Kelebihan Bulan Ramadhan ( Bhgn.3)
Oleh : Ustaz Adnan Fadzhil
Kategori : Fikrah Pimpinan
6) Membanyakkan bacaan al-Quran termasuklah bertadarus
Bulan Ramadhan adalah bulan penurunan al-Quran sebagaimana yang dinyatakan oleh Allah dalam firmanNya;
شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْءَانُ هُدًى لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدَى وَالْفُرْقَانِ
“Bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al Qur'an sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang hak dan yang bathil)”. (al-Baqarah: 185)
Oleh itu, amat digalakkan kita menghidupkan Ramadhan ini dengan memperbanyakkan membaca al-Quran. Membaca al-Quran termasuk antara amalan-amalan terbaik untuk kita mendekatkan diri kepada Allah terutamanya di bulan Ramadhan ini di mana pahalanya lebih berlipat-ganda lagi. Sabda Rasulullah s.a.w.;
مَاْ تَقَرَّبَ الْعِبَاْدِ إِلَى اللهِ تعالى بـِمِثْلِ مَا خَرَجَ مِنْهُ يَعْنِيْ الْقُرْآنَ
“Tidak (ada cara terbaik) hamba-hamba mendekatkan (diri mereka) dengan Allah seumpama apa yang keluar dariNya (yakni yang datang dari Allah) iaitulah al-Quran”. (Riwayat Imam Ahmad, at-Tirmizi, at-Thabrani dari Abu Umamah r.a.)
Selain membaca secara bersendirian, digalakkan juga kita membaca secara berkumpulan atau bertadarus. Dalam hadis Bukhari, Ibnu ‘Abbas menceritakan; “Pada setiap malam di bulan Ramadhan malaikat Jibri datang kepada Rasulullah s.a.w. untuk bertadarus al-Quran dengan baginda”. Mengenai fadhilat bertadarus, ia dijelaskan oleh Rasulullah s.a..w. dalam satu hadis baginda;
مَا اجْتَمَعَ قَوْمٌ فِيْ بَيْتٍ مِنْ بُيُوْتِ اللهِ يَتْلُوْنَ كِتَاْبِ اللهِ وَ يَتَدَاْرَسُوْنَهُ فِيْمَاْ بَيْنَهُمْ إِلاَّ نَزَلَتْ عَلَيْهِمُ السَّكِيْنَةُ وَ غَشِيَتْهُمُ الرَّحْمَةُ وَ حَفَّتْهُمُ الْمَلاَئِكَةُ وَ ذَكَرَهُمُ اللهُ فِيْمَنْ عِنْدَهُ
“Apabila berhimpun sekumpulan manusia di suatu rumah Allah (masjid) kerana membaca kitab Allah (al-Quran) dan saling mempelarinya antara sesama mereka (yakni bertadarus), maka turunlah ke atas mereka ketenteraman, mereka dilimpahi oleh rahmat, dikelilingi oleh para malaikat dan Allah menyebut nama mereka di hadapan malaikat-malaikat yang berada di sisiNya”. (Riwayat Abu Daud)
7) Menjaga ibadah-ibadah fardhu
Ini kerana Rasulullah s.a.w. bersabda dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ibnu Khuzaimah tadi;
َمَنْ أَدَّى فَرِيْضَةً فِيْهِ كَاْنَ كَمَنْ أَدَّى سَبْعِيْنَ فَرِيْضَةً فِيْمَا سِوَاهُ
“..sesiapa menunaikan satu fardhu di dalam bulan Ramadhan, ia seperti mengerjakan tujuh puluh fardhu di bulan yang lain…”. (Riwayat Ibnu Khuzaimah dari Salman r.a.)
8) Membanyakkan segala jenis amalan sunat di sepanjang bulan Ramadhan sekalipun kecil
Bulan Ramadhan adalah bulan untuk mengejar pahala sebanyak-banyak dari Allah kerana segala amalan kebaikan yang disunatkan akan diberi ganjaran seolah-olah kita menunaikan amalan wajib/fardhu. Ini sebagaimana yang dinyatakan oleh Rasulullah s.a.w. dalam hadis baginda yang diriwayatkan oleh Imam Ibnu Khuzaimah tadi;
مَنْ تَقَرَّبَ فِيْهِ بـِخِصْلَةٍ مِنَ الْخَيْرِ كَاْنَ كَمَنْ أَدَّى فَرِيْضَةً فِيْمَا سِوَاْهُ
“Sesiapa mendekatkan dirinya kepada Allah dengan melakukan suatu amalan kebaikan di dalamnya (yakni dalam bulan Ramadhan), ia seperti orang yang menunaikan suatu fardhu di bulan yang lainnya”. (Riwayat Abu Khuzaimah dari Salman r.a.)
