Alamat Baru Kami

Alamat Baru Kami

Klik di FOTO

Tuesday, November 01, 2005

Hari raya & Solat sunat al-‘id (hari raya)
Oleh : Ustaz Adnan Fadzhil
Kategori : Fikrah Pimpinan
(Bahagian Akhir)

5. Rukun-rukun khutbah hari raya sama sepertimana khutbah Jumaat, iaitu;

a) Memuji Allah (yakni mengucapkan al-Hamdulillah) dengan sebarang bentuk pujian.
b) Berselawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. dengan sebarang bentuk selawat.
c) Memberi pesanan dengan takwa
d) Membaca sepotong ayat dari al-Quran pada salah satu dari dua khutbah.
e) Membaca doa untuk sekelian kaum muslimin dalam khutbah kedua.

6. Cuma dalam khutbah hari raya fitrah, imam disunatkan memperingatkan hadirin tentang kewajipan zakat fitrah dan di dalam khutbah hari raya korban, disunatkan ia memperingatkan mereka tentang ibadah korban.

7. Mendengar khutbah adalah sunat. Diriwayatkan bahawa Ibnu Mas’ud r.a. pada hari raya telah berkata;

من شهد الصلاة معنا فلا يبرح حتى يشهد الخطبة
“Sesiapa yang menghadiri solat hari raya bersama kami, maka janganlah ia meninggalkan (majlis) kecuali setelah mendengar khutbah”. (Diriwayatkan oleh Imam as-Syirazi dalam al-Muhazzab tanpa menyebutkan sanadnya)

Khutbah dan begitu juga mendengar khutbah bukanlah syarat bagi sahnya solat hari raya. Namun begitu, jika seseorang (yang menghadiri solat hari raya) tidak mendengar khutbah hari raya atau bercakap-cakap ketika khutbah disampaikan atau meninggalkan majlis tanpa menunggu khutbah, maka hukumnya adalah makruh.

8. Jika seseorang itu tiba di tempat solat dan imam sedang menyampaikan khutbah, maka hendaklah diperhatikan sama ada majlis solat hari raya dibuat di tanah lapang atau di masjid. Sekiranya majlis solat hari raya dilakukan di padang lapang, maka hendaklah ia duduk mendengar khutbah dan jangan menyebukkan diri untuk menunaikan solat hari raya kerana dikhuatiri ia akan terlepas dari khutbah Kemudian apabila imam selesai berkhutbah, ia boleh memilih sama ada ingin menunaikan solat hari raya di padang lapang itu atau di rumah (atau di tempat lainnya). Namun sekiranya majlis solat hari raya itu dilakukan di masjid, maka hendaklah ia memilih sama ada menunaikan solat tahiyyatal-masjid atau solat sunat hari raya. Yang afdhalnya ialah ia menunaikan solat sunat hari raya kerana dengan menunaikan solat sunat hari raya, dengan sendiri tahiyyatal-masjid masuk di dalamnya. Jika ia menunaikan solat tahiyyatal-masjid, disunatkan selepas imam selesai menyampaikan khutbah ia mengerjakan solat sunat hari raya di masjid itu juga bukan di rumah.

9. Jika setelah selesai mengerjakan solat dan selesai juga dari khutbah, imam mendapat tahu bahawa ada sekumpulan orang ramai yang terlepas atau ketinggalan dari mendengar khutbah, maka disunatkan ia mengulangi khutbah untuk mereka sama ada mereka terdiri dari kaum lelaki atau kaum wanita. Ini berdasarkan hadis Ibnu ‘Abbas r.a. yang menceritakan;

أنَّ رسول الله صلى الله عليه وسلم خَطَبَ يَوْمَ الْعِيْدِ فَرَأَى أَنَّهُ لَمْ يُسْمِعِ النِّسَاءَ، فَأَتَاهُنَّ، فَذَكَّرَهُنَّ، وَوَعَظَهُنَّ، وَأَمَرَهُنَّ بِالصَّدَقَةِ
“Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. telah menyampaikan khutbah pada hari raya, kemudian ia mendapati khutbahnya tidak sampai kepada pendengaran kaum wanita, maka baginda datang kepada mereka, lalu memberi peringatan kepada mereka, menasihati mereka serta memerintahkan mereka supaya bersedekah”. (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

