Alamat Baru Kami

Alamat Baru Kami

Klik di FOTO

Friday, March 24, 2006

Muara dicemari sampah : Kerajaan Negeri digesa utamakan keselesaan penduduk
Oleh : Nikon
Kategori : Berita

Jejawi 23hb Mac : Kerajaan Negeri Perlis digesa untuk lebih mengutamakan kepentingan dan keselesaan penduduk daripada bercakap benda-remeh temeh ataupun khilafiah.Gesaan itu disuarakan oleh Ketua Pemuda PAS Negeri Ustaz Ahmad Adnan Fadhil ketika dihubungi sebentar tadi.

Beliau juga melihat isu muara Sungai Perlis yang dicemari dengan sampah-sarap sebagai isu yang penting kerana ianya menjejaskan sumber pendapatan dan juga kesihatan rakyat.

Harian Metro dalam keluarannya pada 21 Mac baru-baru ini telah menyiarkan desakan penduduk di Kuala Perlis supaya operasi tapak perlupusan sampah di muara Sungai Perlis segera ditutup.

Dalam laporan itu juga menyebut bahawa tapak pelupusan yang sudah berusia 25 tahun itu sudah penuh sehingga melimpah ke tebing dan tenggelam apabila air laut pasang.

Lebih membahayakan lagi, tapak pelupusan sampah itu terbukti telah mencemarkan kualiti air serta menjejaskan kesihatan penduduk.

Bagi Ustaz Adnan ini sekaligus memberi gambaran bahawa kerajaan negeri tidak memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap kebajikan rakyat.

“Menteri Besar hanya suka nak tunjukkan kehebatan dirinya sahaja sehingga perkara yang kecilpun dia nak masuk campur.Tetapi masalah besar seperti ini gagal pula dia nak selesaikan,” ujar beliau.

Dengan pendapatan para nelayan terjejas sehingga 60 peratus iaitu hanya RM20 sahaja sehari sekarang, maka ini akan lebih memburukkan keadaan mereka apatah lagi negara sedang berkabung dengan kenaikan harga minyak sebanyak 30 sen baru-baru ini.

Dan bagaimana pula sekiranya penduduk diserang penyakit kerana pencemaran sungai? Adakah mereka mampu untuk menanggung kos perubatan dengan pendapatan mereka itu?

Ini semua menjadi bebanan yang harus dihadapi oleh penduduk di tujuh buah perkampungan nelayan yang berhampiran sekiranya tindakan segera dari kerajaan negeri tidak diambil.