tanyalah mangsa akan apakah tujuan Pak Lah datang melawat kalau hanya turun helikopter dan kemudian naik semula tanpa ada ramah mesra dengan mangsa.Begitulah kekecewaan mangsa terutama penyokong BN.


Kisah 7 :
Mangsa banjir di Kampung Ujung Batu, Kampung Surau dan Mengkuang Layar juga mengalami nasib yang kurang baik iaitu diskriminasi bantuan oleh JKKK di kawasan mereka.Ini jelas dari kenyataan JKKK kawasan itu yang dengan sendiri telah mereka-reka peraturan dengan sesuka hati mereka.

Ada JKKK kawsan mereka berkata bahawa tidak perlu diadakan bancian di kawasan tersebut kerana kebanyakkan penduduk di situ ahli PAS.Mereka juga dengan bangganya menaiki kenderaan yang menghantar bantuan kepada mangsa-mangsa banjir sambil mengibarkan bendera Umno dan BN.

Bukan itu sahaja ada diantara pondok bantuan sementara untuk mangsa banjir juga diletakkan bendera Umno dan BN dan lebih menyedihkan lagi beras yang diberikan kepada mangsa juga ada lambing dacing.Sama macam baja subsidi.Begitulah kehebatan Umno dan BN.

Saturday, December 24, 2005

Pengebumian Moorthy ditangguh
OPAT RATTANACHOT
Petikan Utusn Malaysia

KUALA LUMPUR 23 Dis. - Pengebumian secara Islam jenazah pendaki Gunung Everest, M. Moorthy @ Mohamad bin Abdullah, 36, yang dijadualkan hari ini ditangguhkan ke satu tarikh yang akan ditetapkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Hakim Mahkamah Tinggi Sivil, Datuk Abdul Malik Ishak semalam menetapkan saman pemula balu Moorthy, S. Kaliammal disebut di Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) pada 29 Disember ini.

Berikutan keputusan terbaru itu, persiapan untuk membawa keluar jenazah Moorthy menuju ke Masjid Khalid Al-Walid, Jalan Semarak bagi disolat sebelum disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Danau Kota, di sini terpaksa dibatalkan.

Sebelum keputusan itu diumumkan, ahli keluarga Moorthy yang berada di bilik mayat Hospital Kuala Lumpur (HKL) sejak pukul 7 pagi untuk menuntut jenazah dilihat kecewa dan terus keluar apabila mengetahui Moorthy akan dikebumikan secara Islam.

Semasa berjalan keluar bersama peguam, A. Sivanesan kira-kira pukul 11.30 pagi, seorang lelaki dipercayai ahli keluarga menjerit meminta jurugambar berhenti merakam wajah isteri Moorthy, S. Kaliammal.

Reaksi lelaki itu menyebabkan kira-kira 500 orang awam yang berkumpul di luar bilik mayat salah faham sehingga menimbulkan sedikit kekecohan yang mengundang campur tangan polis.
Pada masa yang sama, beberapa pegawai termasuk Pengarah HKL, Dr. Azmi Sharif; Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Muhammad Ismail Jamaludin; Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Che Mat Che Ali dan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Kamal Pasha Jamal dilihat masuk ke bilik mesyuarat Jabatan Forensik HKL.

Setengah jam kemudian, seorang pegawai polis memanggil pemberita serta wakil ahli keluarga Moorthy masuk ke bilik mesyuarat berkenaan untuk mengumumkan yang upacara pengebumian terpaksa ditangguhkan.

Menurut Dr. Azmi yang mewakili sidang mesyuarat, setelah mengadakan perbincangan dan memikirkan kepentingan bersama, semua pihak bersetuju untuk menangguhkan urusan pengebumian Moorthy mengikut Islam ke satu tarikh baru.

``Sebagai pegawai penjaga HKL, saya dinasihatkan supaya menunggu keputusan muktamad daripada pihak berkuasa sehingga satu tarikh yang belum ditetapkan.

``Ini bermakna jenazah Moorthy kini masih disimpan di bilik mayat HKL,'' katanya.
Sementara itu, Muhammad Ismail berkata, selaku wakil Angkatan Tentera Malaysia (ATM), beliau memberi jaminan kepada semua pihak bahawa jenazah Moorthy tidak akan diusik sehingga keputusan dibuat oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

``Dengan keputusan awal ini, saya berharap semua pihak dapat bersabar dan menyelesaikan perkara ini secara baik.

``Saya juga meminta kerjasama semua pihak supaya tidak menimbulkan sebarang spekulasi sehinggalah perkara ini diputuskan oleh mahkamah,'' katanya.

Dalam pada itu, Che Ahmad berkata, pihaknya akur dengan arahan terbaru pihak berkuasa dan meminta semua pihak menunggu keputusan yang diumum kelak.

Moorthy meninggal dunia akibat penyakit cervical sick selepas terjatuh ketika latihan somersault di Kem Sungai Udang, Melaka pada 14 Ogos 1998.

Ekoran itu, dia lumpuh dan terpaksa menggunakan kerusi roda dan sebulan lalu, beliau dikhabarkan koma setelah terjatuh dari kerusi rodanya dan meninggal dunia di HKL Selasa lalu.
Bagaimanapun, berita kematian pendaki Gunung Everest itu telah menimbulkan kekecohan apabila mayatnya menjadi rebutan antara keluarga dan pihak Jawi.

Semalam, Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur memerintah pihak yang menjaga jenazah Moorthy supaya menyerahkannya kepada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) untuk dikebumikan segera mengikut Islam dan hukum syarak.

Sama-samalah kita berdoa agar Mohammad dapat dikebumikan dengan cara Islam.

Thursday, December 22, 2005



Jenazah M.Moorthy diserah kepada Jawi
Petikan Berita TV

Kuala Lumpur 22hb Dis : Jenazah pendaki Gunung Everest, Koperal M. Moorthy, atau nama Islam beliau Mohammad bin Abdullah,36, akan dikebumikan mengikut hukum Islam selepas Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur membuat keputusan itu petang tadi.

Berita gembira itu sekaligus telah menyelamatkan jenazah seorang muslim dari menerima nasib malang.Jenazah akan dikebumikan secepat mungkin setelah dua hari ditempatkan di bilik mayat Hospital Kuala Lumpur.

Pertikaian mengenai status agama Allahyarham tercetus apabila Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) menuntut jenazah Mohammad dan mendakwa bahawa Allahyarham telah memeluk Islam semenjak 8 Mac lalu.

Dakwaan JAWI itu disangkal oleh keluarga Allahyarham dengan mengatakan bahawa Mohammad tidak pernah memeluk Islam.

Kemelut itu akhirnya diserahkan kepada Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur untuk diselesaikan yang mana kemudiannya membuat keputusan bahawa Mohammad adalah seorang muslim.

