Alamat Baru Kami

Alamat Baru Kami

Klik di FOTO

Friday, February 10, 2006


Malaysia tidak akan pulau barang Denmark kerana Danish Carlsberg Beer
Petikan : Harakahdaily


KUALA LUMPUR, 9 Feb (Hrkh) - Kerajaan Malaysia tidak akan menyokong langkah memboikot barangan Denmark kerana antara barang yang paling banyak memberikan pulangan berupa keuntungan kepada kerajaan dan rakyat Malaysia adalah Danish Carlsberg Beer.

Inilah perbincangan hangat yang berjalan di laman-laman perbincangan internet di Malaysia sekarang.

Antaranya komuniti Islam di laman http://groups.yahoo.com/group/islamiccommunitynet/message/9204.

Menurut perbincangan itu, Perdana Menteri tidak akan menyokong langkah itu kerana Danish Carsberg Beer yang kilangnya terdapat di negara ini adalah cash cow (penyumbang wang utama) kepada kerajaan.

Pada 7 Februari lepas media menyiarkan kenyataan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Badawi yang berkata, Malaysia tidak akan mengharamkan produk Denmark kerana ia akan menyusahkan pihak lain dari akhbar berkenaan sendiri.

Menurut akhbar Star pada 27 Januari lalu, sekurang-kurangnya 36 syarikat yang bakal mengisytiharkan dividen yang tinggi tahun ini termasuklah Carlsberg Brewery Malaysia Bhd.
Sila rujuk berita berikut di laman berikut.
http://biz.thestar.com.my/news/story.asp?file=/2006/1/27/business/13175034&sec=business

Carlsberg Nu, sebuah syarikat Denmark adalah pemilik majoriti syarikat Carlsberg Brewery Malaysia Bhd yang mengeluarkan arak Carlsberg di negara ini.
Edisi Utara: Hidupkan amalan memulau
Petikan : Harian Metro

KANGAR: Amalan memulau yang pernah dilakukan sesetengah kariah di Perlis, akan dihidup semula kepada individu tertentu yang gagal membayar zakat fitrah dan mengerjakan solat Jumaat.

Akibat dipulau itu, individu yang gagal menunaikan kewajiban agama itu akan terpinggir daripada masyarakat.

Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam negeri, Datuk Abu Bakar Ismail, berkata masyarakat sebelum ini amat prihatin dengan tuntutan agama dan mereka bertindak memulaukan individu tertentu jika tidak menunaikan kewajiban itu.

“Kami mungkin akan memperaktikkan semula tradisi masyarakat dahulu dan mana-mana individu yang tidak mengeluarkan zakat fitrah atau menunaikan solat Jumaat akan dipulaukan penduduk setempat.“Ini kerana ada umat Islam mengambil mudah soal zakat dan solat Jumaat hingga gagal menunaikan tanggungjawab berkenaan,” katanya, semalam.

Beliau berkata, masyarakat diminta tidak menghadiri majlis tertentu seperti pernikahan yang dianjurkan individu yang ingkar perintah agama Islam.

“Jawatankuasa kariah masjid seluruh negeri diminta memantau kariah masing-masing bagi mengenalpasti mereka yang mengabaikan tuntutan agama berkenaan dan jika perlu pulau mereka terbabit,” katanya.

Harian Metro sebelum ini memetik Abu Bakar berkata, lelaki di Perlis yang tidak menunaikan solat Jumaat tiga kali berturut-turut boleh didakwa mahkamah syariah.

“Kami mempunyai enakmen secukupnya untuk mendakwa lelaki terbabit dan mereka boleh dikenakan hukuman denda. Pihaknya bercadang mewujudkan nazir masjid memantau anak kariah masing-masing,” katanya.

Beliau berkata, lelaki tidak menjelaskan zakat dan menunaikan solat Jumaat itu terlebih dulu diberi khidmat kaunseling daripada pakar agama.

“Golongan ini akan dikumpulkan dalam satu perjumpaan sama ada peringkat negeri atau kariah untuk diberi bimbingan. Jika masih ingkar, tindakan undang-undang akan diambil,” katanya.
Pegawai polis, isteri orang dicekup khalwat
Petikan : Harian Metro

KANGAR: Seorang pegawai polis berusia 40-an dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis ditahan kerana disyaki berkhalwat dengan seorang wanita di Taman Seri Bakau, di sini, malam semalam.

Pegawai berpangkat Asisten Superintendan itu dipercayai ketua satu cawangan di IPK Perlis ditahan ketika berdua-duaan bersama wanita berusia 49 tahun itu yang juga isteri orang, kira-kira jam 11.30 malam.

Sumber berkata, tujuh pegawai penguat kuasa Jabatan Agama Islam Perlis (Jaips) menyerbu rumah yang diduduki ASP itu selepas mendapat maklumat daripada orang ramai yang menyatakan ada pasangan bukan mahram di rumah terbabit.

“Ketika pemeriksaan, hanya mereka berdua berada di rumah berkenaan dan siasatan mendapati mereka bukan mahram.“Pegawai penguat kuasa terpaksa menunggu di luar rumah teres itu agak lama sebelum seorang lelaki bertindak membuka pintu. Keadaan di dalam rumah agak gelap.

“Penguat kuasa menemui seorang wanita yang berpakaian lengkap bersembunyi di dalam bilik air dan kain batik sarung yang baru dipakai turut ditemui di lantai tandas terbabit,”
katanya.

Beliau berkata, penguat kuasa agama mengambil keterangan peribadi pegawai polis itu dan pasangannya sebelum membebaskan mereka.

Wanita itu dikatakan bertugas di sebuah jabatan kerajaan di sini.

“Wanita terbabit yang gementar apabila melihat pegawai penguat kuasa agama mendakwa tidak membawa kad pengenalan dan butiran peribadi diambil berdasarkan pengakuan dia,” katanya.

Wednesday, February 08, 2006

Usah Sentuh Remaja Perempuan Sebelum Masanya - Shahidan
Petikan : BERNAMA


KANGAR, 6 Feb (Bernama) -- Bimbang dengan gejala tidak bermoral di kalangan remaja perempuan, kerajaan Perlis akan menganjurkan program perkhemahan khas setiap bulan dalam usaha menghindari mereka daripada terbabit dalam seks luar nikah.

"Kita tidak mahu remaja perempuan disentuh selagi belum sampai masanya (berkahwin)," kata Menteri Besar Datuk Seri Shahidan Kassim.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Dewan Orang Ramai Sungai Baru Tengah, Simpang Empat di sini hari ini, beliau berkata program itu ditujukan kepada remaja perempuan kerana remaja lelaki tidak mengalami "kerosakan" secara fizikal akibat daripada perlakuan seks luar nikah."Bagi remaja perempuan, jika mereka terbabit dengan perlakuan seks luar nikah, ia boleh memberi kesan yang buruk," kata Shahidan.

Untuk program perkhemahan itu yang akan bermula tidak lama lagi, kerajaan negeri akan bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan dan pihak sekolah bagi menyediakan pakar kaunseling.Shahidan berkata program perkhemahan seperti itu akan turut dianjurkan bagi wanita berkeluarga dalam usaha untuk memantapkan lagi institusi kekeluargaan.

ADUN Perlis ‘wajib’ ambil PMR Bahasa Arab
Petikan : Utusan Malaysia

Kangar 5 hb Februari : Selepas berjaya lulus dalam peperiksaan Bahasa Arab peringkat Penialian Menengah Rendah baru-baru ini, Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim hari ini membuat satu lagi kejutan.

Selain mengumumkan hasratnya untuk mengambil semua peperiksaan bahasa tersebut pada tahun ini, beliau turut mewajibkan semua wakil rakyat dan ketua-ketua jabatan di negeri ini terutama yang beragama Islam supaya mengikuti jejak langkahnya.

Bagi yang bukan beragama Islam pula, mereka akan digalakkan supaya mempelajari kaedah penulisan jawi terlebih dahulu sebelum mengambil peperiksaan pada tahun depan.

Alasan beliau berbuat demikian bukanlah untuk menyusahkan pihak terbabit tetapi mahu mereka menjadi contoh kepada masyarakat supaya menimba sesuatu ilmu walaupun usia telah meningkat.

“Bagaimanapun, ianya bukan wajib tetapi sukarela yang dimestikan.Kelas tuisyen yang dijalankan selama dua jam dalam sehari kepada mereka akan diberikan percuma bermula 15 Februari ini dan wakil rakyat serta ketua-ketua jabatan hanya perlu mengeluarkan wang untuk pendaftaran peperiksaan sahaja.

“Kita lihat banyak wakil rakyat dan ketua-ketua jabatan hanya tahu duduk bersembang kosong di kedai-kedai kopi dan ini merugikan waktu sahaja.Saya sendiri akan belajar dan mengambil semula peperiksaan Bahasa Arab dan Bahasa Mandarin,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyaksikan majlis memeterai Memorandum Persefahaman ( MoU) antara Pergerakan Puteri Umno Perlis dengan Simor Creative (M) Sdn.Bhd. mengenai penganjuran Karnival Pendidikan dan Kerjaya Perlis 2006 di sini.

AIDS antara pembunuh utama di Perlis
Petikan : Utusan Malaysia

Kangar 5hb Februari : Kira-kira 30 kes kematian akibat AIDS dilaporkan di negeri ini pada setiap tahun dan ia merupakan antara pembunuh utama selain daripada penyakit kardiovaskular dan juga kemalangan jalan raya.

Pengarah Kesihatan Negeri, Dr. Azmi Hashim bagaimanapun berkata kadar kematian akibat AIDS di negeri ini yang berpunca daripada jangkitan virus HIV masih rendah berbanding dengan peratusan di peringkat nasional atau pun di negeri-negeri yang lain.

“Setiap tahun kita menerima antara 90 hingga 100 kes HIV yang baru dengan kira-kira 75 peratus daripadanya berkaitan dengan penyalahgunaan dadah,” katanya kepada para pemberita selepas majlis perasmian Hari Terbuka Klinik Kesihatan Kampung Gial dekat sini semalam.

Menurutnya kira-kira 20 peratus punca jangkitan HIV itu juga adalah akibat daripada aktiviti seks dan baki selebihnya akibat sebab-sebab lain termasuk jangkitan daripada pembawa HIV.

Azmi memberitahu, Pejabat Kesihatan Negeri turut membuat pemantauan terhadap mereka yang didapati positif HIV dengan memberi mereka rawatan perubatan dan khidmat kaunseling supaya mereka dapat menjalani kehidupan normal dan tidak menjangkiti orang lain.

“Mereka boleh diubati dan rawatan yang diberikan mungkin dapat memanjangkan tempoh usia mereka kerana mereka juga sebenarnya masih produktif,” ujarnya.

Beliau turut menyeru mereka yang positif HIV agar mendapatkan rawatan perubatan kerana sesetengahnya gagal dikesan oleh pihak hospital selepas membuat ujian pemeriksaan.

Dalam usaha menangani masalah AIDS dan HIV itu, katanya, Pejabat Kesihatan Negeri telah mengambil pelbagai langkah termasuk mengadakan kempen kesedaran dan program pendidikan khususnya golongan muda tentang bahayanya AIDS.

Selain itu Azmi berkata, langkah kerajaan negeri mewajibkan bakal pengantin menjalani ujian pemeriksaan darah dan pemeriksaan darah dikalangan ibu yang mengandung juga merupakan langkah yang baik dalam membendung masalah tersebut.

Menurutnya sejak ujian darah itu diwajibkan terhadap bakal pengantin beragama Islam mulai Disember tahun lalu, sebanyak 800 orang telah melakukannya dan kesemua mereka bebas daripada jangkitan HIV.

“Ujian ini bukan bertujuan menghalang mereka yang positif HIV daripada berkahwin tetapi untuk membantu mereka menjalani kehidupan lebih selamat dan tidak menyebarkan virus itu kepada pasangan mereka,” ujarnya.

Majlis perasmian Hari Terbuka itu disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar Negeri, Khairi Hassan yang ketika berucap menasihatkan orang ramai agar lebih prihatin terhadap kualiti makanan yang diambil bagi memastikan mereka sentiasa hidup sihat.

Laman Brasmana : Mampukah bertahan?
Petikan : Utusan Malaysia

Kangar 5 hb Februari : Pada Khamis lalu telah berlangsung majlis penyerahan kunci kepada 27 peniaga yang akan menjalankan pelbagai perniagaan di Laman Brasmana yang terletak di tepi laut di Kuala Perlis kira-kira 11 kilometer dari pusat Bandar ini.

Kos pembinaan Laman Brasmana menelan hampir 10 juta dan ia berfungsi sebagai tempat bersantai dan riadah untuk orang ramai khususnya pelancong luar.

Laman Brasmana yang dilihat gah daripada kacamata penduduk meliputi gerai makan, restoran konsep selera Malaysia, gerai kraf tangan, kiosk minuman dan kiosk pelbagai.

Melalui pembinaannya kerajaan negeri dibawah kepimpinan Datuk Seri Shahidan Kassim mempunyai satu matlamat yang cukup tinggi iaitu menarik kemasukan pelancong disamping menyediakan kemudahan rehat yang selesa.

