Warga emas tinggal di pondok usang
Petikan : Berita Harian
KANGAR: Seorang warga emas dekat Bintong di sini, yang pernah bertugas sebagai pengawal keselamatan hidup dalam keadaan amat daif selepas berhenti kerja dua tahun lalu kerana faktor usia dan kesihatannya sering terganggu.
Ahmad Saad, 68, tinggal berseorangan di rumahnya di Kampung Tebing Tinggi, Bintong, tanpa bekalan elektrik dan air berikutan kemudahan itu dipotong selepas beliau tidak mampu membayar bilnya.Bekas pengawal keselamatan Dewan Warisan dekat sini, mempunyai dua orang anak yang sudah berkahwin dan tinggal bersama suami masing-masing.
“Saya tinggal berseorangan di rumah ini sejak sekian lama dan terpaksa berhenti kerja dua tahun lalu kerana sering tidak sihat.“Setiap malam saya hanya bertemankan pelita minyak tanah atau lilin. Itu pun kalau mempunyai wang untuk membeli barang terbabit. Jika tak mempunyai wang, saya akan bergelap sepanjang malam,” katanya ketika ditemui Berita Harian, baru-baru ini.
Ahmad berkata, beliau tidak mahu menyusahkan dua anaknya yang sudah berkahwin kerana mereka juga hidup dalam serba kekurangan dan hanya bergantung kepada suami yang bekerja sebagai buruh kasar dengan pendapatan tidak sampai RM400 sebulan.
“Kadang-kadang ada juga menantu saya berikan wang untuk perbelanjaan harian. Tapi saya faham mereka juga susah kerana hanya bekerja sebagai buruh binaan, pendapatannya pun tak seberapa,” katanya.Ahmad berkata, beliau pernah memohon bantuan perumahan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta bantuan lain kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) tetapi sehingga kini belum mendapat sebarang jawapan.