Sehubungan dengan itu Dewan Pemuda PAS Kangar menganjurkan kepada semua ummat Islam agar dapat diadakan sembahyang ghaib untuk Allahyarham Mohammad.





GAMBAR-GAMBAR KETIKA BANJIR SEKITAR KANGAR
Oleh : Nikon
1.Putra Palace.
2.Masjid Behor Pulai.
3.RHB Bank hadapan Taman Sena.
4.Masjid Alwi Kangar.
5.Sungai Repoh





GAMBAR-GAMBAR KETIKA BANJIR SEKITAR KANGAR
Oleh : Nikon
1.Sawah padi bertukar menjadi tasik
2.Kuasa Allah menghilangkan padi yang sedang masak.
3.Jalan Kampung Bakau yang paling terjejas di kawasan Kangar.
4.Tak sempat diselamatkan.Parking di hadapan Stesen Bas Ekspres Kangar.
5.Kompleks Mahkamah Kangar.





GAMBAR-GAMBAR KETIKA BANJIR SEKITAR KANGAR
Oleh : Nikon
1.Perumahan bersebelahan ILP Kangar.
2.Stesen minyak ESSO di Taman Sena.
3.Jalan Bukit Lagi hadapan Bank Muamalat
4.Berek Polis Kangar.
5.Jalan hadapan Sek.Men.Teknik Kangar

Wednesday, December 21, 2005






GAMBAR-GAMBAR KETIKA BANJIR SEKITAR KANGAR
Oleh : Nikon
1.Padang MPK
2.Beberapa penduduk di Taman Kemajuan sedang berpindah.
3.Bulatan Bukit Lagi.
4.Tabung Haji Kangar.
5.Pesta air di Kampung Guar Syed Alwi.
Banjir semakin pulih
Oleh : Nikon
Kategori : Berita

Kangar 20hb Dis : Keadaan banjir di sekitar Kangar semakin surut hari ini.Beberapa jalan yang semalam ditutup kepada kenderaan ringan telah dibuka semula.

Jalan-jalan seperti Jalan Raja Syed Alwi,Jalan Kampung Panggau dan Jalan Kaki Bukit telah boleh dilalui kenderaan ringan.Akan tetapi Jalan Kampung Bakau,Jalan Behor Pulai dan Jalan Arau -Changlun masih ditutup kepada semua kenderaan.

Paras air di kebanyakkan tempat surut dengan agak perlahan tetapi ianya membantu menurunkan paras air yang sedia ada.Berbanding semalam,longkang besar di sekitar Kangar tidak kelihatan,tetapi hari ini ianya sudah kelihatan menandakan paras air sudah menurun.

Cuaca yang baik hari ini juga membantu menyelamatkan keadaan.Syukur kepada Allah kerana keadaan yang bertambah baik hari ini.

Akan tetapi penghuni rumah kebanyakkannya masih tidak boleh pulang ke rumah masing-masing kerana paras air di dalam rumah masih lagi tinggi.Kawasan yang paling merasai kesan itu ialah di Kampung Bakau,Taman Kemajuan,Taman Hijrah dan di sekitar kawasan Taman Sri Embun hingga ke Behor Pulai untuk kawasan Kangar.

Kami difahamkan juga beberapa tempat di Arau juga telah pun mengalami sedikit penurunan paras air.Beberapa jalan di sekitar Arau juga telah dibuka kepada orang ramai.

Masalah sekarang yang timbul ialah bekalan air bersih yang sukar didapati.Kawasan yang mengalami kekurangan bekalan air bersih ialah seperti hampir di kawasan Arau dan Kangar.Kelihatan penduduk mengambil air banjir sebagai air untuk membasuh pakaian dan pinggan mangkuk kerana kekurangan air.

Pagi tadi bekalan eletrik telah pulih hampir di semua kawasan.Walau bagaimanapun premis perniagaan di sekitar Kangar kebanyakkannya masih lagi ditutup kerana air memenuhi ruang kedai mereka.

Insya Allah kami akan menyiarkan gambar-gambar keadaan banjir di Perlis sedikit masa lagi.

Monday, December 19, 2005

Banjir di Perlis semakin buruk
Oleh : Nikon
Kategori : Berita

Kangar : 18hb Dis : Keadaan banjir di negeri Perlis terutamanya di Kangar menjadi semakin buruk hari ini.Lebih memburukkan lagi keadaan ialah Empangan Timah Tasoh dikatakan terpaksa melepaskan airnya kerana paras empangan semakin meningkat.

Tinjauan kami mendapati hampir semua premis perniagaan di sekitar Kangar bermula dari Taman Kemajuan hingga ke hospital,dinaiki air sedalam antara 0.5 meter hingga mencecah 1 meter.Kawasan yang paling teruk dilanda bencana ialah Kampung Bakau yang ditenggelami air sedalam kira-kira 1 meter.

Hujan yang tidak berhenti selama lebih kurang tiga hari juga membantu kepada kenaikan paras air di beberapa tempat.Longkang yang tersumbat juga adalah diantara faktor penyumbang kepada banjir ini.

Beberapa batang jalan telah ditutup kepada kenderaan ringan seperti Jalan Kampung Bakau,Jalan Behor Pulai,Lebuhraya Kuala Perlis – Changlung dan Jalan Arau ke Jelempok.

Pasukan JPA 3 kelihatan bertungkus lumus untuk memastikan agar semua mangsa yang terperangkap dapat dikeluarkan sebelum keadaan menjadi bertambah buruk.

Setakat ini tiada kejadian buruk yang meragut nyawa dilaporkan. Walaubagaimanapun semua penduduk dinasihatkan agar jangan terlalu ghairah untuk bermain air kerana dikhuatiri berlaku sesuatu yang buruk.
Banjir besar ini dikatakan yang terburuk sejak awal 1985.Menurut beberapa orang penduduk,seingat mereka semenjak 1985 itu tidak pernah Kangar dilanda banjir sebegini. Sawah padi di beberapa tempat kelihatan seperti tasik yang luas.

Saturday, December 17, 2005

Menjamin kelangsungan dakwah
Oleh : Ibnu Zain
Kategori : Fikrah Pimpinan
Bahagian : 2

Kaedah pemilihan pasangan dalam Islam

i. Memilih pasangan atas asas-asas keagamaan dan mempunyai akhlak yang terpuji. Pemilihan atas dasar kecantikan ( rupa paras ), kekayaan dan lain-lain tidak memberikan jaminan yang sempurna dalam menjaga kerukunan rumahtangga.

ii. Sunat memilih perawan, berdasarkan hadis riwayat Ibnu Majah, sabda Nabi s.a.w :

عليكم بالأبكار فإنهن أعذب أفواها وأنتق أرحاما وأرضى با ليسير.

iii. Sunat memilih wanita yang boleh melahirkan zuriat. Sabda Nabi s.a.w :

تزوج الودود الودود فإني مكاثر بكم يوم القيامة.

iv. Sunat berkahwin dengan wanita yang tidak mempunyai pertalian kerabat yang dekat. Sabda Nabi s.a.w :

لا تنكحوا القرابة القريبة, فإن الولد يخلق ضاويا.

iv. Disunatkan memilih wanita yang baik dari asalnya seperti cerdik, rendah mahar, beradab sopan dan lain-lain.

v. Kafaah , disunatkan sekufu diantara suami dengan isteri.

vi. Sempurna tubuh badan dan sihat.

