Alamat Baru Kami

Alamat Baru Kami

Klik di FOTO

Friday, September 29, 2006

Dalil Kenapa Dato Seri Radzi wajib jadi MB Perlis
Petikan Umno Reform

Dalil Kenapa Dato Seri Radzi wajib jadi MB PerlisMenteri Besar Perlis sekarang Shahidan Kasim wajar dilucutkan jawatannya sebagai MB dan digantikan oleh Dato Seri Radzi Sheikh Ahmad demi menyelamatkan Umno Perlis daripada terus berpecah belah dan berpuak-puak.

Banyak sebab kenapa manusia yang bernama Shahidan ini mesti dipecat sebagai MB. Antaranya ialah:

1. Shahidan adalah jenis pemimpin yang suka bermusuh dengan pemimpin-pemimpin Umno yang dilihat berpotensi untuk mencabar kedudukan politiknya dalam parti. Sebagai rekod, dia pernah bermusuh dengan Azmi Khalid, Dato Seri Radzi, Zahidi, Ammar Hassan (bekas Ketua Pergerakan Pemuda Bahagian Arau), Bashir, Baharudin Ahmad (bekas YDP Majlis Perbandaran Kangar), Zainudin Yom, Kamarudin (bekas YB Parlimen Arau- dia diracun oeh Shahidan ketika bermain badminton bersama-sama), Bakri Dato Ali dan Azmi Subuh.

2. Shahidan adalah pemimpin yang sanggup memperalatkan orang lain bagi menjatuhkan musuhnya. Antaranya dia telah memperalatkan Senator Wan Nordin untuk menjatuhkan Azmi Khalid pada tahun 1998 dan memperalatkan YB Azam Rashid untuk menghancurkan karier politik Dato Seri Radzi di bahagian Kangar.

3. Shahidan terkenal dengan pelbagai idea gila yang cuba diketengahkan bagi mempertahankan kedudukannya. Ketika zaman Mahathir dulu, dia nyaris-nyaris dicabar jawatannya sebagai Ketua Bahagian Arau lantas dia mengusulkan supaya semua Ahli MT tidak boleh dicabar jawatannya di peringkat bahagian. Terbaru, dia telah terhidu nyawanya sebagai MB sedang tergugat lalu dia mengusulkan supaya jawatan MB dan PM harus dipegang seumur hidup.

4. Shahidan sebenarnya pernah menikam Pak Lah daripada belakang apabila menurut arahan Mahathir untuk membelasah Rafidah Aziz daam isu AP. Dia mengarahkan perwakilan pemuda daripada Perlis untuk berucap menghentam Rafidah dalam Perhimpunan Pemuda pada tahun lepas.

5. Shahidan mempunyai pendirian politik yang bercirikan munafik. Dia pernah mengatakan bahawa dia menyokong Pak Lah tetapi semasa merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pemuda, Wanita dan Puteri Bahagian Arau baru-baru ini, dia mengaku yang dia adalah anak emas Mahathir dan dia sering berhubung dengan Mahathir dalam tempoh dua atau tiga hari sekali untuk berbincang tentang masalah parti.

6. Shahidan mempunyai perancangan yang sistematik untuk memastikan adik kesayangannya Ismail Kasim (yang kalah dalam pilihanraya kecil Arau 1997) akan menggantikannya sebagai MB Perlis. Dia sedang menimbangkan untuk mencalonkan adiknya di satu kerusi DUN dalam pilihanraya umum yang akan datang.

7. Shahidan mempunyai cita-cita yang besar untuk bertanding jawatan paling kurang Naib Presiden parti demi memperteguhkan kedudukannya sebagai MB Perlis. Antara tindakan awalnya sebagai persiapan untuk bertanding jawatan ketiga tertinggi parti itu, dia telah memperlekehkan kepimpinan Najib dan Hishamudin sebaga lembek semasa merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pemuda, Wanita dan Puteri Bahagian Arau tempoh hari.

8. Shahidan terkenal dengan gelaran Mr 10% kerana setiap pelabur yang ingin melabur di negeri ini pasti dikenakan tol sebanyak 10%. Ini yang menyebabkan Perlis hampir tiada pelaburan asing.

9. Apabila Majlis Perbandaran Kangar disita oleh Mahkamah Tinggi Kangar baru-baru ini, ianya sudah cukup untuk membuktikan bahawa Shahidan amat lemah dari segala sudut untuk terus menerajui tampuk kepimpinan negeri. Bayangkan jika sebuah kerajaan tempatan boleh dilelong, tentunya tidak mustahil negeri Perlis pula bakal dilelong jika Shahidan terus dibiarkan berkuasa. Kes MPK dilelong amat memalukan rakyat Perlis.

10. Projek-projek di Perlis dikuasai sepenuhnya oleh kroni Shahidan iaitu Azmi Saad (Pengurus pasukan bola Perlis) melalui Bintong Construction Sdn Bhd dan Azhar Ahmad dari Gapura Sdn Bhd.

Sebagai kesimpulannya, tiada yang lain melainkan Dato Seri Radzi sahajalah yang layak menggantikan Shahidan sebagai MB Perlis. Dato Seri Radzi akan mentadbir Perlis dengan penuh kemakmuran dan kedamaian seperti mana yang pernah ditonjolkan oleh ayahandanya Tan Sri Sheikh Ahmad pada satu masa dulu.

Dan yang pentingnya, pemimpin-pemimpin Umno pasti akan bersatu-padu di bawah kepimpinan Dato Seri Radzi.Siapa nak tahu cerita berpuluh-puluh skandal seks Shahidan Kasim?

Nantikannya pada sambungan dalil-dalil yang lain yang pastinya akan menyusul tidak lama lagi.CEMERLANG, GEMILANG, TERBILANG

Mohamed Karim Abdullah

Pergolakan Umno Perlis jejas masa depan Shahidan

Petikan Harakahdaily
KANGAR, 28 Sep - Menteri Besar Perlis, Dato' Seri Shahidan Kassim yang sering mencetuskan kontoversi politik dalaman Umno, khususnya yang membabitkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dengan Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi sekali lagi menjadi sasaran dalam percaturan politik Umno Perlis.

Terbaru sebuah laman web umno-reform menyiarkan e-mail yang dihantar oleh Mohamed Karim Abdullah bertajuk "Dalil Kenapa Dato Seri Radzi wajib jadi MB Perlis".
E-mail yang dihantar kepada editor laman web tersebut memaparkan 10 dalil mengapa Shahidan tidak lagi layak menjadi Menteri Besar Perlis dan perlu digantikan oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Dato' Radzi Sheikh Ahmad.

