Alamat Baru Kami

Alamat Baru Kami

Klik di FOTO

Tuesday, March 21, 2006

Edisi Utara: Muara disemari sampah
Oleh Rashidi Karim
Petikan : Harian Metro

KUALA PERLIS: Sumber pendapatan nelayan yang menjalankan kegiatan menangkap ketam di muara Sungai Perlis, di sini, terjejas teruk kerana kawasan itu dicemari dengan sampah-sarap berikutan operasi tapak pelupusan di situ.

Justeru, mereka bersetuju dengan desakan penduduk perkampungan nelayan di sini supaya tapak berkenaan yang beroperasi sejak 25 tahun lalu, segera ditutup.

Seorang nelayan terbabit, Osman Yatim, 56, dari Kampung Tandiap, di sini berkata, pendapatannya kini merosot teruk apabila ketam berkurangan berikutan muara sungai sudah tercemar dengan sampah-sarap.

“Saya sebelum ini mampu memperoleh pendapatan sehingga RM50 sehari tetapi sekarang merosot sehingga RM20 sehari. Ini kerana sisa buangan seperti plastik dari tapak pelupusan ini memenuhi muara sungai ini.

“Setiap kali saya mengangkat tangkul (alatan menangkap ketam) hanya plastik dan sisa buangan yang diperolehi, bukannya ketam,” katanya yang mendayung sampan kayu untuk menangkap ketam ketika ditemui di muara sungai itu di sini, semalam.

Beliau berkata, sejak kebelakangan ini, banyak plastik berada di dalam sungai kerana tapak pelupusan itu sudah penuh sehingga melimpah ke tebing dan tenggelam apabila air laut pasang.

“Pihak berkuasa ada membina tembok pukat di sepanjang tebing sungai bagi menahan limpahan sampah berkenaan tetapi sudah koyak dan pecah,” katanya.

Semalam akhbar ini melaporkan penduduk di tujuh perkampungan nelayan di sini mendesak kerajaan Perlis segera menutup tapak pelupusan sampah berhampiran muara sungai Perlis itu kerana terbukti mencemarkan kualiti air serta menjejaskan kesihatan penduduk.

Selain menimbulkan pencemaran kepada beribu-ribu penduduk di perkampungan nelayan, tapak pelupusan itu menjejaskan kesihatan pelajar yang mendiami Kolej Kediaman, Kolej Universiti Kejuruteraan Utara Malaysia (Kukum) yang terletak kurang 50 meter.

Tinjauan akhbar ini kelmarin mendapati sampah di situ sama tinggi dengan bumbung perumahan kolej Kukum manakala sampahnya turut memenuhi jalan raya dan Sungai Perlis.

Limpahan bahan buangan dan sisa kumbahan di tapak yang terbuka itu turut mengalir ke sungai manakala sebahagiannya melekat di pokok bakau.

Mohd Zaki Abu, 28, dari Seberang Alor pula berkata, beliau dan rakan yang mencari rezeki menangkap ketam di sungai itu sering memperoleh hasil sampah seperti plastik dan bahan buangan lain.

“Kami mahu tapak pelupusan ini segera ditutup dan pihak berkuasa perlu mencari tapak baru yang sesuai bagi menggantikannya,” katanya.

Beliau berkata, tembok pukat yang dibina di tebing sungai itu gagal menahan sampah sehingga menyebabkannya koyak dan pecah manakala sisa kumbahan mengalir ke sungai apabila hujan.

Pada 12 Mac lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, mengarahkan semua tapak pelupusan yang tidak memenuhi piawaian pemuliharaan alam sekitar hingga boleh menjejaskan keselamatan dan keselesaaan penduduk ditutup.