Jika hari raya jatuh pada hari jumaat

Jika hari raya berbetulan dengan hari Jumaat, maka diberi rukhsah kepada orang-orang pedalaman yang tinggal jauh dari masjid untuk tidak menunaikan solat jumaat jika mereka telah menunaikan solat hari raya. Berkata Imam Nawawi dalam Raudhah at-Thalibin; “Jika hari raya jatuh bertepatan dengan hari Jumaat dan telah hadir (untuk mengerjakan solat hari raya) penduduk kampung yang sampai kepada mereka seruan kepada solat hari raya dan mereka mengetahui bahawasanya jika mereka pulang (ke kampung mereka setelah selesai solat hari raya) nescaya akan luput/ketinggalanlah solat Jumaat, maka harus bagi mereka untuk pulang dan meninggalkan solat Jumaat pada hari tersebut mengikut pandangan yang soheh (dari Imam Syafi’ie)”.

Diriwayatkan dari Saidina Usman r.a. bahawa ia berkhutbah pada hari raya (yang kebetulan jatuh pada hari Jumaat) di mana ia berkata;

من أحب من أهل العالية أن ينتظر الجمعة فلينتظر، ومن أحب أن يرجع فليرجع
“Sesiapa dari penduduk ‘Aliyah (yakni penduduk kampung di sekitar Madinah) yang ingin menunggu solat Jumaat, maka tunggulah. Dan sesiapa darinya yang ingin pulang, maka pulanglah”. (Riwayat Imam Malil dalam Muwatta’)



Takbir pada hari raya

Disunatkan bertakbir pada hari raya bagi lelaki dan perempuan, kanak-kanak (yang mumayyiz) dan orang dewasa, orang dalam negeri atau musafir. Ketika mengucapkan takbir disunatkan dengan suara yang tinggi –kecuali perempuan- untuk menzahirkan syi’ar agama. Diantara dalilnya ialah riwayat dari Ummu ‘Athiyyah r.a. yang menceritakan;

كنا نؤمر أن نخرج يوم العيد، حتى نخرج البكر من خِدْرها، حتى تخرج الحُيَّضُ، فيكن خلف الناس، فيكبرن بتكبيرهم، ويدعون بدعائهم، يرجون بركة ذلك اليوم وطهرته.
“Kami (para wanita) diperintahkan supaya keluar pada hari raya (ke tempat solat) sehingga kami mengeluarkan anak gadis dari tabir/tirainya (*yakni kami mengeluarkan anak gadis kami dari biliknya untuk membawa mereka bersama-sama ke tempat solat), dan sehingga perempuan-perempuan yang kedatangan haid juga turut sama keluar di mana mereka duduk di belakang orang ramai; bertakbir bersama dengan takbir mereka dan berdoa bersama bersama dengan doa-doa mereka serta mengharapkan keberkatan hari tersebut dan kesuciannya”. (Riwayat Imam Bukhari)

Takbir pada hari raya ada dua jenis;

1. Takbir Mursal atau Muthlaq (المرسل أو المطلق) iaitu takbir yang tidak terikat dengan sesuatu keadaan di mana ia dilaungkan dengan suara yang kuat di jalan-jalan raya, di masjid-masjid, di pasar-pasar, di rumah dan sebagainya di waktu siang atau malam.

Sebaik sahaja terbenam matahari pada malam hari raya fitrah dan hari raya korban, disunatkan melaungkan takbir dengan suara yang kuat di jalan-jalan raya, masjid-masjid, pasar-pasar, di rumah-rumah dan sebagainya. Sunat ini berterusan hinggalah apabila imam mula mengangkat takbir bagi menunaikan solat hari raya. Namun demikian, sunat melaungkan takbir itu dikecualikan dari jamaah haji. Firman Allah;

وَلِتُكْمِلُوا الْعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَى مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ
“…dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur”. (al-Baqarah: 185)

Berkata para ulamak; ayat di atas menjadi dalil disunatkan melaungkan takbir pada hari raya fitrah dan dikiaskan kepadanya hari raya korban.

