Alamat Baru Kami

Alamat Baru Kami

Klik di FOTO

Tuesday, October 11, 2005

Kelebihan Bulan Ramadhan (Bhgn.4)
Oleh : Ustaz Adnan Fadzil
Kategori : Fikrah Pimpinan

14) Segera berbuka sebaik saja masuk waktu berbuka

Apabila sampai masa untuk berbuka, kita disunatkan supaya segera berbuka puasa. Sabda Rasulullah s.a.w.;

لاَ تَزَاْلُ أُمَّتِيْ بِخَيْرٍ مَا عَجَّلُوْا الإِفْطَارَ وَأَخَّرُوْا السُّحُوْرَ
“Senantiasalah umatku berada dalam kebaikan selama mereka menyegerakan berbuka dan melambatkan sahur”.
(Riwayat Imam Ahmad dari Abu Zarr r.a.)

Menjadi sunnah Rasulullah s.a.w. berbuka terlebih dahulu sebelum menunaikan solat. Melambat-lambat berbuka puasa hukumnya adalah makruh kecuali jika ada sebab yang tidak dapat dielakkan.

Selain itu, juga disunatkan perkara-perkara berikut ketika berbuka;

a) Berbuka dengan buah kurma atau air

Disunatkan berbuka puasa dengan buah kurma basah. Jika tidak ada, dengan buah kurma kering. Jika tidak ada buah kurma, disunatkan berbuka dengan air. Sabda Rasulullah s.a.w.;

مَنْ وَجَدَ تَمْراً فَلْيُفْطِرْ عَلَيهِ وَمَنْ لاَ فَلْيُفْطِرْ عَلَى مَاءٍ فإِنَّ الْمَاءَ طَهُوْرٌ
“Sesiapa memperolehi buah tamar/kurma maka berbukalah dengannya. Sesiapa yang tidak memperolehinya, maka berbukalah dengan air kerana ia adalah penyuci”.
(Riwayat Imam Hakim, Tirmizi dan an-Nasai dari Anas r.a.)

Anas r.a. menceritakan bahawa; “Rasulullah s.a.w. berbuka puasa dengan beberapa kurma basah/segar, kalau tidak ada kurma basah maka dengan kurma kering dan kalau tidak ada buah kurma, baginda akan berbuka dengan beberapa teguk air”. (Riwayat Ahmad, Tirmizi dan Abu Daud)

b) Membaca doa ketika berbuka atau sesudahnya

Di antara doa yang dibaca oleh Rasulullah s.a.w. ketika berbuka ialah;

اللَّهُمَّ لَكَ صُمْتُ وَعَلى رِزْقِكَ أفْطَرْتُ
“Ya Allah! BagiMu aku berpuasa dan dengan rezekiMu aku berbuka”. (Riwayat Abu Daud dari Mu’az bin Zuhrah)

اَللَّهُمَّ ذَهَبَ الظَّمْأُ، وابْتَلَّتِ العُرُوْقُ، وَثَبَتَ الأَجْرُ إِنْ شَاْءَ اللَّهُ
“Ya Allah! Hilanglah dahaga, basahlah seluruh urat tubuh dan tercapailah pahala insya Allah”. (Riwayat Imam an-Nasai dan Abu Daud dari Abdullah bin Umar r.a.)




c) Tidak berlebihan ketika berbuka puasa

Di antara adab yang digalakkan oleh ulama’ ketika berbuka puasa ialah tidak berlebihan ketika menikmati makanan. Makanlah dengan kadar sederhana sahaja, tidak terlalu banyak supaya tidak keletihan untuk menunaikan ibadah malam nanti (solat terawikh, tadarus al-Quran dan sebagainya). Kata ulama’; “Sesiapa yang kenyang di awal malam nescaya ia akan ketinggalan pada baki malamnya”.

15) Memberi makanan untuk orang berbuka puasa

Di bulan Ramadhan, disunatkan kita memberi makan atau minum kepada orang-orang yang berpuasa sekalipun dengan sebiji kurma atau seteguk air. Namun yang lebih baik ialah memberi makan sampai mengenyangkan mereka. Fadhilatnya ialah sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w.;

مَنْ فَطَّرَ صَاْئِمًا كَاْنَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِهِ، غَيْرَ أَنـَّهُ لاَ يَنْقُصُ مِنْ أَجْرِ الصَّاْئِمِ شَيْئًا
“Sesiapa yang memberi makanan berbuka puasa kepada orang yang berpuasa, maka pahalanya seumpama orang yang berpuasa itu tanpa berkurang sedikitpun”. (Riwayat Imam Ahmad, Tirmizi dan Ibnu Majah dari Zaid bin Khalid r.a.)

Dan disunatkan juga kita makan bersama dengan orang yang berpuasa dan cara seperti ini lebih baik bagi menunjukkan rasa rendah diri.

