Alamat Baru Kami

Alamat Baru Kami

Klik di FOTO

Friday, March 17, 2006


Seludup minyak: Perketatkan penguatkuasaan, basmi rasuah
Oleh Bashir Ishak
Petikan : Harakahdaily

KANGAR, 17 Mac (Hrkh) – Penguatkuasaan yang telus dan berterusan di samping membasmi rasuah perlu dibuat oleh kerajaan dalam membendung masalah penyeludupan minyak di sempadan.

Timbalan Pesuruhjaya 3 PAS Perlis, Hairy Hashim membuat seruan demikian ketika mengulas isu berkenaan yang didedahkan oleh sebuah akhbar berbahasa Melayu baru-baru ini.

Menurut Hairy, isu penyeludupan minyak di sempadan seperti yang dilaporkan bukanlah cerita baru dansepatutnya kerajaan telah lama menyelesaikan masalah ini.

"Seperti yang dilaporkan akhbar berkenaan, kita nampak ada elemen yang tidak sihat dalam proses pemeriksaan di sempadan yang mana prosedurnya boleh dipersoalkan," katanya.

Akhbar berkenaan turut melaporkan tentang satu perkara yang dikira "ajaib" apabila wujudnya dua buah stesen minyak yang membekalkan minyak untuk hanya kira-kira 300 orang penduduk di Wang Kelian, pekan kecil berhampiran sempadan Thailand.

Hairy meminta pihak berkuasa terutamanya penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang menyalahgunakan lesen yang diberikan untuk menjalankan aktiviti yang menyalahi undang-undang.

"Sudahlah harga minyak naik, jangan ada pula pihak mengambil kesempatan menyeludupnya ke luar negara pula dan mendapatkan untung berlipat kali ganda kerana harganya yang relatif lebih murah berbanding negara jiran," katanya lagi.

Dalam sidang Dewan Undangan Negeri Perlis beberapa bulan yang lalu wakil rakyat di kawasan terbabit, Loh Yoon Foo (BN-Titi Tinggi) mendedahkan bahawa terdapat lebih kurang sebelas buah stesen minyak beroperasi di kawasan terbabit.

Bagi Hairy, situasi ini perlu dipantau dengan serius agar pihak yang terbabit tidak mengambil kesempatan diatas penguatkuasaan yang tidak ketat.

Tambahnya lagi, walaupun wujudnya sektor industri dan pengangkutan di kawasan terbabit seperti di PekanPadang Besar, namun jumlah stesen minyak adalah terlalu banyak sedangkan permintaan pengguna tidaklah begitu tinggi.

"Kita tidak mahu adanya unsur-unsur tidak sihat seperti rasuah yang berlaku. Jika ada dalang yangterbabit dalam kes ini, mereka perlu segera dikenakan tindakan undang-undang," serunya.
Hairy juga menyarankan agar kerajaan mengkaji balik pemberian lesen terhadap stesen-stesen minyak terbabit berdasarkan keperluan setempat.

Baginya, jika benar laporan akhbar yang mengatakan jualan di stesen minyak di kawasan terpencil sebegitutinggi, memang jelas berlakunya penyeludupan ke negara jiran.

"Rakyat di negara jiran pula yang memperolehi kebajikan kerana minyak di sini lebih murah sedangkan rakyat di sini diseru supaya mengubah gaya hidup hinggakan ada yang menyeru supaya naik basikal ke tempat kerja," katanya.