Alamat Baru Kami

Alamat Baru Kami

Klik di FOTO

Friday, October 14, 2005

Kelebihan Bulan Ramadhan (Bhgn.Akhir)
Oleh : Ustaz Adnan Fadzhil
Kategori : Fikrah Pimpinan

Menahan diri dari melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa

Rukun kedua bagi puasa ialah menahan diri dari melakukan perkara-perkara yang membatal puasa. Perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa yang wajib dipelihara dari melakukan ialah;

a) Makan dan minum

b) Bersetubuh dengan isteri pada pada siang hari bulan Ramadhan walaupun tanpa keluar mani.

c) Mengeluarkan air mani dengan perbuatan secara lansung yang disengajakan seperti mengeluar dengan tangan (sama ada tangan sendiri atau tangan isteri), bercium atau berpelukan dengan isteri dan sebagainya. Adapun jika keluar mani kerana melihat atau berfikir/khayal, tidaklah membatalkan puasa –kerana ia seumpama mimpi- kecuali orang yang menjadi kebiasaan baginya. Namun begitu perbuatan tersebut adalah makruh. Begitu juga, jika yang keluar adalah air mazi, tidaklah membatalkan puasa.

d) Memasukkan sesuatu ke rongga dalam badan (iaitu rongga halqum ke perut, rongga kepala (otak), usus dan pundi kencing) melalui saluran yang terbuka di badan. Sama ada benda yang dimasukkan itu kecil atau besar, makanan atau bukan makanan. Yang dimaksudkan saluran terbuka pada badan itu ialah mulut, hidung, telinga, kemaluan/faraj (saluran kencing) dan dubur (saluran berak). Di antara perkara yang membatalkan puasa;

i. Menitik atau memasukkan air/ubat ke dalam dubur (saluran berak) dan kemaluan/faraj (saluran kencing)
ii. Memasukkan air/ubat ke dalam telinga jika sampai ke bahagian dalam telinga
iii. Memasukkan kayu atau sebagainya ke bahagian dalam telinga
iv. Menyedut air/ubat melalui hidung hingga melepasi bahagian akhir hidung (yakni hingga sampai ke kepala) atau hingga masuk ke kerongkong.
v. Memasukkan asap ke hidung atau ke kerongkong (menghisap rokok)
vi. Berlebihan ketika berkumur atau membasuh hidung hingga masuk air ke kerongkong atau ke kepala
vii. Memasukkan ujung jari ke dalam dubur atau faraj melebihi had yang diperlukan ketika beristinjak tanpa darurat

d) Muntah dengan sengaja



e) Kedatangan haid dan nifas

Wanita apabila kedatangan haid atau nifas, maka batallah puasanya dengan sendirinya. Namun wajib ke atasnya menggantikan puasanya yang tertinggal kerana kedatangan haid dan nifas itu pada hari-hari lain di luar Ramadhan.

f) Pengsan sepanjang hari

Jika seorang berniat pada malam hari untuk berpuasa, kemudian pada siangnya ia pengsan sejak dari mula terbit fajar hinggalah terbenamnya matahari, maka batallah puasanya dan wajib ia menggantinya pada hari yang lain. Namun jika ia tersedar pada mana-mana waktu dari siang itu, tidaklah batal puasanya.

g) Gila

Jika seseorang itu menjadi gila, batallah puasanya kerana ia telah hilang darinya kelayakan untuk beribadah. Dan tidak wajib atasnya mengqadha’ (menggantikan) puasanya itu kerana kewajipan puasa itu gugur darinya pada masa hilang syarat taklif darinya iaitu beraqal. Ia seumpama seorang yang tidak berpuasa kerana masih kecil, maka tidak perlu ia mengqadha’ puasanya kerana belum mencukupi syarat taklif padanya iaitu baligh (sampai umur).

Hal ini berbeza dengan seorang yang batal puasanya kerana pengsan sepanjang hari tadi di mana ia wajib mengqadha puasanya kerana pengsan adalah termasuk dalam sakit dan sakit tidak menghilangkan syarat taklif. Orang yang pengsan tidak dikatakan hilang aqalnya berbeza dengan orang yang gila. Kerana itu kata ulama’; pengsan harus menimpa para nabi kerana ia adalah penyakit dan tidak mustahil para nabi ditimpa sakit. Namun gila tidak harus menimpa para Nabi kerana ia adalah cacat/kurang dan mustahil para Nabi ditimpa cacat yang boleh merosakkan status mereka sebagai utusan Allah.