9) Membanyakkan sedekah dan melakukan kebaikan untuk orang lain
Anas r.a. menceritakan; Seorang lelaki bertanya Rasulullah s.a.w.; ‘Ya Rasulullah! Apakah sedekah yang paling afdhal?’. Jawab Rasulullah s.a.w.;
الصَّدَقَةُ في رمضَانَ
“Sedekah pada bulan Ramadhan”. (Riwayat Imam at-Tirmizi)
Imam Bukhari meriwayatkan dari Ibnu Abbas yang menceritakan;
كَاْنَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم أَجْوَدَ النَّاْسِ، وَأَجْوَدُ مَاْ يَكُوْنُ فِي رَمَضَاْنَ، حِيْنَ يَلْقَاْهُ جِبْرِيْلُ، وَكَاْنَ جِبْرِيْلُ عليه السلام يَلْقَاهُ فِي كُلِّ لَيْلَةٍ مِنْ رَمَضَانَ فَيُدَارِسُهُ الْقُرْآنَ، فَلَرَسُولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم أَجْوَدُ بِالْخَيْرِ مِنَ الرِّيْحِ الْمُرْسَلَةِ
“Rasulullah s.a.w. merupakan manusia yang paling pemurah. Baginda menjadi lebih pemurah lagi pada bulan Ramadhan tatkala Jibril datang kepada baginda. Jibril datang kepada baginda pada setiap malam di bulan Ramadhan untuk bertadarus al-Quran dengan baginda. Sesungguhnya Rasulullah lebih pemurah dari angin lepas (*yakni angin yang bertiup tanpa sekatan/halangan)”.
Berkata Imam al-Mawardi; “Disunatkan kepada seorang lelaki melapangkan ahli-ahli rumahnya (*yakni melebihkan belanja kepada mereka dan sebagainya-pent.) pada bulan Ramadhan dan melakukan kebaikan kepada kaum kerabatnya dan jiran-jirannya terutama pada sepuluh hari terakhir darinya”. (al-Majmu’, Imam Nawawi, jil. 6, halaman 398)
10) Menunaikan umrah sunat bagi yang berkemampuan
Sabda Rasulullah s.a.w.;
عُمْرَةٌ فِي رَمَضَانَ تَعْدِلُ حِجَّةً
“Sekali umrah pada bulan Ramadhan menyamai pahala sekali haji”. (Riwayat Imam Ahmad dan Ibnu Majah dari Wahab bin Khanbasyi r.a.)
Dalam riwayat lain,
عُمْرَةٌ فِي رَمَضَانَ تَعْدِلُ حِجَّةً أَوْ حِجَّةً مَعِيْ
“Sekali umrah pada bulan Ramadhan menyamai pahala sekali haji atau sekali haji bersamaku”. (Riwayat Bukhari dan Muslim dari Ibnu ‘Abbas r.a.)
11) Banyak berzikir, beristighfar dan memohon diberi syurga dan dijauhi neraka
Sabda Rasulullah s.a.w;
ذَاْكِرُ اللهِ فِيْ رَمَضََانَ مَغْفُوْرٌ لَهُ، وَسَاْئِلُ اللهِ فِيْهِ لاَ يَخِيْبُ
“Orang yang berzikir kepada Allah di bulan Ramadhan, akan dikurniakan (Allah) keampunan untuknya. Dan orang yang memohon dari Allah di bulan Ramadhan, ia tidak akan kecewa (yakni ia pasti akan mendapat apa yang ia pohon)”. (Riwayat Imam at-Thabrani dan al-Baihaqi dari Umar r.a.)
Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Khuzaimah tadi, antara yang disabdakan oleh Rasulullah ialah;
فَاسْتَكْثِرُوْا فِيْهِ مِنْ أَرْبَعَ خِصَالٍ: خِصْلَتَيْنِ تُرْضُوْنَ بِهِمَا رَبَّكُمْ وَ خِصْلَتَيْنِ لاَ غِنَى بـِكُمْ عَنْهُمَا: فَأَمَّا الْخِصْلَتَاْنِ اللَّتَاْنِ تُرْضُوْنَ بِهِمَا رَبَّكُمْ فَشَهَادَةُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَ تَسْتَغْفِرُوْنَهُ وَ أَمَّا الْخِصْلَتَاْنِ اللَّتَاْنِ لاَ غِنَى بِكُمْ عَنْهَا فَتَسْأَلُوْنَ اللهَ الْجَنَّةَ وَ تَعُوْذُوْنَ بِهِ مِنَ النَّارِ
“…perbanyakkanlah melakukan empat perkara di bulan ini (yakni bulan Ramadhan); dua perkara untuk kamu meredhakan Tuhan kamu dan dua perkara lagi sememangnya kamu amat menghajatinya. Adapun dua perkara untuk mencapai keredhaan Tuhan kamu ialah;
Pengakuan syahadah “لا إله إلا الله” (Tidak ada Tuhan melainkan Allah); yakni banyaklah berzikir dengan kalimah ini.