"Ini jelas menunjukkan bahawa krisis kepimpinan dan perebutan kuasa dalam Umno tidak berkesudahan," demikian komen Timbalan Pesuruhjaya PAS Perlis, Hairy Hashim.


Hairy berpendapat, kepimpinan Shahidan di Perlis sama ada dalam kerajaan mahupun sebagai Pengerusi Perhubungan Umno Perlis kini berada di persimpangan.

Katanya, Shahidan dilihat sudah tidak lagi popular di kalangan sebahagian besar kepimpinan Umno Perlis sendiri.

"Dia diasak dari pelbagai penjuru. Pelbagai masalah timbul dalam pentadbiran negeri Perlis dan di pula sering menimbulkan kejelikan bila kerap menimbulkan pelbagai idea yang pelik-pelik," katanya.

Hairy yang juga Yang Di Pertua PAS Kangar, memberi beberapa contoh di mana wujudnya perpecahan dalam Umno Perlis seperti yang turut didedahkan dalam laman web tersebut.

"Dulunya krisis Shahidan dengan Azmi Khalid di Padang Besar, kemudiannya dengan Zahidi. Selepas itu timbul pula "team" baru yang mahu menonjolkan Ahli Parlimen Arau sebagai penggantinya. Kini di Kangar pula dengan timbulnya nama Dato' Radzi pula".

"Nampaknya di semua bahagian Umno, Shahidan ada musuh politik," sambung Hairy lagi.

Bagaimanapun kata Hairy, sekiranya berlaku pertukaran kerusi Menteri Besar, Umno Perlis tetap tidak akan bersatu.

"Tradisi berpuak-puak di kalangan mereka akan berterusan kerana jelas prinsip perjuangan Umno khususnya di kalangan pimpinan adalah lebih kepada kepentingan peribadi semata-mata," katanya.

Thursday, September 28, 2006

PAS Perlis sedia bubur lambuk untuk orang ramai

Para petugas sedang gigih menyediakan bubur lambuk

Oleh Wartawan Harakah
KANGAR, 27 Sept - Tradisi penyediaan bubur lambuk sempena Ramadan diteruskan pada tahun ini oleh Badan Perhubungan PAS Perlis.

Sebuah hadis yang bermaksud "Barangsiapa yang memberi makanan berbuka puasa kepada orang yang berpuasa, maka pahalanya seumpama orang yang berpuasa itu tanpa berkurang sedikitpun" dijadikan iktibar untuk program ini.

Justeru, Jabatan Khidmat Masyarakat (JKM) PAS Perlis dengan kerjasama kakitangan pejabat Perhubungan PAS Perlis menyediakan bubur lambuk untuk orang ramai sebagai juadah berbuka puasa setiap hari sepanjang bulan Ramadan tahun ini.

Menurut Pengarah JKM PAS Perlis, Haji Abdul Karim Md Rejab, program tahunan ini adalah untuk kali kelima dan kira-kira 800 bungkus bubur lambuk diedarkan setiap hari.

"Kita mengambil fadhilat Ramadan untuk sama-sama menyediakan makanan untuk umat Islam berbuka puasa," katanya.

Bubur lambuk dengan resepi "Kampung Baru" ini dimasak setiap hari bermula jam 10 .30 pagi di perkarangan Pejabat Perhubungan Negeri menggunakan dua buah periuk besar.

Ianya mula diedarkan kepada orang ramai mulai jam 2 . 00 petang.

"Sejak program ini dimulakan dulu ianya mendapat sambutan orang ramai terutamanya kakitangan kerajaan dan swasta," kata Abdul Karim lagi.

Bubur lambuk PAS Perlis kini menjadi sebutan ramai dan rata-rata orang ramai memujinya.

"Saya rasa bubur lambuk ini paling "best" di Perlis," kata seorang guru yang tidak pernah melepaskan peluang mengambil bubur lambuk PAS Perlis setiap petang.

Dalam pada itu, JKM PAS Perlis mengalu-alukan sebarang sumbangan untuk program bubur lambuk Ramadan dan juga sumbangan fakir-miskin menjelang Aidilfitri. Untuk menyumbang, sila hubungi talian04 -9761836.

Wednesday, September 27, 2006

Ketepikan perkara khilafiyah, elak persengketaan

Petikan Harakahdaily
KANGAR, 26 Sept - Umat Islam di negeri ini diminta mengetepikan perkara-perkara khilafiyah dalam agama demi menjaga keharmonian.

Pesuruhjaya PAS Perlis, Ustaz Hashim Jasin (PAS-Sanglang) mengingatkan semua pihak agar tidak menjadikan masalah perbezaan mazhab untuk berpecah-belah dan bersengketa sesama umat Islam.

Beliau merujuk kepada permasalahan yang sering timbul di Perlis di mana pegangan Sunnah Wal Jamaah yang diamalkan sering bercelaru dengan amalan pihak yang beramal mengikut mazhab khususnya Syafie.

Ustaz Hashim berkata demikian dalam ucapannya membahaskan usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan Tuanku Pemangku Raja di sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) Perlis baru-baru ini.

Menurutnya perbezaan pendapat dalam masalah ibadah seperti solat terawih lapan atau 20 rakaat tidak sepatutnya dibangkitkan lagi kerana semuanya adalah sunnah belaka.

"Walaupun mengaku Perlis Darul Sunnah tetapi Menteri Besar juga akui semua imam empat mazhab turut tergolong dalam ahli sunnah wal jamaah," katanya.

Beliau juga menegur sesetengah pihak yang mengaku mengikut sunnah tetapi turut memperlekehkan imam-imam mazhab.

Katanya, semua empat orang imam yang menjadi pengasas mazhab mereka adalah terdiri dari mereka yang hebat di dalam bidang agama dan tidak boleh dipandang rendah.

Ustaz Hashim: Wartakan secara rasmi Darul Sunnah

Petikan Harakahdaily
KANGAR, 26 Sep - Pesuruhjaya PAS Perlis, Ustaz Hashim Jasin menyeru agar gelaran Indera Kayangan bagi negeri Perlis ditukar kepada Darul Sunnah secara rasminya.

Ustaz Hashim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sanglang berkata demikian dalam soalan tambahan beliau kepada kerajaan ketika sidang Dewan Undangan Negeri baru-baru ini.

Dalam jawapan kepada soalan asal Ustaz Hashim, Exco Agama, Azam Rashid memberitahu Dewan bahawa penukararan nama dari Indera Kayangan kepada Darul Sunnah belum diwartakan lagi.

Katanya, gelaran Indera Kayangan itu sendiri tidak pernah diwartakan kerana selama ini yang termaktub dalam undang-undang tubuh kerajaan adalah nama Perlis sahaja.

