Bantahan petisyen pilihan raya 13 Mac
Petikan : Berita Harian
KOTA BHARU: Mahkamah Tinggi Kota Bharu semalam, menetapkan 13 hingga 15 Mac ini sebagai tarikh mendengar bantahan awal petisyen pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Pasir yang difailkan Pas Kelantan pada 4 Januari lalu.
Hakim Datuk Hassan Lah menetapkan tarikh itu bagi mendengar bantahan awal yang akan dikemukakan Barisan Nasional (BN) menerusi calonnya selaku responden pertama, Hanafi Mamat yang memenangi pilihan raya kecil berkenaan.
Ketika prosiding penetapan tarikh itu berlangsung semalam, BN diwakili panel tujuh peguam diketuai Tan Sri Zaki Tun Azmi, manakala Pas Kelantan diwakili 11 peguam yang diketuai Mohamad Ariff Yusof.Tiada bantahan dikemukakan kedua-dua pihak sebaik hakim menetapkan tarikh itu.
Sementara itu, Zaki berkata, pihaknya akan mengemukakan usul terhadap bantahan awal yang difailkan pada 26 Januari lalu supaya mahkamah membatalkan petisyen yang difailkan Pas tanpa perlu perbicaraan.Katanya, jika mahkamah menolak usul bantahan itu, perbicaraan petisyen dijangka diadakan April ini, tetapi jika usul mereka diterima petisyen Pas akan ditolak tanpa perbicaraan.
Dalam petisyen itu, Hanafi dinamakan sebagai responden pertama; Pegawai Pengurus Pilihan raya N12 Pengkalan Pasir, Abdul Halim Ahmad, selaku responden kedua, manakala Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), responden ketiga.
Pada 4 Januari lalu, Pas memfailkan petisyen di mahkamah itu bagi mendapatkan perisytiharan membatalkan keputusan pilihan raya kecil DUN Pengkalan Pasir yang berlangsung pada 6 Disember tahun lalu.
Petisyen itu difailkan Setiausaha Dewan Pemuda Pas Kelantan yang juga Ketua Pemuda Pas Pasir Mas, Mohd Ridza Zain, selaku wakil calon Pas yang tewas dalam saingan tiga penjuru dalam pilihan raya itu, Hanifa Ahmad.