Namun jika orang yang gila itu tersedar dari gilanya pada waktu siang hari bulan Ramadhan, maka disunatkannya menahan dirinya dari makan, minum (dan sebagainya dari perkara-perkara yang membatalkan puasa) sebagai menghormati bulan Ramadhan. Begitu juga, seorang kafir yang masuk Islam dan kanak-kanak yang baligh pada waktu tersebut.

Terlupa atau tidak sengaja tidak membatalkan puasa

Rasulullah s.a.w. telah menyebutkan dalam hadisnya tentang orang yang makan di bulan puasa kerana terlupa;

من نسي وهو صائم فأكل أو شرب فليتم صومه، فإنما أطعمه الله وسقاه
“Sesiapa yang terlupa tatkala ia berpuasa lalu ia makan atau minum maka hendaklah ia sempurnakan puasanya. Sesungguhnya Allahlah yang memberinya makan dan memberinya minum”.
(Riwayat Imam Bukhari, Muslim dan lain-lain dari Abu Hurairah r.a.)

Begitu juga, Rasulullah s.a.w. bersabda tentang orang yang muntah tanpa disengajakannya;

مَن ذَرَعَهُ القيءُ فلَيسَ عَلَيهِ قضاءٌ ومن استقاءَ عمداً فلْيَقضِ
“Sesiapa yang terpaksa muntah, maka (tidaklah batal puasanya dan) ia tidak wajib mengqadha’ dan sesiapa yang sengaja muntah, maka (batallah puasanya dan) ia wajib mengqadhanya”.
(Riwayat Imam Abu Daud, Tirmizi, an-Nasai dan lain-lain dari Abu Hurairah r.a.)

Berdasarkan hadis di atas dibuat kesimpulan oleh ulama’ bahawa jika perkara-perkara yang membatalkan puasa tadi dilakukan kerana terlupa atau kerana dipaksa, maka tidaklah membatalkan puasa. Dan orang yang terlupa atau terpaksa itu hendaklah meneruskan puasanya seperti biasa.


Menahan diri dari dosa dan maksiat (puasa batin)

Sabda Rasulullah s.a.w.;

من لَمْ يَدَعْ قَولَ الزُّورِ والعملَ بِهِ فلَيسَ لله حاجةٌ بأَنْ يَدَعْ طعامَهُ وشَرَابَهُ
“Sesiapa yang tidak meninggalkan kata-kata dusta dan melakukan pendustaan, maka bagi Allah tidak ada keperluan dalam ia meninggalkan makan dan minumnya (yakni Allah tidak berhajat kepada puasanya)”.
(Riwayat Imam Bukhari, Abu Daud, at-Tirmizi dan lain-lain dari Abu Hurairah r.a.)

Hadis di atas menjelaskan kepada kita bahawa puasa yang sebenar bukanlah hanya puasa zahir sahaja (iaitu dengan menegah diri dari makan, minum, bersetubuh dan sebagainya) tetapi juga berpuasa batin iaitu dengan menegah diri dari maksiat dan dosa. Seorang yang berpuasa di samping menjaga diri dari makan, minum dan sebagainya, ia juga mesti menjaga anggota-anggotanya dari dosa dan maksiat. Jika tidak ia tidak akan mencapai kesempurnaan puasa sebagaimana yang dikehendaki Allah.

Bagi menjelaskan lagi tuntutan puasa batin ini, Imam al-Ghazali membahagikan darjat puasa manusia kepada tiga bahagian;

1. Puasa umum : iaitu berpuasa dengan menahan perut dan faraj (kemaluan) dari menikmati keinginannya (makan, minum dan sebagainya).

2. Puasa khusus : iaitu berpuasa yang disertakan dengan menjaga pendengaran, penglihatan, lidah, tangan, kaki dan seluruh anggota dari melakukan yang haram atau dosa.