Justeru, Ustaz Hashim bangun dengan soalan tambahan dan meminta agar nama Darul Sunah diisytihar secara rasmi sama seperti negeri lain yang menggunakan nama seperti Darul Makmur, Darul Takzim atau Darul Ehsan.

Dalam pada itu, seorang penyokong kerajaan meminta dikaji semula majlis sambutan Ambang Kemerdekaan yang diadakan setiap kali menjelang 31 Ogos.

Zahari Bakar (BN - Simpang Empat) berkata demikian ketika menyampaikan usul menjunjung kasih Titah Ucapan Tuanku Pemangku Raja Perlis sempena pembukaan Mesyuarat Kedua Penggal Persidangan Ketiga DewanUndangan Negeri Perlis baru-baru ini.

Beliau mempersoalkan apakah peranan kerajaan dalam penerapan nilai-nilai murni.

"Sambutan Ambang Kemerdekaan perlu dikaji semula sama ada ia menepati nilai-nilai yang dikehendaki khususnya untuk Perlis yang bergelar Darul Sunnah atau tidak," katanya

Saturday, September 23, 2006


PERUTUSAN RAMADHAN DARIPADA
USTAZ HASHIM JASIN
PESURUHJAYA PAS PERLIS

Assalamualaikum wbkt kepada semua pembaca yang budiman.Saya dengan rasa yang amat gembira dan penuh syukur, ingin mengucapkan Selamat Menyambut Bulan Ramadhan al-Mubaraq,mewakili seluruh warga Badan Perhubungan PAS Perlis.

Bulan Ramadhan adalah bulan yang telah ditentukan oelh Allah untuk kita berpuasa supaya kita menjadi orang yang bertaqwa kepada Allah.

Saya menyeru kepada muslimin sekelian agar menumpukan puasa kita ini kepada taqwa supaya dengan itu kita dapat membangunkan rohani kita melebihi daripada pembangunan yang lain.

Taqwa ini bukanlah tergolong dalam apa yang dikatakan sebagai pembangunan material tetapi lebih hebat daripada itu ianya adalah pembangunan untuk akhirat.

Saidina Ali berkata taqwa itu adalah takutkan Allah, beramal dengan syariatnya yang diturunkan kepada kita dan juga bersedia untuk bertemu dengan Allah.

Wujudkan sifat qanaah didalam diri kita iaitu sifat yang redha dengan rezeki yang telah Allah tentukan kepada kita semua.

InsyaAllah jika sekiranya kita berusaha untuk melakukan apa yang telah saya gariskan itu, maka ianya akan memberikan kita kekuatan untuk bertolak kepada keadaan yang lebih baik iaitu kita menjadi insane yang bertaqwa kepada Allah.

Akhir kata saya sekali lagi ingin mengucapkan Selamat Menjalani Ibadah Puasa kepada semua pembaca sekelian.Wallahua’lam
PERUTUSAN RAMADHAN AL-MUBARAK
OLEH : USTAZ AHMAD ADNAN FADHIL
KETUA DEWAN PEMUDA PAS PERLIS
Assalamualaikum kepada semua pembaca Blog Peghelih La.Diharapkan anda semua berada dalam keadaan sihat sejahtera dan sentiasa dilimpahi rahmat oleh Allah S.W.T.

Saya mengambil kesempatan yang diberikan oleh warga Peghelih La untuk mengucapkan kepada semua pembaca muslim Selamat Menyambut Ramadhan Al-Mubaraq yang akan datang bertandang tidak lama lagi.

Saudara,bagi saya apa yang terpenting kepada kita semua ketika tibanya bulan yang penuh keberkatan ini ialah kita hendaklah cuba sedaya upaya kita untuk menghayati dengan bersungguh-sungguh semangat Ramadhan dan puasa itu sendiri.

Semangat Ramadhan sebenarnya terletak pada al-Quran kerana didalam bulan Ramadhanlah diturunkan al-Quran kepada kita semua.

Manakala semangat puasa pula ialah menghayati roh puasa itu supaya dapat melahirkan insan yang mempunyai jiwa yang bertaqwa kepada Allah.

Bulan Ramadhan ialah pencetus semangat juang umat Islam.Didalam bulan ini antaranya,umat Islam telah memenangi Peperangan Badar,dapat membebaskan Kota Mekah dan juga mencapai kemenangan menentang Israel dalam tahun 1973 iaitu dalam perang yang dikenali sebagai Sittah Oktober.

Oleh itu saya berharap dengan kesungguhan kita untuk menghayati kemenangan-kemenangan yang telah dicapai didalam bulan Ramadhan ini maka, insya Allah akan lahirlah generasi yang akan memenangkan Islam dimasa akan datang.Wallahu a’lam

Wednesday, September 20, 2006


Pengajaran Sains dan Matematik ditahap kritikal: Guru hilang keyakinan, prestasi murid merudum
Oleh : Bashir Ishak
Kategori : Berita

KANGAR, 20 Sept - Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris yang dianggap sebagai penyembelihan beramai-ramai akademik bangsa Melayu kini sudah mulai dirasai kesannya.

Baru-baru ini, satu sumber memberitahu Harakahdaily, kursus untuk guru kedua-dua subjek tersebut untuk tahun lima sekolah rendah yang diadakan di Maktab Perguruan Perlis hanya dihadiri seramai 8 orang guru sahaja.

Sepatutnya jumlah guru yang hadir adalah ramai kerana di Perlis sahaja mempunyai lebih 70 buah sekolah rendah.

Ini jelas menunjukkan bahawa para guru juga tidak mempunyai keyakinan untuk terus mengajar kedua-dua subjek tersebut dalam bahasa Inggeris.

Seorang pendidik yang ditemui menjelaskan bahawa keadaan sudah berada pada tahap yang kritikal.

"Bukan sahaja di kalangan murid dan ibu bapa, malah kini para guru juga sudah mulai merasakan kesannya," katanya.

Beliau menjelaskan bagaimana para pelajar jurusan Sains di sekolah sudah mulai meninggalkan kelas sedangkan pelajar di jurusan ini memang terdiri dari kalangan pelajar yang cerdik.

Katanya lagi, para guru kini sudah mulai berpijak di bumi yang nyata apabila membicarakan masalah ini.

Menurutnya, apabila prestasi anak-anak mereka sendiri mulai merudum, barulah para guru yang mengajar Sains dan Matematik mulai bersuara.

"Dulu ramai yang bersembunyi dan takut bersuara, khususnya apabila mereka mendapat elaun khas sebanyak 10 peratus dari gaji. Kini mereka sudah sedar kesannya," katanya lagi.