Terdapat beberapa kriteria-kriteria pemilihan yang tidak disebutkan di sini yang boleh dilihat di dalam kitab-kitab yang membicarakan perkara yang berkaitan dengan pembinaan usrah dan kaedah pemilihannya.


Hak-hak suami kepada isteri dalam rumah tangga Islam

1. Ketaatan isteri kepada suami kecuali dalam perkara ma’siat.

2. Isteri tidak keluar dari rumah tanpa kebenaran suami kecuali dalam kes-kes yang dibenarkan oleh syariat Islam.

3. Islah dan taujih terhadap isteri yang tidak menunaikan hak suami dan yang bersikap nushuz dan derhaka.

4. Tidak melakukan puasa sunat kecuali dengan mendapat keizinan suami.

5. Tidak membenarkan orang asing masuk ke dalam rumah tanpa pengetahuan dan izin suami.


Hak-hak Suami kepada Isteri dalam rumah tangga

1. Mahar, suami wajib membayar mahar kepada Isteri.

2. Nafkah dan pakaian.

3. Bersikap adil dalam perkahwinan sekiranya suami mengamalkan poligami.


Hak-hak anak dalam institusi kekeluargaan Islam

1. Hak untuk mendapatkan ibu yang baik. Ini kerana ibu adalah insan yang paling rapat dengan ank-anak dan menjadi individu yang bertanggung jawab dalam mencorak diri anak-anak.

2. Penjagaan ketika hamil. Ibu bapa bertanggungjawab menjaga kandungan daripada sebarang kecacatan dan risiko. Begitu juga kewajipan menjaga kandungan daripada keguguran yang disengajakan.

3. Hak-hak pewarisan, sekalipun bayi masih berada dalam kandungan kerana ia dihukumkan sebagai anak yang akan dilahirkan pada masa akan datang.

4. Hak-hak penyusuan dan hadhanah.

5. Hak-hak untuk dinamakan dengan nama-nama yang indah, kerana nama yang buruk akan memberikan kesan kepada anak-anak.

6. Hak dalam masalah nasab (keturunan) serta hak untuk mendapat keadilan daripada ibu bapa.

7. Mengkhitan anak lelaki manakala khitan bagi wanita berlaku perselisihan pandangan di kalangan ulama, ada yang menghukumkannya sebagi wajib, ada yang berpendapat ianya sunat dan ada pula yang menganggap ianya sebagai kemuliaan sahaja.

8. Penjagaan dan pendidikan yang sempurna dari segi akhlaq dan adab-adab Islami.

9. Memisahkan tempat tidur anak-anak di atara lelaki dan perempuan.

Wallah Hu A’lam Bi Haqiqatil Hal.


(Ibnu Zain ialah seorang pendakwah bebas dan juga AJK DPP Perlis)

Umno semakin hilang pedoman
Oleh : Mat Teropong
Kategori : Berita


Kangar 17hb Dis : Dewan Pemuda PAS Perlis, melalui ketuanya,Ustaz Adnan Fadhil hari ini mengutuk dan menyatakan rasa kekesalan yang teramat sangat terhadap kebiadapan Umno yang telah mengibarkan bendera negara haram Israel di bangunan PWTC yang juga bangunan milik Umno Malaysia.

Beliau menyifatkan Umno sebagai sebuah pergerakan yang tidak sensitive dengan kemusnahan,kekejaman dan penganiayaan yang diterima oleh Palestin hasil dari kerakusan dan kezaliman negara haram Israel itu.

Palestin yang sudah puluhan tahun dihina,diseksa dan diperlakukan seperti binatang oleh Israel dan Israel pula dikutuk oleh seluruh negara Islam, tiba-tiba baru-baru ini Umno yang mempelopori Islam Hadhari di negara ini dengan rasa megahnya telah mengibarkan bendera Israel itu di atas bangunannya.

“Polisi kerajaan terhadap Israel tidak jelas dan bercelaru.Kita ambil contoh ketika mana saudara Mahfuz Omar dan Salehuddin Ayub yang dipenjarakan kerana membantah kehadiran pasukan kriket dari Israel beberapa tahun dulu.Sangat jelas pada ketika itu mereka sebenarnya meraikan Israel.,”kata beliau.

Ustaz Adnan yang ditemui selepas mesyuarat AJK PAS negeri di Pejabat Perhubungan di Jalan Sekolah Derma petang tadi juga hairan bagaimana sebuah negara yang dikatakan negara Islam boleh melakukan perkara tersebut.

“Tidakkah mereka (Umno) sedar bahawa dengan mengibarkan bendera Israel itu maka secara langsung Umno telah mengiktirafkan Israel sebagi sebuah negara yang sah? Jika begitu bagaimana pula dengan pejuang-pejuang Palestin yang telah berabad-abad berjuang demi mendaulatkan bumi Palestin? Tidakkah kita rasa malu terhadap mereka yang mengorbankan nyawa demi mengusir Israel tetapi tiba-tiba dalam masa yang sama ada orang yang mengaku Islam tetapi mengiktiraf Israel? soal beliau.

Beliau juga menyatakan kebimbangan akan kemungkinan pengaruh yahudi telah menular ke dalam Umno.
Akhirnya Ustaz Adnan menyeru supaya Umno segera menurunkan bendera negara haram Israel itu dan meminta kemaafan kepada rakyat Palestin.

Oleh itu kami Dewan Pemuda PAS Perlis meminta semua pihak terutama penyokong Umno agar memikirkan dan merenung perlakuan Umno yang sedang cuba untuk bersahabat dengan Israel yang mana telah jelas dalam al-Quran menyebut bangsa Yahudi ialah bangsa yang dilaknat oleh Allah.

Sementara itu orang ramai di sekitar Kangar yang ditemui turut menyatakan kekesalan terhadap apa yang telah dilakukan oleh Umno.Seorang kakitangan kerajaan yang hanya mahu dikenali sebagai Encik Din menyifatkan Umno berkemungkinan sedang dalam perancangan untuk mengadakan hubungan diplomatik dengan Israel.

Seorang kakitangan swasta pula yang tidak mahu namanya disebut juga menyatakan kebimbangannya dengan fenomena yang berlaku sekarang ini.

