Laman Brasmana : Mampukah bertahan?
Petikan : Utusan Malaysia
Kangar 5 hb Februari : Pada Khamis lalu telah berlangsung majlis penyerahan kunci kepada 27 peniaga yang akan menjalankan pelbagai perniagaan di Laman Brasmana yang terletak di tepi laut di Kuala Perlis kira-kira 11 kilometer dari pusat Bandar ini.
Kos pembinaan Laman Brasmana menelan hampir 10 juta dan ia berfungsi sebagai tempat bersantai dan riadah untuk orang ramai khususnya pelancong luar.
Laman Brasmana yang dilihat gah daripada kacamata penduduk meliputi gerai makan, restoran konsep selera Malaysia, gerai kraf tangan, kiosk minuman dan kiosk pelbagai.
Melalui pembinaannya kerajaan negeri dibawah kepimpinan Datuk Seri Shahidan Kassim mempunyai satu matlamat yang cukup tinggi iaitu menarik kemasukan pelancong disamping menyediakan kemudahan rehat yang selesa.
Bagi golongan peniaga, Laman Brasmana adalah satu projek yang memperlihatkan keprihatinan kerajaan negeri dalammemberikan ruang perniagaan yang tersusun dan mempunyai reka bentuk yang cantik.Ramai yang mengakui bahawa Laman Brasmana sangat cantik dan strategik.
Ia sedikit sebanyak menaikkan imej Kuala Perlis yang menjadi pintu masuk utama negeri ini dari Pulau Langkawi dan Satun, Thailand.
Namun focus kali ini bukanlah mahu mengupas secara terperinci mengenai kehebatan pembinaan Laman Brasmana tetapi lebih kepada sejauh mana ia “mampu bertahan”
Mengapa mampu bertahan? Perlis merupakan negeri yang terkecil tetapi menawarkan banyak tempat-tempat menarik untuk dikunjungi.
Dari Padang Besar hingga ke Arau dan Kuala Perlis, negeri ini sememangnya unik terutama permandangan sawah padi, Tasik Melati, Empangan Timah Tasoh dan Gua Kelam.
Kemudahan untuk beristirehat dan tempat menjamu selera juga memang banyak. Namun begitu sekadar kemudahan yang banyak sahaja tidak mencukupi jika kemudahan-kemudahan berkenaan tanpa ada yang mengusahakannya.
Perkara sebegini dapat dilihat di Hentian Rehat dan Rawat (R&R), Dataran Terinai di Empangan Timah Tasoh, dekat Padang Besar yang saban hari peniaganya terpaksa gulung tikar.
Tidak cukup dengan itu perkara yang sama dapat dilihat di gerai-gerai ‘sangkar burung’ yang merata lokasinya di negeri ini selain Dataran Usahawan dan ‘rumah hantu’ Konkos di Kuala Perlis.
Pembinaan kemudahan-kemudahan menjamu selera itu satu ketika dulu memang cukup gah juga tetapi kini sepi, terbiar dan merugikan.
Apa punca ? Tiada siapa yang tahu.Siapa yang harus dipersoalkan ? Tidak tahu juga.Dataran Terinai yang menelan kos pembinaan sebanyak RM2.5 juta baru sahaja dibuka dan dikhuatiri akan menjadi rumah hantu seperti di Konkos Kuala Perlis.
Daripada 28 peniaga yang mula-mula mendapat kunci untuk menjalankan perniagaan kini Cuma tinggal empat orang sahaja manakala Konkos pula, terus tutup dan dipercayai menjadi sarang kegiatan tidak bermoral termasuk penagihan dadah.
Adalah tidak salah kerajaan negeri merancang untuk membina projek itu dan ini tetapi entah dimana silapnya pembinaan kemudahan-kemudahan terbabit seakan-akan ada penunggu yang mengacau sehingga tidak mampu bertahan lama.
Bangunan Konkos sepatutnya boleh dimajukan semula seperti dijadikan pusat penjualan kraftangan hasil sentuhan kreatif anak jati tempatan.
Ramai anak jati Perlis mempunyai bakat tersendiri, tetapi di negeri ini tiada tempat khas yang boleh dijadikan platform bagi mereka untuk memasarkannya.
Tidak seperti di Kelantan dan Melaka.Kedua-dua negeri ini mempunyai kawasan khas penjualan barangan kraftangan yang membolehkan rakyatnya memasarkan hasil seni kreatif.
Berbalik kepada Laman Brasmana, adakahia akan menjadi satu lagi projek yang senasib Dataran Terinai atau Konkos, tunggu dan lihat sahajalah.
Kalau maju ia sudah cukup bagus tetapi kalau tidak, kajian atau siasatan terperinci perlu dilakukan segera sebelum kerugian yang ditanggung semakin bertimbun tinggi.