Seorang lagi pendidik yang ditemui berkata bahawa tahap kesediaan murid khususnya di kalangan bangsa Melayu masih terlalu rendah.

Menurutnya, perkara asas dalam pembelajaran bahasa asing seperti Inggeris adalah perbendaharaan kata (vocabulary).

"Inilah perkara asas yang tidak ada di kalangan murid-murid kita," jelasnya.

Beliau turut memberikan contoh orang-orang Cina dan India masih mempetahankan penggunaan bahasa ibunda mereka untuk pengajaran Sains dan Matematik.

"Saya sebagai pendidik tidak faham mengapa kerajaan masih tidak nampak atau sengaja mempertahankan ego atas keputusan tidak bijak ini dan terus memperjudikan nasib dan masa depan anak bangsa," katanya.

Umno Perlis bergolak: Shahidan vs Zahidi


Petikan Harakahdaily
KANGAR, 19 Sept - Krisis politik di kalangan pimpinan Umno bukan sahaja berlaku di peringkat nasional tetapi juga dapat dilihat di peringkat bawahan, hatta di negeri sekecil Perlis.

Krisis yang dapat dilihat di Perlis hari ini adalah di antara Menteri Besar, Dato' Seri Shahidan Kassim yang juga Pengerusi Perhubungan Umno Negeri dengan Timbalannya Dato' Zahidi Zainul Abidin.

Zahidi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Beseri sudah lama dilihat sebagai saingan kepada Shahidan kerana dahulunya dikatakan mempunyai hubungan yang kuat dengan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dan dilihat sebagai pengganti kerusi Menteri Besar.

Mungkin melihat pengaruh Zahidi, maka Shahidan melantiknya sebagai Exco kerajaan negeri dan juga Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Perlis.

Namun beberapa bulan lalu Zahidi telah digugurkan daripada barisan Exco kerajaan negeri.

Zahidi penyokong kuat Mahathir
Di kala berlaku krisis antara Perdana Menteri dan mantannya, Tun Dr Mahathir, Zahidi dilihat menjadi penyokong kuat Mahathir, sedangkan Shahidan yang dulunya memang dikenali penyokong kuat Mahathir terpaksa mengaku menyokong Abdullah.

Zahidi yang juga Ketua Umno Bahagian Padang Besar telah menjemput Mahathir ke Padang Besar untuk merasmikan mesyuarat perwakilan bahagian itu.

Walaupun gagal membawa Mahathir dengan alasan tiada permit, Zahidi kemudian dilihat berada dalam majlis Mahathir di Alor Setar beberapa minggu lalu.

Sejurus itu, Zahidi pula dengan sendiri bertindak merasmikan sendiri mesyuarat perwakilan bahagian Padang Besar yang mencetuskan kontroversi, apatah lagi dalam ucapannya beliau mengkritik kerajaan.

Shahidan dakwa Zahidi gagal dalam tugas
Media melaporkan perang dingin antara keduanya yang saling tuduh-menuduh tentang satu projek yang gagal di kawasan Beseri yang diwakili Zahidi.

Keadaan bertambah panas lagi dengan kenyataan Shahidan yang mendakwa Zahidi gagal dalam tugasnya sebagai Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Perlis dan beliau sedang berkira untuk mencari pengganti baginya.

Dalam pada itu, bekas Ketua Umno Bahagian Padang Besar, Dato' Azmi Khalid pula membuat kenyataan bahawa Badan Perhubungan UMNO Negeri Perlis perlu berbincang dengan Presiden parti terlebih dahulu sebelum mengambil sebarang tindakan untuk menggantikan Zahidi.

Kenyataan seperti jelas menyentak ego Shahidan yang juga pernah menganggap Azmi sebagai saingannya dalam politik Umno Perlis tidak lama dahulu.

Surat layang kritik pimpinan Shahidan
Selain itu, Shahidan juga dilaporkan begitu marah apabila adanya surat-surat layang yang banyak mengkritik kepimpinan beliau. Surat layang tersebut juga menyebut satu "team" baru perlu bangkit untuk menerajui Umno Perlis.

Ianya melibatkan Ahli Parlimen Arau, Dato' Seri DiRaja Syed Razlan Jamalullail, seorang Adun dan beberapa nama lagi pemimpin Umno Perlis.

Baru-baru ini Perlis telah dikejutkan dengan isu Majlis Perbandaran Kangar (MPK) yang telah disita kerana gagal menjelaskan hutang.

Ada banyak lagi perkara yang boleh dibangkitkan seperti kegagalan dan bebanan hutang Perbadanan Kemajuan Ekonomi Perlis (PKENPs),bebanan hutang Yayasan Islam Perlis (YIPs) ang boleh menambahkan pening Shahidan.

Shahidan timbulkan perkara-perkara pelik
Nampaknya Shahidan sedang diasak dari pelbagai pelusuk termasuk oleh orang-orang separtinya juga. Sejauhmanakah beliau boleh bertahan?

Ramai pemerhati politik Perlis menganggap Shahidan adalah seorang yang mampu menahan asakan seperti ini dengan berlagak seperti biasa dan terus menimbulkan pelbagai perkara-perkara yang pelik.

Baru-baru ini, Umno Bahagian Arau yang mana beliau sebagai Ketua telah mencadangkan jawatan Perdana Menteri, Menteri Besar dan Ketua Menteri dipegang sepanjang
hayat.

"Begitulah Shahidan. Tengoklah nanti, masa akan menentukan," kata seorang veteran Umno.

Tahniah untuk Singa Utara dari Dewan Pemuda


Oleh Bashir Ishak
KANGAR, 18 Sep -Dewan Pemuda PAS Perlis (DPPPs) hari ini mengucapkan tahniah kepada pasukan bolasepak negeri Perlis yang telah berjaya membawa pulang Piala Malaysia ke negeri ini.

Sabtu lalu pasukan yang bergelar Singa Utara ini telah merangkul kejuaraan Piala Malaysia buat kali kedua dalam masa tiga tahun setelah menumpaskan Negeri Sembilan NAZA 2-1.

Menurut Ketua DPPPs, Ustaz Ahmad Adnan Fadzil, kejayaan Perlis pada kali ini adalah hasil kerja kuat secara berpasukan yang mampu mengharumkan nama Perlis di persada sukan bolasepak di negara ini.

"Tahniah untuk Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) dan kita berharap lebuh banyak lagi piala yang boleh dibawa pulang pada tahun-tahn akan datang," katanya.

Begitupun, Ustaz Adnan berharap agar PFA dan Menteri Besar, Dato' Seri Shahidan Kassim selaku Presidennya akan dapat menunaikan janji memberikan ganjaran yang telah disebutkan sebelum perlawanan akhir baru-baru ini.

