Alamat Baru Kami

Alamat Baru Kami

Klik di FOTO

Friday, March 03, 2006

Kami memohon maaf kepada pengirim kerana lewat menyiarkan surat ini yang sepatutnya dikategorikan SEGERA.Walau bagaimanapun kami menyiarkan juga surat ini berdasarkan beberapa fakta terbaru yang menarik yang telah pengirim dedahkan yang boleh dikongsi bersama.
Balasungkawa kepada seluruh rakyat Malaysia 2
Kategori : Surat Pembaca

Pagi 28 Feb 2006, rata-rata rakyat Malaysia termasuk kami menerima hadiah istimewa daripada kerajaan Malaysia yang merupakan pemegang mandat 90% kerusi Parlimen sejak 2004. Kerajaan telah menaikkan harga minyak sebanyak 30 sen, kenaikan sebanyak 18 peratus dari harga minyak yang ada dan tertinggi sepanjang sejarah negara.

Rakyat Malaysia seolah-olah amat gembira menerima hadiah kenaikan harga minyak ini kerana mereka berpusu-pusu di malam hari tadi untuk mengisi penuh tangki minyak kereta mereka dengan harga minyak yang lama. Seolah-olah tindakan ini merupakan satu tindakan yang amat menguntungkan mereka dalam jangka masa yang panjang.

Sekiranya perkara ini berlaku di Thailand mahupun Indonesia, rakyat di sana bukan berebut-rebut mengisi minyak, tetapi sebaliknya berebut-rebut keluar ke jalan raya memprotes tindakan pemerintah yang sebegini rupa sehingga menyebabkan kerajaan terpaksa mengkaji semula tindakan yang telah diambil.

Sikap sebeginilah baru melambangkan sesebuh negara itu demokrat tulen ataupun tidak kerana partisipasi politik yang bebas semacam ini adalah elemen penting dalam demokrasi.

Kerajaan Malaysia dalam kenyataan rasmi pengumumannya itu, seperti biasa akan membandingkan harga minyak yang didakwa masih rendah berbanding dengan negara-negara ASEAN seperti Singapura. Kenapa agaknya kerajaan tidak membandingkannya dengan harga minyak di Brunei. Kenapa tidak dibandingkan harga barangan yang lain di Thailand dan Indonesia khususnya yang jauh lebih murah daripada Malaysia?

Brunei yang mana hasil pendapatan negaranya hanya bergantung semata-mata kepada minyak dapat memberikan subsidi harga minyak yang tinggi kepada rakyatnya sedangkan negara kita yang mempunyai pendapatan dari pelbagai sumber termasuk balak dan sektor perlancongan serta elektronik masih tidak mampu menjelma sebagai sebuah kerajaan kebajikan pro rakyat.

Kenaikan ini berlaku ketika Petronas, syarikat pengeluar minyak milik rakyat Malaysia, mencatatkan keuntungan lebih RM50 bilion tahun 2005. Ke mana pergi aliran agihan RM50 bilion ini? Adakah RM50 bilion itu turut menjadi sebahagian daripada jumlah sebanyak RM800 bilion sepanjang pemerintahan Mahathir yang dijadikan kos untuk menampung mana-mana projek mega yang tak berfaedah dan bail-out syarikat kroni atau syarikat milik negara yang rugi? Kenapa sampai sekrang aktiviti Petronas hanya menjadi rahsia PM seorang sahaja? Kenapa ianya tidak pernah dibentangkan di Parlimen?

Kerajaan Malaysia juga telah berani menaikkan harga minyak kerana sedar bahawa protes rakyat tak akan sampai ke mana dan mungkin berlanjutan dalam tempoh seminggu sahaja, itupun paling lama. Kerajaan sedar dan berbangga memiliki majoriti rakyat yang bersikap boleh dicucuk hidung. Dengan itu, kerajaan kiranya bagi rakyat Malaysia amat bermurah hati kerana hanya menaikkan harga minyak sekadar 30 sen sahaja dan bukannya seringgit ataupun dua ringgit.

Terdapat suatu rahsia umum yang kurang didedahkan bahawa walaupun kerajaan menaikkan harga minyak dengan alasan tidak adil baginya untuk terus memberi subsidi minyak kepada rakyat Malaysia di waktu harga minyak dunia sekarang ini melambung naik, tetapi dalam masa yang sama pegawai tinggi kerajaan dan menteri masih mendapat elaun subsidi minyak dari kerajaan untuk kegunaan kenderaan rasmi mereka melalui pemberian kad Petronas. Secara tidak langsung, rakyat Malaysia sedang menanggung kos penggunaan minyak untuk golongan ini. Adakah ini adil?

Nah, wajarkah rakyat Malaysia turun ke jalan raya secara aman untuk membantah tindakan terbaru kerajaan ini? Pas katanya akan mengadakan demonstrasi di KLCC pada Jumaat depan. Bolehkah perhimpunan itu mencapai jumlah sekurang-kurangnya seratus ribu orang? Kita cuba, mana tahu rakyat Malaysia sudah bosan dengan kerajaan.Pas kena keluarkan arahan rasmi kepada jentera dan organisasinya di seluruh negara agar turun beramai-ramai ke KL pada Jumaat ini.

Kita mahukan kehadiran lebih daripada seratus ribu orang. Jangan lagi seperti hangat-hangat tahi ayam sebagaimana tragedi demonstrasi membantah keputusan pilihanraya yang telah dibatalkan pada saat akhir tahun 2004 dahulu. Pimpinan tertinggi Pas seperti Tuan Guru Nik Aziz dan Haji Hadi juga mesti turun sama memimpin demonstrasi ini. Ditambah dengan kehadiran Anwar Ibrahim, Dr Wan Azizah, Lim Kit Siang, pemimpin mahasiswa dan gerakan pengguna serta kesatuan sekerja.

Bagi mereka yang berada di Perlis, diharap dapat berdemo secara aman di Masjid Putra Kangar selepas solat Jumaat esok.

Sejarah perubahan yang berlaku di mana-mana negara memerlukan jalanraya bagi menjatuhkan sesebuah kerajaan authoritarian dan korup. Lihat, di Iran, dinasti Shah Iran mampu dijatuhkan oleh kuasa rakyat pimpinan Imam Khomeini. Diktator Soeharto di Indonesia boleh tumbang hanya apabila tiga orang Mahasiswa Universiti Trisakti mati ditembak polis sewaktu demonstrasi di Jakarta.

Adakah ada sinar perubahan di Malaysia? Bilakah akan wujud sebuah parti pembangkang yang kuat? Sampai bilakah baru akan muncul gerakan mahasiswa dan kesatuan sekerja yang digeruni penguasa yang korup? Kenapa rakyat Malaysia masih bersikap “biarlah, tak apa”? Bilakah rakyat Malaysia akan berani dan berubah menjadi bijak? Sama-samalah kita nantikan pada permulaan episod Jumaat ini.


Angkatan Muda Insaf (Baru)


Terima kasih kepada pengirim.