Alamat Baru Kami

Alamat Baru Kami

Klik di FOTO

Friday, February 17, 2006

Tulisan Jawi : Umno pura-pura prihatin
Oleh : Nikon
Kategori : Berita

Kangar 17hb Feb : Umno berpura-pura menunjuk kepada masyarakat bahawa mereka sedang memperjuangkan nasib tulisan jawi yang kini sudah hampir pupus sedang masyarakat menyedari yang Umnolah penyebab utama kearah kepupusan tulisan itu demikian ulasan yang diberikan oleh Pesuruhjaya PAS Perlis Ustaz Hashim Jasin semalam.

Dalam akhbar Utusan Malaysia 11hb Februari baru-baru ini Datuk Rais Yatim menyatakan tulisan jawi adalah warisan Melayu yang mesti dipertahankan dan semalam pula berita dari Terengganu melaporkan Menteri Besarnya Datuk Seri Idris Jusoh menyatakan kesanggupan kerajaan negeri untuk memberikan potongan sebanyak 50% kepada papan tanda yang ditulis dengan tulisan jawi.

Hal ini secara tidak langsung telah menampakkan kebimbangan Umno terhadap tulisan jawi yang mungkin pada suatu masa nanti akan pupus begitu sahaja.Tambah memburukkan lagi keadaan, satu-satunya akhbar yang diterbitkan dalam tulisan jawi iaitu Utusan Melayu Mingguan telahpun dihentikan penerbitannya baru-baru ini.

Kerajaan Umno pada tahun 60-an melalui Menteri Pelajarannya iaitu Tan Sri Khir Johari telah membuat perubahan kepada mata pelajaran jawi yang mana ianya dibuat semata-mata untuk meletakkan martabat mata pelajaran jawi diperingkat yang rendah dan tidak penting untuk dipelajari.

Ustaz Hashim juga menjelaskan bahawa PAS telah mengingatkan kerajaan Umno pada masa itu akan akibat kepada perbuatan mereka itu tetapi ia ibarat mencurahkan air ke daun keladi. Mereka tetap dengan agenda mereka itu.

“Dan hasilnya telah kelihatan setelah 40 tahun.Saya bimbang yang pelajaran sains dan matematik dari segi istilah penggunaanya dalam Bahasa Melayu akan menjadi seperti tulisan jawi juga untuk 40 tahun akan datang,” ujarnya melahirkan kebimbangannya.

Beliau yang juga AJK PAS Pusat mencadangkan kepada Umno supaya meminta maaf dan mengakui kesilapan mereka kepada rakyat apabila ditanya tentang cadangan beliau kepada Umno diatas perkara ini.

“Umno mesti minta maaf kepada rakyat dan mengatur balik strategi dan langkah-langkah untuk menghidupkan balik tulisan ini agar tidak terus pupus,” tambah beliau lagi.

Antara cadangan beliau lagi kepada Umno untuk melihat agar tulisan jawi terus hidup, ialah mewajibkan mata pelajaran jawi di sekolah-sekolah sambil beliau juga menyatakan kesanggupan PAS untuk membantu.