Alamat Baru Kami

Alamat Baru Kami

Klik di FOTO

Saturday, March 18, 2006


Pemimpin Umno berhibur ketika rakyat diminta berjimat cermat
Oleh mj
Petikan : Harakahdaily

MACHANG, 18 Mac (Hrkh) - Adilkah bagi sebuah kerajaan ketika mendesak rakyat supaya berjimat cermat, sedangkan dalam masa yang sama membelanjakan jutaan ringgit bagi membayar persembahan penyanyi antarabangsa pada program Gala Grand Prix F1.

Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharuddin Mat Isa mendakwa beliau difahamkan jutaan ringgit dibayar kepada penyanyi yang terkenal dengan lagu 'Dancing On The Ceiling', Lionel Richie.

"Malah ada sumber memberitahu kerajaan membelanjakan kira-kira RM98 juta bagi mempromosikan Grand Prix F1 yang akan berlangsung esok. Masihkah kita ingat iklan seorang budak Melayu bercakap bahasa Jerman dan budak Inggeris bercakap Melayu.

"Belanja iklan itu begitu besar, sedangkan manfaatkan kepada rakyat tidak banyak ketika kerajaan meminta seluruh rakyat berjimat cermat ekoran kerajaan menaikkan harga minyak akhir Febuari lalu," katanya selepas ceramah di Taman Siti Aisyah, Wakaf Bata, malam tadi.

Pada perlumbaan Grand Prix Malaysia esok sebanyak 22 pasukan akan berentap menerus cabaran kedua bagi musim ini. Negara ini menjadi tuan rumah bagi perlumbaan itu sejak 1999, selepas jutaan duit rakyat dibazirkan bagi melonjat nama Perdana Menteri ketika itu.

Malam kelmarin persembahan Lionel Riche diadakan di pusat Konvensyen Kuala Lumpur yang turut dihadiri Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dan pemimpin Umno lain.

Nasharuddin berkata, sikap kerajaan seperti itu menyebabkan rakyat sudang hilang kepercayaan sehingga ramai di kalangan mereka mahu meninggalkan perjuangan bersama Umno.

Pada ceramah yang dihadiri ribuan penduduk itu seramai 70 ahli Umno dari Cawangan Taman Siti Aisyah dan Cawangan Changkat 2, Paloh Rawa menyerah borang menyertai PAS kepada Mursyidul Am, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Umno Changkat 2 diketuai ketua cawangannya, Zaki Ramli, 35 bersama bapanya, Ramli Che Mamat, 63. Ekoran itu kedua-dua cawangan Umno terbabit dibubarkan.