“Islam Hadhari memang semuanya boleh.Dulu melacur sekarang Israel pula nak diterima,”kata beliau dengan perasaan marah.
Keadaan adik Nor Adilla Syikin bertambah baik
Oleh : Nikon
Kategori :Berita


Kangar 17hb Dis : Keadaan adik Nor Adilla Syikin Abdul Halim,9, hari ini bertambah baik berbanding semalam.Ketika wakil Pemuda PAS Kawasan Kangar melawat adik Nor Adilla petang tadi kelihatan murid tahun tiga Sekolah Kebangsaan Sri Perlis itu telah boleh makan dan minum dengan sendiri.

Menurut ayahnya Abdul Halim Ibrahim,43, Nor Adilla Syikin menunjukkan perubahan positif hari ini.Berbanding semalam, adik Nor Adilla Syikin hanya banyak berdiam diri dan menangis.Beliau yang jelas lega dengan perubahan itu menyatakan rasa syukurnya kepada Allah.

Semalam adik Nor Adilla Syikin telah dimasukkan ke wad kecemasan Hospital Tuanku Fauziah,Kangar selepas dia dilaporkan didera oleh guru tuisyennya.Adik Nor Adilla Syikin juga dikatakan telah dicabut kukunya, dihantuk kepalanya ke dinding dan dipukul bertalu-talu semata-mata kerana gagal menjawab soalan tuisyen yang diberikan oleh gurunya.

Keadaan kuku yang dicabut kelihatan sudah agak kering dan tidak lagi berdarah.Badan adik Nor Adilla Syikin juga juga kelihatan agak baik walaupun masih dipenuhi dengan kesan calar dan lebam.Muka adik Nor Adilla Syikin yang menurut ayahnya telah ditekap dengan garfu panas kelihatan masih lagi berparut.Cuma matanya sahaja yang kelihatan masih lagi lebam seperti semalam.

Apabila ditanya tentang bagaimana adik Nor Adilla Syikin boleh bermalam di rumah ‘guru tuisyennya’, ayahnya menyatakan bahawa memang sudah menjadi kebiasaan anak beliau tidur di rumah itu.Kadang kala sehingga berhari-hari dan beliau tidak menaruh sebarang syak wasangka kerana mereka mempunyai hubungan jiran yang baik dengan ‘guru tuisyen’ itu.

Beliau menjelaskan lagi yang rumah mereka saling membelakangi antara satu sama lain.Antara faktor lain yang membuatkan mereka menaruh kepercayaan kepada ‘guru tiusyen’ itu ialah kebolehan dia membantu pencapaian anaknya dalam subjek matematik dan sains.

“Anak saya dari tak pandai matematik dan sains sekarang ini dah dapat nombor yang baik dalam kelas”,ujar beliau sewaktu menyatakan pencapaian anaknya itu.

Menurut beliau lagi dia agak bingung memikirkan kenapa hanya denagn kesalahan gagal menjawab soalan yang diberikan,anaknya dipukul sebegitu rupa.

“Saya rasa macam ada sesuatu yang tak kena,”kata beliau meluahkan kehairanannya.

Dia yang juga seorang peniaga turut memberikan peringatan kepada semua ibu bapa agar berhati-hati dengan kebaikan luar biasa yang dihulurkan oleh bukan Islam kepada mereka kerana mungkin ‘ada udang di sebalik batu’.

Dalam perkembangan berkaitan,Ketua Pemuda PAS Kawasan Kangar,Ustaz Yaakob Abu Seman, menyatakan rasa kesal beliau yang tidak terhingga diatas tragedi yang menimpa keluarga Abdul Halim itu.

“Pemuda PAS Kangar melahirkan rasa sedih dan kesal yang teramat sangat diatas kejadian yang menimpa saudara Abdul Halim Ibrahim sekeluarga.Kami mengharapkan agar beliau tabah dalam menghadapi ujian Allah ini.Diharap kejadian ini yang pertama dan terakhir yang berlaku.”,kata beliau dengan nada kesal.
Kuku dicabut, kaki dikelar
Oleh : Tuan Nazuri Tuan Ismail
Kategori : Berita

KANGAR: Seorang kanak-kanak perempuan cedera hampir seluruh badan dengan kedua belah kakinya ada kesan dikelar, manakala kedua-dua matanya lebam, dipercayai didera guru tuisyen.

Nor Adilla Syikin Abdul Halim, 10, dipercayai dipukul menggunakan rotan, ditumbuk dan dikelar dengan objek tajam pada kedua-dua kakinya kerana gagal menjawab soalan yang diberi guru tuisyen itu.Pipi murid Tahun Tiga Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) Seri Perlis di sini itu, juga ada kesan dicakar, celah jarinya luka dan kuku jari kaki kanan kanak-kanak itu pula tercabut.

Kanak-kanak itu menerima rawatan di wad kecemasan di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) selama beberapa jam, sebelum dipindahkan ke wad kanak-kanak kira-kira jam 10 malam, kelmarin.Susulan kejadian itu, polis menahan reman seorang wanita berusai 54 tahun dan anak perempuannya berumur 15 tahun selama lima hari mulai semalam, bagi membantu siasatan.Kedua-duanya ditahan di rumah mereka di Taman Perlis, kira-kira jam 2.30 pagi semalam selepas polis menerima laporan yang dibuat bapa kanak-kanak terbabit.

Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Yusof Mohd Diah, berkata wanita dan anak perempuannya itu disiasat mengikut Seksyen 31 (1) (A) Akta Kanak-kanak 2001 yang membawa hukuman penjara tidak lebih 10 tahun atau denda RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

"Anak wanita ini juga ditahan bagi membantu siasatan kerana dipercayai turut terbabit dalam kes ini," katanya.
Dikatakan, wanita terbabit tidak mempunyai pengalaman dalam bidang perguruan tetapi menganjurkan tuisyen di rumahnya secara persendirian bagi subjek Matematik dan Bahasa Inggeris untuk murid sekolah rendah.

Bapa kanak-kanak itu, Abdul Halim Ibrahim, 43, berkata, anaknya mengikuti tuisyen dengan wanita berkenaan sejak dua tahun lalu dan sering bermalam di rumah wanita itu.

"Hubungan kami dengan wanita ini amat baik malah beliau menganggap Nor Adilla Syikin seperti anak angkat walaupun kami berlainan agama dan bangsa," katanya.

Beliau berkata, sebelum kejadian itu, Nor Adilla Syikin bermalam di rumah wanita berkenaan yang terletak di sebelah rumahnya, Rabu lalu dan kira-kira jam 8 malam, guru tuisyen itu menelefon mereka memberitahu Nor Adilla Syikin tidak mahu pulang.

Abdul Halim berkata, kira-kira jam 4.45 petang kelmarin, anaknya melarikan diri ke rumah datuknya di Taman Kemajuan, bersebelahan Taman Perlis dengan kesan luka hampir di seluruh badan.Beliau yang bekerja sebagai tukang masak di Mata Ayer kemudian mengambil anaknya itu untuk membuat laporan polis sebelum menghantar ke HTF untuk mendapatkan rawatan di wad kecemasan.

