Alamat Baru Kami

Alamat Baru Kami

Klik di FOTO

Tuesday, January 03, 2006

Metodologi tarbiyyah rasulillah s.a.w kepada sahabat r.a ( bhg.1)
Oleh : Ibnu Zain
Kategori : Fikrah Pimpinan


Muqaddimah :

Menelusuri ilmu Tarbiah Rasulillah s.a.w adalah komponen penting dalam mencatur gerakkan dakwah hari ini. Justeru, selok belok, tata cara dan kaedah yang dilaksanakan oleh Baginda Nabi s.a.w adalah merupakan sirriyah yang perlu diselak dan dihuraikan bagi melengkapkan diri duat dengan asas-asas tarbiah yang telah diterapkan oleh baginda kepada para sahabat. Mauqif dan pendirian sahabat yang terhasil dari garapan tarbiah yang mantap dapat dilihat dari beberapa perspektif terutama selepas kematian Baginda, antaranya sensitiviti mereka terhadap gerakan Riddah, pengumpulan Al-Quran, pembinaan penjara, penyusunan pentadbiran kerajaan dan seumpamanya. Namun persoalan yang timbul bagaimanakah baginda Nabi s.a.w menerapkan tarbiah tersebut dan apakah uslub dan wasilah yang digunakan oleh Baginda ?….


Kaedah Tarbiah Rasulillah s.a.w

1) Menggalakkan penggunaan manhaj soal jawab

Baginda Nabi s.a.w mengajar para sahabat adab-adab untuk melontarkan persoalan dan kaedah mengutarakannya, kesesuaian waktu bertanya, bertanya pada perkara yang mendatangkan manfaat dan meninggalkan soalan yang berbentuk menguji dan tidak mendatangkan faedah. Terdapat beberapa hadis yang menggalakkan bertanya antaranya :

ألا سألوا إذا لم يعلموا ؟ فإنما شفاء العي ( الجهل ) السؤال........

وعن أبي عمرة سفيان بن عبد الله رضى الله عنه قال : قلت يا رسول الله, قل لي فى الإسلام قولا, لا أسأل عنه أحد غيرك, قال : قل أمنت
بالله ثم استقم

Begitu juga terdapat beberapa hadis yang melarang dari mengajukan solan yang tidak mendatang manfaat dan yang bersifat untuk menguji orang lain , antaranya :

إن الله كره لكم ثلاثا : قيل وقال, وكثرة السؤال, وإضاعة المال

من حسن إسلام المرء تركه مالا يعنيه.... أى من أمور غير مهمة من امر الدين والدنيا من الفعال أو الأقوال

Selain itu baginda Nabi juga tidak meringkas jawapan pada satu-satu persoalan, tetapi menjawab dengan menggunakan kaedah yang umumbertujuan untuk menerangkan sesuatu masalah dengan lebih mudah dan difahami umum. Contohnya dalam masalah yang berkaitan dengan seorang lelaki yang menaiki kapal dan bertanya mengenai hukum, adakah boleh berwuduk dengan menggunakan air laut ? Nabi s.a.w tidak menjawab dengan perkataan Ya, tetapi menjawab dengan menggunakan kaedah umum :

هو الطهور ماؤه, الحل ميتته.

2) Mengambil kaedah Asolah dan pembebasan daripada taqlid membuta tuli

Nabi s.a.w telah menyemai dan menanam di dalam diri para sahabat supaya sentiasa berpegang dengan Asolah (Al-Quran dan As-Sunnah) dan kewajipan mendahului keduanya dalam setiap perkara serta melarang dari bersikap cuai dan sambil lewa dan menolak unsur taqlid buta dan keta’asuban yang dicela.

Perkara ini jelas disebut oleh baginda Nabi s.a.w dalam Hujjatul Wada’ dan menjadi sumber yang utuh dalam jiwa sahabat. Sabda Nabi s.a.w :

تركت فيكم أمرين, ما إن تمسكتم بهما لن تضل من بعدي أبدا : كتاب الله وسنتى

Mauqif inilah yang dipegang oleh para sahabat selepas kematian Baginda dalam menguruskan pentadbiran negara berpandukan sistem khalifah dan syura dan dengan jelas disebut oleh Saidina umar r.a, dalam suatu kata-katanya :

نحن قوم أعزنا الله بالإسلام, فمهما نبتغى العزة بغير ما أعزنا الله أزلنا الله .......

3. Mentarbiah para Sahabat r.a dengan kaedah Talaqi.

Kaedah Talaqi secara jelas dapat dilihat dengan lahirnya para Sahabat Seperti Abu Hurairah, Ibnu Umar dan lain-lain yang digolongkan sebagai perawi hadis Nabi s.a.w. Abu Hurairah contohnya adalah tergolong di kalangan Ahlu Sufah yang sentiasa bertalaqi kepada Nabi s.a.w dalam pelbagai majlis ilmu sehinggalah beliau mampu meriwayatkan beribu-ribu hadis daripada baginda Nabi s.a.w.

Konsep Talaqi berkekalan pada hari ini dan menjadi salah satu cara yang paling mudah untuk mendapatkan ilmu-ilmu islam sama ada melalui madrasah, masjid, surau dan pusat-pusat ilmu yang lain. Inilah salah satu kaedah yang semakin hilang dari umat Islam lantaran gagal menghayati keberkesanan dan kepentinganya dalam suasana hari ini.

قال النبى صلى الله عليه وسلم فى وصف الطائفة الناجية : من كانوا على مثل ما أنا عليه اليوم وأصحابي

4. Sentiasa berta’amul dengan An-Nusus

Melatih para sahabat r.a berta’amul dengan An-Nusus supaya tidak mendahulukan akal ke atas perintah wahyu sehingga menimbulkan ketegangan. Ini kerana akal tidak mampu menjangkaui suruhan wahyu disebabkan kelemahan dan kegagalan akal menyingkap segala rahsia yang diperintahkan oleh Allah s.w.t .

5. Melatih para Sahabat dalam mengetahui Ilat hukum dan sebab-sebab hukum

Para di atas secara jelas dapat dilihat melalui larangan Nabi s.a.w dalam jual beli Rutab dengan Tamar, sabda Nabi s.a w :

أينقص الرطب إذا يبس ؟, قالوا : نعم, فنهى عن ذلك

Beginilah kaedah yang dilakukan oleh baginda Nabi s.a.w, supaya para sahabat dapat memahami sebab sesuatu larangan dan Ilat hukum dalam sesuatu masalah. Ini kerana setiap larangan dan suruhan dalam Islam mempunyai sebab dan Ilat yang tersendiri, dan jika dikaji dan diperhatikan ianya mempunyai sirriyah yang tidak terkandung dalam agama yang lain dan melambangkan kesyumulan Islam itu sendiri.

Sabda Nabi s.a.w :

الحلال بين, والحرام بين, وبينهما أمور مشتبهات ........ألخ.
bersambung...