Alamat Baru Kami

Alamat Baru Kami

Klik di FOTO

Sunday, February 26, 2006



Maksiat di Perlis, kerajaan negeri digesa bertindak
Oleh Bashir Ishak
Petikan : Harakahdaily

KANGAR, 25 Feb (Hrkh) - PAS Perlis memandang serius gejala sosial dan maksiat yang berleluasa di negeri ini dan kerajaan negeri Perlis perlu lebih tegas dalam menangani gejala ini.

Ketua Penerangan PAS Perlis, Ustaz Yaakub Abu Seman membuat gesaan demikian berikutan pendedahan sebuah akhbar bahawa Taman Rekreasi Sungai Kechor yang kini menjadi tempat maksiat.

Laporan tersebut mendedahkan taman tersebut kini menjadi mangsa vandalisme dan dijadikan tempat melakukan perbuatan tidak senonoh.

Selain adanya “adegan panas” di kalangan remaja Islam, ada juga yang menjadikan tempat tersebut untuk berpeleseran serta meminum arak. Ustaz Yaakub melihat gejala ini sebagai kegagalan kerajaan Islam Hadhari melahirkan remaja yang benar-benar menghayati Islam.

“Sistem pendidikan negara gagal membentuk pelajar yang berkeperibadian mulia kerana tidak ditumpukan pembangunan insan tetapi sebaliknya lebih ditumpukan kepada material atau ekonomi,” katanya.

Beliau yang juga Ketua Dewan Pemuda PAS Kangar menyarankan agar kerajaan melalui Jabatan Pelajaran dan Jabatan Agama mewujudkan kelas bimbingan kaunseling khas kepada pelajar berkaitan hukum-hakam Islam.

“Selain itu, ibu bapa juga harus memberikan perhatian penuh tentang aktiviti pergaulan anak-anak mereka.Kebanyakan kes yang berlaku adalah apabila ibu bapa tidak ambil kisah tentang anak-anak,” tambahnya.

Laporan tentang maksiat ini amat memalukan dan ianya tidak selari dengan kehendak Tuanku Pemangku Raja Perlis yang dalam titah ucapan baginda ketika perasmian Taman Rekreasi berkenaan tidak lama dahulu.
Dalam titah ucapannya, baginda meminta agar taman-taman rekreasi di negeri ini tidak dijadikan sebagai tempat maksiat oleh sesiapapun.
Sementara itu, Ketua Lajnah Tarbiyah PAS Perlis, Ustaz Yussaine Yahya menegaskan bahawa punca perkara ini terjadi adalah kerana solat telah ditinggalkan oleh orang-orang Islam.

Menurutnya, tiada lagi pertahanan diri selepas solat diputuskan dari ikatan diri seseorang manusia itu.

“Tiada perkara yang dirasakan mungkar kerana mungkar itu telah menguasai diri mereka,” katanya.

Menurutnya lagi, solat ditinggalkan setelah hidup manusia kini dikelilingi oleh hiburan yang melalaikan.

“Akademi Fantasia, Malaysian Idol, Mentor adalah sebahagian daripada contoh rancangan hiburan yangboleh merosakkan akhlak khususnya muda-mudi zaman ini,” katanya.

Baginya apabila seseorang itu menjaga solatnya, perkara-perkata maksiat sedemikian boleh dibendung.

“Ibu bapa wajib memberi penekanan tentang solat kepada anak-anak supaya mereka insan yang bertakwa,”tambahnya lagi.