Alamat Baru Kami

Alamat Baru Kami

Klik di FOTO

Wednesday, October 26, 2005

Hari raya & Solat sunat al-‘id (hari raya)
Oleh : Ustaz Adnan Fadzhil
Kategori : Fikrah Pimpinan
(Bahagian 2)

Adab-adab menyambut hari raya

1. Diharamkan berpuasa pada hari raya sama ada hari raya fitrah atau hari raya korban. Ini kerana hari raya adalah hari menikmati makanan dan minuman. Sabda Rasulullah s.a.w.;

يَومُ عَرَفَةَ ويَومُ النَّحرِ وأَيَّامُ التَّشرِيقِ عِيدُنَا أَهلَ الإسلامِ، وهي أَيَّامُ أَكلٍ وشُربٍ
“Hari ‘Arafah (9 Dzulhijjah), hari raya korban (10 Dzulhijjah) dan hari-hari tasyriq (yakni 11, 12 dan 13 Dzulhijjah) ialah hari-hari raya kita kaum muslimin. Ia adalah hari-hari menikmati makanan dan minuman”. (Riwayat Imam at-Tirmizi dan al-Hakim dari ‘Uqbah bin ‘Amir r.a.)

Abu Hurairah r.a. menceritakan;

أَنَّ رَسُولَ اللهِ -صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ-: نَهَىَ عَنْ صِيَامِ يَوْمَيْنِ: يَوْمِ الأَضْحَىَ وَيَوْمِ الْفِطْرِ
“Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. menegah dari berpuasa pada dua hari; hari raya korban dan hari raya fitrah”. (Riwayat Imam Muslim)

2. Disunatkan mandi hari raya sekalipun tidak berhasrat untuk menghadiri majlis solat hari raya kerana hari raya adalah yaum az-zinah iaitu hari perhiasan. Masuknya waktu disunatkan mandi ialah apabila tiba tengah malam. Berkata Imam al-Muzani; “Aku menyukai agar mandi hari raya itu dilakukan selepas terbit fajar”.

Sunat mandi ini adalah berdasarkan riwayat Imam Malik dari Nafi’ yang menceritakan;

أن ابن عمر رضي الله عنه كان يعتسل يوم الفطر قبل أن يغدو
“Sesungguhnya Ibnu Umar r.a. mandi pada hari raya fitrah sebelum keluar pada pagi hari raya”. (Riwayat Imam Malik dalam al-Muwatta’. Menurut Imam Nawawi; atsar ini adalah soheh)

Begitu juga dikiaskan kepada mandi hari jumaat. Selain dari mandi disunatkan juga menggunting atau mencukur rambut, memotong kuku dan menghilang bau-bau di badan dan pakaian kerana hari tersebut adalah hari raya, maka disunatkan perkara-perkara tersebut dengan dikiaskan kepada hari jumaat.


3. Disunatkan berwangi-wangian dan memakai pakaian baru.

Hasan bin Ali r.a. –cucu Rasulullah- menceritakan;

أمرنا رسول الله –صلَّى الله عليه وسلَّم- في العيدين أن: نلبس أجود ما نجد، وأن نتطيب بأجود ما نجد، وأن نضحي بأسمن ما نجد
“Rasulullah s.a.w. memerintahkan kami pada dua hari raya supaya memakai pakaian sehabis elok yang kami perolehi, berwangi dengan wangian paling harum yang kami perolehi dan supaya kami menyembelih korban dengan binatang paling gemuk yang kami miliki”. (Riwayat Imam al-Hakim dan at-Thabrani).