Ketika ditemui di HTF selepas mendapat rawatan di wad kecemasan, Nor Adilla Syikin dalam keadaan lemah dan kedua-dua matanya tidak dapat dibuka luas kerana bengkak kesan lebam dipercayai ditumbuk.

Ibunya, Rohana Mat Isa, 31, pula tidak henti-henti menangis melihat keadaan anak sulung dari dua beradik itu. Nor Adilla Syikin hanya menangis apabila dihampiri media.

Abdul Halim berkata, sebelum ini anaknya pernah mengadu dirotan wanita berkenaan tetapi menganggap tindakan itu biasa bagi seorang guru untuk mengajar muridnya.

(Petikan Berita Harian)

Friday, December 16, 2005

DOA DAN HARAPAN
KAMI MEWAKILI SEMUA AHLI DEWAN PEMUDA PAS
KAWASAN KANGAR MENGUCAPKAN SELAMAT BERANGKAT
KE TANAH SUCI MAKKAH AL-MUKARRAMAH
KEPADA SEMUA BAKAL-BAKAL HAJI DARI PERLIS KHUSUSNYA
DAN DARI SELURUH MALAYSIA AMNYA.
DOA KAMI SEMOGA ALLAH AKAN MENGURNIAKAN
KEPADA ANDA SEMUA HAJI YANG MABRUR
DAN DIAMPUNKAN DOSA ANDA SEMUA.
HARAPAN KAMI AGAR ANDA SABAR MENGHADAPI
UJIAN DI TANAH SUCI
AMIIN.

Menjamin Kelangsungan Dakwah

Oleh : Ibnu Zain
Kategori : Fikrah Pimpinan
Bahagian 1

Muqaddimah :

Salah satu kompenan yang penting dalam usaha bina dakwah Islamiah adalah rumah tangga muslim. Peranan dan fungsinya adalah perkara yang tidak dapat ditolak oleh mana-mana pihak walaupun menganut ideologi yang pelbagai. Rumahtangga yang mempunyai ciri-ciri keislaman dan diadun pula dengan tarbiah Islamiah akan menyediakan persekitaran positif dan memberikan saham dalam pembinaan diri anak-anak. Sisilah kali ini cuba membincangkan persoalan rumah tangga Islam dan kedudukannya dalam pembentukan generasi anak-anak yang bakal memikul taklif sebagai individu muslim yang sempurna.


Pandangan Islam Mengenai Pembinaan Rumah Tangga

Islam meraikan tabiat dan naluri manusia yang ingin hidup berpasang-pasangan dan kehendak untuk mendapatkan zuriat. Justeru itulah, Islam mensyariatkan perkahwinan dan menyediakan pula cara dan jalan terbaik dalam melaksanakannya. Terdapat beberapa ayat Al-Quran dan Hadis yang menerang perkara tersebut, antaranya :

ومن آيته أن خلق لكم من أنفسكم أزواجا لتسكنوا إليها وجعل بينكم مودة ورحمة, إن فى ذلك لآية لقوم يتفكرون.

قال النبى (ص) : إذا جاءكم من ترضون دينه وخلقه فأنكحوه, إلا تفعلوه تكن فتنة فى الأرض وفساد كبير.

وقال أيضا وصية للشباب : يا معشر الشباب من استطاع منكم الباءة فتزوج, فإنه أغض للبصر واحسن للفرج........

Begitu juga Allah s.w.t menciptakan Hawa dari tulang rusuk Nabi Adam a.s sebagai meraikan naluri kemanusiaan dan bertujuan melahirkan generasi seterusnya bagi mentadbir bumi dan melakukan ubudiah kepada Allah. Penciptaan Nabi Adam sebagai khalifah Allah di atas muka bumi amat memerlukan kepada zuriat yang akan menyambung tugasan khalifah selepas kematian baginda a.s.

Penolakkan Nabi s.a.w terhadap tiga orang Rahtun membuktikan Islam menolak konsep pengabdian yang tidak meraikan naluri manusia. Selain itu Islam turut menjadikannya sebagai topik utama yang dibincangkan di dalam kitab-kitab Feqh dalam bab Munakhahat dan sering diperbahaskan oleh para ulama dari semasa ke semasa.

Hikmah Disyariatkan Pernikahan

Di antara hikmah yang boleh disimpulkan dalam perkara yang berkaitan dengan pernikahan ialah :

1. Tabiat manusia yang suka hidup dalam masyarakat dan jamaah. Maka pernikahan adalah wasilah terbaik dalam melahirkan perkumpulan masyarakat tersebut.

2. Naluri manusia yang suka berpasang-pasangan.

3. Menjaga nasab dan keturunan untuk menjadi khalifah Allah di atas muka bumi.

4. Menjaga akal dan keharmonian alam.

5. Menghasilkan perkara yang dihalalkan oleh Islam dan menolak perkara yang terkeji seperti penzinaan, homoseksual, lesbian, liwat dan sebagainya.

6. Menjaga kehormatan dan kemuliaan wanita.

Matlamat dan halatuju perkahwinan dalam Islam

Berdasarkan Al-Quran dan As-Sunnah, terdapat beberapa tujuan penting dalam pembentukkan rumah tangga muslim, iaitu :

1. Mendirikan syariat Allah dalam segala urusan rumah tangga. Sabda Nabi s.a.w :

كل مولود يولد على الفطرة......................ألخ

2. Mewujudkan ketenteraman dan ketenangan jiwa dan roh. Firman Allah s.w.t :


ومن آيته أن خلق لكم من أنفسكم أزواجا لتسكنوا إليها وجعل بينكم مودة ورحمة, إن فى ذلك لآية لقوم يتفكرون.

Imam Al-Qurtubi telah menaqalkan komentar Ibnu ‘Abbas mengenai Mawaddah yang dijelaskan sebagai “cinta kasih seorang lelaki kepada isterinya”, manakala kalimah Rahmat pula dijelaskan sebagai
“rahmat suami kepada isteri agar isterinya tidak menderita atau mengalami kesusahan”. Di sini dapat disimpulkan bahawa pembentukkan rumah tangga muslim itu diikat dan diasaskan oleh sifat mawaddah dan rahmah.

Suasan rumah tangga yang dibina di atas dasar cinta dan kasih sayang yang suci akan mententeramkan serta memberikan ketenangan pada jiwa dan roh dalam kehidupan pendakwah. Tiada contoh yang terbaik yang dapat ditonjolkan melainkan binaan utuh rumah tangga Rasulillah s.a.w bersama dengan Saidatina Khadijah r.a, terutama ketika menghadapi kesulitan, tekanan dan pelbagai pancaroba.