Bagi golongan peniaga, Laman Brasmana adalah satu projek yang memperlihatkan keprihatinan kerajaan negeri dalammemberikan ruang perniagaan yang tersusun dan mempunyai reka bentuk yang cantik.Ramai yang mengakui bahawa Laman Brasmana sangat cantik dan strategik.

Ia sedikit sebanyak menaikkan imej Kuala Perlis yang menjadi pintu masuk utama negeri ini dari Pulau Langkawi dan Satun, Thailand.

Namun focus kali ini bukanlah mahu mengupas secara terperinci mengenai kehebatan pembinaan Laman Brasmana tetapi lebih kepada sejauh mana ia “mampu bertahan”

Mengapa mampu bertahan? Perlis merupakan negeri yang terkecil tetapi menawarkan banyak tempat-tempat menarik untuk dikunjungi.

Dari Padang Besar hingga ke Arau dan Kuala Perlis, negeri ini sememangnya unik terutama permandangan sawah padi, Tasik Melati, Empangan Timah Tasoh dan Gua Kelam.

Kemudahan untuk beristirehat dan tempat menjamu selera juga memang banyak. Namun begitu sekadar kemudahan yang banyak sahaja tidak mencukupi jika kemudahan-kemudahan berkenaan tanpa ada yang mengusahakannya.

Perkara sebegini dapat dilihat di Hentian Rehat dan Rawat (R&R), Dataran Terinai di Empangan Timah Tasoh, dekat Padang Besar yang saban hari peniaganya terpaksa gulung tikar.

Tidak cukup dengan itu perkara yang sama dapat dilihat di gerai-gerai ‘sangkar burung’ yang merata lokasinya di negeri ini selain Dataran Usahawan dan ‘rumah hantu’ Konkos di Kuala Perlis.

Pembinaan kemudahan-kemudahan menjamu selera itu satu ketika dulu memang cukup gah juga tetapi kini sepi, terbiar dan merugikan.

Apa punca ? Tiada siapa yang tahu.Siapa yang harus dipersoalkan ? Tidak tahu juga.Dataran Terinai yang menelan kos pembinaan sebanyak RM2.5 juta baru sahaja dibuka dan dikhuatiri akan menjadi rumah hantu seperti di Konkos Kuala Perlis.

Daripada 28 peniaga yang mula-mula mendapat kunci untuk menjalankan perniagaan kini Cuma tinggal empat orang sahaja manakala Konkos pula, terus tutup dan dipercayai menjadi sarang kegiatan tidak bermoral termasuk penagihan dadah.

Adalah tidak salah kerajaan negeri merancang untuk membina projek itu dan ini tetapi entah dimana silapnya pembinaan kemudahan-kemudahan terbabit seakan-akan ada penunggu yang mengacau sehingga tidak mampu bertahan lama.

Bangunan Konkos sepatutnya boleh dimajukan semula seperti dijadikan pusat penjualan kraftangan hasil sentuhan kreatif anak jati tempatan.

Ramai anak jati Perlis mempunyai bakat tersendiri, tetapi di negeri ini tiada tempat khas yang boleh dijadikan platform bagi mereka untuk memasarkannya.

Tidak seperti di Kelantan dan Melaka.Kedua-dua negeri ini mempunyai kawasan khas penjualan barangan kraftangan yang membolehkan rakyatnya memasarkan hasil seni kreatif.

Berbalik kepada Laman Brasmana, adakahia akan menjadi satu lagi projek yang senasib Dataran Terinai atau Konkos, tunggu dan lihat sahajalah.

Kalau maju ia sudah cukup bagus tetapi kalau tidak, kajian atau siasatan terperinci perlu dilakukan segera sebelum kerugian yang ditanggung semakin bertimbun tinggi.

Sunday, February 05, 2006


Cadangan penubuhan Suruhanjaya Bebas dan Salah Laku Polis (IPCMC) hanya untuk membantu
Oleh : Mat Teropong
Kategori : Berita

Kangar 4hb Februari : Cadangan penubuhan Suruhanjaya Bebas Dan Salah Laku Polis (IPCMC) hanyalah untuk membantu pihak polis memantau sahaja bukan mengambil alih terus tugas empat badan pemantau polis yang telah sedia ada.Demikian jelas Pesuruhjaya PAS Pahang Dato’
Tuan Ibrahim Tuan Man.

Suruhanjaya ini juga katanya akan mengembalikan rasa hormat rakyat kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang pada ketika ini menurut pandangan beliau imej PDRM kelihatan agak sedikit tercalar.

Semalam didalam akhbar Utusan Malaysia, tiga persatuan polis menolak cadangan penubuhan Suruhanjaya Bebas dan Salah Laku Polis (IPCMC) dengan alasan sudah ada empat badan seumpama itu bagi memantau Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Empat badan yang turut memantau pasukan polis pada masa ini ialah bahagian tatatertib PDRM, Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP), Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) dan Biro Pengaduan Awam (BPA).
Berikutan itu, tiga persatuan berkenaan telah menghantar memorandum berhubung penolakan penubuhan IPCMC kepada pihak pengurusan PDRM dan kerajaan.
Beliau yang juga AJK PAS Pusat berkata rungutan orang ramai tidak akan ada sekiranya PDRM bertindak dengan betul.

“PDRM kena professional.Orang tak akan komplen jika dah betul,” kata beliau sambil memberikan contoh kes Datuk Seri Anwar Ibrahim yang lama dahulu dan kes tahanan yang dibogelkan baru-baru ini yang kelihatan begitu menjejaskan imej PDRM.

Beliau juga berharap agar PDRM tidak melihat penubuhan IPCMC ini sebagai satu tindakan negatif sehingga tidak mahu lagi menggunakan budi bicara ketika menjalankan tugas.

Beliau yang jelas bersetuju dengan cadangan penubuhan IPCMC itu juga menyarankan agar penubuhan ini paling kurang direalisasikan sebagai satu percubaan yang diberi satu tempoh masa.Sekiranya segalanya berada didalam keadaan baik ketika tempoh percubaan itu, maka tidak perlu lagi kepada suruhanjaya itu.

Friday, February 03, 2006


Jangan Perbesarkan Isu Yang Remeh-temeh, Titah Pemangku Raja Perlis
Tuanku Syed Faizuddin Putra
Kategori : Petikan Berita

KANGAR, 2 Feb (Bernama) -- Pemangku Raja Perlis menggesa umat Islam tidak memperbesar dan mempertikaikan isu remeh-temeh tetapi berpeluk tubuh apabila berhadapan persoalan yang lebih besar seperti berkaitan dakwah dan penyelewengan akidah.

Tuanku Syed Faizuddin Putra Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bertitah sikap negatif dan mazmumah seperti hasad dengki, tamak dan syak wasangka yang boleh membibitkan api persengketaan perlu dihindari dan dikikis.

Saban tahun kita menanam azam baru namun pada masa yang sama masih perlahan dalam "penghijrahan" terutama aspek dakwah dan penyelewengan akidah, titah baginda pada sambutan Maal Hijrah 1427 peringkat negeri di Masjid Al-Raudhah, Sungai Batu Pahat di sini malam tadi.

Selain itu, titah baginda umat Islam mesti sentiasa berusaha meningkatkan ilmu dan jangan membiarkan anggota masyarakat terpinggir daripada aktiviti keilmuan.

Baginda bertitah umat Islam harus memberi keutamaan kepada kerjasama dan permuafakatan dalam setiap perbincangan serta tindakan bagi memastikan kesinambungan tanggungjawab dapat dijalankan dengan kemas dan teratur.

Pada majlis itu, Pemangku Raja Perlis menyampaikan Anugerah Maal Hijrah Negeri kepada bekas anggota majlis mesyuarat kerajaan negeri Datuk Selamat Saad, anggota jawatankuasa fatwa Perlis Prof Madya Dr Mohamed Radhi Othman, pensyarah Universiti Sains Malaysia Dr Mohamed Asri Zainol Abidin, bekas pengarah kesihatan negeri Perlis Datuk Dr Faisol Ibrahim dan bekas anggota dewan undangan negeri Bintong Sofiah Ahmad.

Baginda turut menyampaikan Anugerah Didik Maal Hijrah kepada Ahmad Shahir Jamil dan Aisyah Aminuddin, kedua-duanya pelajar cemerlang yang memperoleh 10A1 pada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia dua tahun lepas.

Anugerah Masjid Terbaik disandang Masjid Ar-Rahman, Simpang Sanglang bagi parlimen Arau manakala Masjid Al-Hassan, Jejawi dan Masjid Al-Syakirin, Oran dipilih untuk parlimen Kangar dan Padang Besar.

Pada majlis itu, Pemangku Raja Perlis turut berkenan merasmikan Masjid Al-Raudhah, masjid ke-101 di Perlis, dan melancarkan pemeriksaan kesihatan HIV bakal pengantin peringkat negeri.Yang turut hadir ialah Menteri Besar Datuk Seri Shahidan Kassim.

Thursday, February 02, 2006


Inikah yang dikatakan Islam?
Oleh : Harumanis
Kategori : Penulis Jemputan

Beginilah sambutan yang diberikan oleh segelintir rakyat Terengganu terhadap salah sebuah
kontena hanyut di Seberang Takir baru-baru ini.

Assalamualaikum.Dah lama rasanya tak menulis.Rupa-rupanya bukan senang nak menulis. Saya tak tahulah macamana wartawan buat kerja mereka.Tapi mungkin juga mereka dah terlatih dan juga dah memang kerja mereka.Sepenuh masa,tiada komitmen lain.

Bagi saya yang buat kerja sambilan ni macam-macam halangan yang datang.Ada kalanya bila ada cerita masa pula tak ada.Bila masa dah terluang banyak idea pulak entah kemana.Nak tunggu dua-dua tu bertemu, payah sikitlah.Dan bila dah dapat bertemu kedua-duanya jadilah artikel tu panjang sedikit.Diharap anda semua dapat menghabiskan pembacaan anda.

Terus kita kepada apa yang hendak saya sampaikan.Saya mendapat sedikit idea penulisan ini selepas balik bercuti sempena eid adha ke Terengganu baru-baru ini.Balik lama sikit pasal anak tak sekolah lagi jadi cuti tak bersangkut dengan orang lain.Perjalanan balik ke Terengganu biasanya terasa semangat sikit pasal maklumlah balik kampung.Tahun ni keluarga buat korban seekor lembu pasal arwah emak pesan supaya diambil sedikit duitnya untuk korban seekor lembu.Tahun ni juga tahun pertama kami sekeluarga beraya tanpa kedua ibubapa.Semoga roh mereka dirahmati Allah.

Berkebetulan pula ketika saya pulang baru-baru ini Terengganu sedang kecoh dengan cerita kontena hanyut.Macam-macam cerita yang keluar dari mulut jurucakap tidak rasmi.Satu cerita yang saya dengan sendiri ketika berada di Pantai Teluk Ketapang, Seberang Takir ialah bagaimana seorang lelaki begitu bersemangat bercerita tentang kisah kontena hanyut itu.Dia juga turut menjelaskan prosedur perjalanan sesebuah kapal yang mana menurutnya lagi apabila sesebuah kapal dilanda ribut, maka kapten kapal akan membuang beberapa kontena untuk mengimbangi kapal itu.

Maka diapun mengeluarkan fatwanya sendiri bahawa segala barang yang ada di dalam kontena itu samada udang, rokok dan ada juga kata pakaian semuanya itu telah dihalalkan oleh kapten kapal.Begitu bersemangat dia bercakap dengan seorang makcik yang kelihatan mengangguk-angguk.Timbul pertanyaan dalam hati saya kapten kapal tu tauke barang atas kapal ke? Atau dia hanya ditugaskan untuk membawa sahaja.

Saya terus menelefon seorang rakan yang pernah beberapa tahun bekerja sebagai jurutera di atas kapal.Menurutnya tidak pernah ada prosedur sedemikian.Yang ada ialah kontena terjatuh.Dan menurut dia lagi macamana nak buang kontena nak pakai tolak aje ke? Eh,saya pulak yang kena.

Maka keesokan harinya keluarlah kenyataan dari Mufti Terengganu yang mengatakan bahawa “Mengambil barang orang lain adalah haram”.Saya terus terbayang akan wajah lelaki semalam.Mungkin diapun dah tertelan udang hanyut kot? Entahlah mungkin juga tidak.

Apa yang menjadi persoalan sekarang ialah tidakkah seseorang muslim itu boleh berfikir yang apabila kita berjumpa dengan sesuatu barang yang bukan milik kita dan juga kita tidak mengetahui tuan punya kita kena mengiklankannya selama beberapa lama ataupun kita boleh terus menyerahkan kepada Baitulmal? Itu adalah perkara asas yang telah diketahui umum.Bukan perkara baru.

Yang lebih menyedihkan lagi menurut seorang jiran saya yang berniaga di Pasar Payang kelihatan yang bersongkok dan berkopiah juga turut membelinya (saya tidak bermaksud untuk menujukan kepada ahli PAS atau Umno) sedang dalam keadaan mereka tahu. Manakan tidak tahu apabila sudah riuh satu pasar yang ada jualan udang hanyut yang murah.Tapi begitulah orang kita asal nama murah saja semua berebut.Tak kira tertipu atau tidak. Kasihan saya kepada sebahagian rakyat Terengganu yang dikatakan sekarang ini tersangat maju dan kaya raya tetapi tidak dapat membezakan halal dan haram.Semoga Allah mengampuni mereka.