Menjaga segala anggota, tingkah-laku dan tutur-kata sepanjang bulan Ramadhan

Sabda Rasulullah s.a.w.;

لَمْ يَدَعْ قَولَ الزُّورِ والعملَ بِهِ وَ الجَهْلَ فلَيسَ لله حاجةٌ بأَنْ يَدَعْ طعامَهُ وشَرَابَهُ
“Sesiapa yang tidak meninggalkan kata-kata dusta dan melakukan pendustaan, maka bagi Allah tidak ada keperluan dalam ia meninggalkan makan dan minumnya (yakni Allah tidak berhajat kepada puasanya)”. (Riwayat Imam Bukhari, Abu Daud dan lain-lain dari Abu Hurairah r.a.)

16) Meningkatkan ketakwaan dan kesabaran

Tujuan puasa sebagaimana yang dijelaskan Allah ialah untuk melahirkan ketakwaan dalam jiwa. Ini sebagaimana yang difirmankan Allah di dalam al-Quran;

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
“Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa”. (al-Baqarah: 183)

Oleh itu, supaya tujuan puasa itu benar-benar dapat dihayati oleh kita, maka di sepanjang bulan Ramadhan ketika kita melaksanakan ibadah puasa, hendaklah ada keazaman yang kuat dalam jiwa kita untuk menjadi manusia yang bertakwa seperti yang dihendaki Allah. Kita hendaklah mengelak dari berpuasa semata-mata kerana kebiasaan atau rutin tahunan yang menyebabkan kita tidak berusaha mengambil apa-apa pengajaran dari puasa kita itu.

Mengenai kedudukan sabar pula, maka Rasulullah s.a.w. bersabda dalam hadis yang disampaikan oleh Ibnu Khuzaimah tadi;

َهُوَ شَهْرُ الصَّبْرِ وَالصَّبْرُ ثَوَاْبُهُ الْجَنَّةُ
“Ramadhan itu adalah bulan sabar, sedang sabar itu pahalanya adalah syurga..”. (Riwayat Abu Khuzaimah dari Salman r.a.)

Begitu juga dalam satu hadis yang lain, Rasulullah bersabda;

الصَّومُ نِصفُ الصَّبرِ
“Puasa adalah separuh kesabaran”. (Riwayat Ibnu Majah dari Abu Hurairah r.a.).
Bagaimana melaksanakan puasa dengan sempurna?

1. Makna puasa

Puasa menurut pengertian bahasa bermaksud menahan dari sesuatu sama ada menahan dari bercakap, makan atau sebagainya.

Adapun puasa menurut pengertian Syara’ (yakni puasa yang disuruh Allah supaya dikerjakan oleh setiap orang Islam) ialah;

“Menahan diri dari melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa bermula dari terbit fajar (yang menandakan masuknya waktu subuh) hinggalah kepada terbenam matahari berserta dengan niat”.

2. Hukum puasa Ramadhan

Hukum puasa Ramadhan adalah wajib ke atas setiap orang Islam yang mukallaf (beraqal dan cukup umur) dan tiada keuzuran. Meninggalkan puasa Ramadhan dengan sengaja adalah fasiq dan berdosa besar. Dalam satu hadis Rasulullah memberi ancaman dengan sabdanya;

من أَفطرَ يوماً من رَمضَانَ من غَيرِ رُخصةٍ ولا مرضٍ لَمْ يَقضِ عنه صومُ الدَّهرِ كلِّهِ وإِنْ صامَهُ
“Sesiapa yang berbuka puasa dengan sengaja di bulan Ramadhan tanpa kelonggaran (yang diberikan Allah) dan tanpa kerana sakit, puasa sepanjang masa pun tidak akan mampu menggantikan (puasa yang ditinggalkan itu) walaupun ia melakukannya”. (Riwayat Imam Bukhari, Abu Daud, Tirmizi dan lain-lain dari Abu Hurairah r.a.)

Seorang yang meninggalkan puasa Ramadhan dengan sengaja wajib atasnya bertaubat di samping mengqadhakan (yakni menggantikan) puasanya sebanyak mana hari yang ditinggalkannya. Adapun jika ia mengingkari kewajipan puasa itu maka dia adalah murtad dari agama kerana kewajipan puasa adalah termasuk dalam perkara-perkara yang sedia dimaklumi dalam agama. Wajib atas pemerintah memperlakukannya sebagaimana seorang yang murtad iaitu hendaklah diminta supaya ia bertaubat dan jika enggan bertaubat maka hendaklah ia dikenakan hukuman had ke atas orang yang murtad iaitu dibunuh.

3. Rukun puasa

Rukun puasa ada dua iaitu;

a) Niat

b) Menahan diri dari melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa

Di bawah ini kita akan huraikan dengan terperinci rukun-rukun puasa di atas.

