Hari raya & Solat sunat al-‘id (hari raya)
Oleh : Ustaz Adnan Fadzhil
Oleh : Ustaz Adnan Fadzhil
Kategori : Fikrah Pimpinan
(Bahagian 6)
4. Syarat-syarat, rukun-rukun dan sunat-sunatnya sama seperti solat sunat biasa kecuali beberapa sunat tambahan yang akan dijelaskan nanti. Hendaklah diniatkan ketika takbiratul-ihram; mengerjakan solat sunat ‘idil-fitri atau ‘idil-adhha.
5. Disunatkan bertakbir pada rakaat pertama sebanyak tujuh kali (tidak termasuk takbiratul-ihram dan takbir ruku’) dan pada rakaat kedua sebanyak lima kali (tidak termasuk takbir qiyam dan takbir ruku’). Masa takbir ialah selepas membaca doa iftitah dan sebelum membaca isti’azah dan surah al-Fatihah.
Diriwayatkan dari Kathir bin ‘Abdullah yang meriwayatkan dari bapanya yang meriwayatkan dari datuknya (‘Amru bin ‘Auf al-Anshari r.a.) yang menceritakan;
أن النبي صلى اللَّه عليه وآله وسلم كبر في العيدين في الأولى سبعاً قبل القراءة وفي الثانية خمساً قبل القراءة
“Sesungguhnya Nabi s.a.w. bertakbir di dalam solat dua hari raya (yakni ‘Aidil-Adhha dan ‘Aidil-Fitri); pada rakaat pertama sebanyak tujuh kali sebelum membaca Fatihah dan pada rakaat kedua sebanyak lima kali sebelum membaca Fatihah”. (Riwayat Imam at-Tirmizi. Menurut Imam at-Tirmizi; hadis ini hasan)
Semasa bertakbir sunat dijelaskan suara dan diangkat tangan sama seperti takbir-takbir yang lain dalam solat (yakni takbiratul-ihram dan takbir intiqaliyah). Begitu juga, sunat selepas setiap kali takbir tangan kanan diletakkan di atas tangan kiri di bawah dada iaitu sama sebagaimana selepas takbiratul-ihram.
Di antara dua takbir sunat berhenti seketika untuk berzikir dengan bertahlil, bertahmid, bertasbih dan bertakbir. Lafaz zikir yang paling baik ialah;
سبحان الله والحمد لله ولا إله إلا الله أكبر
“Maha suci Allah, segala puji bagi Allah, Tiada Tuhan melainkan Allah, Allah maha besar”.
Menurut Imam Syafi’ie, makruh hukumnya jika seseorang membaca takbir-takbir tadi secara bersambungan tanpa diselangi dengan membaca zikir di antaranya.
Takbir-takbir tersebut jika ditinggalkan –keseluruhan atau sebahagiannya- adalah makruh. Namun tidaklah perlu untuk sujud sahwi kerana ia tergolong dalam sunat-sunat haiah, bukan ab’adh. Jika seseorang terlupa membaca takbir-takbir itu dan ia hanya mengingatinya setelah mula membaca al-Fatihah, tidak harus ia berpatah-balik untuk membacanya. Dalam pengertian lain; sunat takbir itu tamat apabila telah mula membaca surah al-fatihah sekalipun belum sempurna. Namun jika ia mengingatinya selepas membaca ta’awwudz (yakni sebelum ia membaca al-fatihah), harus berpatah balik untuk membaca takbir-takbir itu.
Jika seseorang mula mengikut imam ketika imam sedang membaca surah fatihah atau imam telah selesai melakukan takbir-takbir tadi atau sebahagiannya, ia tidak perlu melakukan/mengganti takbir yang luput/tertinggal itu kerana kedudukannya hanyalah umpama zikir yang disunatkan sebagaimana doa iftitah yang tidak perlu diganti atau diqadha apabila terluput/tertinggal. Dan jika ia mula mengikuti imam pada rakaat kedua, maka ia hendaklah mengikuti bilangan takbir imam (iaitu lima kali), kemudian setelah bangun berdiri di rakaat kedua (setelah imam memberi salam), hendaklah ia bertakbir lima kali juga (bukan tujuh kali).