"Kita juga berharap agar kebajikan para pemain akan terjaga supaya mereka akan trus kekal dengan pasukan Perlis pada musim akan datang," serunya lagi.

Ke mana hilangnya keris Umno?

Ada pula kempen Cintai Sungai Kita


Ke mana hilangnya keris Umno?


Bendera Indonesiakah atau Poland yang menghiasi tiang lampu ini?



Oleh Waratawan Harakah
KANGAR, 18 Sept - Hendak dikatakan bendera Indonesia tidak ada pula sebarang majlis berkaitan dengan negara jiran tersebut, apatah lagi tiada pula pejabat Konsul mereka di Kangar.
Kalau diterbalikkan pula jadi bendera Poland. Tidak ada pula pemain bolasepak import dari Poland dalam pasukan Perlis.

Namun sebahagian negeri Perlis diselubungi bendera merah-putih yang digantung di tiang-tiang lampu dan pokok di seluruh Bandar Kangar serta sekitarnya.

Apa yang berlaku ialah majlis yang dianjurkan oleh Umno Perlis dan Umno Bahagian Arau yang mana Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak hadir untuk merasmikannya.

Selain pelancaran program Gema Merah Putih Umno Perlis, Najib juga merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Arau di Dewan Wawasan 2020 dekat sini baru-baru ini.

Apa yang menghairankan orang ramai ialah mengapa majlis anjuran Umno ini digantung dengan bendera merah putih sahaja.

“Kemana perginya keris mereka,” tanya seorang peniaga.

“Mana ada keris, pemimpin mereka dah cabut buat berlawan satu sama lain,” jawab seorang pimpinan PAS Perlis berseloroh.

Baru-baru ini juga, Menteri besar Pahang, Dato' Seri Adnan Yaakob mencadangkan agar logo keris di bendera Umno dibuang kerana pada hemat beliau, keris itu melambangkan perpecahan di dalam Umno.

Thursday, September 14, 2006

JKKK syor Markas PAS ditukar jadi pusat karaoke

Oleh Wartawan SEDAR
BESERI, 13 Sept- Dendam kesumat seorang bekas Ketua Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) terhadap PAS menyebabkan beliau mengeluarkan kata biadap untuk menukar markas PAS kepada sebuah karaoke.

Beliau berkata demikian ketika mengiringi Menteri Besar Perlis menziarahi rumah Allahyarham Haji Mhd Shariff Mhd Haniffa, bekas Ketua Penerangan PAS Kawasan Padang Besar yang mati dibunuh di Selatan Thailand beberapa minggu lalu.

Rumah Allahayarham di Kampung Bongkok dekat sini adalah berkembar dengan Markas PAS cawangan tersebut.

Menurut sumber yang rapat dengan Allahyarham, bekas Ketua JKKK Kampung Bongkok tersebut berkata bahawa Markas PAS tersebut lebih baik dicat dengan warna biru dan ditukar menjadi sebuah karaoke.

Markas tersebut selama ini menjadi tumpuan orang ramai yang datang ke majlis ilmu khususnya kuliah bulanan yang disampaikan oleh seorang Ustaz dari Pulau Pinang.

Beberapa peristiwa pernah berlaku ketika kuliah sedang berlangsung termasuk tayar kereta yang dibocorkan oleh orang yang tidak bertanggungjawab.

Seorang pimpinan PAS Kawasan Padang Besar berpendapat, bekas JKKK tersebut mengeluarkan kata-kata demikian kerana dendam dan benci melihat PAS berkembang di kampungnya dan markas PAS tersebut juga diisi dengan program yang mendapat sambutan ramai.

"Ramai yang masih marah kerana arwah Haji Shariff berjaya menghidupkan markas tersebut dengan kuliah dan ceramah-ceramah yang berjaya menarik orang ramai. Bila Haji Shariff dan Ketua cawangan sudah meninggal barulah dia berani berkata demikian walaupun secara berseloroh," katanya.

PKENPs dan YIPs gagal jelas hutang

Oleh Wartawan Harakahdaily
KANGAR, 13 Sept - Laporan Ketua Audit Negara mendapati beberapa kelemahan dalam pinjaman yang diberikan oleh kerajaan negeri Perlis kepada Agensi Negeri.

Pertamanya, pinjaman kepada Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perlis (PKENPs) yang sehingga akhir tahun 2005 berjumlah RM26.42 juta dan sebahagian besar daripadanya belum dibayar balik.

Walaupun rekod pinjaman disediakan dengan sempurna, namun perjanjian pinjaman yang diberikan pada tahun 2004 dan 2005 belum disediakan dan ditandatangani.

Pinjaman tersebut masing-masing berjumlah RM5 juta dan RM2 juta.

Jumlah tunggakan bayaran balik pinjaman PKENPs pada akhir tahun 2005 adalah berjumlah RM18.35 juta dan kerajaan negeri tidak menerima bayaran balik sejak tahun 2000.

Laporan Audit mendapati kedudukan kewangan PKENPS tidak kukuh dan mengalami masalah aliran tunai menyebabkan mereka gagal menjelaskan pinjaman dalam tempoh yang ditetapkan.

Sementara itu, Yayasan Islam Perlis (YIPs) yang begitu gah pada awal tahun 1990-an dengan pelbagai projek pembangunan kini terpaksa meminjam dengan kerajaan negeri khususnya untuk membayar gaji kakitangan dan pembiyaan pendidikan.

YIPs mentadbir tadika, empat buah sekolah agama, Maahad Tahfiz dan Institut Pengajian Tinggi Islam Perlis (IPTIPs).

Pada bulan Mac tahun ini, pinjaman kepada YIPs yang berjumlah RM13.64 juta yang dipinjam sejak akhir tahun 2004 telah ditukar kepada pemberian geran oleh kerajaan negeri.

Usul jawatan kekal sepanjang hayat, Umno Perlis makin bercelaru

Petikan Harakahdaily
KANGAR, 12 Sept - Politik Umno semakin bercelaru apabila beberapa peristiwa yang pelik berlaku sejak kebelakangan ini.

Pertama, Umno Bahagian Arau mengusulkan agar jawatan Perdana Menteri, Menteri Besar dan Ketua Menteri dipegang sepanjang hayat untuk mengelakkan berlakunya krisis kepimpinan.

Sementara itu, Umno Bahagian Padang Besar pula yang sebelum ini menimbulkan kontroversi apabila mengundang bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, mengadakan Mesyuarat Perwakilan Bahagian mereka dengan hanya dirasmikan sendiri oleh Ketuanya, Dato' Zahidi Zainul Abidin.