Anak-anak yang dibentuk dalam suasana mawaddah dan rahmah akan menghasilkan peribadi yang cemerlang, yakin diri, tenteram, kasih sayang, bahagia serta mampu berhadapan dengan masalah dengan bekalan ilmu dan penerapan nilai-nilai Islam yang diterapkan oleh ibu bapa.

3. Membanyakkan umat Rasulillah s.a.w dengan melahirkan anak-anak yang soleh sehinga umat manusia merasa bangga dengan kehadiran umat tersebut.

4. Memenuhi keperluan cinta dan kasih sayang anak-anak. Ketidak seimbangan atau ketandusan kasih tersebut akan menyebabkan berlakunya penyimpangan akhlak dan perilaku pada anak-anak.

Justeru itulah, matlamat Islam dalam pembinaan rumah tangga bukanlah semata-mata untuk melampiaskan nafsu manusia semata-mata, tetapi mempunyai kaitan yang rapat dengan matlamat ubudiah kepada Allah s,w.t. Matlamat inilah yang tidak difahami oleh sebilangan besar manusia, bahkan individu muslim sendiri, sehingga ada yang menolak konsep poligami yang diharuskan oleh Islam.

Poligami yang diharuskan dalam Islam bagaimanapun tidak boleh dijadikan hujah oleh gologan lelaki untuk berkahwin lebih dari seorang, sekiranya tidak mempunyai kemampuan dan kelayakkan yang secukupnya.


Perlaksanaan Pendidikan Islam Dalam Rumah Tangga Muslim.

Salah satu ciri penting yang membezakan rumah tangga muslim dengan rumah tangga bukan muslim ialah pelaksanaan pendidikan Islam yang diterapkan oleh ibu bapa di dalamnya. Para pendakwah dituntut supaya memberi perhatian serius mengenai perkara itu. Anggota keluarga yang tidak mendapat pendidikan Islam atau yang lebih parah lagi jika pendidikan mereka terus terabai, mereka bukan sahaja tidak mampu menyambung perjuangan Islam tetapi mungkin menjadi penghalang dan membantutkan perjuangan tersebut.

Pendidikan anggota keluarga dimulakan dengan pendidikan isteri. Pendidikan ini bermula dengan pemilihan yang dibuat diatas dasar keimanan dan keislamannya. Pendidikan isteri perlu diberikan perhatian kerana isteri memainkan peranan yang paling besar dalam pendidikan anak-anak. Anak sulung pula merupakan tumpuan kedua selepas isteri kerana isteri dan anak sulung ( bapa juga tidak terkecuali ) merupakan qudwah ( contoh teladan ) kepada anak-anak yang lain. Seandainya pendidikan isteri dan anak sulung terabai mereka tidak mungkin mampu menjadi teladan yang baik kepada anggota yang lain di dalam keluarga.


Kaitan Antara Matlamat Dan Wasilah Dalam Pembinaan Baitul Muslim

Walaupun matlamat perkahwinan adalah merupakan perkara yang murni dan terpuji di syariat Islam, namun Islam tidak pernah meminggirkan wasilah sebagai faktor pendorong dalam menjayakannya. Pemilihan calon isteri dan suami yang bertepatan dengan kehendak Islam menjadi faktor terbesar dalam perlaksanaannya. Faktor-faktor lain seperti Kafaah, Khitbah dan lain-lain yang dianggap sebagi wasilah perlulah ditekankan oleh seseorang individu supaya matlamat yang diharapkan dapat direalitikan.

Dasar inilah yang tidak kedapatan di dalam agama yang lain, bahkan terdapat seruan yang membataskan pencapaian matlamat semata-mata tanpa mengambil kisah dalam masalah wasilah. Matlamat menghalalkan cara yang menjadi siasah Machievali sering diguna pakai oleh sebilangan besar manusia yang nyata tidak diterima oleh Islam. Falsafah inilah yang dipraktikan oleh dunia barat, sehingga menyebabkan lahirnya masalah sosial yang tidak terkawal dan menyebabkan berlakunya gejala keruntuhan moral dan etika di kalangan generasi muda. Pendekatan yang murni dengan gabung jalin matlamat dan wasilah yang salimah akan diberikan rahmat dan keberkatan dari Allah s.w.t.Wallahua'lam


(Ibnu Zain ialah seorang pendakwah bebas dan AJK Pemuda PAS Perlis)

Thursday, December 15, 2005

Hiburan: Fatwa JAIPs Bercanggah Dengan Amalan Sebenar
Oleh BASHIR ISHAK
Kategori : Berita

KANGAR,14 Disember (Hrkh) - Pesuruhjaya PAS Perlis, Ustaz Hashim Jasin menegur fatwa yang dikeluarkan Jabatan Agama Islam Perlis (JAIPs) berkaitan hiburan yang bercanggah dengan amalan sebenar.Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sanglang berkata demikian semasa berucap membahaskan Bajet 2006 Negeri Perlis baru-baru ini.

Menurut Ustaz Hashim, fatwa JAIPs tersebut sangat baik dan dalam semakannya terutama dalam internet melalui lamanweb Islam Online ianya tidaklah lari jauh.

"Tetapi pada hakikatnya apa yang berlaku adalah sebaliknya," katanya.

Fatwa tersebut antaranya menyebut bahawa sesatu persembahan yang dibenarkan ialah yang tidak bercampur lelaki dan perempuan serta pakaian yang tidak mendedahkan aurat.

"Namun, yang terjadinya tidak begitu sedangkan kita mendakwa bersungguh-sungguh mahu membawa rakyat Perlis ke syurga mengikut dakwaan Yang Amat Berhormat Menteri Besar.

"Macam mana kita keluar fatwa tetapi kita sendiri yang langgar?," soalnya.
Justru beliau berharap pihak kerajaan serta Exco kerajaan berkenaan memerhati dan berusaha memperbaiki keadaan supaya tidak berlarutan.

Selain itu Ustaz Hashim turut menegur tentang istilah Deeparaya yang digunakan sebagai sambutan bersama Hari Raya Aidilfitri dan Deepavali baru-baru ini.

Beliau melahirkan rasa kebimbangannya kerana perkara yang diturunkan oleh Allah tidak boleh dicampur adukkan dengan perkara lain yang boleh merosakkan akidah.

"Hari raya Aidilfitri adalah suatu yang telah ditetapkan oleh agama dan ditentukan Allah dan menjadi suatu yang tidak boleh dicampurkan dengan yang lain," tambahnya.

