Alamat Baru Kami

Alamat Baru Kami

Klik di FOTO

Thursday, March 02, 2006


Wahhabi : Apa perlunya seminar ketika ini ?
Oleh : Mat Teropong
Kategori : Berita

Kangar 1hb Mac : Tindakan kerajaan negeri mengadakan Seminar Pemikiran Muhammad Abdul Wahab ketika ummat Islam dalam keadaan terkepung dengan isu penghinaan kepada Rasulullah dan pemberhentian seorang pekerja Islam kerana memakai tudung dikesali.

Menurut Naib Ketua Dewan Pemuda PAS (DPP) Perlis Ustaz Yussainee Yahya seminar itu tidak kena pada masanya.

“Disaat ummat Islam sepatutnya fokus kepada kemuliaan agama, seminar yang membincangkan bidaah dan furu’ dijalankan,” Katanya kesal.

Beliau yang juga Timbalan Ketua DPP kemudiannya mengemukakan rasional kepada kenyataannya itu ialah bila perhatian ummat Islam yang sepatutnya bersama-sama menghadapi tentangan dan penghinaan ini dialihkan, ianya akan menimbulkan perpecahan.

Perpecahan pada pandangannya akan timbul apabila satu puak bercakap dan membidaahkan satu puak lain sedang dalam masa yang sama musuh Islam tidak peduli apa mazhab yang kita pegang asalkan Islam jatuh tersungkur.

Semalam Berita Harian Edisi Utara melaporkan Menteri Besar, Datuk Seri Shahidan Kassim mendakwa ada tokoh agama tempatan bersikap jumud dan gagal menguasai ilmu dengan tepat apabila menuduh Perlis mengamalkan fahaman Wahhabi

Beliau juga menyatakan tuduhan itu tidak akan dibuat jika tokoh agama, termasuk di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berfikiran terbuka dan menguasai ajaran Islam sepenuhnya.

Ustaz Yussainee kemudiannya mempersoalkan kenyataan Shahidan itu yang menurutnya sebagai satu isyarat bahawa Shahidan sendiri tiada keyakinan dengan Jakim.

“Kalau dah Jakim dia tak percaya, siapa lagi yang dia nak harap untuk jaga perkara agama ? Pasal Jakim tu Umno juga yang tubuhkan,” Soalnya.

Dia kemudiannya menyarankan agar Perlis tidak terlalu cepat melatah dengan apa yang Perlis anggap tuduhan dari Jakim itu sebaliknya bertenang kerana baginya sesiapa yang terlalu cepat melatah dengan satu-satu tuduhan itu tandanya tuduhan itu betul.

Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Dewan Pemuda Pas (DPP) Perlis, Ustaz Ahmad Adnan Fadhil pula berpendapat Wahhabi di Perlis ini bukan idea asal Muhammad Abdul Wahab.

Ini kerana katanya Muhammad Abdul Wahab ialah seorang tokoh reformis Islam yang bukan hanya bercakap mengenai bidaah semata-mata tetapi yang paling utama yang dia fikirkan ialah bagaimana hendak mencegah mungkar.

Perbezaan antara bidaah dan mungkar menurutnya lagi ialah bidaah tidak disebut didalam al-Quran tetapi perkataan mungkar, banyak sekali disebutkan.

“Macamana agaknya pandangan Muhammad Abdul Wahab berkenaan dengan kedai judi yang ada di sekitar Kangar dan Konsert Sure Heboh bidaah atau tidak?,” Soalnya.

Beliau menjelaskan yang Muhammad Abdul Wahab menggelarkan thoghut antaranya kepada golongan pemimpin yang tidak melaksanakan hukum Islam dan juga seorang penggubal undang-undang yang mengubah hukum Allah.

“Mengapa benda yang jelas ini tak disebut tapi hanya sibuk sebut perkara furu’ sahaja,” Tanya beliau lagi.