Diriwayatkan dari Nafi’ yang menceritakan;

كان ابن عمر يكبر يوم العيد في الأضحى والفطر ويكبر ويرفع صوته
“Adalah Ibnu Umar r.a. bertakbir pada hari raya korban dan juga hari raya fitrah; ia bertakbir dan meninggikan suaranya”. (Riwayat Imam ad-Daruqutni dan al-Baihaqi)

2. Takbir Muqayyad (المقيد) iaitu yang dilaungkan selepas menunaikan solat sahaja.

Selain di atas, disunatkan juga pada hari raya korban bagi semua muslim (termasuk jamaah haji) untuk melaungkan takbir selepas solat (sama ada solat yang fardhu ‘ain, fardhu kifayah atau solat sunat) bermula dari subuh hari ‘Arafah (iaitu tanggal 9 Dzulhijjah) hinggalah selepas asar pada hari Tasyrik terakhir (yakni hari raya ke empat). Jika terlupa melaungkan takbir selepas solat, boleh melaungkannya apabila ingat.

Diriwayatkan dari ‘Ali dan ‘Ammar r.a. yang menceritakan;

أن النبي صلى الله عليه وسلم كان يكبر من يوم عرفة صلاةَ الغداة، ويقطعها صلاةَ العصر آخر أيام التشريق
“Sesungguhnya Nabi s.a.w. bertakbir bermula dari hari ‘Arafah (selepas) solat subuh dan memutuskannya (yakni berhenti bertakbir) selepas solat asar hari terakhir Tasyriq”. (Riwayat Imam al-Hakim. Menurut Imam al-Hakim; hadis ini sanadnya soheh)

Firman Allah:

وَاذْكُرُوا اللَّهَ فِي أَيَّامٍ مَعْدُودَاتٍ فَمَنْ تَعَجَّلَ فِي يَوْمَيْنِ فَلَا إِثْمَ عَلَيْهِ وَمَنْ تَأَخَّرَ فَلَا إِثْمَ عَلَيْهِ لِمَنْ اتَّقَى وَاتَّقُوا اللَّهَ وَاعْلَمُوا أَنَّكُمْ إِلَيْهِ تُحْشَرُونَ
“Dan sebutlah kamu akan Allah (dengan takbir semasa mengerjakan Haji) dalam beberapa hari yang tertentu bilangannya. Kemudian sesiapa yang segera (meninggalkan Mina) pada hari yang kedua, maka ia tidaklah berdosa dan sesiapa yang melambatkan (meninggalkan Mina) maka ia juga tidaklah berdosa; (ketiadaan dosa itu ialah) bagi orang yang bertaqwa dan hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah dan ketahuilah sesungguhnya kamu akan dihimpunkan kepadanya”. (al-Baqarah: 203)

Maksud zikir dalam ayat di atas ialah bertakbir pada hari-hari raya korban. Berkata ‘Ikrimah; maksudnya ialah bertakbir pada hari-hari tasyriq selepas menunaikan solat-solat fardhu. Nabi s.a.w. bersabda;

أيام التشريق أيام أكل، وشرب، وذكر الله
“Hari-hari tasyriq adalah hari makan minum dan hari berzikir kepada Allah”. (Riwayat Imam Ahmad dan Muslim dari Nubaisyah al-Khair bin Abdullah al-Hazaliyy r.a.)

Adapun pada hari raya fitrah, terdapat khilaf di kalangan ulamak mazhab Syafi’ie; adakah takbir selepas solat itu disunatkan atau tidak. Ada pendapat menyatakan tidak disunatkan kerana tiada nas. Dan ada pendapat menegaskan ia disunatkan sebagaimana pada hari raya korban. Imam Nawawi Nawawi dalam kitabnya al-Azkar memilih pendapat yang kedua. Jadi dengan memakai pendapat yang dipilih oleh Imam Nawawi, disunatkan kita melaungkan takbir selepas menunaikan solat maghrib dan isyak pada malam hari raya dan selepas menunaikan solat subuh pada pagi hari raya. Inilah yang menjadi amalan kebanyakan umat Islam sekarang ini.




Lafaz takbir

Lafaz takbir yang paling afdhal di sisi ulamak-ulamak mazhab Syafi’ie ialah;

الله أكبر الله أكبر الله أكبر، لا إله إلا الله، الله أكبر، الله أكبر، ولله الحمد
“Allah maha besar, Allah maha besar, Allah maha besar. Tidak ada Tuhan melainkan Allah. Allah maha besar. Allah maha besar. Milik Allah lah segala puji-pujian”.

