Alamat Baru Kami

Alamat Baru Kami

Klik di FOTO

Tuesday, January 24, 2006

SIARAN MEDIA
24 JANUARI 2006

12 NGO DAN MASYARAKAT SETEMPAT LANCARKAN KEMPEN
SELAMATKAN GUNUNG JERAI DARIPADA PROJEK KUARI


12 NGOs dan masyarakat setempat iaitu, Angkatan Sahabat Alam Sekitar Merbok (ASAS, Merbok), Angkatan Sahabat Alam Sekitar Kerpan ( ASAS, Kerpan ),Consumer Association of Penang ( CAP), Sahabat Alam Malaysia ( SAM ), Badan Nelayan Prihatin Kedah, Persatuan Ulama’ Kedah (PUK), Badan Bertindak Membantah Kuari Singkir, Gunung Jerai, TERAS Pengupayaan Melayu ( TERAS ), Badan Bertindak Membantah Kuari Bukit Enggang, Sik, United Rural Citizens Association of Kedah ( RURAL CITIZENS ), Institiut Pengembelingan dan Pembangunan Komuniti (IMPAK) dan Kumpulan Prihatin Alam Sekitar Kedah ( ALAM ), melancarkan kempen "Selamatkan Gunung Jerai", berikutan cadangan projek kuari di Kompartmen 16 Hutan Simpang Gunung Jerai serta kemusnahan kawasan serta bencana yang dialami penduduk setempat, akibat aktiviti pembalakan dan kerja-kerja tanah.

Berdasarkan tinjauan yang dijalankan oleh pihak kami dan masyarakat setempat, sudah terdapat jentera berat di kawasan aktiviti kuari yang dicadangkan pada masa kini. Keadaan ini menimbulkan kebimbangan penduduk sekiranya projek tersebut diteruskan. Pada 25-26 Jun 2004, akibat aktiviti kerja tanah dan pembalakan di Kompartmen 16 yang dilakukan, telah berlakunya banjir lumpur di kawasan kampung berhampiran, jatuhan bongkah batu ke dalam dusun penduduk kampung yang juga mengancam nyawa dan mencemar saliran air.

Pihak SAM juga telah menghantar surat, kepada Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar bertarikh 7 Disember 2005 dan 17 Januari 2006, bagi tujuan mengetahui status EIA yang dihantar oleh pihak pemaju, serta memaklumkan kemasukan jentera berat ke kawasan tersebut. Namun sehingga kini pihak SAM masih belum mendapat jawapan mengenai status EIA bagi kuari tersebut.

Projek ini tidak boleh bermula selagi EIA tidak diluluskan bagi projek tersebut. Tambahan pula, kami telah pun menyeru kepada JAS untuk tidak meluluskan EIA tersebut kerana projek ini melanggar Rancangan Struktur Majlis Daerah Yan 1995-2020, yang telah diluluskan pada 3 hb Jun 1997 serta Akta Perancang Bandar dan Desa 1976.

Kami juga mendesak dengan tegas syor-syor yang terdapat dalam Rancangan Struktur Majlis Daerah Yan 1995-2020 yang menyatakan bahawa Hutan Simpan Gunung Jerai perlu dikekalkan dan segala pembangunan yang akan dicadangkan di kawasan tersebut mestilah tidak menjejaskan ekologi serta kualiti hutan. Oleh kerana tempat tersebut adalah sensitif, Pelan Struktur menegaskan keperluan Jabatan Perhutanan perlu mewartakan kawasan tersebut sebagai ‘hutan tadahan air’.

Bersempena dengan hari keputeraan DYMM Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah, yang ke 78, maka kami mewakili 12 NGO dan penduduk tempatan, merayu agar DYMM Tuanku Sultan dapat campurtangan berhubung isu kemusnahan alam sekitar ini, yang melibatkan cadangan kuari yang terlalu hampir dengan kawasan penduduk kampong dan teleh membawa penderitaan kepada penduduk Kampung Singkir Yan. Harapan kami terlalu besar agar DYMM Tuanku Sultan dapat mengatasi masalah rakyat di kawasan ini yang semakin tertekan dengan situasi yang terkini.