Berpaling kita dari cerita ini, saya timbulkan pula cerita tentang anak exco kerajaan Islam Hadhari Terengganu mendapat biasiswa sebanyak RM 20 ribu.Sebut pasal biasiswa kita akan merujuk kepada pelajar miskin atau pelajar pintar.Inilah antara kategori yang layak untuk menerima biasiswa dan memang itu tujuan pemberian biasiswa.Tetapi apabila disebutkan zakat, semua pelajar yang sedang belajar (kecuali belajar ilmu yang tidak dibenarkan Islam) boleh menerimanya tidak terkecuali samada yang kaya atau yang kurang pandai.Zakat bukan hak mutlak pelajar miskin sahaja.

Dan apakah maksudnya? maksudnya ialah biasiswa masih boleh lagi dipertikaikan ketelusan pembahagiannya.Mungkin seseorang itu tidaklah sepandai mana tetapi kerana sesuatu, maka diapun mendapatnya walaupun tidak layak.Ataupun dia adalah seorang yang kaya tetapi masih mendapat biasiswa atas alasan yang meragukan.Adilkah itu?

Selepas beberapa hari saya di Kuala Terengganu, saya ke Johor pula dan singgah sebentar di Dungun satu tempat yang juga banyak meninggalkan kenangan dalam hidup saya. Bertemu dengan seorang sahabat yang juga seorang yang agak kritis pemikirannya terhadap perkembangan semasa. Dia mendedahkan kepada saya tentang kekalutan yang berlaku dalam jemaah kita.Bukanlah hendak membuka pekung di dada tetapi untuk mencari jalan penyelesaiannya.

Bagaimana sudah banyak antara ahli jemaah kita seperti sudah tidak mahu patuh kepada ketua.Seperti ada jemaah dalam jemaah.Apabila hendak diberikan kerja, pelbagai alasan yang dikemukakan.Ada juga yang memberikan idea yang “tersangat bernas” sehingga satu kerjapun tak jalan.

Bahkan ada juga yang mempengerusikan mesyuarat di luar bilik mesyuarat.Ada sahaja bangkangan selepas mesyuarat.Tapi masa mesyuarat dengan pengerusi yang sah senyap pula.Ada juga yang tak hadir mesyuarat tetapi bercakap masya Allah.Ada juga yang suka bermain dengan pemikiran orang yang sedikit kurang ilmunya.Dia menanam pelbagai persoalan yang mengelirukan dalam pemikiran orang lain agar merasa ragu.Tetapi bila didepan ustaz yang ada ilmu dia diam sahaja.Padahal dia sepatutnya bertanya dengan ustaz tentang kekeliruan itu.Nampak seperti ada maksud yang tersirat.


Akhirnya sampai kepada kemuncak kekeliruan yang dialami oleh ummat Islam di Malaysia apabila saya terpandang satu gambar lama di dalam sebuah akhbar tempatan yang menunjukkan Datuk Seri Najib Tun Razak sedang menyalakan lpelita sempena Rumah Terbuka Deepavali sambil diperhatikan oleh Datuk Rais Yatim dan Datuk Seri S.Samy Vellu.Tidakkah Najib faham agama? Saya pasti dia memang tidak faham agama.

Contoh-contoh yang diberikan di dalam tulisan saya ini adalah untuk mengajak kita semua berfikir adakah kita semua memang betul-betul faham dan beramal secara bersungguh-sungguh dengan Islam atau kita sebenarnya masih terumbang-ambing dengan kefahaman Islam kita? Dan kemudiannya merekacipta hukum bagi membetulkan tindakan kita? Saya memang sengaja membawakan contoh dari kalangan orang PAS dan Umno supaya kita dapat memandang ini semua dari perspektif Islam bukan dari perspektif politik sahaja.

Kita sebenarnya masih gagal dalam mendidik diri dan pemikiran kita supaya berada di dalam kehendak Islam. Jauh dari itu kita semua seperti tidak mahu mengambil tanggung jawab dakwah terhadap sesama kita untuk kefahaman mereka.Untuk yang bukan Islam lagilah kita tak mahu mendekatinya.Islam itu adalah diibaratkan seperti barangan yang tersangat berkualiti dan kita semua sebagai pembungkusnya.Kita kena menjadi pembungkus yang cantik bagi menarik minat pelanggan untuk membelinya.Tetapi apa yang berlaku ialah kebanyakkan kita menjadi pembungkus yang teruk, kotor, busuk dan menyebabkan barangan yang berkualiti tinggi itu tidak laku dek kerana pembungkusnya.

Suka saya untuk memberikan sedikit kesimpulan diatas cerita-cerita yang telah saya bawakan ini.Untuk kes kontena udang itu menunjukkan bahawa kita masih boleh bertolak ansur dengan makanan haram yang mana rasulullah S.A.W secara jelas telah memberikan peringatan bahawa setiap daging yang tumbuh dari makanan yang haram maka nerakalah yang lebih layak untuknya.Lebih menyedihkan lagi perlakuan ini secara tidak langsung telah memberikan gambaran kepada bukan Islam bahawa ummat Islam amat mudah dibeli dengan kebendaan tak kira halal atau haram.Sebab itulah kita dilihat tersangat lemah oleh bukan Islam.

Kisah pemberian biasiswa kepada anak exco pula mengingatkan saya kepada pemberian zakat juga kepada anak exco kerajaan PAS yang telah disensasikan oleh Umno sedikit masa dahulu.Dengan kurangnya kefahaman tentang hukum feqah maka seluruh rakyat merasa marah termasuklah beberapa penyokong PAS sendiri sedangkan perkara itu tidak salah.Apabila sudah diberikan penerangan, rakyat bertanya pula kalau betulpun tidak salah dari segi hukum takkan dah tak ada orang yang lain? Kali ini pertanyaan itu kembali kepada mereka kalau iya pun anak exco tu cerdik takkan tak ada langsung pelajar yang cerdik atau miskin selain dari anak exco di Terengganu yang juga sepatutnya dapat? Bukankah Terengganu Bistari?

Berkenaan jemaah kita pula, ternyata kita gagal melahirkan pelapis yang berkaliber, yang memberikan wala’ sepenuhnya kepada pimpinan.Bagi saya jika ini berterusan, maka harapan untuk kita menjadi pembantu Allah akan tinggal menjadi angan sahaja. Bagi saya pemikiran seperti ini sepatutnya dihapuskan hingga ke akar umbi.Dan kalau kita tidak dapat menghapuskan pemikiran itu, hapuskan pembawanya.Apa gunanya jumlah ahli yang ramai tetapi derhaka kepada pimpinan.Saya mempercayai kualiti yang baik akan menjadikan sesuatu itu baik.Kualiti itu insya Allah akan mempengaruhi keadaan.Sebagaimana sahabat rasulullah yang sedikit, tetapi berjaya mempengaruhi bukan sahaja semenanjung arab bahkan hampir 2/3 dunia dengan kualiti yang mereka miliki.

Dan akhir sekali kemuncak kepada kekeliruan dan penyebab kepada segala fitnah iaitulah apabila aqidah diperdagangkan.Jika sudah kita sanggup untuk mengambil bahagian dalam upacara keagamaan yang selain dari Islam maka apa lagi yang tinggal? Bagi saya Najib telah meninggalkan satu fitnah yang maha besar kepada ummat Islam diatas perkara yang dia lakukan.Oleh itu saya tidak hairan apabila timbul kes M.Moorthy baru-baru ini, menteri-menteri bukan Islam dengan beraninya menghulurkan memo kepada Perdana Menteri untuk mengkaji perlembagaan 121 (1A).

Siapakah penyebabnya kalau bukan dari diri ummat Islam itu sendiri yang begitu jahil tentang agama dan kemudiannya mendabik dada dengan mengatakan bahawa dialah hero penyelamat agama melebihi ulamak yang faham tentang agama.Tidakkah itu secara terang menipu kita?

Dari apa yang telah saya kemukakan dan juga segala kesimpulan yang telah saya berikan, tidak lain hanyalah untuk anda semua berfikir tentang benarkah kita hidup didalam lingkup Islam yang sebenarnya? Ataupun kita tidak sedar yang kita telah menyimpang jauh dari kehendak Islam itu sendiri.Lebih malang lagi apabila kita dengan angkuhnya memperkatakan kesalahan orang lain tanpa menyedari akan kesalahan kita sendiri.

Kepada ahli PAS, amat malang bagi kita semua jika hati kita masih tidak mahu untuk memahami dan mengamalkan Islam tulin sedang dalam masa yang sama kita dikelilingi oleh ulamak dan cendikiawan Islam yang bersedia bila-bila masa untuk mengajarkan kita apa itu Islam yang sebenarnya.Jadilah kita semua ibarat ayam di kepuk mati kelaparan, itik di air mati kehausan.

Akhir kalam saya menyeru diri saya dan saudaraku sekelian agar kita bertaqwa kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa.Janganlah kita mati melainkan dalam keadaan bertaqwa.Marilah kita semua memalingkan diri dari segala bentuk kejahilan kepada kefahaman yang tinggi beserta amalan yang ikhlas hanya kepada Allah Rabbul alamin.Semoga Allah merahmati kita semua.Amiin.Wallahua'lam


Wednesday, February 01, 2006

Anthonysamy dikebumi cara Islam
Petikan Akhbar

MELAKA 31 Jan. - Jenazah bekas pekerja ladang tembikai, N. Anthonysamy atau nama Islamnya, Mohd. Sani Abdullah 71, selamat dikebumikan mengikut hukum syarak tanpa bantahan daripada keluarganya di Tanah Perkuburan Islam Ayer Keroh, di sini kira-kira pukul 12.40 tengah hari ini.

Ini berikutan pengesahan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) bahawa lelaki berketurunan India itu telah memeluk Islam pada 1 Julai 1992.

Pengkebumian disempurnakan oleh JAIM yang menuntut jenazah Allahyarham di Hospital Melaka (HM) setelah ahli keluarganya berpuas hati bahawa Anthonysamy adalah seorang Islam selepas melihat dokumen berkaitan.

Ini adalah kes pertama membabitkan isu tuntutan jenazah Islam oleh keluarga bukan Islam yang diselesaikan secara aman tanpa kekecohan mahupun melibatkan pihak mahkamah selepas kes pendaki Everest, M. Moorthy dan Nyonya Tahir, 89, di Negeri Sembilan.

Jenazah Anthonysamy dimandi dan disembahyangkan di HM pagi ini sebelum dibawa keluar dari rumah mayat dengan kereta jenazah kira-kira pukul 11.30 pagi untuk dikebumikan.

Hadir sama di HM ialah ahli keluarga Anthonysamy termasuk anak lelakinya, Henry Anthonysamy, 38, yang kelihatan tenang dan bersalam dengan beberapa pegawai JAIM, Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Melaka sebaik sahaja jenazah bapanya dibawa keluar dari rumah mayat.

``Kami (JAIM) uruskan jenazah ayah awak ya,'' kata Setiausaha MAIM, Abd. Halim Tawil sambil bersalam dengan Henry yang kelihatan mengangguk-anggukkan kepalanya.

Anthonysamy mengalami keracunan dan meninggal dunia kira-kira pukul 1.30 pagi semalam setelah dimasukkan ke HM pada 12.30 tengah malam semalam.

Henry yang ditemui kemudian berkata, ahli keluarganya menerima kenyataan bahawa bapanya telah memeluk Islam selepas melihat dokumen berkaitan malam tadi dan tidak bercadang membawa kes ke mahkamah.

``Kami sekeluarga memang tidak tahu tentang perkara ini (Anthonysamy memeluk Islam) kerana sudah lebih 15 tahun tidak berhubung dengan bapa.

``Kami terima semua ini kerana sudah ada bukti dan pengesahan dari Jabatan Agama, buat apa panjangkan kes ini dengan bawa ke mahkamah, tak perlulah,'' katanya yang merupakan anak kelima daripada tujuh orang adik beradik.

Anthonysamy telah lama bercerai dengan isterinya dan tidak lagi berhubung dengan ahli keluarganya yang beragama Kristian sejak 15 tahun lalu.

Menurut Henry, dia datang ke HM hari ini bersama ahli keluarga yang lain untuk memberi penghormatan terakhir kepada bapanya.

Menurut Abd. Halim, sejak memeluk Islam, arwah tinggal bersama keluarga angkatnya, Mohd. Said Mat Desa, 47, di Merlimau.


Pemuda PAS : Islam akan dipertahankan walau apa jua harganya

Paya 31hb Januari : Pemuda PAS akan mempertahankan Islam dengan apa harga sekalipun.Pemuda PAS tidak sanggup lagi untuk melihat Islam dihina dan perkotak-katikkan oleh orang lain setelah Umno jelas gagal dalam mempertahankannya.Demikian tegas Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat Saudara Mazlan Aliman pada ceramahnya di sini semalam.

