Alamat Baru Kami

Alamat Baru Kami

Klik di FOTO

Tuesday, August 01, 2006

PAS Perlis lancar Skim Infaq Jariah

oleh Wartawan Harakahdaily
ARAU, 1 Ogos - PAS Perlis telah melancarkan Skim Infaq Jariah untuk Institusi Pendidikan MADI dan Pengurusan Jemaah Ahad lepas.

MADI adalah singkatan kepada Al-Madrasah Ad-Diniah Al-Islamiyah yang merupakan sebuah sekolah menengah tajaan PAS Perlis yang ditubuhkan pada tahun 1992 di Kampung Jejawi Dalam dekat sini.

Majlis pelancaran skim tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Mursyidul Am PAS, Dato' Dr Haron Din.

Skim tersebut adalah untuk membiayai institusi pendidikan PAS yang merangkumi MADI dan dua buah sekolah rendah iaitu Sekolah Rendah Islam (SRI) at-Taqwa di Beseri dan SRI Al-Furqan di Padang Siding.

Di samping itu, skim ini juga akan digunakan untuk membiayai urusan jemaah yang lain.

Majlis pelancaran tersebut berlangsung sejurus selepas Dr Haron selesai menyampaikan kuliah maghrib bulanannya di Balai Islam MADI pada malam tersebut.

Dalam ucapan ringkasnya, beliau memperingati para jemaah agar bersedia mengeluarkan infaq atau derma untuk perjuangan di jalan Allah.

"Mengeluarkan infaq ini boleh menghilangkan penyakit hati yang dipanggil "hubbuttamalluk" atau sayangkan harta benda," katanya kepada hampir 500 orang jemaah yang hadir.

Sebelum mengakhiri ucapannya dan merasmikan skim infaq, beliau juga menyeru para jemaah untuk bersegera untuk membelanjakan harta benda ke jalan Allah.

"Jangan menunggu sehingga hampir kepada ajal baru nak bersedekah," katanya sambil menghuraikan ayat 10 dan11 , Surah Al-Munafiqun.
Lebih RM13,000. 00 telah berjaya dikutip daripada jemaah yang hadir pada malam itu.

No comments: