Alamat Baru Kami

Alamat Baru Kami

Klik di FOTO

Thursday, February 02, 2006


Inikah yang dikatakan Islam?
Oleh : Harumanis
Kategori : Penulis Jemputan

Beginilah sambutan yang diberikan oleh segelintir rakyat Terengganu terhadap salah sebuah
kontena hanyut di Seberang Takir baru-baru ini.

Assalamualaikum.Dah lama rasanya tak menulis.Rupa-rupanya bukan senang nak menulis. Saya tak tahulah macamana wartawan buat kerja mereka.Tapi mungkin juga mereka dah terlatih dan juga dah memang kerja mereka.Sepenuh masa,tiada komitmen lain.

Bagi saya yang buat kerja sambilan ni macam-macam halangan yang datang.Ada kalanya bila ada cerita masa pula tak ada.Bila masa dah terluang banyak idea pulak entah kemana.Nak tunggu dua-dua tu bertemu, payah sikitlah.Dan bila dah dapat bertemu kedua-duanya jadilah artikel tu panjang sedikit.Diharap anda semua dapat menghabiskan pembacaan anda.

Terus kita kepada apa yang hendak saya sampaikan.Saya mendapat sedikit idea penulisan ini selepas balik bercuti sempena eid adha ke Terengganu baru-baru ini.Balik lama sikit pasal anak tak sekolah lagi jadi cuti tak bersangkut dengan orang lain.Perjalanan balik ke Terengganu biasanya terasa semangat sikit pasal maklumlah balik kampung.Tahun ni keluarga buat korban seekor lembu pasal arwah emak pesan supaya diambil sedikit duitnya untuk korban seekor lembu.Tahun ni juga tahun pertama kami sekeluarga beraya tanpa kedua ibubapa.Semoga roh mereka dirahmati Allah.

Berkebetulan pula ketika saya pulang baru-baru ini Terengganu sedang kecoh dengan cerita kontena hanyut.Macam-macam cerita yang keluar dari mulut jurucakap tidak rasmi.Satu cerita yang saya dengan sendiri ketika berada di Pantai Teluk Ketapang, Seberang Takir ialah bagaimana seorang lelaki begitu bersemangat bercerita tentang kisah kontena hanyut itu.Dia juga turut menjelaskan prosedur perjalanan sesebuah kapal yang mana menurutnya lagi apabila sesebuah kapal dilanda ribut, maka kapten kapal akan membuang beberapa kontena untuk mengimbangi kapal itu.

Maka diapun mengeluarkan fatwanya sendiri bahawa segala barang yang ada di dalam kontena itu samada udang, rokok dan ada juga kata pakaian semuanya itu telah dihalalkan oleh kapten kapal.Begitu bersemangat dia bercakap dengan seorang makcik yang kelihatan mengangguk-angguk.Timbul pertanyaan dalam hati saya kapten kapal tu tauke barang atas kapal ke? Atau dia hanya ditugaskan untuk membawa sahaja.

Saya terus menelefon seorang rakan yang pernah beberapa tahun bekerja sebagai jurutera di atas kapal.Menurutnya tidak pernah ada prosedur sedemikian.Yang ada ialah kontena terjatuh.Dan menurut dia lagi macamana nak buang kontena nak pakai tolak aje ke? Eh,saya pulak yang kena.

Maka keesokan harinya keluarlah kenyataan dari Mufti Terengganu yang mengatakan bahawa “Mengambil barang orang lain adalah haram”.Saya terus terbayang akan wajah lelaki semalam.Mungkin diapun dah tertelan udang hanyut kot? Entahlah mungkin juga tidak.

Apa yang menjadi persoalan sekarang ialah tidakkah seseorang muslim itu boleh berfikir yang apabila kita berjumpa dengan sesuatu barang yang bukan milik kita dan juga kita tidak mengetahui tuan punya kita kena mengiklankannya selama beberapa lama ataupun kita boleh terus menyerahkan kepada Baitulmal? Itu adalah perkara asas yang telah diketahui umum.Bukan perkara baru.

Yang lebih menyedihkan lagi menurut seorang jiran saya yang berniaga di Pasar Payang kelihatan yang bersongkok dan berkopiah juga turut membelinya (saya tidak bermaksud untuk menujukan kepada ahli PAS atau Umno) sedang dalam keadaan mereka tahu. Manakan tidak tahu apabila sudah riuh satu pasar yang ada jualan udang hanyut yang murah.Tapi begitulah orang kita asal nama murah saja semua berebut.Tak kira tertipu atau tidak. Kasihan saya kepada sebahagian rakyat Terengganu yang dikatakan sekarang ini tersangat maju dan kaya raya tetapi tidak dapat membezakan halal dan haram.Semoga Allah mengampuni mereka.

