Alamat Baru Kami

Alamat Baru Kami

Klik di FOTO

Monday, May 22, 2006


MB Kedah dibidas: Perjuangan PAS bukan melalui pakaian
Oleh Bashir Ishak
Petikan : Harakahdaily


KANGAR, 22 Mei (Hrkh) - Penampilan individu dalam sesebuah parti politik bukannya terletak pada cara berpakaian tetapi yang pentingnya adalah idealisme perjuangan yang dibawa.

"PAS tetap setia dengan perjuangan Islam yang dibawa dari dahulu tanpa pernah berubah," demikian jelas Ketua Dewan Pemuda PAS Perlis, Ustaz Ahmad Adnan Fadzil.

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan akhbar berbahasa Inggeris semalam mengenai satu kenyataan Menteri Besar Kedah, Dato' Seri Mahdzir Khalid semasa merasmikan sambutan 60 tahun Umno peringkat negeri Kedah di Padang Terap.

Dalam ucapannya, Mahdzir dipetik berkata bahawa ahli PAS kini sudah berubah dengan meninggalkan jubah mereka kerana mereka tidak lagi dapat bersembunyi di sebalik kefanatikan agama.

"PAS cuba mencari sokongan menggunakan cara Umno," kata Mahdzir seperti yang dilaporkan akhbar tersebut.

Mahdzir juga dipetik berkata, pimpinan PAS kini sudah mula memakai baju batik dan bercermin mata gelap bila menghadiri sesuatu majlis.

Ustaz Ahmad Adnan melihat kenyataan Mahdzir ini sebagai satu yang kurang bijak apatah lagi disebut oleh seorang Menteri Besar dan pemimpin tertinggi Umno negeri.

"Beliau nampaknya tidak mengenal PAS dan sejarahnya. Bukan semua orang PAS yang memakai jubah. Sejak dahulu lagi memang begitu. Orang PAS bijak mengenakan pakaian mengikut kesesuaian suasana, tempat dan majlis yang dihadiri," katanya.

Menurutnya lagi, selagi mana menutup aurat dan tidak menyalahi syarak ianya adalah terpulang kepada kehendak masing-masing apa jenis pakaian yang mahu dipakai.

"Ini juga membuktikan orang PAS adalah bersifat fleksibel dan berfikiran terbuka dalam soal berpakaian sekaligus tetap teguh dan setia dengan prinsip perjuangan," tambahnya.