Di bawah teraju Umno Islam makin tidak bermaya
Oleh Nik Abdul Aziz Nik Mat Petikan : Harakahdaily
SAYA masih teringat saranan TPM dalam Majlis Penutup Seminar “Who speaks for the West. Who speaks for Islam” yang telah diadakan pada 11 dan 12 Februari 2006 di Kuala Lumpur.
Beliau menekankan golongan Islam majoriti yang senyap perlu berani berdialog dan menyuarakan pendapat dengan masyarakat Barat.
Jika Dato’ Seri Najib Razak maksudkan golongan majoriti yang senyap dan perlu bersuara itu adalah dari majoriti orang Islam dalam Umno maka betul-betul Najib sedang ketuk besi sejuk. Kalau mahu melentur besi untuk dijadikan pisau parang yang dalam konteks ini ialah melentur Islam, Najib hendak harapkan Umno, maka betul-betullah Najib nak ketuk besi sejuk.
Sebagaimana besi sejuk akan pecah, maka jika dipaksa orang Umno bercakap mengenai Islam, maka sekali lagi akan porak perandalah Umno. Bagaimana orang Umno mahu bercakap mengenai Islam sedangkan fahaman dan perjuangan mereka adalah kebangsaan. Justeru pernah cuba mahu membawa Islam ke dalam Umnolah, Dato’ Seri Anwar Ibrahim (DSAI) ditumbuk, ditendang, dibuang dan dicederakan.
Paling tinggi, apa yang akan Umno suarakan ialah Islam dari jenis Hadhari yakni satu klon Islam “modify” yang sangat disetujui oleh Amerika dan sekutu-sekutunya.
Sepanjang hampir 50 tahun, Umno membisu mengenai Islam. Kemudian tiba-tiba dalam setahun dua ini sahaja Umno baru isytihar Malaysia negara Islam. Itu pun dengan tidak mengubah dasar parti Umno yang kebangsaan kepada Al-Quran. Kalau nak pakai Islam pun, pakai Islam dari benih Hadhari.
Saya selalu syak yang Islam Hadhari versi Umno ini adalah dari daya cipta Yahudi yang direstui oleh Amerika. Jika orang Umno bercakap mengenai Islam Hadhari erti dia mengambil model Islam yang direstui AS.
Sebarang untung untuk melunturkan Islam original akan dibahagi dua labanya. Berpawahlah. Mungkin 50 peratus untuk Umno dan 50 peratus lagi untuk dinikmati oleh musuh-musuh di luar Islam.
Hujah saya cukup mudah. Bagaimana Umno nak bercakap Islam sebenar apabila dasar Umno dari awal-awal lagi tidak berpaksikan Al-Quran dan Hadis. Umno parti kebangsaan dan dia sepenuhnya berteraskan kebangsaan. Jika ada pun Islam di sana sini, ia cuma bersifat ritual dan kosmetik.
Islam ini bukan jenis falsafah, isme atau jalan pemikiran. Ia adalah himpunan wahyu yang terkumpul dalam sebuah Al-Quran. Penterjemah atau Attorney General ialah seorang Nabi maksum terakhir bernama Muhammad S.A.W. Jika Umno sudah awal-awal lagi menolak Al-Quran dan mengambil kebangsaan, maka bagaimana Umno mahu mendakwa bahawa mereka pejuang Islam?
Mampukah parti dan ahli parti yang menolak Islam menjadi golongan yang kononnya mahu mewakili suara majoriti umat Islam dan berdialog dengan masyarakat Barat? Bukti pertama Umno menolak Islam boleh dilihat seawal-awal melalui sikap mereka semasa menggubal Perlembagaan. Bukti kedua ialah semua orang tahu yang Perkara 4(1) membelakangi Islam.
Sudah 50 tahun begitu dan Umno tidak nampak apa-apa tanda pun untuk memindanya. Bukti ketiga ialah di tahun 60-an, Umno tangkap tok-tok guru pondok dan ulama’ dengan terus menggunakan ISA untuk menutup proses pengadilan melalui mahkamah. Keempat, tiap-tiap kali pilihan raya, Umno lawan sebuah parti yang dasarnya Islam. Kelima, Umno tolak Hudud.
Dengan lima bukti ini, saya menjadi amat hairan apabila Najib mengharapkan orang Islam dari majoriti orang Umno untuk mempromosi dan membela Islam. Saya amat yakin yang beliau sendiri pun tidak yakin dengan kata-katanya.
Sebenarnya, terdapat dua ajaran penting dalam Islam yang tidak terdapat dalam ajaran Umno iaitu ikhlas dan beriman kepada hari pembalasan di akhirat. Dalam soal ikhlas, Allah S.W.T. ada berfirman dengan maksud:
“Padahal mereka tidak disuruh kecuali supaya mengabdikan diri kepada Allah dengan penuh ikhlas ketaatan kepadaNya dalam (menjalankan) agama dengan lurus. - (Surah Al Bayyinah: Sebahagian Ayat 5).