3. Puasa khususul khusus (paling khusus) : iaitu berpuasa dengan menyertakan semua yang tersebut di atas dan menambah lagi dengan berpuasa hati dari segala cita-cita yang kotor dan pemikiran-pemikiran keduniaan dan memesongkan perhatian dari selain Allah sama sekali.
Berbuka puasa

Apabila sampai masa untuk berbuka, Rasulullah s.a.w. menggalakkan kita supaya segera berbuka puasa. Sabda baginda;

لا تزال أمتي بخير ما عجلوا الإفطار وأخروا السحور
“Senantiasalah umatku berada dalam kebaikan selama mereka menyegerakan berbuka dan melambatkan sahur”.
(Riwayat Imam Ahmad dari Abu Zarr r.a.)

Menjadi sunnah Rasulullah s.a.w. berbuka terlebih dahulu sebelum menunaikan solat. Melambat-lambat berbuka puasa hukumnya adalah makruh kecuali jika ada sebab yang tidak dapat dielakkan.

Selain menyegerakan berbuka, perkara-perkara yang lain yang disunatkan ketika berbuka ialah;

1. Berbuka dengan buah kurma atau air

Disunatkan berbuka puasa dengan buah kurma basah. Jika tidak ada, dengan buah kurma kering. Jika tidak ada buah kurma, disunatkan berbuka dengan air. Sabda Rasulullah s.a.w.;

من وَجَدَ تمراً فَلْيُفطِرْ عَلَيهِ ومن لا فَلْيُفطِرْ عَلَى ماءٍ فإِنَّ الماءَ طَهُور
“Sesiapa memperolehi buah tamar/kurma maka berbukalah dengannya. Sesiapa yang tidak memperolehinya, maka berbukalah dengan air kerana ia adalah penyuci”.
(Riwayat Imam Hakim, Tirmizi dan an-Nasai dari Anas r.a.)

Anas r.a. menceritakan bahawa; “Rasulullah s.a.w. berbuka puasa dengan beberapa kurma basah/segar, kalau tidak ada kurma basah maka dengan kurma kering dan kalau tidak ada buah kurma, baginda akan berbuka dengan beberapa teguk air”. (Riwayat Ahmad, Tirmizi dan Abu Daud)



2. Membaca doa ketika berbuka atau sesudahnya

Di antara doa yang dibaca oleh Rasulullah s.a.w. ketika berbuka ialah;

اللَّهُمَّ لَكَ صُمْتُ وَعَلى رِزْقِكَ أفْطَرْتُ
“Ya Allah! BagiMu aku berpuasa dan dengan rezekiMu aku berbuka”.
(Riwayat Abu Daud dari Mu’az bin Zuhrah)

اَللَّهُمَّ ذَهَبَ الظَّمأُ، وابْتَلَّتِ العُرُوقُ، وَثَبَتَ الأجْرُ إِنْ شاءَ اللَّهُ تَعالى
“Ya Allah! Hilanglah dahaga, basahlah seluruh urat tubuh dan tercapailah pahala insya Allah”.
(Riwayat Imam an-Nasai dan Abu Daud dari Abdullah bin Umar r.a.)

3. Tidak berlebihan ketika berbuka puasa

Di antara adab yang digalakkan oleh ulama’ ketika berbuka puasa ialah tidak berlebihan ketika menikmati makanan. Makanlah dengan kadar sederhana sahaja, tidak terlalu banyak supaya tidak keletihan untuk menunaikan ibadah malam nanti (solat terawikh, tadarus al-Quran dan sebagainya). Kata ulama’; “Sesiapa yang kenyang di awal malam nescaya ia akan ketinggalan pada baki malamnya”.

4. Memberi makan orang yang berpuasa

Sunat memberi makan atau minum kepada orang-orang yang berpuasa sekalipun dengan sebiji kurma atau seteguk air. Namun yang lebih baik ialah memberi makan sampai mengenyangkan mereka. Fadhilatnya ialah sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w.;

من فطر صائما كان له مثل أجره، غير أنه لا ينقص من أجر الصائم شيئا
“Sesiapa yang memberi makanan berbuka puasa kepada orang yang berpuasa, maka pahalanya seumpama orang yang berpuasa itu tanpa berkurang sedikitpun”.
(Riwayat Imam Ahmad, Tirmizi dan Ibnu Majah dari Zaid bin Khalid r.a.)

Dan disunatkan juga makan bersama dengan orang yang berpuasa dan cara seperti ini lebih baik bagi menunjukkan rasa rendah diri.

Sekian.Wallahua'lam

Ustaz Adnan Ialah Ketua Pemuda PAS Perlis