Sambil memberi amaran kepada menteri-menteri bukan Islam, beliau mengulangi kata-kata Allahyarham Ustaz Fadzil Noor suatu ketika dahulu apabila ada usaha untuk membuang nama Islam dari parti politik iaitu jangan undang Memali kedua.PAS juga katanya lagi sanggup mati kerana Islam.Ucapan beliau kemudiannya diiringi dengan laungan takbir dari hadirin.

Keberanian menteri-menteri bukan Islam itu menurut beliau lagi adalah kerana pemimpin Umno sendiri menunjukkan sikap tidak suka dengan Islam.

Mana mungkin mereka suka kepada Islam apabila ada VIP yang hampir tertangkap pada 29hb Disember lepas di dalam sebuah spa di Kuala Lumpur bersama dengan beberapa orang GRO.Perkara ini jelas menurut saudara Mazlan yang pemimpin Umno suka kepada budaya menipu, minum arak, perempuan dan berjudi.

“Kes Osu Sukam sebagai contohnya,”ujar beliau.

“Hutang beliau adalah sekitar RM50 hingga RM60 juta,”jelas beliau lagi kepada orang ramai.

Beliau kemudiannya mendedahkan lagi tentang ada pegawai pejabat agama yang memberitahunya berkenaan tingkah laku VIP yang menurutnya seringkali kelihatan berkepit dengan perempuan kesana kemari.

“Siapa yang nak dakwa mereka?,” Tanya beliau.

Ini menjadikan mereka (VIP) sentiasa kebal dari undang-undang tetapi apabila rakyat bawahan yang melakukan pasti akan dikenakan tindakan.

Beliau juga menyentuh tentang gejala sosial yang semakin parah sekarang ini.Beliau menyatakan bahawa kes bunuh di Malaysia sekarang ini semakin menjadi-jadi.Penjenayah semakin berani melakukan jenayah dimerata-rata tempat.

Ibubapa merasakan keadaan yang tidak selamat apabila bilangan kes rogol bunuh dikalangan pelajar semakin meningkat.

Menurutnya semua kecelaruan hidup yang berlaku kini adalah kerana kita membuang ajaran al-Quran dan as-sunnah.

Beliau akhirnya mengajak semua rakyat Malaysia agar mengenepikan Umno dan BN yang telah ternyata tidak boleh membela Islam seperti mana yang telah dilakukan oleh rakyat Palestin yang menolak Kumpulan Fatah dan juga rakyat Mesir yang memberikan sokongan yang kuat kepada Ikhwan.

Tuesday, January 31, 2006


LAPORAN POLIS UGUTAN BUNUH
Kategori : Petikan Akhbar

ALOR STAR 28 Jan. - Timbalan Setiausaha Kehormat Sahabat Alam Malaysia (SAM), Mohd. Azmi Abdul Hamid mendakwa menerima ugutan bunuh daripada seseorang yang tidak dikenali yang dipercayai mempunyai kaitan dengan projek kuari batu di Gunung Jerai, Yan.

Menurut beliau, ugutan itu diterima melalui telefon oleh isterinya di rumah, Rabu lalu yang turut mengancam untuk menculik anak-anaknya.

Sehubungan itu, beliau membuat laporan polis di Balai Polis Merbok kelmarin bagi menjamin keselamatan diri dan keluarganya.

Beliau percaya ugutan tersebut mempunyai kaitan dengan isu kuari berkenaan selepas kenyataannya disiarkan dalam akhbar berhubung perkara itu Rabu lalu.

``Lelaki itu mengugut isteri saya dengan berkata `awak sudah bikin saya susah. Sekarang saya mau bikin awak susah. Mau angkat cikgu dan anak-anak cikgu mau kasi mati.

``Orang itu beritahu lagi, kalau dia tidak dapat saya dalam dua tiga hari, dia akan ambil anak saya,'' katanya kepada pemberita di rumahnya di Merbok, hari ini.

Selasa lalu, 12 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) diketuai oleh Sahabat Alam Malaysia (SAM) mengancam untuk mengambil tindakan undang-undang jika kerajaan negeri terus berdiam diri berhubung isu kuari berkenaan.
Mohd Azmi berkata, pihaknya memberi tempoh selama sebulan kepada kerajaan negeri dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) supaya memberi maklum balas terhadap bantahan yang dikemukakan oleh penduduk kampung dan NGO berhubung isu itu.

Sunday, January 29, 2006


Pelancaran Skim Tanah Wakaf Bangunan PAS Kawasan Padang Besar
Oleh Mat Teropong
Kategori : Berita

Santan, Sabtu 28hb Januari : Penonjolan atau penampilan imej yang baik dan hebat sesebuah organisasi atau badan adalah perlu bagi menyatakan keutuhan atau keteguhan mereka.Ini boleh digambarkan dalam bentuk aset atau juga bangunan yang cantik, indah dan kukuh.Demikian kata Dato’ Dr.Haron Din dalam ucapan perasmian beliau untuk projek Skim Tanah Wakaf Bangunan PAS Kawasan Padang Besar semalam.

Beliau menambah lagi dengan memberikan contoh bagaimana disetiap bandar bangunan yang paling cantik, indah dan besar kebanyakkanya ialah bangunan syarikat kewangan.Mengapa mereka perlu kepada bangunan yang sebegitu? Ianya adalah kerana untuk menunjukkan kepada umum bahawa syarikat mereka adalah teguh.Seteguh bangunan mereka.

Beliau yang jelas gembira dengan skim tersebut kemudiannya menyarankan agar PAS Perlis membuat bangunan sendiri yang lebih baik sebagai mercu tanda.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Pesuruh Jaya PAS Perlis Ustaz Hashim Jasin, Yang Dipertua PAS Kawasan Kawasan Padang Besar, Haji Karim Mat Rejab, dan juga Yang Dipertua PAS Kawasan Kangar saudara Hairy Hashim.

Dalam majlis itu juga beliau turut menyentuh isu berkenaan desakan oleh sembilan menteri bukan Islam yang ingin agar perlembagaan 121 (1A) dikaji.Kata beliau bidang kuasa mahkamah syariah yang sedia ada amatlah kecil iaitu bidang kekeluargaan Islam sahaja.Jadi bayangkanlah apabila kuasa yang sekecil itu hendak dikecilkan lagi.

Hal ini berlaku kerana kuasa mahkamah syariah itu sendiri telah dikecil atau disempitkan oleh pemerintah.

“Siapa pemerintah di Malaysia?,” Tanya beliau kepada hadirin.

“Umno adalah tunjang utama pemerintahan di Malaysia dan parti-parti komponen BN yang lain adalah sebagai cabangnya.,” tambah beliau.

Beliau juga melahirkan kebimbangannya dengan perkara tersebut dan bagi beliau, cara penyelesaian yang dibuat tidak begitu menyakinkan.

Beliau yakin Umno akan ditekan oleh sekutu-sekutunya dengan isu itu pada masa hampir pilihanraya nanti.

Sehubungan itu beliau menyeru kepada semua ahli-ahli PAS agar bersatu mengajak masyarakat memberikan sokongan kepada perjuangan PAS yang akan mendaulatkan Islam di bumi Malaysia.

Akhirnya bekas Professor Universiti Kebangsaan Malaysia itu mengajak semua ahli-ahli PAS agar menyegerakan besedekah supaya tidak menyesal apabila maut datang menjemput nanti.Beliau kemudiannya memberikan contoh yang ada disebutkan Allah di dalam surah al-Munafikuun tentang penyesalan oleh orang yang tidak mahu bersedekah.

HAMAS dan IKHWAN pemangkin kebangkitan Islam
Oleh : Nikon
Kategori : Berita

Kangar 28hb Januari : Kemenangan HAMAS dalam pilihanraya Palestin semalam adalah sesuatu yang tidak dijangkakan oleh seluruh pihak di dunia.Dan pastinya HAMAS juga tidak menjangkakan kemenangan itu.Demikian pendapat yang disuarakan oleh Pesuruh Jaya PAS Perlis Ustaz Hashim Jasin ketika ditemui hari ini.

Kemenangan ini juga berkebetulan hampir masanya dengan kemenangan Ikhwanul Muslimin di Mesir menunjukkan kepada dunia bahawa Islam sekarang sedang bangkit.Tambah beliau lagi yang juga Naib Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat.

“Kebetulan saya ada menonton al-Jazirah dan dari perbincangan mereka semua itu, mereka sebenarnya dalam keadaan tidak menduga HAMAS akan menang,”ujar beliau.

Peristiwa ini menurut beliau lagi adalah persamaan peristiwa Perang Badar yang mana semua pihak tidak menyangka Islam akan menang walaupun dalam keadaan sedikit dan lemah.Ini semua tidak lain adalah kerana pertolongan dari Allah kepada pembantu-pembantuNya.

Akhirnya beliau berharap berita ini akan menjadi pemangkin kepada pejuang-pejuang Islam khususnya ahli-ahli PAS untuk terus memantapkan lagi perjuangan menegakkan Islam di bumi Malaysia.

Sementara itu dalam perkembangan berkaitan, Ketua Pemuda PAS Perlis, Ustaz Adnan Fadhil pula melontarkan satu persoalan kepada semua rakyat Malaysia iaitu bila lagi rakyat Malaysia akan memberikan sokongan yang tidak berbelah bagi kepada perjuangan Islam?

“Rakyat Mesir sudah berikan sokongan yang besar kepada Ikhwan.begitu juga Palestin sudah menolak Kumpulan Fatah.Rakyat Malaysia bila lagi?,” Tanya beliau.

Beliau menyifatkan ini adalah satu gelombang kebangkitan untuk Islam dan juga kesedaran yang tinggi diseluruh dunia iaitu Islam sahajalah sebagai jalan penyelesaian tunggal kepada permasalahan kehidupan.

Beliau juga berharap supaya ketakutan bukan menjadi penghalang utama kepada ahli-ahli PAS kerana rakyat Palestin telah membuktikan bahawa dalam keadaan takut dengan peluru Yahudi, mereka masih dapat memberikan kemenangan kepada HAMAS.

Saturday, January 28, 2006

Palestin: Hamas menang
Petikan Utusan

RAMALLAH 26 Jan. - Pergerakan Hamas memenangi pilihan raya Parlimen Palestin semalam dengan menawan majoriti kerusi dewan dalam keputusan mengejut yang dijangka mengacau-bilaukan proses damai Asia Barat.

Perdana Menteri Palestin, Ahmed Qorei mengumumkan beliau akan menyerahkan surat peletakan jawatannya kepada Presiden Mahmoud Abbas sambil menyatakan Hamas hendaklah menubuhkan kerajaan.

Pegawai kanan daripada parti pemerintah, Fatah yang menguasai politik Palestin sejak puluhan tahun mengakui mereka telah ditewaskan oleh Hamas yang bertanding dalam pilihan raya Parlimen buat julung-julung kali.

Satu sumber Suruhanjaya Pilihan Raya Pusat mengesahkan Hamas mendahului Fatah dengan kelebihan kerusi yang jelas setelah hampir semua undi dikira.

Keputusan rasmi dijadual diumumkan pada 7.00 malam (1.00 pagi waktu Malaysia) tetapi Hamas yakin akan menguasai majoriti mutlak di Parlimen 132 kerusi itu.

Israel dan Amerika Syarikat (AS) telah menyatakan mereka tidak akan berurusan dengan kerajaan Palestin yang dianggotai apatah lagi diterajui oleh Hamas.

Presiden Palestin, Mahmoud Abbas pula menegaskan beliau akan berundur jika beliau tidak lagi dapat meneruskan agenda perdamaiannya dengan Israel.

Pegawai pilihan raya Palestin mengesahkan Hamas memenangi hampir semua kerusi yang dipertandingkan di daerah pilihan raya di Tebing Barat dan Genting Gaza.

Separuh daripada kerusi dalam pilihan raya Parlimen semalam dipilih berdasarkan senarai parti di peringkat kebangsaan manakala separuh lagi dipilih mengikut daerah pilihan raya.

Tinjauan awal selepas pengundian malam tadi meramalkan kemenangan tipis bagi Fatah, dengan Hamas ketinggalan sedikit di tempat kedua.

Menurut tinjauan itu, baik Fatah mahupun Hamas tidak mempunyai cukup kerusi untuk membentuk kerajaan secara bersendirian dan terpaksa mengharapkan sokongan parti-parti kecil untuk menubuhkan kerajaan campuran.

Bagaimanapun pada pagi ini, pemimpin dan calon utama Hamas, Ismail Haniyeh berkata, pertubuhannya memenangi kira-kira 70 kerusi dewan.

Kemudian jurucakap Hamas, Sami Abu Zuhri berkata, mereka telah memperoleh majoriti mutlak dan memenangi sekurang-kurangnya 75 kerusi.

``Hamas telah memperoleh kemenangan besar. Negara-negara di rantau ini dan masyarakat antarabangsa perlu menghormati pilihan rakyat Palestin yang merupakan hasil demokrasi,'' kata Ismail.

Ditanya mengenai penyertaan Hamas dalam kerajaan Palestin jika kemenangan itu disahkan, Ismail enggan mengulas lanjut selain bercakap mengenai `perkongsian politik.'

``Berdasarkan keputusan awal ini, kami akan berunding dengan Presiden Abu Mazen (Mahmoud) dan saudara-saudara dalam Fatah mengenai bentuk perkongsian politik itu.''

