Alamat Baru Kami

Alamat Baru Kami

Klik di FOTO

Sunday, August 13, 2006

ISA : Mahathir jangan lepas tangan
Oleh : Nikon
Kategori : Berita

Kangar : Kisahnya bermula dengan perbalahan antara MCA dan Umno . MCA seperti mencabar ketuanan Melayu . Umno kemudiannya melalui Ketua Pemudanya ketika itu , Dato’ Najib Tun Razak menyatakan kemarahan mereka .

Setelah berperang mulut , cabar mencabar sesama mereka maka pada Oktober 1987 seramai 111 orang telah dikenakan tindakan dibawah Akta Keselamatan Dalam Negeri ( ISA ) dalam “ Operasi Lalang ” .

Sebahagian yang ditangkap ialah ahli politik dari parti pembangkang seperti PAS dan DAP juga beberapa ahli dari Pertubuhan Bukan Kerajaan ( NGO ) . Manakala ada juga dari Umno dan MCA .

Pada tahun 1988 pula setelah berlaku kekecohan di Madrasah Darul Ulum Pokok Sena Kedah , maka ISA sekali lagi digunakan atas alasan keselamatan . Kali ini nama “ Operasi Kenari ” digunapakai .

Itulah antara kisah yang diceritakan oleh Ustaz Sidek Noor , bekas tahanan ISA ketika ditemui selepas kuliah bulanannya di sini malam tadi .

Beliau meminta Tun Mahathir agar tidak menafikan bahawa Akta Keselamatan Dalam Negeri ( ISA ) sememangnya disediakan untuk musuh politik beliau ketika beliau berkuasa dahulu .

Dalam “ Operasi Kenari ” pada tahun 1988 , Ustaz Sidek Noor berkata beliau dan rakan – rakan ditahan atas tuduhan cuba menggulingkan kerajaan pada masa itu .

“ Tapi yang ditanya semasa soal siasat ialah soal politik . Bukannya apa yang mereka tuduh ,” ujar bekas Ketua Dewan Pemuda PAS Perak itu .

Mereka cuba nak lemahkan pegangan politik kami dengan soalan – soalan mereka ,” jelas beliau lagi .

Tun Mahathir baru – baru ini dalam satu sesi soal jawab telah mengeluarkan kenyataan bahawa beliau tidak pernah menahan sesiapa dibawah ISA kerana sebab –sebab politik .

Kenyataan beliau juga disangkal oleh Ketua Pembangkang Lim Kit Siang dan menyifatkan Mahathir sebagai mempunyai ingatan yang selektif dan juga mengalami daya ingatan yang rosak .

Ustaz Sidek juga mendakwa bahawa apabila bermulanya zaman pemerintahan Mahathir , maka ketika itulah perlahan –lahan ketua - ketua kampung memainkan peranan seperti ketua - ketua Umno .

Ini menurutnya lagi amat berbeza dengan corak pemerintahan dizaman perdana menteri sebelumnya yang memberikan peluang sama rata tidak kira apa pegangan politik rakyat .

Operasi Lalang menurutnya , jelas menunjukkan ISA memang untuk musuh politik Mahathir yang mana perbalahannya antara Umno dan MCA , tetapi ahli politik PAS dan DAP yang ditangkap .

Beliau menyifatkan Mahathir sekarang dalam cubaan untuk melepaskan dirinya yang ketika ini dilihat agak tersepit dengan isu perbalahan dengan Pak Lah .

“ Dia cuba nak bersihkan diri setelah 22 tahun pemerintahannya yang selalu guna ISA untuk kepentingan politik ,” ujarnya yang kematian ibunya ketika dalam tempoh tahanan ISA .