Alamat Baru Kami

Alamat Baru Kami

Klik di FOTO

Wednesday, February 22, 2006


Enggan boikot barangan Denmark: Pengerusi OIC tidak peka
Oleh Wajdi Mayusoh
Petikan : Harakahdaily

KOTA BHARU, 22 Feb (Hrkh) – Pengerusi negara-negara persidangan Islam (OIC) dianggap tidak peka terhadap kebiadaban akhbar di Denmark kerana enggan mengajak rakyat memboikot barangan negara terbabit.
Anggota Exco kerajaan negeri, Haji Husam Musa berkata, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak sensitif terhadap tuntutan umat Islam di seluruh dunia bagi memboikot produk dari negara tersebut.

“Sedangkan umat Islam dari pelbagai bangsa di seluruh dunia sepakat untuk memboikot barangan keluaran Denmark sebagai tindak balas atas kebiadaban dan penghinaan terhadap Rasululah saw melalui karikatur sebuah akhbarnya,” kata beliau pada persidangan DUN petang semalam.

Beliau yang juga Naib Presiden PAS berkata demkian pada sesi penggulungan bagi pindaan Rang Undang-Undang Enakmen Tabung Amanah Tok Kenali. Sebelum itu, Abdul Aziz Derashid (BN – Kuala Balah) mempersoalkan kenapa DUN Kelantan tidak mengeluarkan usul mengutuk terhadap kebiadaban akhbar Denmark.

Husam yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran Awam, Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Pembangunan Masyarakat negeri menjelaskan di peringkat parti PAS telah mengadakan bantahan terbuka dengan mengadakan demontrasi aman di Wisma Denmark di Kuala Lumpur 10 Febuari lalu.

“Di peringkat negeri juga PAS telah mengadakan bantahan umum di Kota Bharu 17 Febuari lalu yang dihadiri ribuan rakyat. Tapi pada program tersebut saya tidak nampak pula Adun Kuala Balah hadir,” katanya sambil disambut gelak ketawa pemerhati yang hadir.

Oleh itu, katanya, sebagai menyatakan bantahan secara berterusan rakyat diminta memboikot barangan keluaran Denmark terutamanya produk tenusu. Sebelum ini Perdana Menteri memberitahu beliau tidak berhasrat meminta rakyat negara ini memboikot barangan Denmark.

Sebelum itu semasa membentangkan rang undang-undang terbabit Husam berkata, pindaan perlu dilakukan supaya ia boleh menerima sumbangan sama ada dalam bentuk harta alih atau tidak alih.

“Melalui pindaan ini Tabung Tok Kenali boleh menerima sumbangan walau dalam apa bentuk sama ada harta tidak alih seperti tanah, ladang atau harta boleh alih seperti wang, zakat dan sebagainya”.

“Selain itu pindaan juga membolehkan harta yang terkumpul dalam tabung ini boleh diuruskan. Sedangkan sekiranya tidak dibuat pindaan harta-harta yang terkumpul dalam tabung ini tidak dapat diuruskan,” katanya.

Tabung Amanah Tok kenali ditubuhkan pada tahun 1992 dan sehingga sekarang berjaya mengumpulkan sebanyak RM5 juta hasil daripada wang pampasan Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi projek empangan Pergau.