Berpaling kita dari cerita ini, saya timbulkan pula cerita tentang anak exco kerajaan Islam Hadhari Terengganu mendapat biasiswa sebanyak RM 20 ribu.Sebut pasal biasiswa kita akan merujuk kepada pelajar miskin atau pelajar pintar.Inilah antara kategori yang layak untuk menerima biasiswa dan memang itu tujuan pemberian biasiswa.Tetapi apabila disebutkan zakat, semua pelajar yang sedang belajar (kecuali belajar ilmu yang tidak dibenarkan Islam) boleh menerimanya tidak terkecuali samada yang kaya atau yang kurang pandai.Zakat bukan hak mutlak pelajar miskin sahaja.

Dan apakah maksudnya? maksudnya ialah biasiswa masih boleh lagi dipertikaikan ketelusan pembahagiannya.Mungkin seseorang itu tidaklah sepandai mana tetapi kerana sesuatu, maka diapun mendapatnya walaupun tidak layak.Ataupun dia adalah seorang yang kaya tetapi masih mendapat biasiswa atas alasan yang meragukan.Adilkah itu?

Selepas beberapa hari saya di Kuala Terengganu, saya ke Johor pula dan singgah sebentar di Dungun satu tempat yang juga banyak meninggalkan kenangan dalam hidup saya. Bertemu dengan seorang sahabat yang juga seorang yang agak kritis pemikirannya terhadap perkembangan semasa. Dia mendedahkan kepada saya tentang kekalutan yang berlaku dalam jemaah kita.Bukanlah hendak membuka pekung di dada tetapi untuk mencari jalan penyelesaiannya.

Bagaimana sudah banyak antara ahli jemaah kita seperti sudah tidak mahu patuh kepada ketua.Seperti ada jemaah dalam jemaah.Apabila hendak diberikan kerja, pelbagai alasan yang dikemukakan.Ada juga yang memberikan idea yang “tersangat bernas” sehingga satu kerjapun tak jalan.

Bahkan ada juga yang mempengerusikan mesyuarat di luar bilik mesyuarat.Ada sahaja bangkangan selepas mesyuarat.Tapi masa mesyuarat dengan pengerusi yang sah senyap pula.Ada juga yang tak hadir mesyuarat tetapi bercakap masya Allah.Ada juga yang suka bermain dengan pemikiran orang yang sedikit kurang ilmunya.Dia menanam pelbagai persoalan yang mengelirukan dalam pemikiran orang lain agar merasa ragu.Tetapi bila didepan ustaz yang ada ilmu dia diam sahaja.Padahal dia sepatutnya bertanya dengan ustaz tentang kekeliruan itu.Nampak seperti ada maksud yang tersirat.


Akhirnya sampai kepada kemuncak kekeliruan yang dialami oleh ummat Islam di Malaysia apabila saya terpandang satu gambar lama di dalam sebuah akhbar tempatan yang menunjukkan Datuk Seri Najib Tun Razak sedang menyalakan lpelita sempena Rumah Terbuka Deepavali sambil diperhatikan oleh Datuk Rais Yatim dan Datuk Seri S.Samy Vellu.Tidakkah Najib faham agama? Saya pasti dia memang tidak faham agama.

Contoh-contoh yang diberikan di dalam tulisan saya ini adalah untuk mengajak kita semua berfikir adakah kita semua memang betul-betul faham dan beramal secara bersungguh-sungguh dengan Islam atau kita sebenarnya masih terumbang-ambing dengan kefahaman Islam kita? Dan kemudiannya merekacipta hukum bagi membetulkan tindakan kita? Saya memang sengaja membawakan contoh dari kalangan orang PAS dan Umno supaya kita dapat memandang ini semua dari perspektif Islam bukan dari perspektif politik sahaja.

Kita sebenarnya masih gagal dalam mendidik diri dan pemikiran kita supaya berada di dalam kehendak Islam. Jauh dari itu kita semua seperti tidak mahu mengambil tanggung jawab dakwah terhadap sesama kita untuk kefahaman mereka.Untuk yang bukan Islam lagilah kita tak mahu mendekatinya.Islam itu adalah diibaratkan seperti barangan yang tersangat berkualiti dan kita semua sebagai pembungkusnya.Kita kena menjadi pembungkus yang cantik bagi menarik minat pelanggan untuk membelinya.Tetapi apa yang berlaku ialah kebanyakkan kita menjadi pembungkus yang teruk, kotor, busuk dan menyebabkan barangan yang berkualiti tinggi itu tidak laku dek kerana pembungkusnya.

