Alamat Baru Kami

Alamat Baru Kami

Klik di FOTO

Saturday, October 15, 2005

PAS Perlis sediakan pendidikan alternatif untuk masyarakat
Oleh BASHIR ISHAK
Kategori : Berita

KANGAR - Menyedari sistem pendidikan negara yang sedia ada tidak dapat menjamin untuk melahirkan insan yang bertaqwa, maka PAS Perlis telah menubuhkan tiga buah sekolah sebagai alternatif kepada masyarakat.Tiga buah sekolah tersebut terdiri daripada sebuah sekolah menengah dan dua buah Sekolah Rendah Islam (SRI) telah ditubuhkan pada awal tahun 1990-an.

SRI At-Taqwa di Beseri dan SRI Al-Furqan di Padang Siding adalah dua buah sekolah rendah yang menyediakan pendidikan berasaskan sukatan pelajaran biasa dan penekanan khusus kepada agama dan Bahasa Arab. Manakala di peringkat menengah, Al-Madrasah Ad-Diniah Al-Islamiyah (MADI) di Jejawi Dalam juga menyediakan sistem pendidikan berasaskan akademik serta memberikan penekanan terhadap agama dan Bahasa Arab.

Menurut Pesuruhjayanya, Ustaz Hashim Jasin, usaha ini adalah hasil kesedaran ahli-ahli PAS serta masyarakat Islam di Perlis yang mahu melihat wujudnya satu sistem persekolahan yang boleh mengimbangi sistem persekolahan yang ada.

"Kita melihat keadaan moral dan akhlak para pelajar kini semakin hari semakin menurun dan gejala sosial semakin teruk, jadi satu sistem persekolahan yang boleh mengawal perkara sedemikian perlu diwujudkan," katanya kepada Harakahdaily.

Bagi Ustaz Hashim, tujuan penubuhan sekolah-sekolah ini bukannya bertujuan untuk bersaing dengan sekolah yang sedia ada khususnya kepada sekolah agama yang sedia ada di Perlis.

"Kita bukannya mahu bersaing dengan sekolah agama yang sedia ada, tetapi kita juga merasakan bahawa sekolah-sekolah agama perlu ditambah," katanya lagi.

Selain itu, beliau menegaskan bahawa institusi pendidikan berasaskan agama perlu terus dipertahankan walaupun menghadapi pelbagai rintangan.

"Kita sudah lebih sepuluh tahun bertahan tanpa sebarang bantuan kerajaan. Ini menunjukkan bahawa masyarakat sedia berkorban demi kepentingan pendidikan Islam," tambahnya.