6. Selepas membaca al-Fatihah, disunatkan membaca surah Qaf pada rakaat pertama dan surah al-Qamar (اقتربت الساعة) pada rakaat kedua atau membaca surah al-A’la pada rakaat pertama dan surah al-Ghasyiyah pada rakaat kedua. Imam atau orang yang bersolat sendirian disunatkan menjelas atau menguatkan suara ketika membaca al-Fatihah dan juga surah-surah atau ayat-ayat selepasnya.
عَنْ عُبَيْدِ اللهِ بْنِ عَبْدِ اللهِ: أَنَّ عُمَرَ بْنَ الْخَطَّابِ سَأَلَ أَبَا وَاقِدٍ اللَّيْثيَّ: مَا كَانَ يَقْرَأُ بِهِ رَسُولُ اللهِ -صَلَّى اللهُ عَلَيهِ وَسَلَّمَ- فِي الأَضْحى وَالْفِطْرِ؟ فَقَالَ: كَانَ يَقْرَأُ فِيهِمَا بِـ{ق وَالْقُرْآنِ الْمَجِيدِ} و{اقْتَرَبَتِ السَّاعَةُ وَانْشَقَّ الْقَمَرُ}
Diriwayatkan dari ‘Ubaidillah bin ‘Abdillah menceritakan; “Umar bin al-Khattab r.a. telah bertanya kepada Aba Waqid al-Laithi; ‘Surah yang dibaca oleh Rasulullah di dalam solat hari raya korban dan hari raya fitrah?’. Abu Waqid menjawab; “Baginda membaca dalam solat kedua-dua hari raya itu; (ق وَالْقُرْآنِ الْمَجِيدِ) (yakni surah Qaf; pada rakaat pertama) dan (اقْتَرَبَتِ السَّاعَةُ وَانْشَقَّ الْقَمَرُ) (yakni surah al-Qamar; pada rakaat kedua)”. (Riwayat Imam Muslim)
Dan diriwayatkan dari an-Nu’man bin Basyir r.a. menceritakan;
كَانَ رَسُولُ اللهِ -صَلَّى اللهُ عَلَيهِ وَسَلَّمَ- يَقْرَأُ فِي الْعِيدَيْنِ وَفِي الْجُمُعَةِ بِـ: {سَبِّحِ اسْمَ رَبِّكَ الأَعْلَى} وَ{هَلْ أَتَاكَ حَدِيثُ الْغَاشِيَةِ}
“Adalah Rasulullah s.a.w. membaca di dalam solat dua hari raya dan di dalam solat jumaat (سَبِّحِ اسْمَ رَبِّكَ الأَعْلَى) (yakni surah al-A’la; dalam rakaat pertama) dan (هَلْ أَتَاكَ حَدِيثُ الْغَاشِيَةِ) (yakni surah al-Ghasyiyah; dalam rakaat kedua)”. (Riwayat Imam Muslim)
Khutbah hari raya
Disunatkan imam menyampaikan khutbah pada hari raya sama ada hari raya fitrah atau hari raya korban. Peraturan dan hukum-hakam mengenai khutbah hari raya adalah seperti berikut;
1. Khutbah hari raya hendaklah dilakukan selepas solat hari raya. Ia berbeza dengan khutbah jumaat yang dilakukan sebelum solat jumaat. Jika khutbah hari raya itu dilakukan terdahulu dari solat sunat hari raya, maka khutbah itu tidak dikira dan sunat diulang semula selepas solat.
Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan dari Abdullah bin Umar r.a. yang menceritakan;
كان رسول الله صلى الله عليه وسلم وأبو بكر وعمر رضي الله عنهما، يصلون العيدين قبل الخطبة.
“Adalah Rasulullah s.a.w., Abu Bakar dan Umar r.a. menunaikan solat sunat dua hari raya sebelum khutbah”.
