Alamat Baru Kami

Alamat Baru Kami

Klik di FOTO

Wednesday, May 24, 2006

Sensitiviti umat Islam pada agama rendah - Mohamad Sabu


ARAU, 23 Mei - Sikap pemimpin negara terutamanya Umno menyebabkan kemuliaan Islam dan umatnya di negara ini berada pada tahap yang cukup rendah ketika ini.

Naib Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu berkata, keadaan begini telah membuka ruang yang luas kepada musuh Islam dan golongan yang bersekongkol dengan mereka untuk mudah menghina Islam dan cuba untuk memesongkan pemikiran umat Islam di negara ini.

"Orang sudah tak peduli Islam dan umat Islam. Pelbagai cabaran dihadapi umat Islam. Contohnya sudah ada pihak yang berani mempertikaikan azan menggunakan pembesar suara," katanya dalam ceramah di Markas MTD Sanglang di Kampung Rama, Sanglang dekat sini baru-baru ini.

Mohamad melihat keadaan ini berpunca daripada pemimpin negara yang diterajui oleh Umno ini tidak memikirkan tentang agama, sebaliknya hanya sibuk mencari kekayaan individu.

"Mereka tidak memikirkan jangka masa panjang apa yang akan jadi kepada Islam pada masa depan. Zaman dulu orang buta huruf tetapi tak ramai yang murtad, zaman ini orang celik huruf, ustaz ramai, golongan agama ramai tetapi murtad menjadi-jadi," jelasnya.

Mohamad mengaskan bahawa dalam keadaan umat Islam yang mencecah hampir 62 peratus di negara ini, namun sensitiviti mereka terhadap agama adalah tersangat lemah.

Baginya, pemerintah telah memberikan ruang yang luas untuk golongan seperti Sisters In Islam, Suruhanjaya Antara Agama(IFC), Kumpulan Artikel 11 dan sebagainya untuk bergerak mengelirukan umat Islam di negara ini.

"Ancaman kumpulan ini bukanlah hanya kepada PAS atau Umno, sebaliknya terhadap Islam dan seluruh umat Islam. Sudah sampai masanya pemimpin duduk berbincang cara hadapi ancaman ini dan seterusnya kepada bangsa Melayu itu sendiri," katanya lagi.

Turut berceramah dalam majlis tersebut ialah Pesuruhjaya PAS Perlis yang juga Adun Sanglang, Ustaz Hashim Jasin.

Dalam majlis yang dianjurkan oleh Dewan Pemuda PAS Perlis tersebut telah dilancarkan "Tabung Air Mata Palestin" bagi membantu rakyat Palestin dan pemerintahan kerajaan Hamas di sana. - Harakahdaily