Alamat Baru Kami

Alamat Baru Kami

Klik di FOTO

Saturday, October 29, 2005

Hari raya & Solat sunat al-‘id (hari raya)
Oleh : Ustaz Adnan Fadzhil
Kategori : Fikrah Pimpinan
(Bahagian 5)

Waktu solat sunat hari raya

Bermula waktu solat sunat hari raya ialah apabila terbitnya matahari pada hari raya dan berakhir apabila tergelincir matahari dari tengah langit (yakni masuk waktu zohor). Namun waktu terbaik ialah ketika matahari telah naik dengan kadar segalah atau dua galah. Ini kerana Nabi s.a.w. senantiasa melakukan solat hari raya pada waktu tersebut. Diriwayatkan dari Jundub r.a. yang menceritakan;

كان النبي صلى اللَّه عليه وآله وسلم يصلي بنا يوم الفطر والشمس على قيد رمحين والأضحى على قيد رمح
“Adalah Nabi s.a.w. menunaikan solat bersama kami pada hari raya fitrah ketika (ketinggian) matahari berada pada kadar dua galah dan pada hari raya korban ketika (ketinggian matahari) pada kadar segalah”. (Imam al-Hafidz dalam at-Talkhis)

Dan disunatkan imam menyegerakan solat hari raya korban dan melewatkan sedikit solat hari raya fitrah berdalilkan hadis di atas dan juga hadis dari ‘Amru bin Hazim r.a. yang menceritakan bahawa Nabi s.a.w. menulis surat arahan kepada beliau ketika ia berada di Najran;

أَنْ عَجِّلِ الأضحى وَأَخِّر الفطر وذَكِّر الناس
“Hendaklah kamu menyegerakan solat hari raya korban, melewatkan solat hari raya fitrah dan berilah peringatan kepada orang ramai”. (Riwayat Imam Syafi’ie secara mursal)

Selain mengikuti sunnah Nabi s.a.w., menyegerakan solat hari raya korban dapat memanjangkan waktu bagi melaksanakan ibadah korban (kerana binatang korban sunat disembelih setelah imam selesai solat hari raya). Adapun melewatkan solat hari raya fitrah dapat memberi lebih masa kepada kaum muslimin membayar zakat fitrah (kerana zakat fitrah afdhal dikeluarkan sebelum solat hari raya).


Mengqadha solat hari raya

Disunatkan mengqadha solat hari raya yang luput atau tertinggal. Jika berlaku sebarang keuzuran/kesukaran sehingga solat hari raya tidak dapat ditunaikan pada masanya yang tetapkan tadi (iaitu antara terbit matahari dan tergelincirnya dari tengah langit), maka disyari’atkan agar solat hari raya itu diqadha/diganti pada bila-bila masa sama ada pada hari raya tersebut, atau besoknya atau pada hari yang lain bergantung kepada kesepakatan. Namun yang afdhalnya ialah mengqadhanya pada hari raya itu juga jika dapat dikumpulkan orang ramai pada hari tersebut. Jika tidak, maka afdhalnya ditangguh hingga ke esoknya (yakni hari raya kedua) supaya orang ramai dapat hadir. Hal ini bagi imam yang bersolat bersama orang ramai. Adapun bagi individu-individu yang ingin bersolat bersendirian, maka tidak timbul persoalan hendak meraikan kehadiran orang ramai.

Dalil sunat mengqadha solat hari raya yang tertinggal ialah hadis dari Abi Umair bin Anas r.a. yang meriwayatkan dari bapa-bapa saudaranya (عمومة له) yang terdiri sahabat-sahabat Nabi s.a.w. menceritakan;

أَنَّ رَكْباً جاءُوا إلى النبي صَلّى الله عَلَيْهِ وَسَلّم يشهدون أَنّهُمْ رأَوُا الهِلالَ بالأمْسِ فأَمَرَهُم أَنْ يُفْطروا وإذا أَصْبحُوا أَنْ يَغْدُوا إلى مُصَلَّاهُمْ
“Satu rombongan datang kepada Nabi s.a.w. bersaksi bahawa mereka melihat anak bulan syawal kelmarinnya. Maka Nabi s.a.w. memerintahkan orang ramai supaya berbuka dan pergi ke tempat solat apabila menjelang pagi (besoknya)”. (Riwayat Imam al-Baihaqi. Berkata Imam Baihaqi; sanadnya soheh)

Sorang yang ketinggalan solat hari raya bersama imam, maka hendaklah ia menunaikan solat sendirian dan solatnya itu dikira tunai (أداء) selagi belum tergelincir matahari pada hari raya itu (yakni belum masuk waktu zohor). Dan jika ia mengerjakan solat hari raya selepas tergelincir matahari, solatnya itu dikira qadha (gantian). Mengikut mazhab Syafi’ie, solat sunat berwaktu yang luput atau tertinggal sunat diqadha. Masa mengqadha adalah pada bila-bila masa. Namun disunatkan menyegerakannya. Bagi hari raya, sebaik-baiknya qadha itu dilakukan pada hari raya itu juga (yakni sebelum terbenam matahari).