Ibnu ‘Abbas r.a. juga menceritakan;
شَهِدْتُ صَلاَةَ الْفِطْرِ مَعَ نَبِيِّ اللهِ -صَلَّى اللهُ عَلَيهِ وَسَلَّمَ- وَأَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ، فَكُلُّهُمْ يُصَلِّيهَا قَبْلَ الْخُطْبَةِ، ثُمَّ يَخْطُبُ
“Aku menghadiri solat hari raya Fitrah bersama Nabi s.a.w., Abu Bakar, Umar dan Usman di mana semua mereka menunaikan solat terlebih dahulu, kemudian baru berkhutbah”. (Riwayat Imam Muslim)
2. Disunatkan imam berkhutbah di atas mimbar. Jabir bin Abdullah r.a. menceritakan;
قَامَ النبي صلى الله عليه وسلم يوم الفطر فَصَلَّى ثُمَّ خَطَبَ النَّاسَ فَلَمَّا فَرَغَ نَزَلَ فَأَتَى النِّسَاءَ فَذَكَّرَهُنَّ
“Nabi s.a.w. berdiri pada hari raya fitrah, lalu menunaikan solat. Kemudian baginda menyampaikan khutbah kepada orang ramai. Apabila selesai berkhutbah, baginda turun (dari mimbar), lalu pergi kepada kaum wanita dan menyampaikan peringatan kepada mereka”. (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)
Namun tidak disyarat berdiri bagi khutbah hari raya. Jadi harus imam berkhutbah sambil duduk. Ini kerana solat hari raya harus dikerjakan sambil duduk, maka begitu juga khutbahnya. Di samping itu, terdapat hadis dari Abu Sa’id al-Khudri r.a. yang menceritakan;
أن رسول الله صلى الله عليه وسلم خطب يوم العيد على راحلته
“Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. menyampaikan khutbah pada hari raya di atas binatang tunggangannya”. (Riwayat Imam Ibnu Hibban)
Walau bagaimana pun, berkhutbah sambil berdiri lebih afdhal dari sambil duduk.
3. Apabila telah menaiki mimbar dan mengadap orang ramai, imam hendaklah memberi salam kepada mereka dan menyampaikan khutbahnya. Ia disunatkan menyampaikan sebanyak dua khutbah yang dipisahkan antara keduanya oleh duduk seketika iaitu sebagaimana khutbah pada hari jumaat. Imam Syafi’ie meriwayatkan dari ‘Ubaidillah bin ‘Abdillah bin ‘Utbah rhm. yang menceritakan;
السنة أن يخطب الإمام في العيدين خطبتين يفصل بينهما بجلوس
“Menjadi sunnah imam berkhutbah pada dua hari raya dengan dua khutbah yang dipisahkan antara keduanya dengan duduk”. (Riwayat Imam as-Syafi’ie)
Diriwayatkan dari Sa’ad bin Abi Waqqas r.a. yang menceritakan;
أن النبي صلى اللَّه عليه وآله وسلم صلى العيد بغير أذان ولا إقامة وكان يخطب خطبتين قائماً يفصل بينهما بجلسة
“Sesungguhnya Nabi s.a.w. menunaikan solat hari raya tanpa dilaungkan azan dan iqamah dan baginda berkhutbah sebanyak dua kali khutbah sambil berdiri yang dipisahkan antara keduanya dengan duduk”. (Riwayat Imam al-Bazzar)
4. Disunatkan imam memulakan khutbah pertama dengan bertakbir (yakni melaungkan Allahu-Akbar) sembilan kali dan memulakan khutbah kedua dengan bertakbir tujuh kali. Dari ‘Ubaidillah bin ‘Abdillah bin ‘Utbah r.a. yang menceritakan;
السنة أن تفتتح الخطبة بتسع تكبيرات تترى والثانية بسبع تكبيرات تترى (*تترى : متتالية)
“Menjadi sunnah memulakan khutbah pertama dengan sembilan kali takbir yang berturut-turut dan memulakan khutbah kedua dengan tujuh kali takbir yang berturut-turut”. (Riwayat Imam al-Baihaqi)