Beberapa orang pemerhati politik di negeri ini menyifatkan usul Umno Arau itu jelas mahu mengampu pimpinan tertinggi parti mereka dan jika diterima, pelaksanaannya akan lebih mengundang krisis sesama mereka.

"Apa akan jadi kepada orang nombor 2 dalam hirarki pimpinan. Tidakkah mereka berasa gelisah menunggu jawatan tertinggi yang tidak kunjung tiba,"kata seorang pegawai kerajaan yang ditemui hari ini.

Manakala seorang pesara pula menyifatkan usul tersebut menggambarkan imej Shahidan sendiri yang sentiasa menimbulkan perkara yang pelik.

"Lebih baik diusulkan agar selepas habis hayat jawatan itu diturunkan kepada anak-cucu dan adik-beradik pula," katanya.

Sementara itu, Umno Bahagian Padang Besar pula dilihat seperti dipulaukan apabila mengundang kontroversi dengan menjemput Tun Mahathir beberapa minggu lalu.

Walaupun program tersebut dibatalkan kerana masalah permit dan mereka sendiri mendakwa sukar untuk bermesyuarat kerana tidak dapat mencari tempat yang sesuai, namun mesyuarat yang diadakan itu kelihatan suram apabila tiadanya pimpinan tertinggi parti datang untuk merasmikannya.

"Masa depan politik Zahidi dilihat gelap dengan isu tersebut dan ditambah pula dengan kehadirannya dalam majlis bersama Mahathir di Alor Star baru-baru ini," kata seorang veteran politik.

Dalam pada itu, Shahidan menggariskan bahawa terdapat seramai 14 orang yang dikenalpasti sebagai bakal menggantikan beliau pada masa depan.

Dalam sidang media baru-baru ini beliau menyatakan terdapat lebih 40 orang yang dikenal pasti namun akhirnya senarai tersebut tinggal hanya 17 orang.

"Dari 17 orang, tiga orang pula tidak boleh pakai kerana menyeleweng. Jadi tinggal 14 sahaja," katanya.

Saturday, September 09, 2006

Laporan Ketua Audit bukti kelemahan pentadbiran Perlis


Petikan Harakahdaily
KANGAR, 8 Sept - Laporan Ketua Audit Negara 2005 jelas menujukkan beberapa kelemahan di dalam pentabiran kerajaan negeri Perlis selain penyalahgunaan peruntukan yang diberikan oleh kerajaan Pusat.

Dalam laporan tersebut, Wang Dana Khas yang disalurkan kepada kerajaan negeri untuk membiayai program untuk golongan miskin tetapi sebahagiannya telah dibelanjakan untuk tujuan yang tiada kaitan dengannya.

Kerajaan Negeri Perlis juga tidak ketinggalan apabila dilaporkan telah membelanjakan RM17, 800 daripada peruntukan dana khas itu untuk membiayai kursus ketatanegaraan Anggota Perkhidmatan Awam Negeri Perlis, sedangkan ia sepatutnya dibiayai oleh Pejabat Pembangunan Negeri Perlis.

Selain itu, dalam satu ringkasan sebuah akhbar berbahasa Inggeris menyatakan bahawa wang rakyat dibazirkan apabila projek perumahan kos rendah di negeri ini tergendala dan para pembeli terpaksa menunggu sehingga dua tahun untuk memasuki rumah mereka.

Selain itu, beberapa projek rumah kos rendah yang telah siap masih belum dimasuki dan terbiar sehinggakan banyak yang telah dirosakkan sehinggakan kerajaan negeri terpaksa mengeluarkan belanja yang tinggi untuk memperbaikinya.

Ketua Audit Negara berpendapat bahawa pihak berkenaan perlu lebih efisyen dalam pengurusan projek perumahan yang mana antara kelemahan yang dikesan ialah pelantikan kontraktor yang tidak bertanggungjawab serta kerja yang tergendala.

Mengulas laporan ini, Timbalan Pesuruhjaya PAS Perlis, Hairy Hashim melihat masih wujud banyak kelemahan dalam pentadbiran kerajaan negeri Perlis.

Katanya, walaupun jumlah RM17,000. 00yang disalahgunakan itu adalah kecil, ia tetap menyalahgunakan wang sepatutnya diberikan kepada golongan miskin.

"Adakah kerajaan negeri sudah kurang sumber kewangan sehinggakan terpaksa menggunakan wang orang miskin untuk perbelanjaan lain? Ini jelas menyeleweng," katanya.

Hairy juga menggesa kerajaan negeri agar segera menyelesaikan masalah perumahan kos rendah yang belum dapat dimasuki oleh pembeli.

Menurutnya, beberapa projek perumahan kos rendah seperti di Santan, Tambun Tulang dan Beseri yang masih belum diduduki menimbulkan tanda tanya di kalangan orang ramai.
"Laporan yang kita perolehi di Tambun Tulang, banyak rumah yang sudah rosak dan adakah ini yang dibanggakan oleh Menteri Besar sedangkan projek tersebut dibuat di dalam DUN yang dimenanginya," kata beliau.

Thursday, September 07, 2006

K’jaan negeri guna dana khas bantu rakyat miskin untuk tujuan lain
Petikan : Malaysiakini

Wang Dana Khas disalurkan kepada kerajaan negeri untuk membiayai program untuk golongan misikin tetapi sebahagiannya telah dibelanjakan untuk tujuan yang tidak berkaitan dengan program tersebut, seperti mengubahsuai kediaman rasmi menteri besar dan membeli peralatan penggambaran untuk krew stesen swasta NTV7.

Selain itu, menurut Laporan Ketua Audit Negara 2005, wang tersebut juga telah dibelanja untuk memasang papan iklan sempena lawatan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri ke Kedah.

Menurut laporan itu lagi, pada umumnya, dana khas itu terdiri daripada wang yang diterima dari Petronas dan disalurkan oleh Perbendaharaan, termasuk kepada kerajaan negeri melalui pejabat pembangunan negeri atau pejabat kewangan negeri.

Bagi tempoh tahun 2001 hingga 2005, sejumlah RM1.63 bilion diperuntukkan, termasuk kepada kerajaan-kerajaan negeri. Daripada jumlah itu, RM1.04 bilion telah dibelanjakan. Selain Kedah, negeri lain yang menerima wang dana khas tersebut ialah Kelantan, Terengganu , Perlis, Pahang dan Negeri Sembilan.

