44 Penduduk Kg Titi Tinggi Dekat Padang Besar Dipindahkan Akibat Banjir
Petikan Bernama
PADANG BESAR, 24 Mac (Bernama) -- Sebanyak 44 penduduk di Titi Tinggi dekat sini dipindahkan ke dewan orang ramai Titi Tinggi Hilir sejak awal pagi ini, selepas beberapa kawasan rendah di kampung terbabit dilanda banjir.
Pegawai Jabatan Pertahanan Awam (JPA3), Lt Azmi Salim berkata mereka dipindahkan oleh anggota polis, JPA3 serta Jabatan Bomba dan Penyelamat antara pukul 2 dan 5 pagi Jumaat.
"Hujan lebat sejak petang semalam menyebabkan kampung itu dinaiki air sedalam kira-kira satu meter," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Azmi berkata paras air di kampung itu kini masih kekal sehingga kini dan pihaknya sentiasa memantau perkembangan bagi menghadapi kemungkinan lebih banyak penduduk akan dipindahkan.
Sehingga kini kebanyakan tempat di Perlis masih mengalami hujan.