Alamat Baru Kami

Alamat Baru Kami

Klik di FOTO

Saturday, January 28, 2006

Palestin: Hamas menang
Petikan Utusan

RAMALLAH 26 Jan. - Pergerakan Hamas memenangi pilihan raya Parlimen Palestin semalam dengan menawan majoriti kerusi dewan dalam keputusan mengejut yang dijangka mengacau-bilaukan proses damai Asia Barat.

Perdana Menteri Palestin, Ahmed Qorei mengumumkan beliau akan menyerahkan surat peletakan jawatannya kepada Presiden Mahmoud Abbas sambil menyatakan Hamas hendaklah menubuhkan kerajaan.

Pegawai kanan daripada parti pemerintah, Fatah yang menguasai politik Palestin sejak puluhan tahun mengakui mereka telah ditewaskan oleh Hamas yang bertanding dalam pilihan raya Parlimen buat julung-julung kali.

Satu sumber Suruhanjaya Pilihan Raya Pusat mengesahkan Hamas mendahului Fatah dengan kelebihan kerusi yang jelas setelah hampir semua undi dikira.

Keputusan rasmi dijadual diumumkan pada 7.00 malam (1.00 pagi waktu Malaysia) tetapi Hamas yakin akan menguasai majoriti mutlak di Parlimen 132 kerusi itu.

Israel dan Amerika Syarikat (AS) telah menyatakan mereka tidak akan berurusan dengan kerajaan Palestin yang dianggotai apatah lagi diterajui oleh Hamas.

Presiden Palestin, Mahmoud Abbas pula menegaskan beliau akan berundur jika beliau tidak lagi dapat meneruskan agenda perdamaiannya dengan Israel.

Pegawai pilihan raya Palestin mengesahkan Hamas memenangi hampir semua kerusi yang dipertandingkan di daerah pilihan raya di Tebing Barat dan Genting Gaza.

Separuh daripada kerusi dalam pilihan raya Parlimen semalam dipilih berdasarkan senarai parti di peringkat kebangsaan manakala separuh lagi dipilih mengikut daerah pilihan raya.

Tinjauan awal selepas pengundian malam tadi meramalkan kemenangan tipis bagi Fatah, dengan Hamas ketinggalan sedikit di tempat kedua.

Menurut tinjauan itu, baik Fatah mahupun Hamas tidak mempunyai cukup kerusi untuk membentuk kerajaan secara bersendirian dan terpaksa mengharapkan sokongan parti-parti kecil untuk menubuhkan kerajaan campuran.

Bagaimanapun pada pagi ini, pemimpin dan calon utama Hamas, Ismail Haniyeh berkata, pertubuhannya memenangi kira-kira 70 kerusi dewan.

Kemudian jurucakap Hamas, Sami Abu Zuhri berkata, mereka telah memperoleh majoriti mutlak dan memenangi sekurang-kurangnya 75 kerusi.

``Hamas telah memperoleh kemenangan besar. Negara-negara di rantau ini dan masyarakat antarabangsa perlu menghormati pilihan rakyat Palestin yang merupakan hasil demokrasi,'' kata Ismail.

Ditanya mengenai penyertaan Hamas dalam kerajaan Palestin jika kemenangan itu disahkan, Ismail enggan mengulas lanjut selain bercakap mengenai `perkongsian politik.'

``Berdasarkan keputusan awal ini, kami akan berunding dengan Presiden Abu Mazen (Mahmoud) dan saudara-saudara dalam Fatah mengenai bentuk perkongsian politik itu.''

Perbezaan antara tinjauan selepas pengundian dengan keputusan hari ini dipercayai berpunca daripada pengundian di peringkat daerah di mana Hamas berjaya mengeksploitasi perpecahan dalam Fatah.

Seorang anggota kanan Fatah, Saeb Erekat yang juga Menteri Perundingan Palestin berkata, keengganan Israel untuk menyambung semula rundingan damai dengan kerajaan pimpinan Fatah menjadi faktor di sebalik kekalahan parti itu.

``Israel tidak lagi menganggap kami sebagai rakan rundingan empat tahun lalu dan mereka juga tidak berhubung dengan Presiden kami yang dipilih oleh rakyat,'' katanya kepada Radio Tentera Israel.