Perbezaan antara tinjauan selepas pengundian dengan keputusan hari ini dipercayai berpunca daripada pengundian di peringkat daerah di mana Hamas berjaya mengeksploitasi perpecahan dalam Fatah.

Seorang anggota kanan Fatah, Saeb Erekat yang juga Menteri Perundingan Palestin berkata, keengganan Israel untuk menyambung semula rundingan damai dengan kerajaan pimpinan Fatah menjadi faktor di sebalik kekalahan parti itu.

``Israel tidak lagi menganggap kami sebagai rakan rundingan empat tahun lalu dan mereka juga tidak berhubung dengan Presiden kami yang dipilih oleh rakyat,'' katanya kepada Radio Tentera Israel.
Anwar saman Mahathir atas dakwaan memfitnah
Petikan Utusan Malaysia

KUALA LUMPUR 27 Jan. - Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memfailkan saman bagi menuntut ganti rugi daripada bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad atas dakwaan memfitnah beliau.

Anwar yang kini berada di Amerika Syarikat (AS) mendakwa Dr. Mahathir memfitnahnya dalam satu sidang akhbar di Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) pada 9 September tahun lalu.

Writ saman tersebut difailkan melalui firma guaman Tetuan S.N. Nair & Partners di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Sivil di sini petang ini.

Anwar bagaimanapun tidak menetapkan jumlah ganti rugi yang dituntut olehnya melalui saman tersebut.

Selain menuntut ganti rugi teruk, ganti rugi teladan dan ganti rugi pampasan, Anwar menuntut injunksi melarang defendan, ejen, pekerja atau sesiapa pun daripada melafaz, bercakap atau menerbitkan kata-kata menyinggung atau kata-kata yang mempunyai kesan terhadapnya atau memfitnah dirinya.

Dalam satu kenyataan ringkas yang dibaca oleh peguamnya, S.N. Nair, Anwar berkata meskipun Mahkamah Persekutuan telah membebaskannya pada September 2004, Dr. Mahathir tetap mengulangi tuduhan terhadapnya.

``Saya kini tidak mempunyai pilihan kecuali untuk meneruskan saman ini,'' menurut kenyataan itu lagi.

Dalam pernyataan tuntutannya, Anwar mendakwa, sidang akhbar Suhakam pada 9 September lalu itu dihadiri oleh beberapa wartawan dan perwakilan akhbar tempatan mahupun antarabangsa.

Dakwanya, Dr. Mahathir selaku defendan secara salah dan berniat jahat apabila bercakap mengenai plaintif (Anwar) dan kelakuannya sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Anwar yang kini merupakan pensyarah bersekutu kanan di St. Anthony's College, Universiti Oxford, United Kingdom dan profesor di Universiti Georgetown, Washington mendakwa, kata-kata menyinggung itu dalam maksud semula jadi dan biasa (natural and ordinary) adalah fitnah terhadapnya.

Anwar mendakwa, defendan melafazkan kata-kata tersebut dengan niat untuk merendah-rendahkan dirinya secara peribadi dan rasmi termasuk dalam kapasitinya sebagai bekas Menteri Kewangan dan bekas Timbalan Perdana Menteri.

Pada 23 September tahun lalu, Anwar menyerahkan surat tuntutan melalui peguamnya kepada Dr. Mahathir yang menuntut bekas Perdana Menteri memohon maaf secara bertulis dalam tempoh 14 hari kerana didakwa memfitnahnya, jika tidak akan disaman RM100 juta.

Jabatan Agama Perlis diminta tidak bersikap pilih kasih
Oleh BASHIR ISHAK
Kategori : Berita

BESERI, 26 Jan (Hrkh) - Kerajaan negeri khususnya Jabatan Agama Islam diminta tidak mengamalkan sikap pilih kasih dalam isu-isu berkaitan agama.Ketua Dewan Ulama PAS Perlis, Ustaz Ahmad Ali membuat seruan tersebut ketika diminta mengulas cadangan mendakwa umat Islam di negeri ini yang gagal menunaikan solat Jumaat tiga kali berturut-turut.

"Kita nampak cadangan ini amat baik, namun bagaimana pula sikap mereka dengan isu lain berkaitan agama khususnya di pihak PAS?," soalnya.

Akhbar Harian Metro semalam melaporkan Exco Agama Islam negeri, Dato' Abu Bakar Ismail memberikan kenyataan berkenaan cadangan tersebut.

Dalam perkara ini, Ustaz Ahmad melihat wujudnya sikap "double standard" di pihak kerajaan apabila berhadapan dengan pihak yang tidak sealiran dengan mereka walaupun dalam isu berkaitan agama.

"Apabila PAS Perlis tubuhkan sekolah agama, mereka katakan sekolah itu haram sehinggakan Exco berkenaan seringkali membangkitkannya apabila Dewan Undangan Negeri bersidang. Bila kita minta nak daftar dengan Jabatan Agama, mereka tidak jawab pula," jelasnya.

Tambah beliau lagi, kerajaan turut mengambil tindakan terhadap sebuah surau yang menjalankan aktiviti agama dengan alasan tidak mendapat kebenaran Jabatan Agama, walhal ianya adalah untuk tujuan kebaikan dan tidak bercanggah dengan hukum.

"Apa yang jelas mereka hanya takut dengan pengaruh pihak yang tidak sealiran dengan mereka yang mahu berbuat kebaikan dengan aktiviti agama yang dijalankan serta diterima umum," katanya.

Ustaz Ahmad melihat cadangan kerajaan yang membawa ke arah kebaikan ini tidak selari dengan sikap mereka terhadap dua isu yang disebutkan di atas.

"Pada satu masa mereka nak buat kebaikan dan waktu lain menentang pula. Sepatutnya Exco Agama kena sokong apa sahaja perkara yang baik berkaitan agama," tambahnya lagi.

Tuesday, January 24, 2006


Jangan bubarkan skuad sukarela tajaan MAIWP
Oleh : Mat Teropong
Kategori : Berita

Kangar 23hb Januari : Apabila disebutkan “Bil Hikmah” didalam berdakwah ianya bermaksud kebijaksanaan seseorang itu dalam melaksanakannya.Ianya juga berkait rapat dengan ilmu pengetahuan, kemahiran dan juga kecekapan.Kesemuanya itu hendaklah disesuaikan dengan masa, tempat dan juga siapa yang hendak kita dakwah.Demikian menurut Ustaz Taib Azzamuddin mantan Imam Besar Masjid Negara ketika diminta mengulas tentang pembubaran skuad sukarela tajaan MAIWP atas arahan kabinet pada 20hb Januari lepas.

Pada 16hb Januari lalu, skuad ini telah dirasmikan oleh Pengarah JAWI, Che Mat Che Ali di Putrajaya.Skuad ini bertujuan untuk memerangi gejala sosial di kawasan tersebut.Ianya juga bertujuan untuk membantu masyarakat yang mengalami kesusahan dan pelbagai tugas-tugas kebajikan lain.Skuad itu kemudiannya dikatakan sebagai skuad pengintip oleh penentang kepada penubuhan skuad itu.

Menurut Ustaz Taib lagi, untuk membasmi masalah, terdapat banyak cara dan ianya bergantung kepada permasalahan itu sendiri.Contoh yang beliau kemukan ialah apabila terdapat masalah di dalam kelas, guru akan gunakan kaedah berbincang dengan pelajarnya kerana skop guru itu kecil iaitu hanya di dalam kelas sahaja.Dia boleh memerhatikan semua pelajarnya secara dekat.

Tetapi apabila ianya melibatkan permasalahan umum, kita kena membuat pemerhatian yang menyeluruh untuk memahami dan membanteras masalah itu kerana skopnya adalah luas.Maka pada pandangan beliau mesti ada skuad pemantau.

“Tindakan MAIWP itu bagi saya adalah tindakan yang berhikmah.Kita tidak cukup tenaga untuk membasmi penyakit masyarakat ini”, Ujarnya menyokong tindakan MAIWP.

Beliau kemudiannya membidas pihak yang beralasankan hak asasi manusia sebagai perisai untuk melakukan maksiat dan dosa

“Kenapa harus dijadikan alasan hak asasi manusia.Pasukan keselamatan negara juga mempunyai skuad perisik yang merisik dan mengintai perlakuan orang dan kemudiannya melaporkan kepada ketua mereka.Tidakkah itu dinamakan mencabuli hak asasi manusia?”, Tanya beliau kepada kumpulan tersebut.

"Perisik negara diperlukan untuk mencegah masalah dari permulaan lagi bukan ketika ianya sudah merebak.Dan ini jugalah yang MAIWP cuba lakukan", Tambah beliau lagi.

Beliau menjelaskan lagi, sekiranya hak asasi manusia diambil kira didalam semua perkara maka kita sebenarnya tiada tanggungjawab untuk menghalang jenayah, dosa dan segala perkara yang membahayakan kehidupan kita kerana semua orang akan memberikan alasan hak asasi mereka dicabuli apabila ditangkap.

Beliau juga berharap agar kabinet menarik balik arahan pembubaran skuad itu tetapi sebaliknya beliau mencadangkan agar diberikan latihan secukupnya kepada anggota-anggotanya agar dapat membantu MAIWP dan JAWI dalam agenda mereka untuk menghapuskan penyakit masyarakat itu.

Dalam soalan yang lain apabila ditanya adakah sesuatu yang terselindung disebalik kekecohan akta 121 (1A) baru-baru ini, beliau menjawab mungkin ada dan beliau juga tidak menolak kemungkinan ini adalah permulaan kepada penerimaan Suruhanjaya Antara Agama (ICF).

HEBAHAN AKTIVITI


1.Kuliah maghrib oleh Ustaz Fitri Abdullah (bekas mubaligh Hindu) akan diadakan di Surau Taman Jali Kangar Perlis.Kuliah dijadualkan pada hari Khamis 26hb Januari 2006 bertajuk “Hijrah mencari hidayah Ilahi”. Sila bawa bersama tikar atau sejadah untuk solat Isyak berjemaah.TV akan disediakan oleh pihak surau.Datanglah beramai-ramai bersama sahabat handai ataupun keluarga bagi mendengar kuliah ini.

2.Kuliah Dhuha oleh Ustaz Fitri Abdullah akan diadakan di Dewan Haji Mina, Megat Dewa, Kodiang, Kedah.Kuliah dijadualkan bermula pada pukul 9.00 pagi, Jumaat 27hb Januari 2006.Untuk anda yang tidak berkesempatan intuk menghadirkan diri di Surau Taman Jali, anda masih berpeluang untuk mendengarnya di Megat Dewa.

3.Kuliah maghrib bulanan oleh Dato’Dr.Haron Din di MADI, Jejawi Dalam, Arau pada hari Sabtu 28hb Januari 2006.Kuliah yang akan disampaikan bertajuk “Perbandingan Agama”.Ianya adalah kuliah bersiri.Datanglah beramai-ramai ke majlis ilmu ini supaya bertambah lagi kefahaman kita terhadap perbezaan antara agama.
Pemuda Perlis akan anjur 'Karnival Sukan Rakyat'
Oleh BASHIR ISHAK
Kategori : Berita

KANGAR, 23 Jan (Hrkh)- Dewan Pemuda PAS Perlis (DPPPs) akan menganjurkan “Karnival Sukan Rakyat Musim Timur” sempena musim kering di negeri Perlis sekarang ini.Menurut Ketua DPPPs, Ustaz Ahmad Adnan Fadzil, karnival sukan ini akan berlangsung pada 11 dan 12 Februari akan datang bertempat di tapak Kompleks Tarbiyah PAS Kampung Surau, Utan Aji dekat sini.

Dua acara akan dipertandingkan iaitu pertandingan wau dan bola sepak bendang lima sepasukan.
Menurutnya lagi, karnival ini adalah untuk mendekatkan lagi PAS dengan masyarakat terutamanya golongan muda, di samping menghidupkan sukan rakyat yang popular masa dulu.

"Kita mahu menghidupkan dua acara sukan yang dimainkan di kampung pada masa lalu, sekaligus memperkenalkannya kepada generasi muda yang ramai tidak pernah melihat atau bermain permainan tersebut," katanya.

Bola sepak bendang lima sepasukan adalah terbuka untuk mana-mana pasukan yang berminat, manakala pertandingan wau terbang tinggi adalah untuk individu.

Kepada yang berminat, sila hubungi Sham (019-5713638), Din (012-4276175), Yus (019-5638337) atau Amiruddin (04-9761836).
Promosi menjadi Menantu Perdana Menteri. Sah selagi Abdullah PM
Kategori : Surat Pembaca

Tawaran ini hanya terbuka khas kepada rakyat Malaysia yang sanggup “bertuankan” Singapura. Barang siapa yang memenangi tawaran ini, dia pastinya akan berjaya memiliki sekurang-kurangnya 3 peratus saham sebuah syarikat bernilai RM9.2 juta yang akan mengalami kenaikan harga lebih 50%. Dan barang diingat, transaksi ini tidak perlu dibimbangkan kerana tiada siapa yang akan berani mencabar kesahihan pembelian sebegini kerana semua institusi keadilan berada di bawah telunjuk Jabatan Perdana Menteri.

