Pegawai polis, isteri orang dicekup khalwat
Petikan : Harian Metro
KANGAR: Seorang pegawai polis berusia 40-an dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis ditahan kerana disyaki berkhalwat dengan seorang wanita di Taman Seri Bakau, di sini, malam semalam.
Pegawai berpangkat Asisten Superintendan itu dipercayai ketua satu cawangan di IPK Perlis ditahan ketika berdua-duaan bersama wanita berusia 49 tahun itu yang juga isteri orang, kira-kira jam 11.30 malam.
Sumber berkata, tujuh pegawai penguat kuasa Jabatan Agama Islam Perlis (Jaips) menyerbu rumah yang diduduki ASP itu selepas mendapat maklumat daripada orang ramai yang menyatakan ada pasangan bukan mahram di rumah terbabit.
“Ketika pemeriksaan, hanya mereka berdua berada di rumah berkenaan dan siasatan mendapati mereka bukan mahram.“Pegawai penguat kuasa terpaksa menunggu di luar rumah teres itu agak lama sebelum seorang lelaki bertindak membuka pintu. Keadaan di dalam rumah agak gelap.
“Penguat kuasa menemui seorang wanita yang berpakaian lengkap bersembunyi di dalam bilik air dan kain batik sarung yang baru dipakai turut ditemui di lantai tandas terbabit,”
katanya.
Beliau berkata, penguat kuasa agama mengambil keterangan peribadi pegawai polis itu dan pasangannya sebelum membebaskan mereka.
Wanita itu dikatakan bertugas di sebuah jabatan kerajaan di sini.
“Wanita terbabit yang gementar apabila melihat pegawai penguat kuasa agama mendakwa tidak membawa kad pengenalan dan butiran peribadi diambil berdasarkan pengakuan dia,” katanya.