Memohon keampunan dari Allah; yakni banyak beristighfar kepadaNya.
Adapun dua perkara lagi yang kamu amat menghajatinya dari Allah ialah;
Memohon syurga dariNya.
Memohon berlindung dari neraka.
(Riwayat Imam Ibnu Khuzaimah dari Salman r.a.)
12) Banyak berdoa (terutamanya ketika sedang berpuasa, ketika berbuka puasa dan doa lailatul-Qadar)
Sabda Rasulullah;
ثَلاَثَةٌ لاَ تُرَدُّ دَعْوَتُهُم: الصَّائِمُ حَتَّى يُفْطِرَ، وَالإِمامُ العادِلُ، وَدَعْوَةُ المَظْلُومِ
“Tiga manusia yang tidak akan ditolak doa mereka (oleh Allah);
Orang yang berpuasa hinggalah ia berbuka
Imam (pemimpin) yang adil
Doa orang yang dizalimi”.
(Riwayat Imam Tirmizi dan Ibnu Majah dari Abu Hurairah r.a.)
إنَّ للصَّائِمِ عِنْدَ فِطْرِهِ لَدَعْوَةً ما تُرَدُّ
“Sesungguhnya bagi orang berpuasa -ketika berbukanya- doa yang tidak akan ditolak”. (Riwayat Ibnu Majah dari Abdullah bin ‘Amru bin al-‘As)
Doa yang makthur dari Rasulullah s.a.w. untuk dibaca ketika berbuka puasa akan kita nyatakan di depan nanti. Adapun doa lailatul-Qadar, maka diriwayatkan dari Saidatina Aisyah r.a. yang menceritakan; “Aku bertanya Rasulullah s.a.w.; ‘Ya Rasulullah, jika aku menemui lailatul-Qadar (malam al-Qadar) apakah doa paling baik untuk aku ucapkan?’. Jawab Rasulullah; ‘Kamu bacalah doa;
اللَّهُمَّ إنَّكَ عَفُوٌّ تُحِبُّ العَفْوَ فاعْفُ عَنِّي
“Ya Allah, ya Tuhanku! Sesungguhnya Engkau adalah Tuhan yang maha pemaaf. Engkau suka memaafkan (dosa hamba-hambaMu). Maka maafkanlah daku (yakni ampunkanlah dosa-dosaku)”. (Riwayat Imam at-Turmuzi)
Doa lailatul-Qadar ini ada baiknya kita membacanya pada setiap malam di bulan Ramadhan kerana dengan membacanya pada setiap malam, pastinya salah satu doa kita akan bertemu malam al-Qadar sekalipun tanpa kita menyedarinya. Jika kita membacanya secara berselang, ada kemungkinan malam yang kita tidak membaca doa itu, malam tersebut merupakan malam al-Qadar. Maka akhirnya kita terluput dari mendapat kelebihan yang besar ini, walhal ia amat mudah diperolehi.
Menurut ulama’, kita digalakkan supaya berdoa pada setiap ketika dan lebih digalakkan lagi berdoa pada bulan Ramadhan terutamanya pada sepuluh hari terakhir darinya (terutama yang ganjil). (rujuk; al-Asas fi at-Tafsir, Syeikh Said Hawa, surah al-Qadar).
13) Bersahur
Ramai di kalangan kita yang suka mengabaikan amalan bersahur di bulan Ramadhan. Mungkin kita menganggap bersahur itu semata-mata untuk mengelakkan kita dari terlalu letih pada siangnya. Namun bersahur sebenarnya mempunyai kelebihan tersendiri. Ini sebagaimana yang dijelaskan oleh Rasulullah dalam sabdanya;
تَسَحَّرُوْا، فَإِنَّ السُّحُوْرَ بَرَكَةٌ
“Bersahurlah kerana dalam sahur itu ada barakah”.
(Riwayat Imam Bukhari dan Muslim dari Anas r.a.)
Pahala bersahur diperolehi dengan semata-mata makan atau minum walaupun seteguk air. Sabda Rasulullah;
تَسَحَّرُوْا وَلَوْ بِجُرْعَةِ مَاْءٍ
“Bersahurlah walaupun dengan seteguk air”.
(Riwayat Ibnu Hibban dan Abu Ya’la dari Anas r.a.)
Waktu bersahur bermula apabila sudah masuk tengah malam. Walau bagaimanapun disunatkan melambatkan sahur yakni sebelum terbitnya fajar. Ini berdasarkan sabda Nabi s.a.w.;
لاَ تَزَاْلُ أُمَّتِيْ بِخَيْرٍ مَا عَجَّلُوْا الإِفْطَارَ وَأَخَّرُوْا السُّحُوْرَ
“Senantiasalah umatku berada dalam kebaikan selama mereka menyegerakan berbuka dan melambatkan sahur”.
(Riwayat Imam Ahmad dari Abu Zarr r.a.)