Menantu PM juga berhak menyaman malu mana-mana pihak yang “memfitnahnya” kerana penguasaan mutlak PM ke atas cabang institusi kehakiman. Di samping boleh mengaut kekayaan dalam negeri dan luar negeri sebanyak mana yang diingini, menantu PM juga layak memerintah Malaysia secara di belakang tabir lantaran perdana menteri adalah seorang insan yang tolol dan tidak pandai memerintah amat bergantung harap kepada si menantu, sambil mengetepikan pegawai kerajaan yang begitu berpengalaman dan terlatih serta terpilih, yang dipaksa mengikut sahaja apa yang dia pilih dan putuskan.

Bayangkan betapa hebatnya si menantu sehingga mampu menaikkan sesiapa sahaja yang dia gemari dan melucutkan jawatan sesiapa sahaja yang dia benci disebabkan perdana menteri merangkap bapa mertuanya wajib menuruti segala tunjuk ajarnya sebagaimana terlucutnya gelaran menteri terhadap seorang yang berasal dari negeri adat pepatih.

Rombakan kabinet besar-besaran yang akan berlaku tidak berapa lama lagi juga pastinya akan menuruti permainan caturnya.Sesiapa sahaja yang berjaya menjadi menantu PM juga mampu menjual segala aset strategik negara kepada syarikat di Singapura demi mengaut keuntungan jangka pendek tanpa mengambil kira kepentingan keselamatan negara atau kerugian negara pada jangka masa panjang. Ekuiti syarikat yang strategik seperti Pantai Holdings yang memiliki kontrak perbekalan ubat ke seluruh hospital kerajaan amat wajar diluluskan penjualan majoriti sahamnya kepada sebuah syarikat yang beroperasi di Singapura demi menjamin masa depan kesihatan seluruh jiwa rakyat Malaysia yang cemerlang, gemilang dan terbilang.

Dengan menjadi menantu PM, dia juga mampu mengarahkan bapa mertuanya untuk membincangkan secara khusus tentang isu kematian seorang budak Cina yang bekerja di Ethos Consulting yang mati dihempap acuan simen seberat 2 tan dalam mesyuarat kabinet sehingga kabinet meluluskan penubuhan jawatankuasa bebas menyiasat perkara tersebut demi menenangkan hati resahnya kalau-kalau kejadian ini ada sebarang unsur sabotaj kerana budak Cina tersebut adalah proksinya dalam menjaga aset kekayaan si menantu.

Antara keistemewaan lain sebagai seorang menantu PM, dia berkuasa melantik seorang budak bekas jurujual kereta terpakai menjadi kepala kepada satu biro yang merekrut budak-budak Melayu dalam lingkungan usia antara 18 hingga 25 tahun sebagai anggotanya (sebenarnya ditubuhkan bagi menyaingi kedudukan ketua menantu PM) dan berkuasa menyelamatkan budak itu ketika menghadapi serbuan polis di sebuah spa dengan meloloskan dirinya melalui pintu belakang. Si anak menantu kemudiannya boleh mengarahkan budak tersebut membuat pengakuan bahawa si budak sebenarnya ada di Kedah ketika kejadian itu.

Di samping itu, sang menantu akan berjaya memenangi jawatan Ketua Pemuda Umno Malaysia secara sah melalui pertandingan dalam pemilihan Umno 2008 selepas pilihanraya umum 2007 apabila dia berpakat dengan seorang insan yang gila kuasa dan berani menentang arus yang bernama Zahidi Zainul Abidin dari Perlis supaya Zahidi menjalankan kempen tidak rasmi untuk bertanding jawatan tersebut melawannya.

Dengan itu, Zahidi yang mempunyai otak Yahudi berjaya mendapatkan restu daripada Muhkriz untuk mencabar sang menantu bagi pihak Mukhriz. Dan ianya dapat mengelakkan menantu kesayangan PM daripada terpaksa menghadapi tentangan buku dengan ruas apabila berdepan dengan Mukhriz yang pastinya mampu mengalahkan menantu PM kerana bapanya Tun Dr Mahathir secara diam-diam mempunyai pengaruh yang lebih besar di kalangan grass root Umno berbanding dengan bapa mertua si menantu.

Sekiranya pakatan rahsia ini kekal sehingga ke tahun pemilihan, Mukhriz akan ditamatkan riwayat politiknya di samping Najib dan Hishamudin akan turut sama terkena tempias bahang tersebut. Zahidi yang sememangnya akan kalah dalam pertandingan menentang si menantu dengar khabarnya dijanjikan dengan jawatan sebagai MB Perlis oleh si menantu yang merupakan perdana menteri de facto. Zahidi dijamin seratus peratus akan kalah kerana beliau merupakan seorang bekas mahasiswa UiTM yang terkandas pada tahun kedua pengajiannya kerana gagal melepasi CGPA yang minima dan kemudiannya cuma membeli segulung ijazah dari sebuah universiti Amerika Syarikat melalui sebuah kolej di Jalan Chow Kit ketika menjadi Adun biasa di Perlis.

Bayangkan Zahidi yang pernah menjawat pangkat terendah dalam Tentera Udara DiRaja Malaysia ini melawan sang menantu PM yang merupakan lulusan Oxbridge, tentulah perwakilan akan memilih tokoh yang lebih hebat. Seterusnya, sesiapa sahaja yang berjaya menjadi menantu PM akan terus menokok naik dalam hieraki kepimpinan parti sehingga ke peringkat jawatan Presiden merangkap perdana menteri menjelang usianya mencecah 40 tahun.

Betapa hebatnya jika sesiapa berjaya mencapai status ini kerana asalnya daripada hanya sebagai seorang budak hingusan yang tidak dipedulikan ramai dapat merubah diri menjadi seorang yang terkenal, kaya dan berpengaruh serta ditakuti ramai kerana mengamalkan strategi mematikan karier musuh (resipi kejayaan dengan menganut fahaman Machevialian- “matlamat menghalalkan cara”).

Bagi sesiapa yang berminat untuk menjadi menantu PM, diharap bersegeralah anda menyahut tawaran ini dengan menelefon pengiklan di nombor telefon 012-221 4444 (hotline) untuk mengetahui sebarang maklumat lanjut. Ingat! Tawaran ini hanya sah selagi mana bapa mertua anda masih menjadi perdana menteri.

-dipetik dari: Forum umno-reform.com


Terima kasih kepada pengirim
SIARAN MEDIA
24 JANUARI 2006

12 NGO DAN MASYARAKAT SETEMPAT LANCARKAN KEMPEN
SELAMATKAN GUNUNG JERAI DARIPADA PROJEK KUARI


12 NGOs dan masyarakat setempat iaitu, Angkatan Sahabat Alam Sekitar Merbok (ASAS, Merbok), Angkatan Sahabat Alam Sekitar Kerpan ( ASAS, Kerpan ),Consumer Association of Penang ( CAP), Sahabat Alam Malaysia ( SAM ), Badan Nelayan Prihatin Kedah, Persatuan Ulama’ Kedah (PUK), Badan Bertindak Membantah Kuari Singkir, Gunung Jerai, TERAS Pengupayaan Melayu ( TERAS ), Badan Bertindak Membantah Kuari Bukit Enggang, Sik, United Rural Citizens Association of Kedah ( RURAL CITIZENS ), Institiut Pengembelingan dan Pembangunan Komuniti (IMPAK) dan Kumpulan Prihatin Alam Sekitar Kedah ( ALAM ), melancarkan kempen "Selamatkan Gunung Jerai", berikutan cadangan projek kuari di Kompartmen 16 Hutan Simpang Gunung Jerai serta kemusnahan kawasan serta bencana yang dialami penduduk setempat, akibat aktiviti pembalakan dan kerja-kerja tanah.

Berdasarkan tinjauan yang dijalankan oleh pihak kami dan masyarakat setempat, sudah terdapat jentera berat di kawasan aktiviti kuari yang dicadangkan pada masa kini. Keadaan ini menimbulkan kebimbangan penduduk sekiranya projek tersebut diteruskan. Pada 25-26 Jun 2004, akibat aktiviti kerja tanah dan pembalakan di Kompartmen 16 yang dilakukan, telah berlakunya banjir lumpur di kawasan kampung berhampiran, jatuhan bongkah batu ke dalam dusun penduduk kampung yang juga mengancam nyawa dan mencemar saliran air.

Pihak SAM juga telah menghantar surat, kepada Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar bertarikh 7 Disember 2005 dan 17 Januari 2006, bagi tujuan mengetahui status EIA yang dihantar oleh pihak pemaju, serta memaklumkan kemasukan jentera berat ke kawasan tersebut. Namun sehingga kini pihak SAM masih belum mendapat jawapan mengenai status EIA bagi kuari tersebut.

Projek ini tidak boleh bermula selagi EIA tidak diluluskan bagi projek tersebut. Tambahan pula, kami telah pun menyeru kepada JAS untuk tidak meluluskan EIA tersebut kerana projek ini melanggar Rancangan Struktur Majlis Daerah Yan 1995-2020, yang telah diluluskan pada 3 hb Jun 1997 serta Akta Perancang Bandar dan Desa 1976.

Kami juga mendesak dengan tegas syor-syor yang terdapat dalam Rancangan Struktur Majlis Daerah Yan 1995-2020 yang menyatakan bahawa Hutan Simpan Gunung Jerai perlu dikekalkan dan segala pembangunan yang akan dicadangkan di kawasan tersebut mestilah tidak menjejaskan ekologi serta kualiti hutan. Oleh kerana tempat tersebut adalah sensitif, Pelan Struktur menegaskan keperluan Jabatan Perhutanan perlu mewartakan kawasan tersebut sebagai ‘hutan tadahan air’.

Bersempena dengan hari keputeraan DYMM Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah, yang ke 78, maka kami mewakili 12 NGO dan penduduk tempatan, merayu agar DYMM Tuanku Sultan dapat campurtangan berhubung isu kemusnahan alam sekitar ini, yang melibatkan cadangan kuari yang terlalu hampir dengan kawasan penduduk kampong dan teleh membawa penderitaan kepada penduduk Kampung Singkir Yan. Harapan kami terlalu besar agar DYMM Tuanku Sultan dapat mengatasi masalah rakyat di kawasan ini yang semakin tertekan dengan situasi yang terkini.

Kami juga menggesa Menteri Besar Kedah yang baru YAB Datuk Mahdhir Khalid, agar projek itu tidak diteruskan dan dengan segera menarik balik keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (No.7(E)159/2001) pada 12 hb September 2001, yang menyerahkan Kompartmen 16, Hutan Simpan Gunung Jerai yang merupakan hutan simpanan kekal kepada Syarikat Kemelong & Sankojaya Construction sebagai harta persendirian (private property) kerana bertentangan dengan undang-undang, berdasarkan Rancangan Struktur Majlis Daerah Yan.

Pendirian kami bahawa projek ini bertentangan dengan Rancangan Struktur Majlis Daerah Yan diperkukuhkan oleh Pengarah, Bahagian Perundangan, Perancangan dan Kawal Selia ; Jabatan Perancangan Bandar dan Desa, Semenanjung Malaysia yang terkandung dalam surat kepada SAM bertarikh 3 Ogos 2004 yang seperti berikut:-

Jabatan ini mengambil maklum akan aduan pihak tuan berhubung dengan perkara di atas. Setelah semakan dibuat, sememangnya jabatan ini mendapati projek ini adalah bertentangan dengan Rancangan Struktur Majlis Daerah Yan 1995 - 2020 ). Rancangan Struktur berkenaan mengesyorkan bahawa kawasan tapak terlibat dikekalkan sebagai kawasan hutan tadahan air tidak diterokai, bagi kegunaan aktiviti pertanian, sumber air dan seterusnya mengelakkan dari berlakunya banjir. Semakan juga mendapati tiada permohonan Kebenaran Merancang dibuat oleh syarikat berkenaan kepada Majlis Daerah Yan.”

Kami juga menyeru Menteri Besar Kedah untuk juga mengambil maklum mengenai bantahan penduduk, kerana penduduk sekitar kuari itu telah dan akan mengalami kesan langsung akibat aktiviti kuari. Penduduk melalui Badan Bertindak Membantah Projek Kuari Singkir, telah menyatakan bantahan terhadap projek ini melalui kenyataan media dan wakil-wakil penduduk juga telah menghantar memo bantahan kepada Perdana Menteri Malaysia dan Bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Syed Razak Syed Zain. Walaubagaimanapun tidak sebarang sambutan diberi kepada gesaan penduduk ini.

Kami berharap agar Menteri Besar Kedah kini menghormati undang-undang Akta Perancang Bandar dan Desa dan memberi kesan kepada syor-syor di Rancangan Struktur Majlis Daerah Yan dan seterusnya menolak projek kuari tersebut, serta mewartakan kawasan Gunung Jerai sebagai kawasan tadahan air.

Kami juga bertegas yang pihak JAS sendiri boleh dicabar dari sudut undang-undang sekiranya kelulusan diberi bagi projek yang bertentangan dengan Rancangan Struktur tersebut.