Imam as-Syafi’ie dalam kitabnya al-Umm menyukai agar ditambah kepada takbir di atas selepas tiga kali mengucapkannya;

اللّه أكْبَرُ كَبيراً، والحَمْدُ لِلَّهِ كَثيراً، وَسُبْحانَ اللَّهِ بُكْرَةً وأصِيلاً، لا إِلهَ إِلاَّ اللَّهُ، وَلا نَعْبُدُ إِلاَّ إِيَّاهُ مُخْلِصِينَ لَهُ الدينَ وَلَوْ كَرِهَ الكافِرُون، لا إِلهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ، صَدَقَ وَعْدَهُ، وَنَصَرَ عَبْدَهُ، وَهَزَمَ الأحْزَابَ وَحْدَهُ، لا إِلهَ إِلاَّ اللّه واللَّهُ أكْبَرُ
“Allah maha besar dengan sebesar-besarnya. Segala puji-pijian milik Allah dengan sebanyak-banyaknya. Maha suci Allah di waktu pagi dan petang. Tidak ada Tuhan melainkan Allah. Kami tidak menyembah melainkanNya sahaja dalam keadaan kami mengikhlaskan agama untukNya, sekalipun orang-orang kafir membenci. Tidak ada Tuhan melainkan Allah satu-satunya. Dia telah mengotakan janjiNya dan telah menolong hambaNya serta mengalahkan tentera-tentera bersekutu (dengan kekuasaanNya) semata-mata. Tidak ada Tuhan melainkan Allah. Allah maha besar”.Wallahua'lam

Rujukan dan bacaan

1- المجموع شرح المهذب، للإمام النووي، دار الفكر – لبنان (1996)
2- الإقناع في حل ألفاظ أبي شجاع، للإمام شمس الدين محمد بن أحمد الشربيني الخطيب، دار الخير – بيروت (1996)
3- كفاية الأخيار في حل غاية الاختصار، للإمام تقي الدين الحسيني، دار الخير – بيروت (1991)
4- الفقه المنهجي على مذهب الإمام الشافعي، للدكتور مصطفى الخن، الدكتور مصطفى البغا، على الشربجي، دار القلم – دمشق (1991)
5- الفقه الواضح من الكتاب والسنة، الشيخ الدكتور محمد بكر إسماعيل، دار المنار – القاهرة (1990)
6- بداية المجتهد ونهاية المقتصد، للإمام ابن رشد، مكتبة الإيمان – المنصورة (1997)
7- مغني المحتاج إلى معرفة معاني ألفاظ المنهاج، للشيخ شمس الدين مجمد بن الخطيب الشربيني، دار الفكر – بيروت (2001)
8- الكفاية لذوي العناية (في الفقه الشافعي)، للشيخ عبد الباسط على الفاخوري، دار ابن حزم-بيروت (2003)
9- سبيل المهتدين، الشيخ محمد أرشد البنجري، Thinkers Library (1989).
10- سبل السلام شرح بلوغ المرام، للشيخ الإمام محمد بن إسماعيل الصنعاني، دار الفرقان – الأردن (دون التاريخ)
11- فيض القدير شرح الجامع الصغير، للعلامة المناوي، دار الفكر(دون التاريخ ومكان الإصدار)
12- نيل الأوطار، الإمام الشوكاني، مكتبة دار التراث – القاهرة (دون التاريخ)
13- الفقه الشرعي الميسر(أحكام الطهارة والصلاة)، الشيخ محمد علي الصابوني، دار السلام، القاهرة (1995)
14- صحيح مسلم بشرح النووي، للإمام النووي، مؤسسة المختار، القاهرة (2000).
15- أحكام أهل الذمة، الإمام ابن القيم الجوزية، دار الكتب العلمية، لبنان (1995).
16- الفقه الإسلامي وأدلته، الشيخ الدكتور وهبة الزحيلي، دار الفكر، دمشق (1985).
17- المصباح المنير، للفيومي، مكتبة لبنان (1987).


***الحمد لله به تتم النعمة***