Niat

Rasulullah memerintahkan agar setiap orang yang hendak berpuasa supaya berniat terlebih dahulu. Sabda baginda s.a.w.;

مَنْ لَمْ يبَيِّت الصِّيَامَ قَبلَ الفَجرِ فلا صِيامَ لَهُ
“Sesiapa yang tidak meniatkan puasa pada malam hari sebelum terbit fajar, maka tiadalah puasa baginya”.
(Riwayat Imam Daruqutni dan Baihaqi dari Aisyah r.a.)

Niat puasa bermaksud mengqasadkan puasa iaitu berazam di dalam hati untuk melakukan puasa. Bagi puasa Ramadhan, niat hendaklah dilakukan pada waktu malam sebelum terbitnya fajar sebagaimana diperintahkan Rasulullah dalam hadis di atas.

Lebih jelas lagi, para ulama’ mazhab Syafi’ie menggariskan tiga syarat yang perlu dipenuhi agar sahnya niat bagi puasa Ramadhan (dan juga puasa-puasa wajib yang lain iaitu puasa nazar dan kifarat). Tiga syarat tersebut ialah;

a) Dilakukan niat pada malam hari sebelum terbit fajar (yang menandakan masuk waktu subuh). Jika dilakukan selepas terbitnya fajar, maka batallah niat itu dan dengan itu tidak sah pula puasa.

b) Hendaklah dita’yinkan (ditentukan jenis puasa) iaitu diqasadkan dalam hati bahawa puasa yang hendak dikerjakan besoknya adalah puasa Ramadhan (atau puasa nazar atau puasa kifarah). Jika diqasadkan semata-mata puasa (tanpa penentuan puasa Ramadhan atau sebagainya itu) maka tidak sah niat puasa itu.

c) Diulang-ulangkan niat pada setiap malam. Hendaklah niat dilakukan pada setiap malam. Tidak memadai –dalam mazhab Syafi’ie- niat dilakukan sekali sahaja bagi keseluruhan bulan Ramadhan. Ini kerana puasa Ramadhan bukanlah ibadat yang satu tetapi ibadat yang berulang-ulang pada setipa hari, maka kerana itu wajib diniatkan berasingan bagi setiap hari di dalam bulan Ramadhan itu.

Melafazkan niat dengan lidah

Tempat niat adalah dalam hati. Jadi melafazkan niat dengan lidah tidaklah menjadi syarat sahnya niat. Di sisi ulama’ mazhab Syafi’ie melafazkan niat dengan lidah itu hukumnya sunat kerana ia membantu menghadirkan niat di dalam hati. Lafaz niat puasa Ramadhan yang sempurna ialah;

نَوَيْتُ صَوْمَ غَدٍ عَنْ أَدَاءِ فَرْضِ رَمَضَاْنَ هَذِهِ السَّنَةِ لَلَّهِ تَعَالَى
“Sahaja aku berpuasa pada besok hari bagi menunaikan fardhu Ramadhan pada tahun ini kerana Allah Ta’ala”.

Melafaz niat untuk sebulan sekaligus

Di sisi jumhur ulama’ (termasuklah ulama’ mazhab Syafi’ie), niat puasa hendaklah dilakukan pada setiap malam. Tidak memadai niat sekaligus untuk keseluruhan bulan Ramadhan. Namun hal ini harus di sisi ulama’-ulama’ mazhab Maliki di mana mereka berpandangan harus berniat pada malam pertama Ramadhan untuk berpuasa pada keseluruhan hari dalam bulan Ramadhan.

Walau bagaimanapun, para ulama’ Syafi’ie menggalakkan juga meniatkan puasa sekaligus itu tetapi bukanlah untuk mengelak dari berniat pada setiap malam. Ia hanya sebagai langkah berhati-hati jika ditakdirkan terlupa niat pada mana-mana malam dari Ramadhan. Maka dengan adanya niat sekaligus itu, dapatlah dielakkan dari terbatal puasa iaitu dengan bertaklid kepada mazhab yang mengharuskan niat sekaligus itu. Kesimpulannya; niat puasa wajib dilakukan pada setiap malam. Adapun niat puasa sekaligus itu hanyalah sebagai langkah berhati-hati.

Bangun bersahur; apakah dikira niat?

Kalau seorang bangun bersahur, apakah memadai untuk dikira sebagai niat? Ya jika sekiranya terdetik dalam hatinya bahawa tujuannya bersahur itu adalah untuk berpuasa Ramadhan pada besoknya. Ini kerana kebiasaannya perbuatan bangun bersahur itu lahir dari qashad (cita-cita/keazaman) untuk mengerjakan puasa.

Ustaz Adnan ialah Ketua Pemuda PAS Perlis