Mohd Azmi Abdul Hamid
Penolong Setiausaha Kehormat, SAM
b/p ‘Kempen Selamatkan Gunung Jerai’

1. Angkatan Sahabat Alam Sekitar Merbok (ASAS, Merbok)
2. Angkatan Sahabat Alam Sekitar Kerpan ( ASAS, Kerpan )
3. Consumer Association of Penang ( CAP )
4. Sahabat Alam Malaysia ( SAM )
5. Badan Nelayan Prihatin Kedah
6. Persatuan Ulama’ Kedah ( PUK )
7. Badan Bertindak Membantah Kuari Singkir, Gunung Jerai
8. TERAS Pengupayaan Melayu ( TERAS )
9. Badan Bertindak Membantah Kuari Bukit Enggang, Sik
10. United Rural Citizens Association of Kedah ( RURAL CITIZENS )
11. Institiut Pengembelingan dan Pembangunan Komuniti ( IMPAK )
12. Kumpulan Prihatin Alam Sekitar Kedah ( ALAM )

Sunday, January 22, 2006

Dewan Pemuda PAS Negeri Pulau Pinang
1521, Markaz Tarbiyah PAS,
13200 Pongsu Seribu
Kepala Batas,
Pulau Pinang.

Kenyataan Akhbar
22 Januari 2006

Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang kesal dengan tindakan beberapa pemimpin kaum bukan Islam mengemukakan memorandum secara terbuka terhadap peruntukan undang-undang dalam perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan.

Tanpa menafikan bahawa perlaksanaan demokrasi di Malaysia membenarkan mana-mana pihak memberikan pandangan dan cadangan mereka tetapi perlulah disedari bahawa perkara-perkara yang membabitkan agama Islam tidak boleh dipertikaikan sama sekali oleh mana-mana pihak.

Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang berpandangan bahawa isu yang sangat sensitif dan boleh membawa kepada perbalahan agama serta menggugat keamanan negara ini adalah berpunca daripada kedegilan UMNO yang tidak mahu melaksanakan Islam secara menyeluruh sehingga mereka gagal memahamkan masyarakat bukan Islam di Malaysia ini tentang ajaran Islam yang sebenar.

Sekiranya masyarakat bukan Islam memahami ajaran Islam sebenar khususnya perundangan syariah, sudah pasti isu ini tidak akan berbangkit sama sekali dan masyarakat bukan Islam tidak perlu bimbang berkenaan hak-hak mereka.

Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang ingin mengingatkan bahawa sudah tiba masanya UMNO akur dengan sirah Rasulullah s.a.w sewaktu baginda memimpin negara Islam Madinah. Masyarakat yang dipimpin adalah berbilang bangsa dan agama. Namun Baginda diberikan kepercayaan sepenuhnya untuk memimpin negara berdasarkan Islam dan melaksanakan perundangan Islam keseluruhannya. Rakyat di bawah pemerintahan Baginda yang majoritinya bukan Islam boleh menerima ajaran Islam tanpa perasaan tidak puas hati dan mendakwa bahawa hak-hak mereka terabai.

Rahsia kejayaan Rasulullah s.a.w adalah berdasarkan firman Allah S.W.T yang bermaksud :
" dan janganlah disebabkan kebencian kamu terhadap sesuatu kaum lalu kamu tidak berlaku adil, berlaku adillah kerana adil itu hampir kepada taqwa.. "
(Al-Maidah ayat 8).

Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang dengan ini menegaskan bahawa perlunya kepada perlaksanaan undang-undang Islam yang sebenar berdasarkan kepada Al-Quran dan As-Sunnah di negara ini. Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang juga mengajak seluruh masyarakat terutama masyarakat bukan Islam supaya berusaha memahami dan merpercayai ajaran Islam yang sebenar bagi menjamin kesejahteraan hidup di dunia ini dan kehidupan selepas mati.


AZIZI BIN AYOB
KetuaDewan Pemuda PAS Pulau Pinang

Friday, January 20, 2006

PENGUMUMAN
KAMI MEMOHON MAAF DIATAS KEGAGALAN KAMI UNTUK
MENYIARKAN BERITA BEBERAPA MINGGU INI.INSYA ALLAH
KAMI AKAN KEMBALI SECEPAT MUNGKIN SELEPAS BEBERAPA
MASALAH YANG KAMI HADAPI DAPAT DISELESAIKAN.

Monday, January 09, 2006


ASSALAMUALAIKUM

KAMI MEWAKILI WARGA PEMUDA PAS KAWASAN KANGAR
INGIN MENGUCAPKAN SELAMAT MENYAMBUT
HARI RAYA KORBAN KEPADA SELURUH UMMAT ISLAM
DIMANA JUA ANTUM BERADA.

HARAPAN KAMI SEMOGA EID ADHA KALI INI AKAN
MEMBERIKAN SATU KEKUATAN BARU KEPADA
KITA SEMUA.

TIADA PENGORBANAN YANG LEBIH MULIA DARIPADA
PENGORBANAN YANG DILAKUKAN KERANA ALLAH.

MARILAH SAMA-SAMA KITA MENGAMBIL CONTOH
DIATAS PENGORBANAN YANG TELAH DILAKUKAN
OLEH NABI ISMAIL A.S DAN JUGA HABIL YANG MANA
PENGORBANAN MEREKA INI TELAH DITERIMA ALLAH
KERANA MEREKA MELAKUKAN ITU KERANANYA.

AKHIRNYA KAMI JUGA INGIN MERAKAMKAN UCAPAN
TERIMA KASIH KEPADA SEMUA PEMBACA PEGHELIH LA…
KERANA SUDI MENGUNJUNGI LAMAN KAMI.
ANDA ADALAH PEMANGKIN SEMANGAT KEPADA KAMI
UNTUK TERUS BERKERJA.

ALLAHU AKBAR, ALLAHU AKBAR, ALLAHU AKBAR
WALILLAH HIL HAMD.

Sunday, January 08, 2006

PERUTUSAN EID ADHA DARI KETUA PEMUDA PAS PERLIS
USTAZ AHMAD ADNAN FADHIL
Bismillahir rahman nirrahim
Allah hu Akbar, Allah hu Akbar, Allah hu Akbar Walillah hil hamd.Segala puji bagi Allah.Selawat dan salam keatas junjungan besar kita nabi Muhammad s.a.w, ahlul bait serta para sahabat baginda sekelian.
Bersempena hari raya korban tahun ini, saya mewakili Dewan Pemuda PAS Perlis ingin mengucapkan selamat menyambut hari raya korban kepada semua umat Islam sekelian khususnya kepada para pendukung perjuangan Islam dan orang-orang yang giat memperjuangkan keadilan dan kebenaran agar ianya terus terbela di atas muka bumi ini.
Semoga dengan kehadiran hari raya korban ini, akan meningkatkan lagi semangat pengorbanan kita untuk agama Allah.Sebagai umat Islam kita telah dianugerahkan oleh Allah dua nikmat yang paling berharga bagi umat manusia iaitu nikmat iman dan Islam.Dengan dua nikmat ini kita dapat mengenal Allah, dapat mengenal Islam dan dapat berada di atas jalan kebenaran semasa hayat kita di dunia ini.
Bagi melahirkan rasa syukur kita diatas anugerah Allah itu, kita hendaklah sentiasa bersedia untuk berkorban dan berjihad bagi menjulang kemuliaan agama Allah di atas muka bumi ini.Ingatlah firman Allah dalam surah al-Kautsar yang bermaksud:
"Sesungguhnya kami telah kurniakan kepadamu nikmat yang banyak maka tunaikanlah
solat (sembahyang) dan sembelihlah korban.Sesungguhnya orang yang mengeji kamu dialah
yang terputus dari rahmat Allah"
Akhirnya dikesempatan ini saya memohon kemaafan dari sahabat-sahabat dan juga dari sekelian kaum muslimin dan muslimat yang mengenali saya jika ada salah dan silap yang telah saya lakukan.Semoga kita semua akan sentiasa dikurniakan rahmat dan kekuatan oleh Allah.Wassalam

Saturday, January 07, 2006

Pelajar-pelajar tahun satu di SRI al-Furqan Padang Siding, Arau
Pelajar-pelajar tahun satu di SRI at-Taqwa Beseri

Antara pelajar di PASTI Taman Jali

Dimanakah silapnya…..?
Oleh : Nikon
Kategori : Laporan Khas

Kekurangan pelajar yang mendaftar di Sekolah Agama Rakyat (SAR) di negeri Perlis amat dikesali.Keluhan itu disuarakan oleh Ustaz Yaakob Abu Seman, Mudir Sekolah Rendah Islam at-Taqwa (SRI at-Taqwa) Beseri.

Beliau menyuarakan kekecewaan beliau itu kepada Peghelih La ketika ditemui pada siri lawatan wakil Peghelih La ke sekolah-sekolah agama dan PASTI Perlis di SRI at-Taqwa semalam.

Menurut beliau, jumlah borang yang diambil oleh ibubapa ialah sebanyak 20 keping.Malangnya yang menghantarnya kembali hanya 10 keping sahaja.

Bayangkanlah, di Perlis hanya ada tiga buah SAR yang mana dua daripadanya ialah untuk pendidikan sekolah rendah.Dan jumlah keseluruhan yang mendaftar bagi tahun satu bagi sesi 2006 ini ialah 19 orang sahaja iaitu 10 di SRI at-Taqwa dan sembilan orang lagi ialah di Sekolah Rendah Islam al-Furqan, Padang Siding, Arau.

Ada juga katanya yang telah berjanji untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah itu tetapi bertukar fikiran pada saat akhir.

“Nanti kalau ada majlis tahlil ke baca yaasin ke tak payah nak panggil orang surau dan ustaz lagilah sebab semua dah pandai-pandai belaka pasal agama ni”ujar beliau secara berseloroh.

Apa yang beliau suarakan itu adalah betul walaupun dalam nada berseloroh kerana kalangan ummat Islam kini semakin tenggelam dalam keduniaan tetapi masih belum sedar akan peri pentingnya pelajaran agama kepada anak-anak mereka.

Bukanlah kerana tahlil atau membaca yaasin sebagai alasan utama yang difikirkan apabila menggalakkan mereka-mereka ini untuk menghantar anak-anak ke SAR, lebih dari itu ialah SAR insya Allah, akan dapat memberikan perisai kehidupan yang paling kuat dan ampuh untuk menahan serangan dari musuh Islam yang sedang menanti untuk membaham kita semua.

Apa yang lebih menyedihkan lagi ada dikalangan orang-orang ini yang sentiasa menggelarkan dasar sekular kepada dasar pendidikan negara tetapi dalam masa yang sama tetap menghantar anak-anak mereka ke sekolah “sekular” tersebut.

Adakah ini memang telah menjadi amalan kita semua dalam menghadapi ancaman musuh iaitu dengan hanya bersembang sahaja tanpa tindakan? Dan sentiasa pula mencari kelemahan dan kekurangan pimpinan untuk dijadikan bahan gossip di kedai kopi?

Sepatutnya kita semua kena menyedari akan kelemahan kita didalam perjuangan iaitulah cakap kosong yang tiada tindakan susulan.

Kalau dalam mesyuarat, kitalah juara mengkritik, menghentam dan mempertikaikan aktiviti-aktiviti yang telah dilakukan.Itu tak kena ini tak betul.Akan tetapi bila dicalonkan nama untuk menjalankan amanah dan tanggungjawab kitalah orang yang pertama tampil dengan pelbagai alasan untuk mengelak.Maklumlah jawatan tiada ber elaun.

Bukanlah hendak disempitkan pemikiran dengan tidak membenarkan mengkritik.Kritiklah semahunya kalau memang benar ada kesalahan tetapi datangkan kritikan itu bersama penyelesaiannya.

Kalau hanya tahu mengkritik tetapi tidak mahu memberikan jalan keluar (ataupun tidak tahu jalan keluar kerana sibuk mengkritik sahaja) dibimbangi akan menimbulkan kekeruhan diantara kita dan orang yang dikritik kerana orang yang mengkritik pekerjaan orang lain tanpa menghadirkan kritikan itu bersama dengan jalan penyelesaian adalah orang yang tidak tahu menghormati penat lelah pekerjaan orang lain.

SAR di Perlis yang ana kemukan ini adalah satu contoh terbaik untuk difikirkan.Masa SAR mula-mula ditekan dahulu, begitu bersemangat semuanya melawan dan menentang. Tetapi kini SAR tinggal keseorangan……sepi tanpa teman.

Di sesetengah tempat SAR pula dikritik balik diatas pelbagai alasan yang mereka fikirkan munasabah.Makin bertambahlah luka dihati.

Sedarlah wahai sahabat-sahabatku bahawa perjuangan kita bukan hanya atas dasar pilihanraya atau ketika mana sesuatu isu besar menjelma sahaja sahaja tetapi ianya menyeluruh dan berterusan sehingga kehari kiamat.

Walau bagaimanapun didalam kesedihan itu, PASTI telah memberikan sedikit sinar kepada pendidikan Islam PAS Perlis dimana ia telah mencatatkan pertambahan bilangan pelajar yang mendaftar.Semoga ianya akan bertambah baik dimasa hadapan insya Allah.

Jadi kesimpulannya, pi mai pi mai, yang buat kerja untuk jemaah dan yang hantar anak ke SAR ialah muka yang sama.Dialah Ketua Cawangan, Ketua Pemuda, Setiausaha dan juga Bendahari.Dia juga yang mendirikan markas dengan tenaganya tanpa diupah.Dialah juga penginfaq utama jemaah, dan dialah juga wakil ke muktamar.Semuanya dia dan akhirnya yang kena kutuk kerana kekalahan…juga dia.

