Alamat Baru Kami

Alamat Baru Kami

Klik di FOTO

Sunday, January 29, 2006


Pelancaran Skim Tanah Wakaf Bangunan PAS Kawasan Padang Besar
Oleh Mat Teropong
Kategori : Berita

Santan, Sabtu 28hb Januari : Penonjolan atau penampilan imej yang baik dan hebat sesebuah organisasi atau badan adalah perlu bagi menyatakan keutuhan atau keteguhan mereka.Ini boleh digambarkan dalam bentuk aset atau juga bangunan yang cantik, indah dan kukuh.Demikian kata Dato’ Dr.Haron Din dalam ucapan perasmian beliau untuk projek Skim Tanah Wakaf Bangunan PAS Kawasan Padang Besar semalam.

Beliau menambah lagi dengan memberikan contoh bagaimana disetiap bandar bangunan yang paling cantik, indah dan besar kebanyakkanya ialah bangunan syarikat kewangan.Mengapa mereka perlu kepada bangunan yang sebegitu? Ianya adalah kerana untuk menunjukkan kepada umum bahawa syarikat mereka adalah teguh.Seteguh bangunan mereka.

Beliau yang jelas gembira dengan skim tersebut kemudiannya menyarankan agar PAS Perlis membuat bangunan sendiri yang lebih baik sebagai mercu tanda.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Pesuruh Jaya PAS Perlis Ustaz Hashim Jasin, Yang Dipertua PAS Kawasan Kawasan Padang Besar, Haji Karim Mat Rejab, dan juga Yang Dipertua PAS Kawasan Kangar saudara Hairy Hashim.

Dalam majlis itu juga beliau turut menyentuh isu berkenaan desakan oleh sembilan menteri bukan Islam yang ingin agar perlembagaan 121 (1A) dikaji.Kata beliau bidang kuasa mahkamah syariah yang sedia ada amatlah kecil iaitu bidang kekeluargaan Islam sahaja.Jadi bayangkanlah apabila kuasa yang sekecil itu hendak dikecilkan lagi.

Hal ini berlaku kerana kuasa mahkamah syariah itu sendiri telah dikecil atau disempitkan oleh pemerintah.

“Siapa pemerintah di Malaysia?,” Tanya beliau kepada hadirin.

“Umno adalah tunjang utama pemerintahan di Malaysia dan parti-parti komponen BN yang lain adalah sebagai cabangnya.,” tambah beliau.

Beliau juga melahirkan kebimbangannya dengan perkara tersebut dan bagi beliau, cara penyelesaian yang dibuat tidak begitu menyakinkan.

Beliau yakin Umno akan ditekan oleh sekutu-sekutunya dengan isu itu pada masa hampir pilihanraya nanti.

Sehubungan itu beliau menyeru kepada semua ahli-ahli PAS agar bersatu mengajak masyarakat memberikan sokongan kepada perjuangan PAS yang akan mendaulatkan Islam di bumi Malaysia.

Akhirnya bekas Professor Universiti Kebangsaan Malaysia itu mengajak semua ahli-ahli PAS agar menyegerakan besedekah supaya tidak menyesal apabila maut datang menjemput nanti.Beliau kemudiannya memberikan contoh yang ada disebutkan Allah di dalam surah al-Munafikuun tentang penyesalan oleh orang yang tidak mahu bersedekah.