Menurut laporan itu lagi, program dana khas itu yang dilaksanakan di peringkat persekutuan dapat dinikmati oleh rakyat, tetapi di peringkat negeri, peruntukan tersebut turut digunakan untuk membiayai projek dan aktiviti yang tidak berkaitan dengannya dan ini telah menjejaskan matlamat program tersebut.

Menurut laporan itu lagi, Kedah diperuntukkan RM40 juta dana khas bagi tempoh 2003 hingga 2005. Selain memasang papan iklan di atas, kerajaan negeri membelanjakan RM701,222 daripada dana itu untuk membeli label pin untuk orang kenamaan, topi, pakaian untuk pasukan kawat Ahli Dewan Undangan Negeri sempena Hari Kemerdekaan.

Wang itu juga digunakan untuk bayaran membekal permaidani dan ‘timber blind’ untuk kegunaan Pejabat Menteri Besar; peralatan penggambaraan untuk krew NTV7.

Biaya tuisyen Puteri Umno

Laporan itu menyebut, mengikut maklum balas yang diterima daripada Perbendaharaan Malaysia, perbelanjaan tersebut dibuat atas arahan Menteri Besar Kedah.

Di samping itu, peruntukan itu juga diguna untuk bayaran sumbangan bagi Program Pusat Tuisyen anjuran Puteri Umno Sungai Petani sebanyak RM110,000 hanya berdasarkan kepada kertas kerja cadangannya.

Sepatutnya, tegas laporan tersebut, pembayaran tersebut dibuat berdasarkan bil tuntutan bulanan daripada tenaga pengajr kelas tuisyen.

Manakala 700 komputer bernilai RM2.10 juta turut dibeli dengan dana itu pada 2004 untuk diagihkan kepada Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) di seluruh Kedah tanpa memanggil tender.

Di samping itu, RM190,374 dibelanjakan, antaranya untuk bayaran iklan ucapan tahniah di akhbar, penginapan dan peralatan pejabat, yang dibuat tanpa mendapat kelulusan pihak Perbendaharaan terlebih dahulu.

Kerajaan Negeri Kedah juga, katanya, telah membelanjakan dana itu untuk membeli peralatan penggambaran untuk krew stesen swasta NTV7.

Terengganu pula telah diperuntukan wang dana khas sebanyak RM665 juta (2004-2005) tetapi ianya telah digunakan untuk membiayai perbelanjaan mengurus dan pembangunan negeri itu, seperti membayar emolumen, perkhidmatan, aset dan melaksanakan projek pembangunan.

“Sesungguhnya perbelanjaan yang dibuat tidak selaras dengan tujuan asal penubuhan dana khas, namun perbelanjaan yang dibuat, telah mendapat kelulusan daripada Perbendaharaan Malaysia,” kata laporan audit itu.

Bina kediaman MB

Manakala Kerajaan Negeri Perlis pula membelanjakan RM17,800 daripada peruntukan dana khas itu untuk membiayai kursus ketatanegaraan Anggota Perkhidmatan Awam Negeri Pelis, sedang ia sepatutnya dibiayai oleh Pejabat Pembangunan Negeri Perlis.

Kerajaan Negeri Pahang pula didapati membelanjakan RM0.92 juta daripada peruntukan dana khas itu untuk membiayai kos tambahan pembinaan Kompleks Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang.

Sepatutnya, menurut laporan tersebut, lebihan kos itu ditanggung oleh Majlis Agama Islam Pahang. Kerajaan Negeri sembilan pula telah membelanjakan RM5.44 juta daripada wang dana khas untuk membekalkan perabot di Kompleks Pentadbiran Pejabat Daerah Port Dickson dan Seremban.

Manakala RM4.50 juta lagi daripada peruntukan dana khas itu dibelanjakan untuk projek mengubahsuai rumah tetamu Kerajaan Negeri Sembilan untuk kediaman rasmi Menteri Besar Negeri Sembilan.

Laporan Ketua Audit Negara itu berkata, perbelanjaan tersebut adalah tidak menepati tujuan sebenar penyaluarn wang dana khas itu.

Di Kelantan pula, projek-projek dengan biayai dana khas itu dilaksanakan selepas mendapat persetujuan pengerusi badan perhubungan Umno negeri itu dan bukannya ketua pengarah unit penyelarasan pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri, seperti sepatutnya.

Wednesday, September 06, 2006

BN gerun hadapi PAS dalam PRU-12

KANGAR, 5 Sept - Umno dan Barisan Nasional (BN) terus menggeruni parti pembangkang khususnya PAS terutamanya dalam menghadapi Pilihan raya Umum (PRU) ke-12 akan datang.

Ini jelas terbukti apabila Ketua Pergerakan Wanita Umno, Dato' Seri Rafidah Aziz mengarahkan ahli-ahli mereka untuk mula berkempen di peringkat akar umbi khususnya di Kedah, Perlis dan Kelantan.

Media dipetik melaporkan kenyataan Rafidah yang tidak mahu ahli Wanita Umno menunggu hingga hampir pilihan raya untuk bekerja kerana katanya pembangkang sedang berusaha untuk menawan Kedah dan Perlis.

Ketua Penerangan PAS Perlis, Ustaz Yaakub Abu Seman menyifatkan kenyataan Rafidah ini membuktikan Umno-BN semakin gerun dengan kekuatan parti pembangkang khususnya PAS sendiri.

Katanya, walaupun kehilangan banyak kerusi pada PRU ke-11 tahun 2004 yang lalu, namun jentera PAS sentiasa bersiap sedia dan tersusun untuk menghadapi pilihan raya.

"PAS mempunyai kekuatannya sendiri dan dengan muafakat Barisan Alternatif maka ini lebih mengukuhkan parti pembangkang untuk berhadapan Umno-BN," katanya.

Selain itu Yaakub turut melihat perkembangan semasa di dalam negara ini banyak memberikan kelebihan kepada pembangkang.

"Krisis Mahathir- Abdullah, isu Khairy Jamaluddin, masalah ekonomi, gejala sosial dan sebagainya adalah modal untuk kita di pihak pembangkang untuk memberitahu rakyat," jelasnya.

Selain itu, beliau juga melihat Umno-BN hanya kuat dengan bantuan jentera kerajaan dan media dalam menghadapi pilihan raya selain sumber kewangan yang tidak terbatas.

"Dalam keadaan media terkongkong, ruang demokrasi terbatas, kewangan yang terhad namun kita tetap digeruni lawan yang mempunyai segala kelebihan," katanya lagi

Friday, September 01, 2006

Islam selesaikan permasalahan etnik - Mursyidul Am


Oleh Bashir Ishak
ARAU - Islam adalah titik pertemuan dan penyelesaian kepada masalah etnik di atas muka bumi ini kerana prinsip perjuangannya yang luas tanpa batasan kebangsaan.