Diriwayatkan dari Ibnu ‘Umar r.a. yang menceritakan;

وجد عمر جبة من إستبرق تباع في السوق، فأخذها فأتى رسول الله صلى الله عليه وسلم فقال: يا رسول الله، ابتع هذه تجمل بها للعيد والوفود، فقال له رسول الله صلى الله عليه وسلم: (إنما هذه لباس من لا خلاق له).
“Umar r.a. menemui pakaian jubah dari sutera yang dijual di pasar. Lalu beliau mengambil dan membawanya kepada Rasulullah s.a.w. dan berkata kepada baginda; ‘Ya Rasulullah! Belilah pakaian ini untuk kamu berhias dengannya pada hari raya dan juga ketika menyambut utusan-utusan (dari luar). Lalu Rasulullah s.a.w. menjawab; ‘Sesungguhnya pakaian ini adalah pakaian orang yang tidak ada bahagianuntuknya’”. (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

Jaafar bin Muhammad meriwayatkan dari bapanya yang meriwayatkan dari datuknya (Ali bin al-Hasan) yang menceritakan;

أن النبي صلى اللَّه عليه وسلم كَانَ يَلْبِسُ بُرْد حِبَرَة في كل عِيدٍ
“Sesungguhnya Nabi s.a.w. memakain burda hibarah (sejenis pakaian bercorak dari Yaman) pada setiap kali hari raya”. (Riwayat Imam as-Syafi’ie dari Ali bin al-Hasan dan Imam at-Thabrani dari Ibnu ‘Abbas)

Berkata Imam Ibnul-Qayyim; “Nabi s.a.w. memakai untuk dua hari raya pakaian baginda yang paling cantik. Baginda mempunyai jubah khusus yang dipakai baginda untuk dua hari raya dan juga hari jumaat”.

Sunat berwangi-wangian, memakai pakaian baru, membersihkan badan dan sebagainya tadi bukan sahaja kepada orang-orang yang ingin keluar ke masjid atau tempat sembahyang, tetapi kepada semua orang termasuk yang tinggal di rumah kerana hari raya adalah hari perhiasan (يوم الزينة). Bagi yang memiliki hanya satu pakaian, ia disunatkan membasuh pakaian itu untuk hari raya sebagaimana juga hari jumaat.

4. Disunatkan hadir ke masjid atau tempat solat awal pagi selepas subuh kecuali imam di mana ia disunatkan hadir pada waktu solat hari raya hendak dilaksanakan.

Disunatkan imam hadir lebih awal –untuk memimpin solat- pada hari raya korban supaya solat dapat dilakukan lebih awal dan dengan itu dapat memanjangkan waktu untuk melaksanakan ibadah korban (kerana binatang korban sunat disembelih selepas imama selesai dari solat hari raya). Adapun pada hari raya fitrah, imam disunatkan melewatkan sedikit hadir untuk memimpin solat bagi memberi lebih masa kepada kaum muslimin untuk membayar zakat fitrah (kerana zakat fitrah afdhal dikeluarkan sebelum solat hari raya).

5. Disunatkan pada hari raya fitrah menikmati sedikit makanan sebelum keluar ke masjid atau tanah lapang bagi menunaikan solat. Sebaik-baiknya memakan buah tamar dan dengan bilangan yang ganjil. Adapun pada hari raya korban disunatkan menahan diri dari makan sehinggalah pulang dari menunaikan solat hari raya.

Diriwayatkan dari Ibnu Buraidah dari bapanya yang menceritakan;
أن رَسُول اللَّهِ صَلَى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسلَّمْ كان لا يخرج يوم الفطر حتى يأكل. وكان لا يأكل يوم النحر حتى يرجع
“Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. tidak keluar pada hari raya fitrah melainkan setelah baginda makan dan baginda tidak makan pada hari raya korban melainkan setelah beliau pulang”. (Riwayat Imam Ibnu Majah dan at-Tirmizi. Hadis ini adalah hasan menurut Imam Nawawi)

Anas r.a. juga menceritakan;

كان رسول الله صلى الله عليه وسلم لا يغدو يوم الفطر حتى يأكل تمرات ويأكلهن وترا.“Adalah Rasulullah s.a.w. tidak keluar pada pagi hari raya fitrah melainkan setelah baginda makan beberapa biji tamar. Baginda makan tamar-tamar itu dengan bilangan yang ganjil’”. (Riwayat Imam Bukhari)