Alamat Baru Kami

Alamat Baru Kami

Klik di FOTO

Friday, September 01, 2006

Islam selesaikan permasalahan etnik - Mursyidul Am


Oleh Bashir Ishak
ARAU - Islam adalah titik pertemuan dan penyelesaian kepada masalah etnik di atas muka bumi ini kerana prinsip perjuangannya yang luas tanpa batasan kebangsaan.

"Adalah mustahil mengikut perjuangan Umno untuk penyelesaian masalah etnik kerana mereka menyempitkan fahaman kepada kebangsaan sahaja".

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata demikian ketika mengulas perang dingin yang timbul antara Pemuda Umno dan MCA berikutan kenyataan Timbalan Ketua Pemuda mereka, Khairy Jamaluddin yang menyatakan bahawa komponen Barisan Nasional akan mengambil kesempatan sekiranya Umno menjadi lemah.

Khairy juga digesa memohon maaf oleh MCA kerana kenyataannya itu.

Tuan Guru menyifatkan Pemuda Umno hanya peka permasalahan yang melibatkan bangsa sedangkan isu yang lebih penting seperti masalah sosial atau jenayah tidak diberikan perhatian.
"Ertinya Pemuda MCA sudah berani tegur Pemuda Umno yang kebetulannya apa yang disebut itu bertepatan dengan realitinya," katanya.

Menurut Tuan Guru lagi, perjuangan Umno yang mengagungkan bangsa itu tidak akan berkesudahan kerana baginya, sampai bilapun tidak akan wujud penyatuan antara dua bangsa seperti Melayu dan Cina.

Tambah beliau, perjuangan yang dibawa oleh PAS ialah Islam yang megetepikan fahaman kebangsaan dan semua bangsa boleh disatukan.

"Melayu boleh Islam, Cina boleh Islam, India boleh Islam, tetapi Cina tidak boleh jadi Melayu dan India tak boleh jadi Melayu.Sebab itulah PAS kemukakan Islam di mana jadi titik pertemuan semua bangsa," katanya.

Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan menegaskan semula kenyataannya suatu masa dahulu di mana orang Cina boleh jadi Menteri Besar Kelantan asalkan dia seorang Islam.

"Tetapi Umno tak boleh kata Cina boleh jadi Menteri Besar di Kelantan asalkan dia Melayu.
Mana boleh cina jadi Melayu tapi Cina boleh jadi Islam. Itulah bijaknya perjuangan PAS ini kerana boleh menyatukan dan ada titik pertemuan antara bangsa-bangsa di muka bumi ini," jelasnya.

Sambil menyifatkan kerja Umno untuk menonjolkan Melayu ini adalah suatu kerja yang tida kesudahannya, Tuan Guru juga melihat fahaman kebangsaan yang dibawa adalah terlalu sempit.

"Fahaman kebangsaan yang dibawa oleh Umno lari dari landasan Islam yang dibawa oleh Nabi SAW. Sebab itu dia sesat, dalam demokrasi tidak ada sebut sesat tetapi dalam Islam ada sebut sesat seperti dalam surah Al-Fatihah," katanya lagi.
Tuan Guru ditemui pada majlis penutupan Ijtimak PAS Perlis kali ke 10 di Markas Tarbiyah PAS Perlis, Jejawi Dalam dekat sini.

Beliau bersama-sama orang ramai dalam satu majlis makan malam dan kemudiannya menyampaikan ceramahnya di hadapan lebih dua ribu orang hadirin.
Turut berceramah ialah Pesuruhjaya PAS Perlis, Ustaz Hashim Jasin dan bekas pelakon filem "Ali Setan", Azmil Mustapha.

No comments: