Anwar sifatkan Kabinet Abdullah "kerajaan rasuah"
Oleh ABR
Petikan : Harakah
KUALA LUMPUR, 17 Feb (Hrkh) - "Kerajaan yang rasuah," itulah label yang diberikan oleh bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada kabinet baru Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Malah, beliau menjangkakan kabinet baru yang diumumkan Perdana Menteri Selasa lalu akan memburukkan lagi masalah ekonomi negara kerana "pelabur asing akan menjauhkan diri dari kerajaan yang rasuah".
Beliau menyifatkan usaha memerangi rasuah yang dijanjikan Abdullah tidak akan terlaksana, terus di takuk lama dan "perkara ini sesungguhnya sangat mencemaskan".
"Rasuah semakin menjadi-jadi, kebebasan media semakin ditekan. Semakin banyak suruhanjaya bebas yang ditubuhkan, semakin ramai rakyat yang ditindas dan dibogelkan. Dan sekarang kita mempunyai kabinet ini," keluh Anwar.
Beliau juga menyifatkan keadaan demokrasi di negara ini "semakin buruk".
Beliau juga hairan mengapa Abdullah memilih untuk mengikat dirinya sendiri dengan menteri-menteri yang bermasalah dan terjejas nama mereka.
"Apa perlunya anda mengikat diri sendiri? Anda adalah Perdana Menteri. Anda adalah Presiden parti yang mendapat mandat yang mengkagumkan," tanya beliau.
Apa yang begitu ketara, katanya, kabinet baru Abdullah itu mengecewakan ramai rakyat Malaysia yang begitu mengharap-harapkan perubahan positif yang dijanjikannya berkali-kali.
Beliau juga menyifatkan Abdullah melepaskan peluang keemasan untuk membuktikan ketulusan janjinya untuk melakukan perubahan.
"Dia mengewakan rakyat Malaysia sekali lagi ... Kita terus mendengar tokoh kontroversial yang sama dikaitkan dengan skandal dan rasuah.
"Perkembangan sedemikian tidak akan memberikan gambaran yang baik kepada negara atau meningkatkan keyakinan umum," kata Anwar.
Beliau berkata, pengumuman tersebut benar-benar mengecewakan terutama apabila mengambilkira Abdullah mengambil masa yang begitu lama untuk membuat pertimbangan mengenai kabinet baru.
"Kita menjangkakan beliau akan tampil dengan barisan kepimpinan yang lebih meyakinkan setelah mengambil masa yang begitu lama ... terlalu lama masa yang diambil untuk membuat pertimbangan mengenai perkara ini, beliau mahukan masa untuk mendapat ilham daripada langit ... sama seperti kerajaan langit..." kata beliau, menyebabkan para pemberita yang hadir tertawa.
Anwar juga hairan mengapa Perdana Menteri enggan melantik muka-muka baru di dalam Barisan Nasional dan Umno.
"Sebaliknya beliau memilih untuk mengekalkan kabinet yang bersepah-sepah dengan angota-angota yang rasuah dan mencurigakan," tambah beliau.