Penduduk Dun Tambun Tulang dakwa bantuan banjir diseleweng
Oleh Bashir Ishak
Petikan : Harakahdaily
ARAU, 5 Mei (Hrkh) - Segelintir penduduk di dalam Dewan Undangan Negeri (Dun) Tambun Tulang iaitu kawasan Menteri Besar Perlis, Dato' Seri Shahidan Kassim mendakwa berlakunya penyelewengan dalam agihan bantuan mangsa banjir baru-baru ini.
Banjir besar melanda negeri ini pada penghujung tahun lalu dan penduduk di Dun Tambun Tulang adalah antara yang paling teruk menjadi mangsa bencana alam tersebut.
Sehubungan dengan itu, Shahidan telah mengumumkan bahawa semua mangsa yang terpaksa berpindah ke pusat pemindahan banjir akan diberikan bantuan sebanyak RM500.00 dan yang tidak berpindah ke sana diberikan RM300.00.
Namun begitu, semasa majlis penyerahan wang tersebut, ada nama yang diumumkan tidak terdiri dari kalangan mereka yang terlibat dengan banjir.
Wakil penduduk, Zulkepli Shahruddin mendakwa salah satu kes yang dapat dikesan ialah seorang wanita yang bekerja dan menetap di Alor Setar telah mendapat sumbangan tersebut.
Menurutnya, setiap bancian mangsa banjir dikendalikan oleh pihak Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang mengenalpasti mangsa yang perlu diberikan bantuan.
"Bila diselidik, dia adalah anak kepada Pengerusi JKKK salah sebuah kampung di sini. Dia tinggal dan bekerja di sebuah hotel di Alor Setar dan suaminya pula bekerja di sebuah kilang di Bukit Kayu Hitam,"jelasnya.
Bagi Zulkepli, perkara seperti ini tidak sepatutnya berlaku memandangkan ada lagi orang yang lebih layakmenerima bantuan tersebut.
"Ada orang tua yang juga terdiri dari kalangan ahli Umno sendiri yang tidak mendapat bantuan tersebut,"katanya.
Baginya, beliau bersimpati dengan nasib golongan tersebut dan akan cuba membela mereka tanpa mengiraapa juga pegangan politik mereka.
Sehubungan dengan itu, beliau sendiri telah membuat laporan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat berkenaan dengan perkara ini pada 26 April lalu.
"Laporan dibuat berdasarkan maklumat yang saya perolehi yang mana turut diperolehi daripada ahli-ahliUmno sendiri," katanya.
Selain itu, pada 27 April beliau turut membuat laporan kepada Badan Pencegah Rasuah negeri Perlis tentang perkara yang sama.
"Shahidan semasa memberikan bantuan banjir telah memberikan amaran agar tiada sebarang penipuan, jadi saya sahut cabaran tersebut," katanya lagi.