‘Jangan jual peralatan bantuan’
Petikan : Berita Harian
KANGAR: Ada segelintir masyarakat miskin di Perlis yang menerima bantuan kerajaan bertindak menjual barangan yang diberi kerajaan untuk mendapatkan wang tunai dengan segera.
Perkara itu didedahkan Exco Pembangunan Luar Bandar dan Pertanian negeri, Khairi Hassan yang turut kesal dengan tindakan golongan miskin itu yang disifatkannya tidak sepatutnya berlaku.
Beliau berkata, ada penerima bantuan berupa peralatan untuk menjalankan sesuatu perniagaan atau perusahaan tetapi bertindak menjual alat berkenaan untuk mendapat keuntungan segera.
"Saya berharap perkara sebegini tidak berlaku lagi. Jika peralatan yang diberi tidak digunakan, adalah lebih baik ia dipindahkan kepada golongan yang memerlukannya dan janganlah dijual.
"Justeru, saya menggesa penduduk supaya memainkan peranan masing-masing. Kalau nampak bantuan ini tidak digunakan dengan baik atau sudah dijual, laporkan kepada pihak bertanggungjawab. Pegawai kerajaan bukannya ramai, jadi penduduk perlu bekerjasama dalam hal ini," katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan peralatan Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat (SPKR) di Kompleks Bilik Sejuk, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), di sini, semalam.
Pada majlis itu, seramai 27 penerima menerima peralatan di bawah SPKR seperti gerai mudah alih, mesin memproses tebu, ayam dan santan, motosikal tiga roda, peralatan membuat kuih baulu dan mesin memproses laksa.