Tempat menunaikan solat hari raya

Menjadi sunnah Nabi s.a.w. menunaikan solat hari raya di tanah lapang jika dapat berbuat demikian tanpa sebarang kesukaran atau tegahan seperti hujan, cuaca terlalu sejuk dan sebagainya. Ini sebagaimana yang diceritakan oleh Abu Sa’id al-Khudri r.a.;

كَانَ النَّبِيُّ صَلّى الله عَلَيْهِ وَسَلّم يَخْرُجُ يَوْمَ الْفِطْرِ وَالأَضْحَى إلَى الْمُصَلَّى...
“Adalah Nabi s.a.w. keluar pada hari raya fitrah dan hari raya korban menuju ke mushalla (tempat menunaikan solat) ….”. (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

Namun menurut ulamak-ulamak mazhab Syafi’ie; sunat menunaikan solat di padang lapang itu hanyalah jika masjid sempit. Adapun jika masjid luas dan dapat menampung keseluruhan jamaah yang hadir, maka menunaikan solat hari raya di masjid adalah lebih afdhal kerana masjid lebih bersih, lebih mulia dari sebarang tempat yang lain dan juga menunaikan solat di masjid dapat memperolehi dua pahala iaitu pahala ibadah solat dan pahala iktikaf. Adapun hadis di atas dan hadis-hadis lain yang menceritakan Nabi s.a.w. menunaikan solat hari raya di tanah lapang, bukan di masjid, sebabnya adalah seperti yang telah dijelaskan tadi iaitu kerana masjid baginda sempit, tidak dapat menampung seluruh manusia yang akan datang menunaikan solat.
Melantik pengganti imam

Jika imam keluar menunaikan solat sunat hari raya di luar masjid, disunatkan ia melantik seorang pengganti untuk menjadi imam solat di masjid bagi orang-orang yang lemah (orang-orang tua, orang-orang sakit dan sebagainya) dan menyampaikan khutbah kepada mereka. Ini kerana Imam Syafi’ie meriwayatkan dari Abi Ishaq yang menceritakan;

أن عليا رضي الله عنه استخلف أبا مسعود الأنصاري رضي الله عنه ليصلي بضعفة الناس في المسجد
“Sesungguhnya Saidina Ali r.a. melantik Abu Mas’ud al-Anshari r.a sebagai penggantinya untuk menunaikan solat bersama orang-orang tidak berdaya di masjid”. (Riwayat Imam Syafi’ie dengan sanad yang soheh menurut Imam Nawawi dalam al-Majmu’)

Begitu juga, jika solat terpaksa dilakukan di masjid kerana hujan atau sebagainya (yang tidak menizinkan solat ditunaikan di tanah lapang) sedangkan masjid sempit tidak dapat menampung keseluruhan ahli jamaah, maka imam hendaklah melantik wakil/penggantinya untuk mengerjakan solat bersama orang ramai di tempat lain yang paling memudahkan mereka.


Cara menunaikan solat sunat hari raya

1. Tidak disunatkan azan dan juga iqamah sebelum menunaikan solat hari raya, akan tetapi dilaungkan seruan; (الصلاة جامعة) (maksudnya; marilah menunaikan solat berjamaah). Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan dari Ibnu ‘Abbas dan Jabir bin ‘Abdillah r.a. yang menceritakan;

لَمْ يَكُنْ يُؤَذَّنُ يَوْمَ الْفِطْرِ وَلاَ يَوْمَ الأَضْحَى.
“Tidaklah dilaungkan azan (untuk solat hari raya) pada hari raya fitrah dan juga hari raya korban”.

Diriwayatkan dari az-Zuhri r.a. yang menceritakan;

كان النبي صلى الله عليه وسلم يأمر في العيدين أن يقول: الصلاة جامعة
“Adalah Nabi s.a.w. memerintahkan kepada muazzin (orang yang bertugas melaungakn azan) pada hari raya agar melaungkan; as-Solata Jami’atan (marilah menunaikan solat secara berjamaah)”. (Riwayat oleh Imam Syafi’ie dalam al-Umm)

2. Solat hari raya sunat dilakukan secara berjamaah (di masjid atau di tanah lapang) berdasarkan banyak hadis-hadis yang soheh dan masyhur serta menjadi ijmak para ulamak. Namun jika seseorang melakukan solat hari raya secara bersendirian dirumahnya atau di tempat lain, mengikut mazhab Syafi’ie adalah sah.

3. Bilangan rakaat solat sunat hari raya ialah 2 rakaat dengan disepakati oleh sekelian ulamak. Diriwayatkan dari Umar r.a. yang menceritakan;

صلاة السفر ركعتان وصلاة الأضحى ركعتان وصلاة الفطر ركعتان وصلاة الجمعة ركعتان تمام من غير قصر على لسان محمد صلى اللَّه عليه وسلم
“Solat ketika musafir adalah dua rakaat, solat hari raya korban adalah dua rakaat, solat hari raya fitrah adalah dua rakaat dan begitu juga solat Jumaat adalah dua rakaat di mana (semua bilangan rakaat itu) adalah bilangan rakaat yang sempurna, bukan qasar (pendek) berdasarkan kepada apa yang disabdakan oleh Nabi Muhammad s.a.w.”. (Riwayat Imam Ahmad, an-Nasai dan Ibnu Majah. Hadis ini soheh menurut Imam Nawawi)