Sunday, December 11, 2005

Perlis Maju 2015, Kerajaan Negeri Bentang Belanjawan Defisit
Oleh BASHIR ISHAK
Kategori : Berita

KANGAR,9 Dis (Hrkh)- Dalam keadaan kekurangan sumber dan hasil, di samping mahu bergelar negeri maju menjelang tahun 2015 belanjawan yang dibentang kerajaan negeri Perlis untuk tahun 2006 mencatatkan defisit sebanyak RM43.68 juta.Menteri Besar Perlis, Dato' Seri Shahidan Kassim semasa membentangkan belanjawan betemakan "Menjamin Kemajuan dan Kesejahteraan Seimbang" menyebut bahawa kerajaan Perlis sekali lagi mengambil langkah berani dengan menyediakan Belanjawan Defisit.

Kerajaan Perlis menjangkakan pendapatan sebanyak RM65.38 juta berbanding perbelanjaan mengurus sebanyak RM109.06 juta.Defisit ini lebih tinggi berbanding Belanjawan Negeri Kedah yang hanya mencatatkan defisit sekitar RM19.8 juta.

Mengulas tentang bajet ini, Pesuruhjaya PAS Perlis, Ustaz Hashim Jasin menganggap ianya sebagai perkara biasa yang memang sudah dijangka.

"Macam biasa, memang telah diduga, seperti negeri yang lain juga," jawabnya ringkas.Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sanglang melihat secara amnya belanjawan kali ini tidak mempunyai perkara baru walaupun menggariskan tiga strategi khusus untuk pembangunan ekonomi dan sosial.

"Tiga strategi yang disebut itu hanya di atas kertas. Kita perlu melihat nanti sejauh manakah keberkesanan perlaksanaannya," katanya.

Dalam soalan lisannya, Ustaz Hashim menyentuh tentang pembayaran balik hutang kerajaan Perlis kepada kerajaan Persekutuan.

Jawapan pihak kerajaan menyebut punca kegagalan membayar balik hutang ialah aliran tunai kerajaan negei yang tidak mengizinkan.

"Walaupun mahu dibuat penstrukturan semula pembayaran balik tetapi untuk bajet kali ini pinjam lagi. Jadi bagaimana mahu mentadbir dengan baik kalau asyik menambah hutang?," soalnya.-

Thursday, December 01, 2005


PM Tak Serius Untuk Menghapuskan Rasuah
Oleh BASHIR ISHAK
Kategori : Berita

KANGAR, 1 Dis - Perdana Menteri (PM), Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi perlu mengusulkan untuk menggubal Akta Rasuah di Parlimen sekiranya beliau serius untuk memerangi rasuah seperti yang sering dilaungkannya.

Pengerusi Gerakan Demokrasi dan Anti Korupsi (GERAK),Ezam Mohd Noor membuat seruan demikian ketika mengadakan sidang media pelancaran GERAK di Kangar baru-baru ini.

Ezam melihat setelah dua tahun Abdullah menjadi PM, tiada satupun perubahan yang telah dibuat di sebalik laungannya yang mahu memerangi rasuah habis-habisan.

"Jeritlah dalam Perhimpunan Agung Umno atau cakap pada media, buat apa?. Dia selaku PM perlu ke parlimen untuk gubal akta rasuah agar diberikan lebih kuasa kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR), itu barulah satu reformasi yang betul," katanya.

Menurut Ezam lagi, Malaysia perlu mencontohi negara jiran seperti Indonesia atau Thailand yang mempunyai akta pencegahan rasuah yang lebih baik.

"Contohnya, selepas dua bulan Habibie menjadi Presiden menggantikan Suharto, banyak pindaan akta rasuah dibuat untuk memberi ruang dan kuasa kepada BPR.Sehingga kini ramai orang besar seperti Ketua bank,gabenor dan ketua SPR telah ditangkap," katanya.

Beliau yang juga Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR) mahu kerajaan menerima penubuhan GERAK dengan memberikan respon yang positif sekiranya mereka
benar-benar serius mahu memerangi rasuah.

"Ini adalah satu ujian kepada kerajaan Abdullah Badawi yang mahu membenteras rasuah. Sekiranya mereka ikhlas seharusnya kita mendapat sokongan dan jika sebaliknya pula, ianya tidak lebih daripada satu gimik politik,"katanya lagi.

Selain itu, Ezam menegaskan bahawa GERAK akan turut memfokuskan tentang isu demokrasi.Menurutnya, nafas demokrasi ialah media dan dalam keadaan media yang dikongkong, rakyat sukar mendapat maklumat yang tepat.

Justeru itu, GERAK akan memberikan penekanan ke arah memberikan kefahaman kepada rakyat tentang bahaya rasuah serta perlunya mereka diberikan ruang demokrasi
yang luas.

"Bagaimana kita mahu mendedahkan isu rasuah dan penyelewengan tanpa media yang bebas? Jadi rakyat perlu difahamkan tentang pentingnya rakyat faham hak mereka dan pentingnya berjuang demokrasi," katanya.

Program pelancaran GERAK di Perlis bermula dengan pengedaran risalah kepada orang ramai di sekitar bandar Kangar dan disusuli dengan sidang media yang diadakan di perkarangan pasaraya The Store, Kangar.

Namun begitu, majlis pelancaran dan ceramah pada malamnya terpaksa ditunda ke suatu tarikh lain berikutan gangguan oleh pihak berkuasa.

Walau bagaimanapun, satu majlis ceramah ringkas tetap diadakan di hadapan kawasan perumahan bersebelahan lokasi ceramah. Ezam sendiri bersama-sama Ketua Penerangan PAS Perlis, Ustaz Yaakub Abu Seman telah memberikan ucapan.


Jangan Hilangkan Keyakinan Pelabur Dalam Tabung Haji
Oleh BASHIR ISHAK
Kategori : Berita

KANGAR,1 Dis - Timbalan Mursyidul Am PAS, Dato' Dr Haron Din menyifatkan cadangan penyenaraian TH Plantations Bhd (THP), anak syarikat Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) di Bursa Malaysia sebagai suatu yang berisiko.

"Ianya juga boleh menggugat keyakinan penabung didalam Tabung Haji sekiranya berlaku kemerosotan atau kerugian," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya THP meneruskan penyenaraiannya ke Bursa Malaysia.

Bagi Dr Haron, walaupun pada zahirnya penyenaraian ini nampak seperti ada kebaikan, tetapi dari segi masanya adalah pada waktu kebanyakan saham berada pada tahap gawat dan indeks komposit tidak mencecah 1000 mata.

"Di negara-negara ASEAN seperti di Indonesia yang dulu indeksnya lebih rendah dari kita tetapi kini lebih baik. Indeks kita pula ada petanda kemerosotan khasnya dari kegawatan ekonomi global yang memaksa Malaysia juga menghadapi masalah dan waktu itu kita senaraikan THP," tambahnya.

Dalam temuramah itu juga, beliau melahirkan kebimbangannya kerana ini akan mendedahkan Tabung Haji sendiri kepada kerugian walaupun dikatakan bahagiannya bukanlah besar sangat.

