Penduduk Kaki Bukit-Padang Melangit mohon lampu isyarat
Oleh Bashir Ishak
Petikan : Harakah
BESERI, 7 Mac (Hrkh) - Sekumpulan penduduk yang prihatin dengan keselamatan orang ramai telah merayu untuk diadakan lampu isyarat di persimpangan Jalan Kaki Bukit - Padang Melangit dekat sini.
Rayuan terbabit melibatkan penduduk Kampung Darat di Batu 6 1/4 Jalan Kaki Bukit, Kampung Tunjung, Bukit Temiang, Kampung Paya, Kampung Beseri dan sekitar Pekan Balai Baru.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Rayuan penduduk, Ishak Kassim, banyak faktor yang membawa kepada permohonan ini.
"Di kawasan berhampiran simpang ini kerap terjadi kemalangan jalan raya di samping berlakunya kesesakan lalu-lintas terutamanya pada waktu pagi," katanya.
Menurutnya lagi, persimpangan ini digunakan oleh murid-murid dari tiga buah sekolah dan sebuah Pasti untuk melintas pada waktu pagi dan tengahari.
"Pelajar dan ibubapa yang mahu menghantar anak-anak ke Sekolah Rendah Kebangsaan Seri Tunjung, Sekolah Rendah Islam At-Taqwa, Sekolah Menengah Tengku Sulaiman dan Pasti Darul Taqwa menghadapi risiko untuk melintas berikutan kesesakan lau-lintas," tambahnya.
Sementara itu, seorang mekanik, Wan Abdul Rahman Wan Adam yang membuka kedainya berhampiran melahirkan kebimbangannya berikutan tiada tanda amaran had laju jalan di samping tiadanya garisan atau petak kuning berdekatan simpang tersebut.
"Keadaan bertambah bahaya apabila kenderaan sering memecut laju berikutan jalan yang lurus dari arah utara di samping banyaknya lori tanah melalui jalan tersebut pada waktu siang," katanya.
Beliau turut menyeru agar pihak polis menyediakan petugas buat sementara waktu ini sehinggalah lampu isyarat diadakan.
"Kalau boleh ada seorang polis mengawal lalu-lintas sejam waktu pagi dan sejam waktu tengahari," pohonnya.
Dalam pada itu, seorang pengusaha kedai kopi, Abang Syed menyokong langkah yang diambil Jawatankuasa Rayuan penduduk itu kerana ahli kariah Masjid Al-Ehsan berhampiran yang sering berulang untuk berjamaah di situ juga menghadapi risiko terutamanya pada waktu malam.
"Keadaan di simpang agak gelap pada waktu malam walaupun adanya lampu di seberang jalan," jelasnya.
Menurutnya lagi, ramai orang suka meletakkan kenderaan di bahu jalan berhampiran simpang sehingga menghalang pengelihatan pengguna jalan dari arah Jalan Padang Melangit untuk bergerak ke jalan utama sam ada ke arah Padang Besar atau ke Kangar.
Sehubungan dengan itu, jawatankuasa berkenaan telah menghantar permohonan kepada pihak Jabatan Kerja Raya negeri Perlis dan salinan surat turut ditujukan kepada Menteri Besar, Dato' Seri Shahidan Kassim dan ADUN Santan, Sabry Ahmad.
Ratusan tanda tangan dari penduduk sekitar telah dikumpulkan bagi mengukuhkan lagi permohonan mereka.
Laporan yang diperolehi, telah ada pihak yang datang mengambil gambar persimpangan berkenaan. Jadi, menurut Ishak, pihaknya berharap agar proses pembinaan lampu isyarat berkenaan dapat dipercepatkan supaya keselamatan orang ramai terjamin.
"Kita tidak mahu lagi berlakunya kemalangan yang meragut nyawa di samping kemudahan orang ramai melintas dengan selamatnya," katanya.