Alamat Baru Kami

Alamat Baru Kami

Klik di FOTO

Friday, May 26, 2006

Umno terus "lacurkan" premis awam untuk aktiviti parti


Oleh: Wartawan Harakah

PADANG BESAR, 25 Mei - Walaupun sudah berusia 60 tahun, Umno masih lagi belum mengenal mana satu premis milik kerajaan ataupun milik parti.

Seperti biasa mereka dengan sewenang-wenangnya menggunakan premis awam seperti sekolah dan sebagainya untuk mengadakan program mereka.

Terbaru, Biro Penerangan Umno Bahagian Padang Besar akan menganjurkan Majlis Penerangan Pengurusan dan Pentadbiran Parti yang pada 28 Mei ini di Dewan Seri Jernih Sekolah Menengah Kebangsaan Dato' Jaafar Hassan, Bukit Keteri dekat sini.

Majlis tersebut bakal dihadiri oleh Setiausaha Agung Umno, Dato' Seri Mohd Radzi Sheikh Ahmad yang juga merupakan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri.

Setiausaha PAS Kawasan Padang Besar, Ustaz Yahya Ahmad menempelak Umno yang baru sahaja meraikan sambutan ulangtahun ke-60 mereka baru-baru ini kerana tidak tahu membezakan antara harta awam dan parti mereka.

"Mereka dengan sewenang-wenangnya menyalahgunakan harta kerajaan untuk menjalankan aktiviti mereka. Ini bukannya kali pertama diadakan kegiatan Umno di situ," katanya.

Menurutnya lagi, jika program tersebut adalah untuk pemimpin bersama rakyat, mungkin boleh dimaafkan lagi, tetapi ini jelas mereka gunakan untuk program parti.

"Tambahan pula yang akan datang adalah seorang menteri yang juga Setiausaha Agung parti, sepatutnya mereka tahu tapi sengaja buat tak tahu atau memang sudah perangai Umno macam tu," tambahnya lagi.

Ustaz Yahya turut memberikan contoh bagaimana PAS walaupun tidak diberikan peluang seperti itu, namun tetap teguh berdikari dan dapat menjalankan aktiviti di premis sendiri.

"Kita ada banyak premis sendiri seperti Markas PAS negeri, kawasan mahupun cawangan. Datanglah pemimpin kita hatta seorang Menteri Besar pun seperti Tuan Guru Nik Aziz, kita dapat jalankan aktiviti di tempat kita sendiri," jelasnya.