Alamat Baru Kami

Alamat Baru Kami

Klik di FOTO

Friday, October 28, 2005

Hari raya & Solat sunat al-‘id (hari raya)
Oleh : Ustaz Adnan Fadzhil
Kategori : Fikrah Pimpinan
(Bahagian 4)

Hukum menyambut perayaan agama lain

Tidak harus orang Islam menghadiri perayaan agama orang bukan Islam. Hukum ini menurut Imam Ibnul-Qayyim -dalam kitabnya Ahkam Ahlil-Zimmah- disepakati oleh sekelian ulamak. Firman Allah;

وَالَّذِينَ لَا يَشْهَدُونَ الزُّورَ وَإِذَا مَرُّوا بِاللَّغْوِ مَرُّوا كِرَامًا
“Dan mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang tidak menghadiri tempat-tempat melakukan perkara-perkara yang dilarang, dan apabila mereka bertembung dengan sesuatu yang sia-sia, mereka melaluinya dengan cara membersihkan diri daripadanya”. (al-Furqan: 72)

Menurut Imam Ibnu ‘Abbas, Abu al-‘Aliyah, Thawus, Ibnu Sirin, ad-Dhahhak, Said bin Jubair dan ar-Rabi’ bin Anas; maksud (لا يشهدون الزور) dalam ayat di atas ialah “mereka tidak menghadiri perayaan-perayaan orang-orang musyrikin (أعياد المشركين).

‘Atha’ bin Dinar telah menceritakan bahawa Saidina Umar r.a. berkata;

لا تعلموا رطانة الأعاجم ولا تدخلوا على المشركين في كنائسهم يوم عيدهم فإن السخطة تنزل عليهم
“Janganlah kamu mempelajari mentera-mentera orang asing dan janganlah kamu bersama-sama orang musyrikin dalam gereja-gereja/tempat-tempat ibadat mereka pada hari raya mereka, kerana sesungguhnya kemurkaan (Allah) akan turun menimpa ke atas mereka”. (Riwayat Imam al-Baihaqi dengan sanad yang soheh).

Berkata Abul-Qasim Hibatullah bin al-Hasan at-Thabari (faqih mazhab Syafi’ie); Tidak harus bagi kaum muslimin menghadiri hari-hari raya orang kafir kerana mereka berada di atas munkar dan zur (agama palsu). Jika ahli-ahli makruf bergaul dengan ahli-ahli munkar tanpa mengingkari perbuatan mereka, mereka (yakni ahli-ahli makruf) seolah-olah seperti orang-orang yang meredhai munkar dan melebihkannya. Maka kita khuatiri apabila turunnya kemurkaan Allah ke atas kumpulan mereka nescaya akan menimpa keseluruhan manusia (termasuk ahli makruf). Kita berlindung dengan Allah dari kemurkaanNya”.

Imam Abul-Hasan al-Amidi juga ada berkata; “Tidak harus menghadiri hari-hari raya penganut Nasrani (Kristian) dan Yahudi. Hukum ini menjadi pegangan Imam Ahmad dan beliau berhujjah dengan ayat di atas.

Dalam hadis yang kita kemukakan di bahagian muqadimah tadi, Rasulullah s.a.w. bersabda (setelah melihat kaum Ansar menyambut dua hari perayaan yang mereka warisi dari zaman jahiliyah);

قَدْ أَبْدلَكمُ الله بِهِمَا خَيْراً منهما: يومَ الأضحْى ويوْمَ الْفِطْر
“Sesungguhnya Allah telah menggantikan untuk kamu dua hari yang lebih baik dari dua hari (yang kamu sambut) itu iaitu; hari raya korban dan hari raya fitrah”. (Riwayat Imam Abu Daud dan an-Nasai dari Anas r.a. dengan sanad yang soheh)

Berkata Imam as-Shon’ani; berdasarkan hadis ini, sebahagian ulamak telah menyimpulkan hukum bahawa dilarang kaum muslimin bergembira/bersuka-ria di dalam perayaan-perayaan orang musyrikin dan meniru-niru mereka. Malah Syeikh Abu Hafs al-Musti (dari mazhab Hanafi) amat tegas dalam hal ini sehingga ia berkata; “Sesiapa memberi hadiah kepada seorang musyrik sekalipun dengan sebiji telur sebagai membesarkan hari mereka, maka sesungguhnya ia kufur dengan Allah”.

Imam al-Minawi ketika mensyarahkan hadis yang serupa telah menaqal pandangan al-Muzhir (المظهر) yang berkata; hadis ini menjadi dalil bahawa membesarkan hari an-Niruz dan al-Mahrajandan seumpamanya adalah dilarang oleh agama.


Solat sunat hari raya

Solat sunat hari raya sama ada hari raya korban atau hari raya fitrah adalah sunat muakkad kerana Nabi s.a.w. tidak pernah meninggalkannya sejak mula disyari’atkan hinggalah baginda wafat. Ia disyari’atkan ke atas semua golongan muslim yang mukallaf sama ada lelaki, wanita atau khunsa, muqim atau musafir, merdeka atau hamba. Disunatkan agar dikerjakan secara berjamaah dan jika dilakukan bersendirian adalah sah.

