Buruh dituduh bunuh pelajar
Petikan : Utusan Malaysia
KANGAR 28 Mac - Mahkamah Majistret di sini hari ini menetapkan 4 Mei ini untuk sebutan semula kes terhadap seorang buruh, Azizul Abdul Aziz, 20, yang dituduh membunuh pelajar kolej swasta yang ditemui mati dalam keadaan terapung di sebatang sungai, Februari lalu.
Tertuduh yang berbaju T-shirt hitam dan berseluar jeans dihadapkan ke mahkamah kira-kira pukul 9.30 pagi ini.
Pendakwaan dikendalikan oleh pegawai pendakwa, Inspektor Khairul Anuar Mohamad manakala Azizul tidak diwakili peguam.
Majistret Chiang Kian Hong menetapkan tarikh tersebut selepas dimaklumkan oleh pegawai pendakwa bahawa pihaknya masih belum menerima laporan kimia dan bedah siasat dari Hospital Tuanku Fauziah serta Jabatan Kimia di Pulau Pinang.
Mengikut kertas pertuduhan, Azizul, dari Chuping, Padang Besar dituduh membunuh Norhidayu Ramli, 19, antara 10 malam pada 11 Februari lalu dan 8.30 pagi keesokan harinya, di Sungai Santan, Jalan Alor Sena di sini.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.
Menurut laporan akhbar, mayat pelajar berusia 19 tahun itu yang masih lengkap berpakaian ditemui oleh seorang penduduk kampung yang sedang berjoging di kawasan sungai tersebut kira-kira pukul 8 pagi pada 12 Februari.
Pelajar kursus kesetiausahaan di Kolej Cosmopoint berkenaan berasal dari Kampung Sungai Berembang, Kuala Perlis.