Ikhlas secara ringkasnya bermakna menapis segala sampah sarap dunia seperti kepentingan diri, keluarga, rumah tangga dan apa sahaja yang boleh menghalang penyempurnaan amal berniatkan “lillahi taala”.
Ini dizahirkan dalam ikrar doa Iftitah kita setiap kali sembahyang yang menyimpulkan segala gerak diam dan seluruh akiviti hidup mati manusia wajib didasarkan kepada niat “kerana Allah robbul ‘alamin.”
Tanpa ikhlas, amal akan ditolak. Di sini, manakah ruang dalam Umno yang menyediakan ahli-ahlinya untuk berfikir dalam fikrah sebegini. Umno cuma sibuk dengan pembangunan, subsidi, AP dan habis tinggi membina masjid.
Saya tidak tahu bagaimana Umno boleh sangkut perjuangannya yang menolak Al-Quran dan hadis bahkan mengambil kebangsaan boleh menyesuaikan diri dengan ikrar doa iftitah ini. Jika mahu pastikan Umno ini betul atau tidak, mudah sahaja. Cuba kita tanya golongan Yahudi dan AS sama ada mereka restui gerakan Islam yang dibawa oleh PAS atau Islam Hadhari yang dibawa oleh Umno.
Mereka pasti akan bersetuju dengan Umno kerana Islam Hadhari Umno ini tidak ke mana-mana. Ia tidak mampu menambah apapun makruf dan tidak pula dapat mencegah apa-apa kemungkaran yang ditinggalkan oleh penjajah. Dengan berselindung di sebalik semangat kebangsaan, dia meneruskan atau menyiapkan kerja rumah yang ditinggalkan oleh penjajah.
Lantaran itu, kita melihat di bawah kepimpinan Umno, Islam kita semakin sehari semakin tidak bermaya. Rakyat telah disempitkan minda melalui proses “brain washing” yang panjang untuk melihat Umno dari perspektif Islam sederhana. Islam dalam bentuk yang lain di luar dari kerangka yang dijerat oleh Umno semua dikira melampau.
Dari tadika lagi minda rakyat diumpan dengan sekularisme hinggalah ke peringkat KBSR dan KBSM. Dari situ, belia dan remaja kita disogok pula dengan faham kebangsaan lanjutan melalui program PLKN.
Proses indoktrinasi seterusnya bersambung dengan kem-kem Bina Negara dan berakhir dengan akujanji bagi setiap anggota penjawat awam. Lalu dari atas loteng kuasa, satu jala besar OSA, ISA, Akta Polis, Akta Mesin Cetak, dan lain-lain telah dicampakkan turun untuk memberkas kebebasan rakyat keseluruhannya.
Di setiap lompang waktu pula, minda rakyat terus diasuh dan diasak dengan pelbagai propaganda media.
Ringkasnya, di tangan sekumpulan pemimpin nasionalis, Malaysia lalu dipandu oleh ‘drebar-drebar’ yang tidak berlesen. Di atas muka bumi Allah S.W.T. yang penuh dengan isyarat dan peraturan syariat tinggalan Nabi Muhammad S.A.W., Umno berlagak pandai mentadbir negara dengan pelbagai skim perundangan dan peraturan baru.
Lantaran tidak memiliki ‘road tax’ dan memandu secara songsang ini, Malaysia sentiasa diburu kecemasan dan mala petaka demi mala petaka. Umno tinggalkan roh dan cuma mementingkan jasad. Sepatutnya Islam diterima dengan iman, roh dan badannya. Iman untuk roh manakala syariat Islam untuk mengatur tubuh badan dan kehidupan.
Sebarang pembangunan wajib mengandungi komponen ini. Malangnya Malaysia dipimpin oleh orang-orang yang keliru dan mengelirukan orang. Kemudian Umno dianjur oleh pemimpinnya untuk bercakap mengenai Islam dalam keadaan yang dia sendiri tidak faham.
Kekeliruan terkini ialah bagaimana kita boleh terfikir Pengerusi OIC kita boleh tidak bersetuju dengan langkah pemboikotan barangan Denmark sedangkan hampir seluruh anggota OIC bangkit menyatakan protes terhadap penghinaan ke atas Nabi Muhammad S.A.W.
Semakin terkejutlah kita apabila Datuk Mufti Perak sendiri mendedahkan yang telah terdapat seramai 250,000 umat Islam yang murtad di seluruh negara. Perdana Menteri boleh berserulah dengan harapan peri pentingnya remaja dengan “moral upright”nya (NST 22 Februari 2006) tetapi hakikatnya adalah sebaliknya. Inilah bencananya apabila Malaysia dipimpin oleh sebuah parti kebangsaan yang meninggalkan Islam.