Mula disyari’atkan pada tahun ke 2 hijrah. Solat hari raya yang pertama dilakukan oleh Rasulullah ialah bersempena hari raya fitrah pada tahun tersebut.

Dalil pensyari’atan solat hari raya ini ialah;

a) Firman Allah;

إِنَّا أَعْطَيْنَاكَ الْكَوْثَرَ، فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَانْحَرْ، إِنَّ شَانِئَكَ هُوَ الْأَبْتَرُ
“Sesungguhnya Kami telah mengurniakan kepadamu (wahai Muhammad) kebaikan yang banyak (di dunia dan di akhirat). Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur). Sesungguhnya orang yang bencikan engkau, Dia lah yang terputus (dari mendapat sebarang perkara yang diingininya)”. (al-Kauthar: 1-3)

Berkata para ulamak; “Yang dimaksudkan dengan solat di dalam ayat di atas ialah solat ‘aidil-adhha (hari raya korban)”.





b) Diriwayatkan dari Abi Sa’id al-Khudri r.a. yang menceritakan;

كَانَ النَّبِيُّ صَلّى الله عَلَيْهِ وَسَلّم يَخْرُجُ يَوْمَ الْفِطْرِ وَالأَضْحَى إلَى الْمُصَلَّى، وَأَوَّلُ شَيْء يَبْدَأُ بِهِ الصَّلاةَ، ثُمّ يَنْصَرِفُ فَيَقُومُ مُقَابِلَ النَّاسِ ـ وَالنَّاسُ عَلَى صُفُوفِهِمْ ـ فَيَعِظُهُمْ وَيَأْمُرُهُمْ
“Adalah Nabi s.a.w. keluar pada hari raya fitrah dan hari raya korban menuju ke tempat solat. Perkara pertama yang dilakukan oleh baginda ialah menunaikan solat. Kemudian baginda akan berdiri mengadap orang ramai yang masih berada dalam saf-saf mereka lalu ia memberi peringatan dan arahan kepada mereka”. (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

Membawa bersama wanita dan kanak-kanak ke tempat menunaikan solat hari raya

Ummu ‘Athiyyah r.a. menceritakan;

كنا نؤمر أن نخرج يوم العيد، حتى نخرج البكر من خِدْرها، حتى تخرج الحُيَّضُ، فيكن خلف الناس، فيكبرن بتكبيرهم، ويدعون بدعائهم، يرجون بركة ذلك اليوم وطهرته.
“Kami (para wanita) diperintahkan supaya keluar pada hari raya (ke tempat solat) sehingga kami mengeluarkan anak gadis dari tabir/tirainya (*yakni kami mengeluarkan anak gadis kami dari biliknya untuk membawa mereka bersama-sama ke tempat solat), dan sehingga perempuan-perempuan yang kedatangan haid juga turut sama keluar di mana mereka duduk di belakang orang ramai; bertakbir bersama dengan takbir mereka dan berdoa bersama bersama dengan doa-doa mereka serta mengharapkan keberkatan hari tersebut dan kesuciannya”. (Riwayat Imam Bukhari)

Hadis di atas menjadi dalil bahawa kaum wanita -tidak kira tua atau muda, yang berkahwin atau yang masih gadis, termasuklah yang kedatangan haid- digalakkan keluar ke tempat solat pada hari raya. Namun wanita yang kedatangan haid, mereka hendaklah ditempatkan di bahagian belakang orang ramai dan dipisahkan dari tempat sembahyang atau masjid. Menurut Imam Nawawi; kedudukan mereka hanya setakat pintu masjid sahaja. Sabda Rasulullah s.a.w.;

فأما الحيض: فيشهدن جماعة المسلمين ودعوتهم، ويعتزلن مصلاهم
“Adapun wanita-wanita yang haid, maka mereka hanya turut sama menghadiri perhimpunan kaum muslimin dan doa mereka dan mereka duduk terpisah dari tempat sembahyang orang ramai”. (Riwayat Imam Bukhari dari Ummu ‘Athiyyah r.a.)

Dalam riwayat yang lain;

والحُيَّض يكنَّ خلف الناس فيكبرن مع الناس
“Dan wanita-wanita haid hendaklah berada di belakang orang ramai di mana mereka bertakbir bersama mereka”. (Riwayat Imam Muslim dan Abu Daud dari Ummu ‘Athiyyah r.a.)

Namun demikian, para ulamak mensyaratkan wanita-wanita yang ingin keluar; hendaklah mereka tidak bersolek atau bertabarruj dan berwangi-wangian. Tidak diharuskan mereka keluar jika dikhuatiri boleh mendatangkan fitnah. Begitu juga, tidak harus keluar wanita yang masih berada dalam iddah kematian suaminya. Sabda Rasulullah s.a.w.;

لا تمنعوا إماء اللَّه مساجد اللَّه وَلْيَخْرُجْنَ تَفِلاَت
“Janganlah kamu menegah hamba-hamba Allah yang perempuan (yakni kaum muslimat) dari mendatangi rumah-rumah Allah. Namun hendaklah mereka keluar dalam keadaan tidak berwangian”. (Riwayat Imam Ahmad dan Abu Daud)
Selain wanita, disunatkan juga membawa bersama kanak-kanak yang telah mumayyiz ke tempat menunaikan solat.