Alamat Baru Kami

Alamat Baru Kami

Klik di FOTO

Tuesday, October 25, 2005

Hari raya & Solat sunat al-‘id (hari raya)
Oleh : Ustaz Adnan Fadzhil
Kategori : Fikrah Pimpinan
(Bahagian 1)

Muqadimah

Hari raya dalam bahasa Arab dipanggil al-‘Id. Al-‘Id (العِيْد) adalah pecahan dari kalimah al-‘aud (العَوْد) yang bermaksud kembali. Dinamakan hari raya dengan nama demikian kerana ia kembali (yakni berulang-ulang) pada setiap tahun atau kerana kegembiraan akan datang kembali dengan munculnya hari raya pada setiap tahun.

ِDi dalam Islam, ada dua hari raya yang disyari’atkan untuk disambut oleh kaum muslimin iaitu “عيد الفطر” (hari raya fitrah) dan “عيد الأضحى” (hari raya korban). Kedua-duanya merupakan syi’ar yang besar di dalam Islam. Anas r.a. menceritakan bahawa tatkala Nabi s.a.w. tiba di Madinah (selepas hijrahnya), penduduk Madinah mempunyai dua hari kebesaran di mana mereka menyambutnya dengan mengadakan permainan-permainan. Lalu baginda bertanya mereka; “Hari apakah yang kamu sambut ini?”. Mereka menjawab; “Dua hari yang kami biasa menyambutnya (dengan mengadakan permainan) pada masa jahiliyah”. Maka Nabi s.a.w. bersabda kepada mereka;

قَدْ أَبْدلَكمُ الله بِهِمَا خَيْراً منهما: يومَ الأضحْى ويوْمَ الْفِطْر
“Sesungguhnya Allah telah menggantikan untuk kamu dua hari yang lebih baik dari dua hari (yang kamu sambut) itu iaitu; hari raya korban dan hari raya fitrah”. (Riwayat Imam Abu Daud dan an-Nasai dengan sanad yang soheh)

Hari raya fitrah dan hari raya korban adalah hadiah dari Allah kepada kepada hamba-hambanya yang beriman kerana ketaatan dan ibadah mereka. Ini kerana kedua-duanya datang selepas fardhu/kewajipan yang suci; hari raya fitrah datang selepas kewajipan puasa dan hari raya korban pula datang selepas kewajipan haji. Oleh demikian, hari raya dalam Islam mempunyai ikatan yang kukuh dengan kewajipan-kewajipan agama. Ia bukan perayaan perkauman atau kebangsaan, tetapi perayaan agama, yang disyari’atkan oleh Allah, bukan disyari’atkan oleh manusia.

Menyambut hari raya hendaklah mengikut adab-adab yang ditetapkan oleh Syara’. Tidak harus kita meniru cara orang-orang kafir menyambut hari raya mereka iaitu dengan melakukan maksiat dan munkar, berhibur secara berlebih-lebihan dengan nyanyian dan tari-menari (yang melanggar batasan Syara’) dan sebagainya sehingga hilang sifat hari raya itu sebagai hari kebesaran agama.

Tidak salah untuk kita berseronok dan bergembira pada hari raya kerana ia adalah anugerahkan Allah untuk kita. Malah Nabi s.a.w. menyarankan kita supaya menghiaskan diri dengan pakaian yang cantik dan elok serta memakai wangi-wangian pada hari raya bagi menceriakan suasana pada hari tersebut. Namun demikian, keghairahan menyambut hari raya janganlah sampai kita mengotorkan hari tersebut dengan maksiat dan munkar. Dalam erti lain, janganlah keseronokan dan kegembiraan kita melebihi had yang ditetapkan oleh Syara’ (Allah dan Rasul).

Di pagi hari raya umat Islam diperintahkan supaya keluar menunaikan solat sunat hari-raya di masjid atau di tanah lapang. Selepas solat, mereka akan dihidangkan dengan khutbah hari raya oleh imam atau khatib yang memberi nasihat dan peringatan kepada mereka. Di sepanjang hari raya pula mereka digalakkan bersungguh-sungguh membesarkan Allah dengan melaungkan takbir, tahlil, tahmid dan tasbih. Sabda Nabi s.a.w.;



زينوا العيدين بالتهليل والتكبير والتحميد والتقديس
“Kamu hiasilah dua hari raya dengan tahlil, takbir, tahmid dan taqdis”. (Riwayat Abu Na’im dari Anas r.a.)

Semua ibadah tersebut menjadi petanda kepada kita bahawa hari raya di dalam Islam adalah hari untuk mengagungkan Tuhan dan menzahirkan syiar agama, bukan hari untuk berseronok dan bersuka-ria semata-mata.

Menghidupkan malam hari raya dengan ibadah

Disunatkan menghidupkan malam dua hari raya (yakni hari raya fitrah dan hari raya korban) dengan ibadah sama ada mengerjakan solat-solat sunat, membaca al-Quran, berzikir dan sebagainya. Ini kerana terdapat hadis di mana Nabi s.a.w. bersabda;

من أحيا ليلة الفطر وليلة الأضحى لم يمت قلبه يوم تموت القلوب
“Sesiapa menghidupkan malam hari raya fitrah dan malam hari raya korban, nescaya tidak akan mati hatinya pada hari mati hati-hati”. (Riwayat Imam at-Thabrani dari ‘Ubadah r.a.)

Terhasilnya menghidupkan malam itu ialah dengan bangun beribadah di kebanyakan malam tersebut sebagaimana bermalam di Mina. Namun menurut Ibnu ‘Abbas r.a.; sekurang-kurang yang dinamakan menghidupkan malam ialah mengerjakan solat Isyak berjamaah dan berazam untuk mengerjakan solat subuh berjamaah. Yang dimaksudkan mati hati ialah terbelenggu hati dengan dunia. Ada yang berpendapat maksudnya ialah menjadi kafir. Dan ada juga yang memberi erti; ketakutan hari kiamat.
Selain itu, digalakkan juga memperbanyakkan doa pada malam hari raya kerana doa pada malam tersebut adalah mustajab. Imam Syafi’ie berkata di dalam kitabnya al-Umm; “Telah sampai kepada kami bahawa dikatakan; ‘Sesungguhnya terdapat lima malam dimustajabkan doa iaitu; pada malam jumaat, malam hari raya korban, malam hari raya fitrah, malam pertama bulan Rejab dan malam nisfu Sya’ban’”.