Alamat Baru Kami

Alamat Baru Kami

Klik di FOTO

Saturday, October 29, 2005

Sumbangan Aidilfitri Adalah Tuntutan Agama
Oleh BASHIR ISHAK
Kategori : Berita

SANGLANG, 29 Okt (Hrkh) – Memberikan sumbangan sempena Ramadhan dan Aidilfitri adalah sebahagian daripada tuntutan agama dan bukannya kerana meniru mana-mana pihak, demikian jelas Pesuruhjaya PAS Perlis, Ustaz Hashim Jasin.Beliau berkata demikian dalam ucapannya di majlis penyampaian sumbangan Aidilfitri DUN Sanglang di sini semalam.

"Ini adalah usaha kebajikan yang telah lama dijalankan sejak dahulu. Golongan yang mampu terutamanya di dalam bulan Ramadhan perlu membantu mereka yang tidak mampu khususnya untuk menyambut hari raya," katanya.

Ustaz Hashim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Sanglang menyatakan bahawa sumbangan ini bukanlah sumbangannya secara individu tetapi juga daripada pelbagai pihak yang datang dari pelbagai tempat.
"Kita hanya menjadi pengantara untuk tolong sampaikan sumbangan daripada dermawan-dermawan ini," jelasnya.

Beliau juga menyeru agar amalan seperti ini dijadikan acara tahunan dan di dalam apa jua keadaan perlu diteruskan kerana ianya adalah tuntutan agama.

Seramai seratus orang dari kalangan anak yatim dan yang mereka yang tidak berkemampuan telah menerima sumbangan tersebut. Majlis penyampaian sumbangan telah diadakan di Markas MTD Sanglang, Kampung Rama.