Suka saya untuk memberikan sedikit kesimpulan diatas cerita-cerita yang telah saya bawakan ini.Untuk kes kontena udang itu menunjukkan bahawa kita masih boleh bertolak ansur dengan makanan haram yang mana rasulullah S.A.W secara jelas telah memberikan peringatan bahawa setiap daging yang tumbuh dari makanan yang haram maka nerakalah yang lebih layak untuknya.Lebih menyedihkan lagi perlakuan ini secara tidak langsung telah memberikan gambaran kepada bukan Islam bahawa ummat Islam amat mudah dibeli dengan kebendaan tak kira halal atau haram.Sebab itulah kita dilihat tersangat lemah oleh bukan Islam.

Kisah pemberian biasiswa kepada anak exco pula mengingatkan saya kepada pemberian zakat juga kepada anak exco kerajaan PAS yang telah disensasikan oleh Umno sedikit masa dahulu.Dengan kurangnya kefahaman tentang hukum feqah maka seluruh rakyat merasa marah termasuklah beberapa penyokong PAS sendiri sedangkan perkara itu tidak salah.Apabila sudah diberikan penerangan, rakyat bertanya pula kalau betulpun tidak salah dari segi hukum takkan dah tak ada orang yang lain? Kali ini pertanyaan itu kembali kepada mereka kalau iya pun anak exco tu cerdik takkan tak ada langsung pelajar yang cerdik atau miskin selain dari anak exco di Terengganu yang juga sepatutnya dapat? Bukankah Terengganu Bistari?

Berkenaan jemaah kita pula, ternyata kita gagal melahirkan pelapis yang berkaliber, yang memberikan wala’ sepenuhnya kepada pimpinan.Bagi saya jika ini berterusan, maka harapan untuk kita menjadi pembantu Allah akan tinggal menjadi angan sahaja. Bagi saya pemikiran seperti ini sepatutnya dihapuskan hingga ke akar umbi.Dan kalau kita tidak dapat menghapuskan pemikiran itu, hapuskan pembawanya.Apa gunanya jumlah ahli yang ramai tetapi derhaka kepada pimpinan.Saya mempercayai kualiti yang baik akan menjadikan sesuatu itu baik.Kualiti itu insya Allah akan mempengaruhi keadaan.Sebagaimana sahabat rasulullah yang sedikit, tetapi berjaya mempengaruhi bukan sahaja semenanjung arab bahkan hampir 2/3 dunia dengan kualiti yang mereka miliki.

Dan akhir sekali kemuncak kepada kekeliruan dan penyebab kepada segala fitnah iaitulah apabila aqidah diperdagangkan.Jika sudah kita sanggup untuk mengambil bahagian dalam upacara keagamaan yang selain dari Islam maka apa lagi yang tinggal? Bagi saya Najib telah meninggalkan satu fitnah yang maha besar kepada ummat Islam diatas perkara yang dia lakukan.Oleh itu saya tidak hairan apabila timbul kes M.Moorthy baru-baru ini, menteri-menteri bukan Islam dengan beraninya menghulurkan memo kepada Perdana Menteri untuk mengkaji perlembagaan 121 (1A).

Siapakah penyebabnya kalau bukan dari diri ummat Islam itu sendiri yang begitu jahil tentang agama dan kemudiannya mendabik dada dengan mengatakan bahawa dialah hero penyelamat agama melebihi ulamak yang faham tentang agama.Tidakkah itu secara terang menipu kita?

Dari apa yang telah saya kemukakan dan juga segala kesimpulan yang telah saya berikan, tidak lain hanyalah untuk anda semua berfikir tentang benarkah kita hidup didalam lingkup Islam yang sebenarnya? Ataupun kita tidak sedar yang kita telah menyimpang jauh dari kehendak Islam itu sendiri.Lebih malang lagi apabila kita dengan angkuhnya memperkatakan kesalahan orang lain tanpa menyedari akan kesalahan kita sendiri.

Kepada ahli PAS, amat malang bagi kita semua jika hati kita masih tidak mahu untuk memahami dan mengamalkan Islam tulin sedang dalam masa yang sama kita dikelilingi oleh ulamak dan cendikiawan Islam yang bersedia bila-bila masa untuk mengajarkan kita apa itu Islam yang sebenarnya.Jadilah kita semua ibarat ayam di kepuk mati kelaparan, itik di air mati kehausan.

Akhir kalam saya menyeru diri saya dan saudaraku sekelian agar kita bertaqwa kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa.Janganlah kita mati melainkan dalam keadaan bertaqwa.Marilah kita semua memalingkan diri dari segala bentuk kejahilan kepada kefahaman yang tinggi beserta amalan yang ikhlas hanya kepada Allah Rabbul alamin.Semoga Allah merahmati kita semua.Amiin.Wallahua'lam