Alamat Baru Kami

Alamat Baru Kami

Klik di FOTO

Tuesday, January 24, 2006


Jangan bubarkan skuad sukarela tajaan MAIWP
Oleh : Mat Teropong
Kategori : Berita

Kangar 23hb Januari : Apabila disebutkan “Bil Hikmah” didalam berdakwah ianya bermaksud kebijaksanaan seseorang itu dalam melaksanakannya.Ianya juga berkait rapat dengan ilmu pengetahuan, kemahiran dan juga kecekapan.Kesemuanya itu hendaklah disesuaikan dengan masa, tempat dan juga siapa yang hendak kita dakwah.Demikian menurut Ustaz Taib Azzamuddin mantan Imam Besar Masjid Negara ketika diminta mengulas tentang pembubaran skuad sukarela tajaan MAIWP atas arahan kabinet pada 20hb Januari lepas.

Pada 16hb Januari lalu, skuad ini telah dirasmikan oleh Pengarah JAWI, Che Mat Che Ali di Putrajaya.Skuad ini bertujuan untuk memerangi gejala sosial di kawasan tersebut.Ianya juga bertujuan untuk membantu masyarakat yang mengalami kesusahan dan pelbagai tugas-tugas kebajikan lain.Skuad itu kemudiannya dikatakan sebagai skuad pengintip oleh penentang kepada penubuhan skuad itu.

Menurut Ustaz Taib lagi, untuk membasmi masalah, terdapat banyak cara dan ianya bergantung kepada permasalahan itu sendiri.Contoh yang beliau kemukan ialah apabila terdapat masalah di dalam kelas, guru akan gunakan kaedah berbincang dengan pelajarnya kerana skop guru itu kecil iaitu hanya di dalam kelas sahaja.Dia boleh memerhatikan semua pelajarnya secara dekat.

Tetapi apabila ianya melibatkan permasalahan umum, kita kena membuat pemerhatian yang menyeluruh untuk memahami dan membanteras masalah itu kerana skopnya adalah luas.Maka pada pandangan beliau mesti ada skuad pemantau.

“Tindakan MAIWP itu bagi saya adalah tindakan yang berhikmah.Kita tidak cukup tenaga untuk membasmi penyakit masyarakat ini”, Ujarnya menyokong tindakan MAIWP.

Beliau kemudiannya membidas pihak yang beralasankan hak asasi manusia sebagai perisai untuk melakukan maksiat dan dosa

“Kenapa harus dijadikan alasan hak asasi manusia.Pasukan keselamatan negara juga mempunyai skuad perisik yang merisik dan mengintai perlakuan orang dan kemudiannya melaporkan kepada ketua mereka.Tidakkah itu dinamakan mencabuli hak asasi manusia?”, Tanya beliau kepada kumpulan tersebut.

"Perisik negara diperlukan untuk mencegah masalah dari permulaan lagi bukan ketika ianya sudah merebak.Dan ini jugalah yang MAIWP cuba lakukan", Tambah beliau lagi.

Beliau menjelaskan lagi, sekiranya hak asasi manusia diambil kira didalam semua perkara maka kita sebenarnya tiada tanggungjawab untuk menghalang jenayah, dosa dan segala perkara yang membahayakan kehidupan kita kerana semua orang akan memberikan alasan hak asasi mereka dicabuli apabila ditangkap.

Beliau juga berharap agar kabinet menarik balik arahan pembubaran skuad itu tetapi sebaliknya beliau mencadangkan agar diberikan latihan secukupnya kepada anggota-anggotanya agar dapat membantu MAIWP dan JAWI dalam agenda mereka untuk menghapuskan penyakit masyarakat itu.

Dalam soalan yang lain apabila ditanya adakah sesuatu yang terselindung disebalik kekecohan akta 121 (1A) baru-baru ini, beliau menjawab mungkin ada dan beliau juga tidak menolak kemungkinan ini adalah permulaan kepada penerimaan Suruhanjaya Antara Agama (ICF).