"Adalah mustahil mengikut perjuangan Umno untuk penyelesaian masalah etnik kerana mereka menyempitkan fahaman kepada kebangsaan sahaja".

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata demikian ketika mengulas perang dingin yang timbul antara Pemuda Umno dan MCA berikutan kenyataan Timbalan Ketua Pemuda mereka, Khairy Jamaluddin yang menyatakan bahawa komponen Barisan Nasional akan mengambil kesempatan sekiranya Umno menjadi lemah.

Khairy juga digesa memohon maaf oleh MCA kerana kenyataannya itu.

Tuan Guru menyifatkan Pemuda Umno hanya peka permasalahan yang melibatkan bangsa sedangkan isu yang lebih penting seperti masalah sosial atau jenayah tidak diberikan perhatian.
"Ertinya Pemuda MCA sudah berani tegur Pemuda Umno yang kebetulannya apa yang disebut itu bertepatan dengan realitinya," katanya.

Menurut Tuan Guru lagi, perjuangan Umno yang mengagungkan bangsa itu tidak akan berkesudahan kerana baginya, sampai bilapun tidak akan wujud penyatuan antara dua bangsa seperti Melayu dan Cina.

Tambah beliau, perjuangan yang dibawa oleh PAS ialah Islam yang megetepikan fahaman kebangsaan dan semua bangsa boleh disatukan.

"Melayu boleh Islam, Cina boleh Islam, India boleh Islam, tetapi Cina tidak boleh jadi Melayu dan India tak boleh jadi Melayu.Sebab itulah PAS kemukakan Islam di mana jadi titik pertemuan semua bangsa," katanya.

Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan menegaskan semula kenyataannya suatu masa dahulu di mana orang Cina boleh jadi Menteri Besar Kelantan asalkan dia seorang Islam.

"Tetapi Umno tak boleh kata Cina boleh jadi Menteri Besar di Kelantan asalkan dia Melayu.
Mana boleh cina jadi Melayu tapi Cina boleh jadi Islam. Itulah bijaknya perjuangan PAS ini kerana boleh menyatukan dan ada titik pertemuan antara bangsa-bangsa di muka bumi ini," jelasnya.

Sambil menyifatkan kerja Umno untuk menonjolkan Melayu ini adalah suatu kerja yang tida kesudahannya, Tuan Guru juga melihat fahaman kebangsaan yang dibawa adalah terlalu sempit.

"Fahaman kebangsaan yang dibawa oleh Umno lari dari landasan Islam yang dibawa oleh Nabi SAW. Sebab itu dia sesat, dalam demokrasi tidak ada sebut sesat tetapi dalam Islam ada sebut sesat seperti dalam surah Al-Fatihah," katanya lagi.
Tuan Guru ditemui pada majlis penutupan Ijtimak PAS Perlis kali ke 10 di Markas Tarbiyah PAS Perlis, Jejawi Dalam dekat sini.

Beliau bersama-sama orang ramai dalam satu majlis makan malam dan kemudiannya menyampaikan ceramahnya di hadapan lebih dua ribu orang hadirin.
Turut berceramah ialah Pesuruhjaya PAS Perlis, Ustaz Hashim Jasin dan bekas pelakon filem "Ali Setan", Azmil Mustapha.

Ustaz Hashim kesal tiada khutbah khusus isu kekejaman Israel



Oleh Pemberita SEDAR
ARAU- Pesuruhjaya PAS Perlis Ustaz Hashim Jasin melahirkan rasa kesalnya terhadap Jabatan Agama Islam Perlis (JAIPs) kerana gagal menyediakan teks khutbah yang khusus berkaitan isu Lubnan dan Palestin.
Katanya, dalam keadaan semasa bila umat Islam di Lubnan dan Palestin yang sedang menghadapi kekejamandan kezaliman rejim Zionis-Israel, sepatutnya para khatib di masjid-masjid menyampaikan khutbah berkaitan isu ini bagi menyedarkan umat Islam.
"JAIPs seolah-olah sudah mati sedangkan ini adalah satu isu besar yang sedang melanda umat Islam," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ceramahnya pada majlis perasmian Ijtimak PAS Perlis kali ke 10 di MarkasTarbiyah PAS Perlis, Kampung Jejawi Dalam dekat sini baru-baru ini.
Katanya lagi, di negara ini yang berpaksikan IslamHadhari dan di Perlis yang mengaku sebagai Darul Sunnah, dilihat sensitiviti umat Islam sudah hilang untuk membincangkan atau mengambil tahu permasalahan yang timbul di dua buah negaraAsia Barat yang sedang bergolak itu.
"Tidak langsung disebut isu semasa dalam khutbah. Khutbah yang sedia ada bukannya tidak baik tetapi isu penting seperti ini perlu dibangkitkan untuk menimbulkan kesedaran dan keinsafan di kalangan umat Islam," katanya lagi.
Pondan yang ditahan oleh JAIPs

Oleh Wartawan Harakah
SIMPANG EMPAT, 31 Ogos - Perlis Darul Sunnah sekali lagi dikejutkan dengan masalah gejala sosial apabila sekumpulan pondan telah ditahan malam semalam.

Dalam operasi yang dijalankan oleh Jabatan Agama Islam Perlis (JAIPs) itu seramai 15 orang pondan yang sedang mengadakan sambutan harijadi salah seorang dari mereka telah di tahan di restoran Persatuan Nelayan Kawasan Perlis Selatan, Sungai Baru dekat sini.

Operasi yang turut disertai anggota polis dari Balai Simpang Empat bermula pada jam 10.00 malam.

Kumpulan pondan ini telah menempah dewan khas di restoran tersebut untuk majlis tersebut. Turut serta beberapa orang remaja lelaki dan seorang wanita berusia 60-an yang berpakaian sopan dan bertudung yang dipercayai saudara salah seorang pondan tersebut.

Wakil Harakah Perlis yang mendapat maklumat turut berada di sana untuk membuat liputan.

Menurut salah seorang penguasa JAIPs yang menyertai operasi tersebut, pondan-pondan yang ditangkap akan didakwa di bawah akta berkaitan dengan pondan.

Hanya pondan yang berpakaian wanita sahaja yang ditangkap, manakala selebihnya dibebaskan. Semua mereka telah dibawa ke Ibu Pejabat Daerah Polis Kangar untuk diambil keterangan dan ditahan di dalam lokap.
Semalam kesemua pondan yang ditahan telah didakwa di Makhamah Tinggi Syariah dan dikenakan denda RM3000.00 atau 12 bulan penjara.
Kesemuanya membayar denda tersebut.