Kami juga menggesa Menteri Besar Kedah yang baru YAB Datuk Mahdhir Khalid, agar projek itu tidak diteruskan dan dengan segera menarik balik keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (No.7(E)159/2001) pada 12 hb September 2001, yang menyerahkan Kompartmen 16, Hutan Simpan Gunung Jerai yang merupakan hutan simpanan kekal kepada Syarikat Kemelong & Sankojaya Construction sebagai harta persendirian (private property) kerana bertentangan dengan undang-undang, berdasarkan Rancangan Struktur Majlis Daerah Yan.

Pendirian kami bahawa projek ini bertentangan dengan Rancangan Struktur Majlis Daerah Yan diperkukuhkan oleh Pengarah, Bahagian Perundangan, Perancangan dan Kawal Selia ; Jabatan Perancangan Bandar dan Desa, Semenanjung Malaysia yang terkandung dalam surat kepada SAM bertarikh 3 Ogos 2004 yang seperti berikut:-

Jabatan ini mengambil maklum akan aduan pihak tuan berhubung dengan perkara di atas. Setelah semakan dibuat, sememangnya jabatan ini mendapati projek ini adalah bertentangan dengan Rancangan Struktur Majlis Daerah Yan 1995 - 2020 ). Rancangan Struktur berkenaan mengesyorkan bahawa kawasan tapak terlibat dikekalkan sebagai kawasan hutan tadahan air tidak diterokai, bagi kegunaan aktiviti pertanian, sumber air dan seterusnya mengelakkan dari berlakunya banjir. Semakan juga mendapati tiada permohonan Kebenaran Merancang dibuat oleh syarikat berkenaan kepada Majlis Daerah Yan.”

Kami juga menyeru Menteri Besar Kedah untuk juga mengambil maklum mengenai bantahan penduduk, kerana penduduk sekitar kuari itu telah dan akan mengalami kesan langsung akibat aktiviti kuari. Penduduk melalui Badan Bertindak Membantah Projek Kuari Singkir, telah menyatakan bantahan terhadap projek ini melalui kenyataan media dan wakil-wakil penduduk juga telah menghantar memo bantahan kepada Perdana Menteri Malaysia dan Bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Syed Razak Syed Zain. Walaubagaimanapun tidak sebarang sambutan diberi kepada gesaan penduduk ini.

Kami berharap agar Menteri Besar Kedah kini menghormati undang-undang Akta Perancang Bandar dan Desa dan memberi kesan kepada syor-syor di Rancangan Struktur Majlis Daerah Yan dan seterusnya menolak projek kuari tersebut, serta mewartakan kawasan Gunung Jerai sebagai kawasan tadahan air.

Kami juga bertegas yang pihak JAS sendiri boleh dicabar dari sudut undang-undang sekiranya kelulusan diberi bagi projek yang bertentangan dengan Rancangan Struktur tersebut.


Mohd Azmi Abdul Hamid
Penolong Setiausaha Kehormat, SAM
b/p ‘Kempen Selamatkan Gunung Jerai’

1. Angkatan Sahabat Alam Sekitar Merbok (ASAS, Merbok)
2. Angkatan Sahabat Alam Sekitar Kerpan ( ASAS, Kerpan )
3. Consumer Association of Penang ( CAP )
4. Sahabat Alam Malaysia ( SAM )
5. Badan Nelayan Prihatin Kedah
6. Persatuan Ulama’ Kedah ( PUK )
7. Badan Bertindak Membantah Kuari Singkir, Gunung Jerai
8. TERAS Pengupayaan Melayu ( TERAS )
9. Badan Bertindak Membantah Kuari Bukit Enggang, Sik
10. United Rural Citizens Association of Kedah ( RURAL CITIZENS )
11. Institiut Pengembelingan dan Pembangunan Komuniti ( IMPAK )
12. Kumpulan Prihatin Alam Sekitar Kedah ( ALAM )