Adakah benar kita semua ini dikatakan duduk dalam satu JEMAAH? Fikirkanlah wahai saudara-saudaraku fikirkanlah…

Friday, January 06, 2006


Banjir di Perlis: Ramai Adun BN didakwa tidak turun padang
OLEH : BASHIR ISHAK
Kategori : Berita


PADANG BESAR, 6 Jan (Hrkh) - Kepimpinan Barisan Nasional (BN) Perlis terutamanya wakil rakyat mereka tidak berwibawa sehinggakan ditegur oleh Menteri Besar, Dato' Seri Shahidan Kassim.

Exco Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Zolkharnain Adbidin berkata demikian ketika mengulas amaran Shahidan yang mahu menyingkir Exco kerajaan Perlis yang tidak turun padang untuk membantu mangsa banjir di Perlis baru-baru ini.

Menurutnya, amaran ini jelas menunjukkan sikap dan komitmen Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) serta Exco kerajaan negeri tidak bersungguh-sungguh mahu membantu masyarakat yang ditimpa musibah.

"Kewibawaan kepimpinan Umno/BN Perlis boleh dipertikaikan kerana tidak prihatin dengan masalah masyarakat ketika ditimpa bencana," katanya.

Baru-baru ini Shahidan menegur sesetengah Exco dan wakil rakyat yang tidak turun padang membantu penduduk yang menjadi mangsa banjir. Malah, ada juga Exco yang bercuti di ibu kota dan hanya pulang selepas banjir surut.

Ustaz Zolkharnain yang pernah menjadi Adun Santan (1999-2004) melihat perkara ini juga berpunca dari sikap mereka yang mahu menunggu peruntukan diberikan, barulah mereka mahu turun padang.

"Mereka sepatutnya mempunyai inisiatif sendiri untuk turun membantu masyarakat walaupun tanpa peruntukan khusus," katanya lagi.

Selain itu, beliau turut menyangkal dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan PAS Perlis tidak memberikan perhatian kepada mangsa banjir di Perlis baru-baru ini.

"Buktinya jelas, semasa Pemuda Pusat bersama Pemuda Perlis turun menyampaikan sumbangan mangsa banjir, kami terserempak dengan Shahidan sendiri di satu kampung dan kita turut sampaikan bantuan kepada Wanita Umno di cawangan itu," jelasnya.

Selain itu, Ustaz Zolkharnain turut menyelar sikap sesetengah pihak yang cuba menipu untuk menuntut gantirugi kerosakan tanaman padi mereka.

Lembaga Kemajuan Wilayah Muda (Mada) mengesan ada pihak cuba mengambil kesempatan daripada banjir besar untuk mendaftar sebagai petani yang kerugian ekoran tanaman padi ditenggelami air.

Tindakan tidak bertanggungjawab itu dikesan ketika bancian dibuat Mada Daerah Kangar yang menerima laporan kerosakan padi lebih 1,800 hektar sedangkan kawasan Mada di daerah itu hanya 1,785 hektar.

"Perbuatan ini sungguh tidak bermoral. Sepatutnya mereka perlu sedar bahawa banyak lagi mangsa banjir yang perlu dibantu selain mereka yang mengusahakan sawah padi," katanya.
Dr Rosli jawab keluhan penganjur konsert 'Black Metal'Friday,
Oleh BASHIR ISHAK
Kategori : Berita

PADANG BESAR, 6 Jan (Hrkh) - Sekumpulan peminat muzik 'metal' yang telah ditangkap kerana didakwa menganjurkan konsert Black Metal di Seremban awal Disember lalu mahu PAS mengkaji dan memahami apa yang didefinisikan sebagai muzik metal untuk memperjelaskan kekeliruan.

Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Dr Rosli Yaakob mendedahkan tentang e-mail yang diterimanya dari seorang penganjur konsert tersebut yang mendakwa mereka telah menjadi mangsa pihak polis serta propogannda media tentang Black Metal.

Dr Rosli yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat mendedahkan kepada Harakahdaily selepas menyampaikan kuliah Maghrib di Sekolah Rendah Islam At-Taqwa dekat sini baru-baru ini.

Menurutnya, penulis e-mail tersebut mengaku menganjurkan konsert 'metal' yang telah diberikan permit oleh Majlis Perbandaran Seremban dengan sokongan pihak polis.

Namun dakwanya, mereka telah menjadi mangsa fitnah polis yang membuat tuduhan bahawa mereka telah melakukan ritual pembakaran al-Quran dan pengorbanan wanita.

Mereka juga mendakwa pihak media sengaja memomokkan mereka sebagai penganjur Black Metal sedangkan mereka tidak pun mengikuti konsert tersebut dan hanya datang bersama pihak polis yang membuat serbuan.
Selain itu, mereka turut mendakwa konsert itu bebas daripada unsur dadah, alkohol, seks dan keganasan.

"Mengapa luluskan permit kalau pasti kami buat benda salah dan haram pada pandangan polis?" soalnya.

Dr Rosli memberitahu bahawa beliau menjawab e-mail tersebut dengan cara yang baik dan memberikan nasihat yang berguna kepada pengirimnya.

"Dalam apa jua yang kita lakukan perlulah atas dasar mencari keredhaan Allah," jawabnya.

Selain itu beliau turut memberikan contoh bahawa dirinya juga pernah menjadi mangsa tuduhan palsu polis apabila didakwa mengadakan ceramah haram, walhal ianya diadakan di dalam premis yang tidak menyalahi undang-undang.

"Bersabarlah. Apa yang dialami itu adalah secebis ujian yang mana pejuang zaman silam menghadapi ujian yang lebih getir," katanya kepada pengirim e-mail tersebut.

Walaupun Dr Rosli mengakui kurang mengetahui tentang Black Metal, tetapi beliau mahu mengetahui dengan lebih jelas. Beliau melihat cara bertemu dan bermuzakarah dengan mereka sebagai jalan terbaik.

"Kita bersedia mendekati golongan ini dan sedia memberikan pertolongan selaras dengan tuntutan Islam mengikut apa yang disebut dalam Surah Al-Asr, berpesan kepada kebenaran dan berpesan kepada kesabaran," katanya.

Pengirim e-mail tersebut juga mahu kajian teliti dibuat tentang Black Metal kerana menurutnya kajian yang telah dibuat dan dan pendedahan pihak media sebelum ini adalah pincang dan berat sebelah.

Tuesday, January 03, 2006

Metodologi tarbiyyah rasulillah s.a.w kepada sahabat r.a ( bhg.1)
Oleh : Ibnu Zain
Kategori : Fikrah Pimpinan


Muqaddimah :

Menelusuri ilmu Tarbiah Rasulillah s.a.w adalah komponen penting dalam mencatur gerakkan dakwah hari ini. Justeru, selok belok, tata cara dan kaedah yang dilaksanakan oleh Baginda Nabi s.a.w adalah merupakan sirriyah yang perlu diselak dan dihuraikan bagi melengkapkan diri duat dengan asas-asas tarbiah yang telah diterapkan oleh baginda kepada para sahabat. Mauqif dan pendirian sahabat yang terhasil dari garapan tarbiah yang mantap dapat dilihat dari beberapa perspektif terutama selepas kematian Baginda, antaranya sensitiviti mereka terhadap gerakan Riddah, pengumpulan Al-Quran, pembinaan penjara, penyusunan pentadbiran kerajaan dan seumpamanya. Namun persoalan yang timbul bagaimanakah baginda Nabi s.a.w menerapkan tarbiah tersebut dan apakah uslub dan wasilah yang digunakan oleh Baginda ?….


Kaedah Tarbiah Rasulillah s.a.w

1) Menggalakkan penggunaan manhaj soal jawab

Baginda Nabi s.a.w mengajar para sahabat adab-adab untuk melontarkan persoalan dan kaedah mengutarakannya, kesesuaian waktu bertanya, bertanya pada perkara yang mendatangkan manfaat dan meninggalkan soalan yang berbentuk menguji dan tidak mendatangkan faedah. Terdapat beberapa hadis yang menggalakkan bertanya antaranya :

ألا سألوا إذا لم يعلموا ؟ فإنما شفاء العي ( الجهل ) السؤال........

وعن أبي عمرة سفيان بن عبد الله رضى الله عنه قال : قلت يا رسول الله, قل لي فى الإسلام قولا, لا أسأل عنه أحد غيرك, قال : قل أمنت
بالله ثم استقم

Begitu juga terdapat beberapa hadis yang melarang dari mengajukan solan yang tidak mendatang manfaat dan yang bersifat untuk menguji orang lain , antaranya :

إن الله كره لكم ثلاثا : قيل وقال, وكثرة السؤال, وإضاعة المال

من حسن إسلام المرء تركه مالا يعنيه.... أى من أمور غير مهمة من امر الدين والدنيا من الفعال أو الأقوال

Selain itu baginda Nabi juga tidak meringkas jawapan pada satu-satu persoalan, tetapi menjawab dengan menggunakan kaedah yang umumbertujuan untuk menerangkan sesuatu masalah dengan lebih mudah dan difahami umum. Contohnya dalam masalah yang berkaitan dengan seorang lelaki yang menaiki kapal dan bertanya mengenai hukum, adakah boleh berwuduk dengan menggunakan air laut ? Nabi s.a.w tidak menjawab dengan perkataan Ya, tetapi menjawab dengan menggunakan kaedah umum :

هو الطهور ماؤه, الحل ميتته.

2) Mengambil kaedah Asolah dan pembebasan daripada taqlid membuta tuli

Nabi s.a.w telah menyemai dan menanam di dalam diri para sahabat supaya sentiasa berpegang dengan Asolah (Al-Quran dan As-Sunnah) dan kewajipan mendahului keduanya dalam setiap perkara serta melarang dari bersikap cuai dan sambil lewa dan menolak unsur taqlid buta dan keta’asuban yang dicela.

Perkara ini jelas disebut oleh baginda Nabi s.a.w dalam Hujjatul Wada’ dan menjadi sumber yang utuh dalam jiwa sahabat. Sabda Nabi s.a.w :

تركت فيكم أمرين, ما إن تمسكتم بهما لن تضل من بعدي أبدا : كتاب الله وسنتى

Mauqif inilah yang dipegang oleh para sahabat selepas kematian Baginda dalam menguruskan pentadbiran negara berpandukan sistem khalifah dan syura dan dengan jelas disebut oleh Saidina umar r.a, dalam suatu kata-katanya :

نحن قوم أعزنا الله بالإسلام, فمهما نبتغى العزة بغير ما أعزنا الله أزلنا الله .......

3. Mentarbiah para Sahabat r.a dengan kaedah Talaqi.

Kaedah Talaqi secara jelas dapat dilihat dengan lahirnya para Sahabat Seperti Abu Hurairah, Ibnu Umar dan lain-lain yang digolongkan sebagai perawi hadis Nabi s.a.w. Abu Hurairah contohnya adalah tergolong di kalangan Ahlu Sufah yang sentiasa bertalaqi kepada Nabi s.a.w dalam pelbagai majlis ilmu sehinggalah beliau mampu meriwayatkan beribu-ribu hadis daripada baginda Nabi s.a.w.

Konsep Talaqi berkekalan pada hari ini dan menjadi salah satu cara yang paling mudah untuk mendapatkan ilmu-ilmu islam sama ada melalui madrasah, masjid, surau dan pusat-pusat ilmu yang lain. Inilah salah satu kaedah yang semakin hilang dari umat Islam lantaran gagal menghayati keberkesanan dan kepentinganya dalam suasana hari ini.

قال النبى صلى الله عليه وسلم فى وصف الطائفة الناجية : من كانوا على مثل ما أنا عليه اليوم وأصحابي

4. Sentiasa berta’amul dengan An-Nusus

Melatih para sahabat r.a berta’amul dengan An-Nusus supaya tidak mendahulukan akal ke atas perintah wahyu sehingga menimbulkan ketegangan. Ini kerana akal tidak mampu menjangkaui suruhan wahyu disebabkan kelemahan dan kegagalan akal menyingkap segala rahsia yang diperintahkan oleh Allah s.w.t .

5. Melatih para Sahabat dalam mengetahui Ilat hukum dan sebab-sebab hukum

Para di atas secara jelas dapat dilihat melalui larangan Nabi s.a.w dalam jual beli Rutab dengan Tamar, sabda Nabi s.a w :

أينقص الرطب إذا يبس ؟, قالوا : نعم, فنهى عن ذلك

Beginilah kaedah yang dilakukan oleh baginda Nabi s.a.w, supaya para sahabat dapat memahami sebab sesuatu larangan dan Ilat hukum dalam sesuatu masalah. Ini kerana setiap larangan dan suruhan dalam Islam mempunyai sebab dan Ilat yang tersendiri, dan jika dikaji dan diperhatikan ianya mempunyai sirriyah yang tidak terkandung dalam agama yang lain dan melambangkan kesyumulan Islam itu sendiri.

Sabda Nabi s.a.w :

الحلال بين, والحرام بين, وبينهما أمور مشتبهات ........ألخ.
bersambung...