Alamat Baru Kami

Alamat Baru Kami

Klik di FOTO

Thursday, June 01, 2006

Tulisan Jawi hebat di kalangan bukan Melayu, luar negara

Oleh Wartawan Harakah

KANGAR, 31 Mei - Tulisan Jawi amat unik dan daripada dahulu mampu menongkah arus mengikut zaman, namun sayangnya ia telah terhakis sedikit demi sedikit di negara ini.

"Tulisan Jawi turut diakui kehebatannya oleh pusat bahasa di negara luar seperti di England dan China," demikian kata bekas Imam Masjid Negara, Ustaz Taib Azamuddin Mohd Taib.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat berkata demikian ketika mengulas tentang tulisan Jawi yang semakin terpingggir dan akhbar perdana Jawi,Utusan Melayu yang hampir pupus walaupun mula dihidupkan kembali baru-baru ini.

Menurutnya, asas Islam adalah bersumberkan al-Quran dan Hadis. Satu elemen daripadanya ialah huruf al-Quran atau huruf Arab yang lengkap dengan kaedah-kaedahnya seperti nahu,sharaf dan sebagainya.

"Inilah yang menjadi asas kepada huruf atau tulisan Jawi," katanya.

Bagi Ustaz Taib, perkembangan ilmu di alam Melayu bermula dengan ilmu yang dipelajari daripada huruf Jawi hingga tidak boleh dinafikan bahawa budaya dan kebangsaan Melayu itu juga berkait rapat dengan huruf Jawi.

"Ulama terkemuka di Nusantara seperti di Tanah Melayu, Pattani, Indonesia dan Borneo menggunakan huruf Jawi untuk mengajar dan mengarang kitab. Huruf Rumi hanya datang dan digunakan kemudiannya," katanya lagi.

Beliau yang ditemui selepas menyampaikan kuliah maghribnya di sebuah surau di sini melihat seni bahasa dan tulisan Jawi tidak dapat dipertikaikan keunikannya.

"Budayawan negara seperti Za'ba memperjuangkannya sehingga bahasa Melayu itu terkenal dengan tulisan Jawi," jelasnya.

Bukan sekadar itu, menurut Ustaz Taib lagi, bangsa asing seperti Tan Seng Giau (Ahli Parlimen Kepong) dan bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kwan Yew juga dikenali sebagai individu yang mampu menguasai tulisan Jawi.

"Malahan ramai lagi, ini membuktikan bahawa tulisan Jawi mampu mengikut perkembangan arus zaman dan diterima pelabagai lapisan masyarakat. Alangkah ruginya kita orang Melayu mengesampingkan tulisan Jawi," katanya kesal.

Mengulas tentang beberapa individu atau parti politik yang kini ghairah menaja Utusan Melayu yang dihidupkan semula, Ustaz Taib melihat perkembangan ini sebagai suatu yang positif.

"Suka diingatkan, alangkah baiknya dalam sibuk menaja akhbar percuma ini, akhbar Jawi ini perlu terus diperkembangkan sehingga menjadi kebanggaan seperti dahulu",katanya.

Namun katanya lagi, contoh terbaik perlulah dilihat pada akhbar berbahasa Tamil atau Mandarin yang terus kekal dengan identiti mereka dan dapat bertahan lama.

"Orang Cina dan India di negara ini boleh berbahasa Melayu, Inggeris dari segi bacaan, tulisan dan pertuturan tetapi terus mengekalkan bahasa ibunda mereka namun, akhbar bahasa ibunda mereka terus kekal.

"Alangkah aibnya bangsa Melayu yang gagal mengagungkan tulisan Jawi sebagai tulisan bahasa ibunda," tambahnya lagi

No comments: