Alamat Baru Kami

Alamat Baru Kami

Klik di FOTO

Friday, November 18, 2005


Pemuda PAS Perlis Ziarah, Sampaikan Sumbangan Raya Di Hospital
Oleh BASHIR ISHAK
Kategori : Berita

KANGAR, 17 Nov (Hrkh) - Dalam agenda mendekatkan diri dengan masyarakat, Dewan Pemuda PAS Perlis (DPPPs) hari ini telah mengadakan program ziarah hospital ke Hospital Tuanku Fauziah,Kangar sempena menyambut kedatangan Aidilfitri baru-baru ini.

Program disertai Pesuruhjaya PAS Perlis, Ustaz Hashim Jasin; Timbalan Pesuruhjaya, Ustaz Ahmad Ali dan Haji Abdul Karim Mat Rejab; Ketua Dewan Muslimat Perlis, Ustazah Sarah Rejab bersama Setiausahanya, Ustazah Siti Mariam Othman selain Ketua dan Ahli Jawatankuasa Kerja DPPPs.

Dalam program ini, semua wad di hospital ini telah dilawati. Para pesakit dan petugas di wad telah diberikan hadiah hamper serta kuih raya sebagai cenderahati daripada PAS Perlis.

Selain mendekati para pesakit, pimpinan PAS Perlis yang hadir juga dapat beramah mesra dan bertanya khabar tentang sebarang masalah yang dihadapi oleh para petugas di wad termasuk para doctor dan jururawat.

Namun begitu ada juga halangan daripada beberapa buah wad yang yang enggan menerima kehadiran rombongan ini. Alasan mereka ialah mereka mahu mengikut arahan pihak atasan.

Menurut Ustaz Hashim, pihak PAS Perlis telahpun menghantar surat kepada pihak hospital memohon untuk melawat tetapi ditolak dengan alasan arahan pimpinan atasan bahawa parti politik tidak dibenarkan berbuat demikian.

Beliau berasa kesal kerana wujudnya elemen 'double standard' kepada parti pembangkang sedangkan parti pemerintah boleh berbuat demikian.

"Semalam Puteri Umno bagi sumbangan, MIC pun datang bagi hamper Deepavali yang berlambang dacing, kenapa kita tak boleh? Lagipun kita datang pada waktu melawat apa salahnya," katanya.

Walau bagaimanapun program ini berjalan dengan lancar dan secara amnya mendapat sambutan baik orang ramai dan petugas.