Alamat Baru Kami

Alamat Baru Kami

Klik di FOTO

Friday, May 12, 2006


Nelayan bukan punca pencemaran Empangan Timah Tasoh - CAP
Oleh Bashir Ishak
Petikan : Harakahdaily

BESERI, 11 Mei - Kerajaan negeri Perlis perlu meneliti semula arahan supaya para nelayan memberhentikan penangkapan ikan di Empangan Timah Tasoh dekat sini.

Ini berikutan tinjauan yang dibuat oleh Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mendapati pencemaran yang terdapat di empangan tersebut berpunca daripada sisa-sisa makanan ikan dan juga kumbahan dari pusat penyembelihan berdekatan.

Dalam laporan The Star hari ini, Presiden CAP, SM Mohamed Idris dipetik berkata bahawa adalah tidak wajar untuk menyalahkan para nelayan yang menangkap ikan di empangan tersebut sebagai punca pencemaran air.

Dalam pemerhatian CAP, sisa-sia makanan ikan yang ditemui berserakan di kawasan penternakan ikan di situ telah menyumbang kepada pencemaran di empangan tersebut.

Selain itu, turut menyumbang kepada pencemaran air di empangan tersebut ialah sisa kumbahan dari pusat penyembelihan babi di Gua Tokong di Kaki Bukit serta sisa daripada ladang ternak lembu dan kambing berdekatan.

"Penanam sayur yang menggunakan pam air juga membuang sisa diesel ke dalam empangan. Pekebun getah turut membuang elemen beracun ke dalam sumber air," kata SM Mohamed Idris.

Baru-baru ini, kerajaan Perlis melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah megeluarkan arahan supaya nelayan di empangan tersebut menghentikan operasi mereka dengan alasan penggunaan bot telah mencemarkan sumber air.

Arahan ini telah menimbulkan pelbagai kontroversi terutamanya isu hampir 100 orang nelayan yang bergantung harap daripada rezeki tangkapan ikan mereka.

Pengerusi Lajnah Pertanian, Peneroka dan Nelayan PAS Perlis, Mohd Razi Mustaffa menggesa kerajaan agar mengambil kira kajian yang dibuat oleh CAP ini secara serius.

"Kita melihat arahan yang dikeluarkan dahulu mungkin terlepas pandang faktor-faktor ini. Kita kena lihat juga nasib nelayan yang teruk terjejas berikutan arahan tersebut," katanya ketika dihubungi Harakahdaily.

Beliau mendesak pihak kerajaan khususnya Menteri Besar, Dato' Seri Shahidan Kassim agar mengambil kira nasib golongan nelayan ini yang bergantung hidup sepenuhnya kepada hasil tangkapan ikan ini.

"Hidup mereka ibarat kais pagi makan pagi. Mereka bukannya senang seperti Shahidan atau wakil rakyatUmno yang lain. Dulu kerajaan juga yang berikan bantuan Amanah Ikhtiar untuk mereka membeli pukat dan enjin," katanya lagi.

Mohd Razi turut meminta agensi kerajaan seperti Jabatan Perikanan terutamanya mengkaji semula perancangan mereka sebelum ini.

Baginya, mereka perlu bertindak mengikut apa yang telah dirancangkan. Sebagai contoh, pelbagai bantuan yang telah diberikan kepada perusahaan ikan pekasam yang dibuat daripada hasil tangkapan ikan di empangan tersebut.

"Banyak bantuan telah disalurkan seperti tong ikan, peti sejuk dan sebagainya. Kalau arahan ini tidak ditarik balik bermakna ianya menjejaskan perusahaan yang mereka sendiri salurkan bantuan. Ianya akan menjadi projek yang sia-sia dan terbengkalai," tambahnya.