"Tetapi dengan memberi ruang kepada jual-beli dan mendedahkan kepada naik-turunnya harga maka sebarang angka tunjuk kepada kemorosotan nilai saham THP walaupun tidak banyak, ia akan menunujukkan bahwa Tabung Haji bermasalah," katanya lagi.

Dr Haron yang berpengalaman menjadi Ahli Panel Penasihat Syariah beberapa institusi kewangan melihat keyakinan pelabur adalah faktor terpenting kerana dilaburkan oleh orang-orang Islam yang berkepentingan khusus untuk menunaikan fardhu haji.

"Tabung Haji asalnya bukan berasaskan keuntungan.Kalau mahu untung, baik buat pelaburan seperti di Bank Rakyat yang memberikan keuntungan sehingga melebihi 15 peratus".

"Apa salahnya untuk membantu menaikkan ekonomi orang Melayu, kerajaan membuka peluang lagi kepada bumiputera Islam kepada pelaburan ala Bank Rakyat,"tambahnya

Baginya jangka keuntungan yang diisytiharkan oleh Tabung Haji untuk dua tahun berturut-turut pada sekitar 3.5 peratus adalah cukup rendah berbanding yang lain .

"Ini beerti keyakinan pelabur terhadap Tabung Haji sudah begitu rendah dengan kadar untung sedemikian tapi mereka tetap bertahan juga kerana ingin menunaikan haji dengan menggunakan cara tabungan," jelasnya.
Kemasukan THP ke pasaran terbuka adalah berisiko, demikian tegas Dr Haron. Baginya sekiranya boleh menaikkan keuntungan, ianya baik untuk pelabur tetapi sebarang kemerosotan akan membayangkan kelemahan pengurusan Tabung Haji.

Beliau juga merasa bimbang bila melihat kepada pelaburan yang melibatkan Bank Islam yang baginya kerugian tidak jauh daripada angka satu bilion. Ini jelas memberi suatu gambaran buruk kepada pengurusan Islam.

"Bagaimana Bank Negara boleh terlepas pandang dengan membiarkan kerugian itu terus meningkat dengan tidak meletakkan sekatan lebih awal untuk dimuhasabah sama ada kepada pegawai, sistem atau ada konspirasi ke arah memburukkan nama Bank Islam?," soalnya.

Menurut pandangan Dr Haron, sebarang risiko yang melibatkan kewangan Islam khasnya Bank Islam atau Tabung Haji hendaklah dikurangkan.Untuk itu tidak wajar baginya ia dibuka sebagai satu kaunter di bursa saham yang mendedahkan kepada risiko.

"Pengurangan risiko sedikit sebanyak memberi ketenangan kepada penyimpan. Walaupun disebut bahagiannya adalah kecil tetapi ianya tetap berisiko walau sekecil manapun. Saya anggap ianya adalah suatu risiko yang boleh membawa kepada leburnya keyakinan orang ramai terhadap Tabung Haji," tegasnya.
PAS Perlis Anjur Majlis Berkhatan Beramai-Ramai
Oleh BASHIR ISHAK
Kategori : Berita

KANGAR, 1 Dis (Hrkh)- Jabatan Khidmat Masyarakat (JKM) PAS Perlis akan mengadakan majlis berkhatan beramai-ramai secara percuma pada 11 Disember ini.Setiausaha JKM Pas Perlis, Hairy Hashim ketika dihubungi Harakahdaily menjelaskan bahawa program tahunan ini adalah untuk kali yang ke-10 dan akan diadakan di Markas Tarbiyah PAS Perlis, MADI, Kampung Jejawi Dalam.

"Seperti tahun-tahun terdahulu kita menjalankan program ini bersempena musim cuti sekolah. Pada tahun ini kita mensasarkan seramai 75 orang peserta," katanya.

Menurut Hairy lagi, program tahun ini diserikan lagi dengan kehadiran petugas dan doktor dari Pasukan Perubatan Islam (PPI) yang dikelolakan oleh Dewan Pemuda PAS Kedah.Selain majlis berkhatan, pelbagai program lain turut dijalankan.

Dewan Pemuda PAS Perlis melalui Lajnah Belia dan Sukannya akan menganjurkan pertandingan bola sepak bagi memilih pasukan yang layak untuk ke pertandingan Piala Ketau Dewan Pemuda PAS Pusat.

Seperti tahun-tahun yang lepas, program aqiqah juga diadakan pada tahun ini. Mana-mana pihak yang ingin menyertai program ini boleh berbuat demikian dengan harga satu bahagian ialah RM260.00. Bagi yang berminat boleh menghubungi Haris (013-4533591)
.
Turut diadakan ialah majlis ceramah penerangan oleh kepimpinan PAS pada malamnya bertempat di Balai Islam MADI.

Dalam perkembangan yang lain, Hairy turut melahirkan rasa kesal dengan keputusan kerajaan negeri Perlis yang turut mengadakan majlis yang sama pada tarikh tersebut.

"Mereka sanggup mengubah tarikh ke hari tersebut dengan usaha untuk menghalang orang menyertai program anjuran kita dan berpindah ke program mereka. Ini dilihat sebagai usaha untuk menyekat pengaruh PAS dalam negeri ini," jelasnya.
Penyokong Gerakan Islam Perlu Tingkat Ilmu - Haron Din
OLEH : BASHIR ISHAK
Kategori
: Berita

KANGAR, 29 Nov (Hrkh) - Setiap ahli dan penyokong gerakan Islam perlu memberi penekanan mengenai kesungguhan menuntut ilmu, demikian jelas Timbalan Musyidul Am PAS, Dato' Dr Haron Din.Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Kuliah Maghrib Perdana di Balai Islam MADI, Kampung Jejawi Dalam di sini baru-baru ini.

Menurut beliau, selain kesungguhan menuntut ilmu, kefahaman yang jitu juga perlu supaya tidak menyeleweng daripada maksud sebenar ilmu yang dipelajari.

"Jenis yang faham sikit-sikit ilmu samalah macam Islam Hadhari. Lain yang dipelajari yang yang dibuat," katanya.
Selain daripada kuliah maghrib, majlis solat hajat untuk bermunajat kepada Allah memohon kemenangan dalam pilihan raya kecil N.12 Pangkalan Pasir, Kelantan juga diadakan.

Dalam pada itu, sejumlah besar wang telah dapat dikumpulkan untuk dana pilihan raya tersebut.
Lebih 500 orang telah menghadiri program kuliah maghrib tersebut yang akan dijadikan sebagai program tarbiyah bulanan PAS Perlis.

Menurut Ketua Penerangan PAS Perlis, Ustaz Yaakub Abu Seman, program kuliah Dr Haron ini akan berlangsung pada hari Sabtu minggu keempat setiap bulan.

"Program ini mendapat sambutan yang sungguh memberangsangkan. Ini adalah satu permulaan yang baik untuk program tarbiyah ahli dan penyokong kita," katanya.